Khamis, 28 Mac 2013

DIAKHIRAT ALLAH ARAHAN PIHAK TERTENTU AGAR MASUK NERAKA...PIHAK TU PULAK TAK DAPAT MEMBANTAH KERANA TIADA KUASA LAGI

Papagomo pernah disabit kesalahan jenayah - Polis

Harakahdaily, 28 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan bahawa Wan Muhammad Azri Wan Deris yang dikenali sebagai penulis blog Papagomo, adalah bekas anggotanya yang pernah disabit kesalahan jenayah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah pengurusan PDRM Datuk Mortadza Nazarene berkata, ekoran keputusan mahkamah itu, Papagomo yang berpangkat konstabel itu telah dibuang kerja daripada pasukan itu sejak September 2012 dan tidak lagi tersenarai sebagai pengundi polis.

“Pada 6 September 2012, anggota ini disabitkan salah dan dijatuhkan hukuman. Seterusnya prosiding tatatertib PDRM terhadapnya telah dibuat dan anggota ini dibuang kerja berkuatkuasa 6 September tahun lalu.

“Sehubungan itu, anggota ini tidak lagi tersenarai dalam rekod PDRM sebagai pengundi pos,” kata Mortadza dalam kenyataan itu.

Beliau berkata demikian dipercayai mengulas beberapa pendedahan sebelum yang mendakwa Papagomo mempunyai dua rekod daftar pemilih iaitu sebagai pengundi awam dan satu lagi pengundi pos.

Kedua-dua rekod daftar itu diperolehi dari sisterm semakan online Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, selepas pendedahan itu dibuat, rekod Wan Muhammad Azri sebagai pengundi pos dilaporkan telah dipadam.

Sebelum ini juga, carian dalam rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati Wan Muhammad Azri tersenarai sebagai pesalah rasuah.

Beliau pernah sabit kesalahan meminta suapan RM1,000 dari seorang lelaki pada 29 Nov 2004 untuk tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan memiliki jarum suntikan bagi menagih dadah.

Nama Papagomo kembali mendapat tempat dalam pentas politik negara apabila disaman RM100 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran dakwaan menyebarkan gambar dan kenyataan fitnah terhadap Ketua Pembangkang itu di internet.

Tahan treler jelajah PAS 'arahan' pihak tertentu?

Muhammad Faizal, 28 Mac 2013
GOPENG: Akibat ditahan pihak berkuasa, program jelajah treler berkebajikan PAS yang dijadual berlangsung di Gopeng tertangguh lebih sejam malah terpaksa diubah dari Seksyen 18 ke tapak pasar malam Kampung Pengkalan Pegoh.

Timbalan Yang Dipertua PAS Gopeng, Radzi Zainon berkata, pihaknya kesal dengan penahanan dan pemeriksaan treler itu yang diyakini dibuat 'atas arahan' pihak tertentu bagi mengganggu program yang dianjur hari ini.

"Kita lihat bila Barisan Nasional (BN) buat program, bukan sahaja tiada halangan malah anggota keselamatan turut memberi kerjasama.

"Tetapi apabila Pakatan Rakyat, bermacam-macam halangan diwujudkan dengan tujuan untuk menakut-nakutkan rakyat agar tidak hadir ke tempat program tersebut," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang kecewa dengan tindakan penahanan treler itu berkata, semua pihak sewajarnya bertindak profesional dalam dalam menangani perbezaan politik kerana Malaysia adalah sebuah negara yang demokrasi.

"Tindakan polis yang mengikut arahan pihak tertentu menyebabkan program kita terjejas lebih dari sejam.

"Bukan itu sahaja kita terpaksa mengubah lokasi ke tempat yang lain, dan kita khuatir jika meneruskan program di lokasi yang asal sudah pasti pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui di program jelajah di Pengkalan Pegoh.

Tengah hari tadi, lebih 30 anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Cawangan Khas mengepung treler Negara Berkebajikan PAS di Gopeng saja keluar dari lebuhraya.

Konvoi jelajah Negara Berkebajikan PAS ditahan oleh pihak polis ketika dalam perjalanan ke tapak program di Pengkalan Pegoh.

Pihak polis menahan konvoi jelajah di Taman Pinji Perdana setelah mengejar konvoi tersebut yang melalui sekatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Ketika ditanya tentang penahanan tersebut sehingga pihak polis terpaksa mengejar treler jelajah itu, mereka hanya memberi jawapan 'menjalankan tugas mengikut arahan dikeluarkan'.

Lebih kurang lima buah kereta peronda, empat buah motosikal berkuasa tinggi berada di tempat di mana konvoi tersebut ditahan.

Walaupun treler tersebut ditahan oleh pihak polis, namun pemeriksaan dilakukan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Konvoi jelajah yang ditahan hampir sejam itu dilepaskan setelah pihak JPJ membuat pemeriksaan dan mengambil segala maklumat dari rombongan konvoi.

Peguam PAS, Haji Asmuni Awi antara yang berunding dengan mereka bagi membolehkan perjalanan ke destinasi diteruskan.

Semalam, treler tersebut turut dihalang memasuki kawasan ceramah di Bandar Kamunting.

Difahamkan pihak polis membuat tiga sekatan jalan raya di laluan masuk ke tempat program tersebut mulai jam 6 petang lagi.

Shuhaimi Baba bentang maklumat palsu tentang Kelantan

M Faqih, 28 Mac 2013

KOTA BHARU: Presiden Pengeluar Filem Malaysia, Datuk Shuhaimi Baba diminta merujuk kepada data sebenar sebelum menghebahkan sesuatu statistik tanpa ada asas tentang Kelantan.

Pengerusi Gabungan NGO Kelantan, Dr Abdul Halim Yusof (gambar) berkata, amat malang sekali seorang penerbit filem tersohor melemparkan tuduhan tanpa ada asas terhadap negeri ini.

“Ada setengah pihak mempunyai sikap amat prejudis kepada rakyat, kerajaan dan negeri Kelantan sehingga setiap yang buruk, mundur dan hina itu ada di Kelantan.

“Akibat sikap itu telah mendorong untuk menabur maklumat yang kononnya berasas fakta dengan harapan memberi keyakinan palsu kepada orang ramai,” katanya di sini.

Ketika menyertai forum Sinar Harian di Shah Alam Selasa lalu, Shuhaimi mendakwa Kelantan memiliki statistik tertinggi di Malaysia berkaitan perceraian, pelacuran dan penagihan dadah.

Malah beliau yang juga pengarah filem dikatakan mempertikai amalan Islam di negeri ini.

Dr Abdul Halim berkata, malangnya fakta dibentang Shuhaimi bertentangan dengan statistik yang ada di JAKIM dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Menurutnya setakat ini belum ada badan yang mengeluarkan statistik jumlah pelacuran kerana profesion itu dilarang di Kelantan.

“Sedangkan kesan polisi Membangun Bersama Islam telah berjaya menjadikan negeri ini lebih tinggi nilai moral dan indeks keamanan.

“Timbul persoalan bagaimana dan di mana beliau membuat kajian ini. Apabila mengatakan filem arahannya ‘Tanda Putera’ hasil kajian dan penyelidikan maka sudah tentu orang ramai mempertikai tahap kajiannya.

“Sekiranya fakta yang beliau gunakan untuk membuat penyataan tentang Kelantan itu menjadi kayu ukur, keupayaannya menghasil filem tersebut juga boleh dipertikai,” ujarnya.

Oleh itu Dr Abdul Halim berharap semua pihak supaya lebih bertanggungjawab di atas kenyataan mereka dan hendaklah berpandu kepada neraca yang berimbangan dan bukannya hawa nafsu.

Menurutnya kenyataan yang menyimpang hanya menjadikan mereka menipu diri sendiri dan menjadi alat kepada permainan politik kotor.

Pasca Bubar: Kerajaan Sementara atau Haram?

Nasrudin Hassan, 28 Mac 2013
1. Sebagai contoh kes, Kerajaan N.9 telah terbubar dengan sendiri pada 28 Mac 2013. Ertinya N.9 tidak lagi memiliki kerajaan yang sah buat masa ini kerana mandat rakyat wajib diperbaharui. Samaada mandat itu berpihak kepada BN atau PR, itu perkara kedua. Tetapi mandat rakyat mesti diperbaharui bagi mengekalkan daulat. Kerajaan N.9 telah bubar serta tidak boleh lagi berfungsi dan berperanan sebagai sebuah kerajaan yang sah dan apa yang boleh ada sekarang hanyalah Caretaker Government atau kerajaan Sementara.

2. Caretaker Government atau kerajaan sementara atau lebih tepat disebut sebagai "Kerajaan Pemegang Amanah" ini mesti diisytihar atau dilantik siapakah pemimpin yang akan mengetuai kerajaan sementara ini dan kuasanya sangat limited. Sekadar mengetuai, sementara dibentuk kerajaan baru yang sah menerusi mandat rakyat yang dipungut melalui undi awam iaitu pilihanraya umum yang sah dan adil pula.

3. Ketua dan Kerajaan Sementara mestilah memenuhi beberapa  kriteria, antaranya seperti berikut :

a] tidak-berpihak (neutral),
b] bebas-politik (apolitical)
c] berwibawa (competent).

4. Kerajaan jenis ini tidak boleh melakukan beberapa perkara utama, antaranya :

a] mengisytihar budget baru,
b] projek kerajaan,
c] menggubal dasar,
d] menggunakan jawatan kerajaan dalam kempen pilihanraya,
e] menggunakan jentera dan kakitangan awam dalam kempen dan sebagainya.

5. Tanpa pengisytiharan atau lantikan kerajaan sementara maka ia adalah kerajaan yang tidak sah ataupun kerajaan haram. Sangat bercanggah dengan etika demokrasi dan norma perlembagaan negara kita. Dalam catatan sejarah pada pilihanraya 1959, Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri telah meletak jawatan sebagai PM dan turun berkempen sebagai ketua parti jua tanpa menggunakan jentera kerajaan.

6. Bakal terbubar dengan sendiri juga ialah beberapa kerajaan negeri selepas ini termasuklah kerajaan persekutuan jika sekira sekiranya Perdana Menteri  masih gagal dan hilang keyakinan diri untuk mengisytihar tarikh pembubaran kabinet. Selain daripada kewibawaan kerajaan tercalar ekoran kegagalan mengisytiharkan pembubaran kabinet dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan sementara juga mestilah dibentuk segera. Jika tidak ia akan menjadi sebuah kerajaan haram dan perkara ini sangat meruntuhkan moral dan kewibawaan bahkan boleh mencetus suasana kerajaan dan pentadbiran negara yang tidak stabil.

Apakah Malaysia bakal menjadi sebuah Kerajaan Haram?



*Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

DAP desak Najib mohon maaf kerana berbohong

Harakahdaily, 28 Mac 2013
KUALA LUMPUR: DAP Perak mendakwa Datuk Seri Najib Razak berbohong berhubung isu pemberian tanah oleh Kelantan yang dibangkitkan Perdana Menteri itu ketika memfatwakan "7 dosa besar PAS" di Kelantan baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Ngeh Koo Ham yang dipetik Sinar Harian Online berkata, Najib harus memohon maaf berhubung pembohongan tersebut kerana dakwaan kerajaan Kelantan memberikan tanah kepada pemimpin DAP Perak tidak benar sama-sekali.

"Kita cabar Najib buktikan perkara berkenaan. Jika ia didapati tidak benar, maka segeralah buat permohonan maaf. Jika tidak kita (DAP Perak) akan terus berkempen mengatakan beliau seorang pembohong dan tidak layak menjawat jawatan perdana menteri," katanya.

Najib ketika majlis yang berlangsung di Tanah Merah pada 15 Mac lalu emndakwa antara tujuh dosa besar PAS Kelantan adalah memberikan tanah dan hak membalak kepada pemimpin DAP Perak bagi membolehkan Menteri Besar Perak dilantik dalam kalangan pemimpin PAS Perak pada 2008.

"PR turut dituduh mencemari Sungai Relai di Gua Musang dengan aktiviti pembalakan berkenaan yang sekali gus menyukarkan kehidupan harian masyarakat di situ.

"Kita juga tak pernah terlibat dengan isu balak, termasuk mengambilnya serta tidak terlibat dengan sebarang usaha mencemari Sungai Relai," tegas beliau.

Kenapa tiada garis panduan kerajaan sementara?

Hazayani Zakaria, 28 Mac 2013
KUALA LUMPUR: PAS Negeri Sembilan mempersoal ketiadaan garis panduan kerajaan sementara walaupun Pakatan Rakyat pernah mengesyorkan perkara tersebut dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tahun lalu.

Pesuruhjayanya, Mohd Taufek Abdul Ghani (gambar) berkata, garis panduan kerajaan sementara masih belum ada walaupun Dewan Undangan Negeri (Dun) negeri itu terbubar secara automatik hari ini.

"PAS dan Pakatan Rakyat persoalkan mengenai cadangan garis panduan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kepada Dun yang belum dikeluarkan sedangkan Pakatan sudah minta perkara ini diwujudkan dalam jawatankuasa penambahbaikan pilihan raya April tahun lalu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat bimbang kerajaan menyalahgunakan kuasa mereka dalam tempoh negeri ditadbir Kerajaan Sementara .

"Setelah pembubaran Dun, kita mahu Kerajaan Sementara berfungsi sepenuhnya tanpa ada sebarang penyalahguanaan kuasa, sebab itu kita perlukan garis panduan apa yang boleh dan yang tak boleh dilakukan," tegasnya.

Mandat semasa kerajaan Negeri Sembilan berakhir tengah malam tadi, membolehkan pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari.

Beliau dalam pada itu kesal terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang masih enggan membubarkan Parlimen sebaliknya membiarkan Dun terbubar secara automatik.

"Sepanjang 12 kali pilihan raya, ini pertama kali berlaku Dun terbubar sendiri.

"Perkara ini tak wajar berlaku dan sangat memalukan apabila perdana menteri membiarkan sesebuah negeri dalam keadaan tak menentu. Jadi kita minta Parlimen segera dibubarkan bagi mengakhirkan tempoh ketidaktentuan ini," katanya.

PAS terus berkhidmat

Sementara itu, Taufek berkata, PAS negeri itu akan terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat melalui pusat aduan di setiap kawasan.

"PAS ada pusat aduan di setiap kawasan jadi kita akan berkhidmat seperti biasa dan PAS telah mula berkempen untuk PRU," katanya.

Dalam PRU12, Taufek menang di Dun Paroi yang mendapat 9,423 undi menewaskan calon BN, Zaharudin Mohd Shariff dengan majoriti 1,107 undi.

Tambah beliau, PAS sudah bersedia dari tahun lepas untuk menghadapi PRU dan yakin Pakatan Rakyat negeri itu mampu menumbangkan Umno BN.

"Pakatan Rakayt Negeri Sembilan memang sudah bersedia setahun yang lalu dan kita lihat persiapan Pakatan kali ini lebih baik untuk menghadapi Umno BN," katanya.

Tiada ulasan: