Sabtu, 16 Mac 2013

JIKA KITA KAHWIN ORANG SOLEHA SERTA BEGITU JUGA KUAT PEGANGAN AGAMANYA...BANYAK PERKARA KITA MUDAH SERTA DAPAT DIBERESKAN

Memelihara aurat - lambang peribadi muslimah

Abu Anas Madani, 15 Mac 2013
Antara syiar terpenting yang dapat membezakan seorang wanita Islam dengan wanita bukan Islam ialah dari segi disiplin pakaian yang menepati kehendak dan piawaian syariat. Disiplin berpakaian ini lebih kerap disebut sebagai kewajipan menutup aurat kerana secara asasnya Islam tidak menetapkan jenis pakaian yang perlu dipakai, tetapi menetapkan bahagian mana yang wajib ditutup bersama beberapa kriteria asas. Hal ini bersesuaian dengan ciri-ciri syariat Islam itu sendiri yang bersifat thabat dan murunah, tetap dalam menjaga prinsip-prinsip asas dan anjal jika melibatkan permasalahan cabang dan kaedah pendekatan. Ia tegas dari segi prinsip wajib memakai tudung kepala dan menutup aurat mengikut batas yang telah ditentukan. Namun dari segi jenis pakaiannya masih fleksibel dan boleh disesuaikan selama mana ia memenuhi garis panduan atau ciri-ciri menutup aurat.

Justeru, kita melihat agama Islam boleh tersebar ke segenap pelosok dunia dan para wanita Islam daripada pelbagai bangsa dapat menyesuaikan pakaian mereka yang sedia ada dengan identiti seorang wanita Islam yang bertudung dan menutup aurat.

Sebagaimana yang sedia maklum, perintah agar menutup aurat dan menyembunyikan perhiasan tubuh badan wanita daripada pandangan lelaki yang bukan mahram merupakan satu perintah Allah yang disebutkan secara jelas dalam al-Quran al-Karim, yang bermaksud:

“.. Dan janganlah mereka (golongan mukminah) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang-orang gaji lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka...” (Surah al-Nur : Ayat 31)

Perbahasan tentang perhiasan yang disebutkan di dalam ayat ini begitu panjang dibincangkan oleh para ulama. Dr Yusof al-Qardhawi menyebut bahawa para muslimah dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan seperti perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan kepala (rambut dan sanggul), perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh diperlihatkan kepada lelaki melainkan suami dan mahram sahaja. Golongan muslimah hanya boleh membuka muka dan kedua telapak tangan yang memang diberikan kelonggaran oleh syarak untuk didedahkan.

Pemahaman ini telah diperkuatkan lagi oleh hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa kakaknya Asma’ binti Abu Bakar RA pernah masuk ke rumah Nabi SAW dengan berpakaian jarang sehingga nampak kulitnya, lalu Rasulullah SAW memalingkan wajahnya lalu menyebut, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah didatangi haid (mencapai usia baligh), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu melainkan ini dan ini” – sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangannya. (H.R. Abu Daud)

Justeru itu, para ulama telah menetapkan beberapa garis panduan untuk memastikan bahawa ciri-ciri pakaian muslimah itu bukan sahaja menutup kulit di bahagian badan yang menjadi auratnya, tetapi juga menepati konsep menutup aurat bagi mencapai objektif yang dikehendaki oleh syariat.

Tujuh Garis Panduan Pakaian Muslimah di Hadapan Bukan Mahram

Pertama: Pakaian yang menutupi keseluruhan tubuh badan melainkan muka dan tapak tangan. Ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil yang telah disebutkan.

Kedua: Pakaian tersebut bukanlah perhiasan yang melampau, atau bertabarruj sehingga menarik perhatian. Bertabarruj boleh difahami secara umum sebagai memperlihatkan kecantikan wanita sama ada di bahagian muka atau lain-lain perhiasan pada pakaian dan bahagian tubuh badan. Ini termasuk solekan yang tebal selain bedak, celak dan inai yang biasa dipakai oleh wanita.

Ketiga: Pakaian tersebut tidak terlalu nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau membayangkan anggota tubuh.

Keempat: Pakaian tersebut hendaklah longgar, tidak ketat sehingga menggambarkan bentuk tubuh dan tidak menampakkan tempat-tempat fitnah yang mengundang syahwat. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Ada dua golongan daripada ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya, (salah satunya ialah) perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar bonggol unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (H.R Muslim)

Kelima: Tidak memakai wangian yang harumnya boleh dihidu oleh lelaki ajnabi. Nabi SAW telah mengingatkan kaum wanita dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Mana-mana wanita yang berwangi-wangian dan kemudiannya lalu di khalayak lelaki yang menghidu harumannya, maka ia adalah seperti wanita penzina, dan setiap mata (lelaki) yang tertarik lalu memandangnya adalah mata yang berzina.” (H.R Abu Daud, At-Tirmizi: Hasan Sahih)


Keenam- Tidak menyerupai pakaian lelaki. Allah SWT melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan juga wanita yang menyerupai lelaki. Rasulullah SAW telah bersabda:

“Bukan dari golongan kami siapa saja wanita yang menyerupai lelaki dan siapa saja lelaki yang menyerupai wanita.” (Musnad Ahmad, no: 6875).


Ketujuh: Tidak dipakai untuk tujuan kemasyhuran, glamor atau menunjuk-nunjuk. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memakai pakaian demi kemasyhuran, maka Allah akan memakaikannya pada hari Qiamat yang sepertinya, kemudian membakarnya dengan api neraka.” (H.R Abu Daud: 4029)

Pakaian kemasyhuran tidak hanya tertumpu kepada pakaian yang cantik bergemerlapan sahaja, tetapi juga pakaian yang sengaja diburuk-burukkan dengan tujuan supaya orang ramai mengatakannya seorang yang zuhud.

Tujuan Wanita Diperintah Memelihara Aurat


Sudah tentu tujuan utama menunaikan perintah menutup aurat adalah sebagai satu manifestasi pengabdian kita kepada Allah yang mesti ditaati perintah-Nya. Seandainya di tempat-tempat kerja mempunyai etika pakaian yang tersendiri yang mesti dipatuhi oleh pekerja, maka di dunia ini yang merupakan tempat kita beramal juga mempunyai etika pemakaiannya yang tersendiri. Sekiranya perbuatan melanggar etika berpakaian di tempat kerja atau tempat belajar dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tata tertib, maka begitulah juga perbuatan melanggar etika berpakaian sebagai seorang muslim atau muslimah di dunia ini adalah berdosa dan akan dikenakan tindakan dan hukuman di akhirat nanti.

Allah SWT menyebut di dalam al-Quran, yang bermaksud:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab : ayat 36)


Namun, kerapkali kedengaran suara wanita Islam yang tidak berpuas hati dengan kewajipan menutup aurat yang kelihatan jauh lebih berat berbanding lelaki. Harus difahami bahawa keadilan Islam dalam meletakkan batasan aurat yang berbeza antara lelaki dan perempuan sudah tentu ada hikmah tersendiri yang diatur oleh Allah, Pencipta Yang Maha Bijaksana. Ada kalangan masyarakat Islam yang turut menganggap batasan ini sebagai satu pantang larang yang menyekat kebebasan wanita. Mereka terpengaruh dengan agenda musuh Islam yang sentiasa menganjurkan wanita mendedahkan aurat kononnya untuk memberi kebebasan kepada wanita, namun sebenarnya ia adalah untuk memberi kebebasan kepada mereka untuk mudah mendekati lantas merosakkan wanita.

Sesungguhnya bagi kaum muslimah, tujuan penutupan aurat yang agak ketat adalah untuk menjaga kehormatan diri wanita yang tinggi nilainya di sisi Islam. Bagaimana mungkin sesuatu yang berharga dan tinggi nilainya dibiarkan terdedah sehingga boleh dilihat dan dicapai oleh golongan yang tidak berhak?

Wanita juga diwajibkan memenuhi kriteria menutup aurat untuk menjaga ketenteraman awam agar tidak terganggu secara emosi dengan aurat yang terdedah sehingga menjadi punca berlakunya kerosakan dan maksiat. Bahagian tubuh yang didedahkan dan menggoda kerap kali mengganggu ketenteraman jiwa lelaki dan mungkin juga wanita yang melihat sehingga turut mengganggu kerukunan rumahtangga dan masyarakat.

Justeru, dengan menutup aurat secara sempurna akan menyelamatkan wanita, lelaki dan seluruh masyarakat daripada begitu banyak kerosakan yang mungkin berlaku. Di dalam al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan wanita-wanita mukmin, hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu lebih baik, supaya mereka lebih mudah untuk dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu.” (Surah al-Ahzab : ayat 59)


Seorang muslimah yang solehah akan berusaha untuk menutup aurat dengan sempurna, melabuhkan tudungnya agar mereka tidak diganggu kerana dikenali sebagai perempuan yang baik. Lebih penting daripada itu ialah seorang muslimah juga hendaklah sentiasa menjaga maruah diri, memelihara sifat malu, tidak sewenang-wenangnya menonjolkan diri untuk tatapan ramai, menjaga pergaulan, tutur bicara dan pandangan mata daripada apa yang diharamkan oleh Allah. Sudah tentu tanpa keperibadian muslimah dan akhlak yang baik secara menyeluruh, pakaian yang dilihat menutup aurat sahaja belum mampu menjamin tercapainya tujuan di sebalik penutupan aurat kaum muslimah.

Adakah Berbeza Aurat Wanita di Dalam dan di Luar Solat?

Menjadi fenomena yang biasa berlaku dalam kalangan wanita Islam ialah walaupun ada kalangan mereka yang tidak sempurna penutupan auratnya dalam kehidupan seharian, namun mereka masih lagi menitik beratkan kewajipan menutup aurat dalam mengerjakan solat. Masing-masing faham betapa besarnya implikasi jika mengerjakan solat tanpa menutup aurat dengan sempurna kerana menutup aurat itu termasuk di dalam syarat sah solat. Lantaran itulah kebanyakan masyarakat Islam, lebih-lebih lagi masyarakat Melayu menyediakan telekung solat yang khusus bagi wanita bukan hanya untuk memastikan kebersihan pakaiannya ketika mengerjakan solat, tetapi juga untuk memastikan auratnya terjaga dengan lebih sempurna dan sah solatnya.

Timbul persoalan, adakah aurat wanita ketika berada di luar solat dan ketika mengerjakan solat mempunyai sempadan dan hukum yang berbeza? Secara ringkas, ketika berada di luar solat, aurat wanita yang wajib ditutup daripada pandangan sesama wanita dan sesama mahram terdekatnya adalah di antara pusat dengan lutut. Seandainya menimbulkan fitnah, maka wajib ditutup apa yang dikhuatiri menimbulkan fitnah tersebut walaupun di antara sesama mahram.

Manakala aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi pula mengikut pandangan yang muktamad ialah seluruh tubuh badannya melainkan muka dan dua tapak tangan sebagaimana yang telah dibincangkan di atas.

Dalam hal mengerjakan solat pula, sempadan aurat wanita yang wajib ditutup sebagai syarat sah solat ialah yang sama seperti sempadan aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi. Imam al-Syafi’e di dalam kitab al-Umm (Jilid 1, hlm. 109) menyebut bahawa seorang perempuan wajib menutup seluruh badannya di dalam solat melainkan muka dan kedua tapak tangannya.

Pakaian Wanita Ketika Mengerjakan Solat
Imam al-Tirmizi (No. hadith 277) meriwayatkan daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Tidak diterima solat perempuan yang telah baligh melainkan dengan  memakai kain yang menutup kepalanya.”

Di dalam sebuah hadis yang lain pula, Ummul Mu’minin Ummu Salamah RA telah meriwayatkan bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW:

“Adakah seseorang perempuan itu boleh bersolat dalam keadaan memakai baju dan tudung kepala sahaja, tetapi tidak memakai kain sarung? Rasulullah s.a.w menjawab: Boleh, jika bajunya itu labuh sehingga menutup zahir (bahagian atas) kedua kakinya.” (H.R Abu Daud, no. 640 dan al-Baihaqi, jilid 2, no. 232)


Terdapat tiga istilah yang telah disebutkan di dalam hadis di atas berkenaan dengan pakaian wanita di dalam solat iaitu dir’ (baju yang menutupi bahagian tengah tubuh), khimar (tudung yang menutupi kepala) dan juga izar (kain sarung yang menutupi bahagian bawah badan).

Berdasarkan hadis berkenaan dengan khimar di atas, maka tidak ada khilaf dalam kalangan fuqaha bahawa hukum menutup kepala iaitu seluruh rambut, telinga dan juga leher adalah wajib bagi wanita yang telah baligh di dalam solatnya.

Adapun pakaian yang boleh digunakan untuk mengerjakan solat pula ialah apa jua pakaian yang menutup keseluruhan tubuh badan wanita sehingga ke kakinya, kecuali bahagian muka dan dua tapak tangan sama ada dengan sehelai pakaian atau lebih. Hal ini jelas disebut oleh Ibn al-Munzir berdasarkan kepada hadis Ummu Salamah yang telah disebutkan tadi, di mana baju labuh yang sudah menutupi zahir kedua kaki boleh dipakai untuk bersolat, dan tidak perlu lagi memakai kain sarung yang khusus. (Al-Mufassal fi Ahkam a-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jilid 1, hlm 193)

Imam Ahmad pula berkata, “Disepakati oleh para ulama bahawa yang wajib dipakai ialah baju yang labuh (dir’ atau jubah) dan tudung kepala (khimar). Namun jika ditambah (kainnya) adalah lebih afdhal jika ia lebih menutupi aurat. Adalah dikira memadai dengan dua helai pakaian itu kerana ia sudah menutup apa yang wajib ke atasnya untuk ditutup.” (Al-Mughni, jilid 2, hlm. 330-331)

Adapun pakaian solat wanita yang lebih digalakkan menurut para ulama ialah sebanyak tiga helai pakaian iaitu dir’ (baju yang longgar menutupi badan hingga ke kaki), khimar (yang menutup kepala dan leher) dan jilbab iaitu telekung yang besar diletakkan di atas khimar yang melitupi sebahagian besar tubuh supaya tidak menampakkan bentuk tubuh wanita. (Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jilid 1, hlm. 193)

Beberapa Isu Berkenaan Pakaian Solat Wanita

Pertama: Jika dilihat sekilas pandang, maka asas sempadan aurat wanita di dalam solat adalah sama dengan sempadan auratnya di luar solat apabila terdedah kepada pandangan lelaki ajnabi. Namun bagi para ulama yang berpandangan bahawa terdapat perbezaan bagi sempadan aurat di dalam dan di luar solat, maka kebanyakan mereka menjadikan aurat di luar solat iaitu di hadapan lelaki ajnabi itu lebih ketat daripada aurat wanita ketika mengerjakan solat di tempat yang tidak dapat dilihat oleh lelaki ajnabi. Ini adalah kerana bagi kebanyakan ulama, fitnah di dalam solat adalah lebih ringan berbanding fitnah di luar solat. Justeru itu, tiada khilaf tentang perlunya membuka muka untuk mengerjakan solat, tetapi terdapat khilaf tentang wajibnya menutup muka di hadapan lelaki ajnabi di luar solat.

Begitu juga masih sah solat wanita yang bersolat dengan pakaian yang ketat apabila telah menutup bahagian auratnya kerana tidak ada dalil yang mengatakan sebaliknya. Namun begitu ada di kalangan ulama yang meletakkan hukumnya sebagai makruh. Akan tetapi sekiranya pakaian yang ketat itu dipakai di hadapan lelaki ajnabi, maka hukumnya adalah haram dan berdosa.

Dukacitanya, hukum yang telah dirumuskan oleh para fuqaha berpandukan al-Quran dan al-Sunnah di atas tidak difahami dan tidak dipatuhi oleh sebilangan wanita Islam dewasa ini. Amalan masyarakat yang mengetatkan penutupan aurat di dalam solat kerana khuatir ibadah mereka tidak sah, tetapi pada masa yang sama tidak begitu menitik beratkan penjagaan aurat di luar solat dalam kehidupan seharian adalah jelas bertentangan dengan hukum berkenaan. Hal ini berlaku mungkin kerana masih terpisahnya aspek ibadah daripada soal kehidupan bagi kebanyakan anggota masyarakat kita. Padahal sebagaimana menutup aurat di dalam solat itu adalah perintah Allah SWT, maka menutup aurat di luar solat juga adalah perintah Allah SWT yang wajib dipatuhi dengan sebaiknya.

Kedua: Yang dimaksudkan dengan dua tapak tangan yang dibenarkan untuk dibuka ialah bermula dari hujung jari jemari sehingga ke tulang yang timbul di pergelangan tangan (al-ku’), termasuk belakang dua tapak tangannya, zahir dan batinnya (Nihayatul Muhtaj, jilid 2, hlm. 6). Manakala pandangan yang mengatakan bahawa hanya bahagian tapak tangan sahaja yang harus dibuka, sedangkan belakang tapak tangan itu perlu ditutup dengan telekung solat yang labuh atau lengan baju yang panjang adalah tidak mempunyai dalil atau hujah yang kuat. Jumhur fuqaha menegaskan bahawa seluruh tapak tangan wanita (zahir dan batinnya) adalah bukan aurat di dalam bersolat (Ahkam al-‘Aurah wa al-Nazor, hlm. 234).

Ketiga: Berkenaan dengan kaki wanita pula, maka menurut pandangan yang muktamad daripada mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, ia merupakan aurat wanita yang wajib ditutup di dalam solat dan di luarnya ketika berhadapan dengan lelaki ajnabi. Namun demikian masih lagi terdapat khilaf di dalam mazhab-mazhab itu sendiri tentang keharusan membuka kaki di dalam solat. Menurut mazhab Hanafi pula, kaki wanita bukanlah aurat dan tidak perlu ditutup sama ada ketika solat mahupun di luarnya. Namun terdapat satu riwayat yang lain di dalam mazhab tersebut yang menetapkan bahawa kaki wanita juga adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi, tetapi bukan aurat yang perlu ditutup di dalam solat. (Ahkam al-‘Aurah wa al-Nazor, hlm. 233)

Pandangan jumhur fuqaha dibuat berdasarkan kepada hadis Ummu Salamah yang telah disebutkan di awal tadi. Hadis tersebut memberi maksud bahawa baju labuh yang wajib dipakai oleh wanita untuk mengerjakan solat ialah yang menutup kakinya. Ini adalah kerana apabila pakaian solat wanita sudahpun menutup zahir kedua kakinya ketika berdiri dan rukuk, ia pasti akan menutup tapak kakinya ketika duduk dan sujud disebabkan berhimpunnya anggota-anggota tubuh yang lain ketika duduk dan sujud.

Keempat: Berkenaan dagu wanita yang seringkali ditutup dengan telekung solat di negara kita, adakah ianya termasuk bahagian yang wajib ditutup ataupun ia adalah sebagai satu cara untuk lebih berhati-hati (ihtiyath)?

Perbincangan mengenai sempadan muka boleh didapati di dalam bab bersuci iaitu dalam membincangkan tentang had muka yang wajib dibasuh sewaktu berwudhu. Secara ringkas, sempadan muka dari segi memanjang bermula dari tempat tumbuh rambut (bahagian atas) hingga ke bahagian paling bawah dagu, dan dari segi lebarnya bermula dari telinga hingga ke telinga. (Fiqh Minhaji, jilid 1, hlm. 60). Namun Dr Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya Fiqh al-Thaharah (hlm. 141) menyebut pandangan beliau bahawa adalah tidak perlu untuk mengehadkan sempadan muka dengan begitu detil kerana ia adalah sebagaimana yang telah diketahui umum merupakan wajah yang dapat dilihat dari arah hadapan.

Justeru, dagu yang wajib dibasuh tanpa khilaf ketika berwudhu masih termasuk dalam sempadan muka yang harus dibuka semasa wanita mengerjakan solat. Bagaimanapun pandangan yang menganjurkan agar bahagian bawah dagu itu sebaiknya ditutup bersama khimar adalah pandangan yang berdasarkan ihtiyath (lebih berhati-hati).

Kesimpulan

Islam tidak menentukan pakaian yang khusus untuk dipakai oleh wanita ketika bersolat. Yang ditentukan oleh syarak ialah apa yang perlu ditutup, dan bukannya apa yang perlu dipakai. Justeru itu, para muslimah tidak perlu terikat dengan pemakaian telekung solat sahaja untuk mengerjakan solat kerana solat wanita boleh dikerjakan dengan apa jua bentuk pakaian, asal sahaja menutupi bahagian auratnya serta tidak terlalu nipis sehingga menampakkan warna kulit. (Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jilid 1, hlm. 580).

Mungkin apabila berada di rumah, memakai telekung solat yang khusus itu adalah lebih mudah kerana biasanya wanita memakai pakaian yang ringkas dan tidak memakai tudung kepala ketika berada di dalam rumah sesama mahramnya. Namun apabila keluar dari rumah, seorang muslimah sepatutnya telah memastikan bahawa auratnya ditutup dengan sempurna agar tidak dilihat oleh lelaki ajnabi. Justeru itu, solat wanita yang bertudung kepala bersama jubah, baju kurung atau baju labuh dengan seluar panjang yang longgar adalah sah di sisi syarak, setelah dapat dipastikan bahawa lengannya tidak tersingkap dan kakinya juga tertutup dengan sempurna sama ada dengan memakai stokin ataupun kain yang dilabuhkan.

Sekiranya disiplin menutup aurat ini dijaga oleh para muslimah setiap kali keluar dari rumah sebagai memenuhi tuntutan yang diwajibkan oleh Allah SWT, sudah tentu keadaan ini akan menyelesaikan masalah sebahagian wanita yang menjadikan ketiadaan telekung solat sebagai alasan untuk melewat-lewatkan solat ataupun terus meninggalkan solat apabila keluar dari rumah.

Semoga Allah memudahkan kita semua untuk melaksanakan perintah-Nya sebagaimana yang Dia redhai, dan semoga kita semua para muslimah akan terus diberikan pahala oleh Allah swt setiap saat kita berpakaian menutup aurat dan memelihara kehormatan diri sebagaimana yang ditetapkan oleh syariat.

http://www.abuanasmadani.com

Mahathir hina masyarakat kampung air

Salmiyah Harun, 15 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Gesaan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad agar kerajaan mengharamkan kampung air di Sabah disifatkan satu penghinaan kepada penduduknya yang berpuluh-puluh tahun menetap di sana.

Kampung air adalah salah satu penempatan penduduk yang kebanyakan mereka adalah nelayan malahan kampung tersebut merupakan kampung tradisi yang wujud lebih 50 tahun yang lalu.

Pesuruhjaya PAS Sabah Aminuddin Aling berkata, di Sabah cukup terkenal dengan kampung air yang ada di mana-mana sahaja misalnya di Kota Kinabalu, Tuaran, Sandakan, Lahad Datu dan beberapa tempat lagi.

"Saya bertanya kembali kepada Tun Mahathir, adakah kampung air hari ini baru wujud? Kenapa dipersendakan dan dihina mereka (penduduk kampung air), ini adalah kampung tradisi," soalnya kepada Harakahdaily.

Menurut Tun Mahathir, rangkaian rumah yang dibina atas batang kayu di pantai Sabah tidak sepatutnya dibenarkan kerana ia boleh digunakan untuk penceroboh asing.

Katanya, rangkaian kampung air menyukarkan pihak keselamatan membuat pemeriksaan kerana laluan yang sempit membuatkan mereka terdedah kepada serangan hendap.

"Saya fikir selepas ini, kita tidak boleh membenarkan kampung-kampung air. Mereka juga menyebabkan pencemaran," kata Mahathir.

Mengulas lanjut perkara itu, Aminuddin berkata, sekiranya kerajaan menyedari susunan kampung air yang tidak kemas mengapa kerajaan tidak berusaha untuk memperkemaskan dan meningkatkan prasarana memandangkan kampung air juga dikenali sebagai pusat pelancongan.

"Suatu masa dahulu, ada satu kampung air di Mengkabong Tuaran telah diangkat sebagai Perkampungan Air dan Pelancongan. Ini satu pengiktirafan yang baik, sekarang kampung air itu sudah tidak ada kerana tidak selamat daripada tsunami," katanya.

Malangnya kata beliau penduduk yang tinggal di situ dipindahkan ke perkampungan lain kerana kampung air mereka ditimbus untuk dikomersialkan.

Ekoran itu, katanya, perkampungan baru tersebut menyusahkan penduduk kerana sekolah yang sebelum ini hanya dengan berjalan kaki, akhirnya ibu bapa terpaksa menyantuni anak menggunakan kenderaan.

"Kos mereka meningkat, bukan itu sahaja, sewa rumah pun kena bayar. Sedangkan di kampung air tidak ada peningkatan kos sebab sekolah sangat dekat," katanya.

Katanya, keadaan yang sama berlaku di Karamunsing di mana dahulunya adalah kampung air pada era 70-an kerana bandarnya di air, namun kampung tradisi itu hari sudah lenyap.

Justeru katanya, Mahathir tidak wajar bercakap seperti itu kerana insiden di Lahad Datu tempoh hari.

"Bukan kampung air yang kena tempias, sepatutnya keselamatan perairan di Sabah yang dipertingkatkan dan diperkasakan. Puncanya di sini. Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu pula hendak dibakar," katanya.

Najib, Idris perbesar GNI, berbeza Bank Negara

Harakahdaily, 15 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Angka-angka ekonomi sengaja diperbesar-besarkan untuk menunjukkan kejayaan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Pengarah Strategik DAP, Ong Kian Ming memetik ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini yang menyatakan bahawa Malaysia telah mencapai keputusan yang sangat cemerlang dalam pendapatan negara kasar (GNI) perkapita, sebanyak 49 peratus atau US$6,670 kepada US$9,970 antara 2009 dan 2011.

Tapi kata Ong, angka Najib itu lebih besar daripada apa yang disebut Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala pada Disember 2012 di mana beliau berkata GNI perkapita hanya berkembang sebanyak 45 peratus dari US$6,700 kepada US$9,700 untuk tempoh yang sama.

Lebih teruk lagi, kedua-dua data yang diberikan oleh Najib dan Idris berbeza dengan data yang diberikan Bank Negara Malaysia (BNM).

“(Berdasarkan angka BNM), GNI perkapita meningkat sebanyak RM5,244 dari 2009 ke 2011, peningkatan sebanyak 22 peratus sahaja, separuh daripada 45 peratus yang disebut Idris dan jauh daripada 49 peratus yang disebut Najib di temuramahnya beberapa hari lalu,” katanya.

Walaupun dengan mengambil peningkatan nilai ringgit sebanyak 10 peratus terhadap nilai matawang US dari 2009 ke 2011, Ong berkata petumbuhan GNI hanyalah 34% berdasarkan penurunan mata wang Amerika.

“Apa yang kita ada ialah Ketua Eksekutif Pemandu, Idris Jala salah baca angka GNI dalam matawang Amerika pada 2009 dan 2011 untuk menunjukkan pertumbuhan ekonomi hebat dari 2009 ke 2011 dan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri Najib memperbesarkan lagi angka yang diberikan Idris Jala untuk menunjukkan prestasi yang memecah rekod dunia,” sindir Ong.

PI Bala meninggal

Harakahdaily, 15 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang ini ketika mendapat rawatan di Klinik Rawang.

Demikian tulis Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa melalui twitter.

Bala telah dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Subang jaya (SJMC) selepas seminggu dirawat di situ, angioplasty menunjukkan terdapat tiga sekatan utama pada saluran jantungnya.

Mendiang dijadualkan menjalani pembedahan pintasan tiga minggu lagi, selepas ditangguhkan sebelum ini.

(Mayat mendiang Bala di rumahnya)


Bala mendapatkan rawatan susulan pagi ini di SJMC dan kelihatan sihat.

Namun, beliau mengalami sesak nafas sekitar jam 1.30 petang.

Kepulangan Bala


(Bala bersumpah dengan kitab suci Hindu di KLIA sebaik saja pulang)

Bala pulang dari persembunyian di luar negara awal bulan lepas selepas meninggalkan negara sejak 2008.

Beliau keluar negara sejurus selepas membuat akuan bersumpah kedua (SD2) berkaitan pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu.

Sebelum itu, beliau membuat akuan bersumpah yang mendakwa pemimpin negara terlibat dalam kematian wanita Monggolia itu.

Dalam SD2 pula, beliau menarik balik semua yang dinyatakan dalam SD1.

Semasa di luar negara beliau membuat pengakuan, beliau telah dipaksa membuat SD2 dan dipujuk serta diberikan wang oleh seorang yang bernama Deepak Jaikishan.

Deepak, rakan perniagaan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengaku membantu Rosmah memujuk Bala agar membuat SD 2.

Beliau berbuat demikian setelah diminta Rosmah dan suaminya yang juga  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib.

Beliau bersama adik Perdana Menteri, Nazim Razak kemudian berjumpa Bala di The Curve, Sri Damansara.

Ekoran itu, Bala membuat SD2 dengan dibantu oleh dua peguam terkenal.

Sebaik saja pulang Bala bersumpah dengan kitab suci agama Hindu, Beghawan Geta, SD keduanya tidak benar dan SD pertama yang benar.

Deepak pula mengalu-alu kepulangan Bala dan berharap dapat bekerjasama antara mereka untuk mendedahkan segala rahsia di sebalik kematian Altantuya Shariibuu.

Deepak memohon PAS dan Pakatan Rakyat untuk membolehkan beliau mendapat perlindungan sebagai saksi untuk membuat segala pendedahan.

Sebaik saja pulang, Bala berjanji akan membuat roadshow di seluruh negara bagi menceritakan apa yang berlaku.

Namun, beliau hanya sempat berbuat demikian di Dewan Himpunan China Selangor dan di Bachok, Kelantan sahaja kerana mengadu tidak sihat.

Ada yang mendakwa beliau dikenakan ubat guna-guna oleh pihak-pihak tertentu namun tidak dapat disahkan.

Bala telah seminggu dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dan sepatutnya akan menjalani pembedahan pintasan jantung dalam masa tiga minggu lagi.

Namun hayat beliau telah sampai dan meninggal di rumahnya selepas keluar dari hospital untuk berehat.

Rumah Bala terletak di Taman Pelangi Indah, Rawang.

Pemuda PAS lancar kempen ‘Keamanan Untuk Sabah’

Mohd Firdaus, 15 Mac 2013


KOTA KINABALU: Insiden pencerobohan di Lahad Datu yang semakin meruncing dengan perkembangan terbaru melibatkan dua anggota tentera Malaysia terbunuh telah menyuntik semangat cintakan keamanan di seluruh negara.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah telah melancarkan kempen ‘Keamanan Untuk Sabah’ kelmarin dengan memberikan fokus kepada perpaduan serta kemakmuran kepelbagaian etnik dan budaya yang sekian lama disematkan di kalangan rakyat Malaysia khususnya di Sabah.

Ketuanya, Lahirul Latigu berkata, kempen itu akan menggerakkan seluruh pemuda PAS setiap kawasan bagi memberikan gambaran dan menarik golongan belia untuk mencintai keamanan negara yang setelah sekian lama dikecapi.

“Kita sudah merdeka hampir 50 tahun, sejak dari itu segala kemakmuran dan keamanan yang kita nikmati hingga ke hari ini merupakan titik usaha perpaduan kaum dan etnik yang dibawa oleh ibu-ibu dan bapa-bapa kita terdahulu.

“Oleh yang demikian, sebagai generasi pewaris Negara, kita mestilah mempertahankan kemakmuran ini demi anak cucu kita pula yang mana mungkin mereka akan mempersoalkan tindakan ibu bapanya yang gagal mempertahankan keamanan negara ini daripada tangan-tangan penderhaka negara yang cuba merobek semangat patriotisme rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, Lahirul menggesa agar rakyat khususnya anak muda mengenepikan perbezaan politik, kepercayaan dan bangsa dengan membangkitkan semangat patriotisme demi mempertahankan keamanan negara.

“Hari ini, kita melancarkan kempen ini bagi memberi kesedaran kepada rakyat khususnya anak muda bagi sama-sama menghargai dan mencintai keamanan Negara,” jelas Lahirul.

PAS bongkar penyelewengan pembelian perkakas pertahanan

Harakah, 15 Mac 2013

(Pendedahan yang bakal di siarkan oleh Harakah Ahad ini)

KUALA LUMPUR: PAS melalui lidah rasminya Harakah akan mendedahkan secara terperinci penyelewengan dalam pembelian pekakasan pertahanan negara oleh pemimpin Umno dan BN.

Ia bakal disiarkan oleh Harakah dalam keluarannya untuk edisi Ahad ini.

Pendedahan adalah untuk semua pembelian peralatan pertahanan negara dari kapal selam, jet pejuang dan juga kapal tentera laut yang penuh dengan penyelewengan dan rasuah.

Di samping pembelian peralatan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)  juga didakwa melakukan pelbagai penyelewengan untuk kepentingan kroni dan elit dalam kepimpinan negara.

Perkara ini juga selalu disebut oleh para jeneral tentera yang menyertai Pakatan Rakyat sebelum ini.

Ikuti laporan penuh Harakah Ahad ini.

Isu keselamatan t'jawab bersama, bukan politik

Khairil Abdul Rahim, 15 Mac 2013
TEMERLOH: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan cara pemimpin negara mempolitikkan isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sedangkan isu keselamatan merupakan tanggungjawab bersama.

Katanya, isu berkaitan negara sebesar itu sepatutnya ditangani dengan serius melibatkan semua pihak mewakili rakyat negara ini kerana membabitkan kematian di pihak anggota keselamatan dan penceroboh.

“Malangnya dengan tragedi tersebut masalah melibatkan kematian pun ada orang nak politikkan dengan meletakkan siapa hero, siapa jahat.

“Saya tekankan soal keselamatan ini soal bersama sepatutnya buat kenyataan bersama, seperti kenyataan tentang isu Palestin dulu. Sebab itu saya dah minta sidang parlimen khas,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Tambah Anwar, malangnya pihak kerajaan dan Umno melalui media kawalannya lebih mudah mengait dan menuduh beliau terbabit dengan pencerobohan kumpulan Melayu Sulu itu tanpa hujah dan bukti.

Katanya, pihak media tersebut mengaitkan pertemuan beliau dengan Gabenor Mindanao, Nur Misuari yang datang ke negara ini sedangkan ketika itu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dan beliau timbalannya.

“Sampaikan lagu ‘Sabah nak hilang’ yang saya selalu nyanyikan dalam ceramah dikaitkan petanda memanggil orang Sulu menceroboh Lahad Datu... sedangkan sambungan lagu itu ialah 'Umno melayang’... jahat sungguhlah puak Umno ni...

“Bayangkan, Real Madrid lawan Manchester United (MU), kalah MU, saya juga yang dipersalahkan kerana pengadilnya orang Turki, kononnya saya baik dengan Presidan Turki...lawak sungguhlah Umno ni,” katanya sambil disambut gelak ketawa kira-kira 3,000 yang hadir di Markas PAS Chempaka, Lanchang, malam tadi.

Turut berceramah Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mantan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid, Yang Dipertua PAS Temerloh, Jusoh Darus dan Ketua Cabang PKR Temerloh, Ahmad Nizam Hamid.

Wacana memperingati perjuangan Hizbul Muslimin

Harakahdaily, 15 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Sempena program Xpresi Ulama Muda Haraki yang akan berlangsung di Gunung Semanggol esok, Jabatan Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan wacana memperingati Hizbul Muslimin.

Wacana tersebut yang akan diadakan hari ini akan melibatkan tiga panel pembentang iaitu Dr Zuhdi Marzuki, Ustaz Riduan Mohamad Nor serta Ustaz Zawawi Hassan.

"Program akan bermula jam 9 malam dan terbuka kpd seluruh rakyat Malaysia yg cintakan kebenaran sejarah emas perjuangan islam negara ini," ujar Riduan yang juga ketua penerangan DPPM.

Berikut sedikit sinopsis perjuangan Hizbul Muslimin:

Tiga tujuan dasar penubuhan Hizbul Muslimin (HM) yang digariskan iaitu Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan, mencipta masyarakat berdasarkan islam dan menjadikan Tanah Melayu sebagai darul Islam.

HM berusaha menginsafkan umat Islam Malaya tentang kesedaran politik dan ikatan agama dalam satu ideologi mengikut ajaran islam serta bekerjasama dengan semua pihak yg bersesuaian dasarnya.

Ustaz Abu Bakar al-Baqir telah dilantik sebagai Ketua Umum HM, Ir Ariffin Alian dan Daud Jamil sebagai ketua satu dan ketua dua.

Tangguh RCI untuk jaga kepentingan BN?

Harakah, 15 Mac 2013


KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan tindakan melanjutkan tempoh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas pemberian kad pengenalan di Sabah bertujuan untuk mengelak daripada RCI membuat rumusan menjelang pilihan raya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam wawancaranya bersama Harakah berkata, kerajaan BN bimbang keputusan RCI ini tidak memihak kepada mereka.

Baru-baru ini, Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Datuk Saripuddin Kassim menyatakan kerajaan akan melanjut RCI mengenai masalah pendatang haram di Sabah selama enam bulan lagi dari 21 Mac hingga 20 September 2013.

Ini katanya, selaras dengan peruntukan Seksyen 5, Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

"Saya percaya jika RCI betul-betul telus, saya fikir keputusan yang mereka buat ialah untuk mengisytihar pemberian kewarganegaraan itu  menyalahi proses undang-undang dan prosedur yang ada dalam negara kita.

"Sebab itu, kalau mereka membuat rumusan sekarang  maka akan timbul pertikaian berkaitan daftar pemilih yang ada," kata Mahfuz.

Ikuti wawancara penuh dengan Pengerusi 'Jawatankuasa Bertindak Mempertahankan Kedaulatan Negara dan Rakyat' yang ditubuhkan PAS itu dalam Harakah mulai Ahad ini.

Exco Pemuda Umno Larut, 39 ahli sertai PAS

Muhamamd Faeez Azahar, 15 Mac 2013

Raja Iskandar memakaikan baju simbolik Zulkifli sertai PAS.

LARUT: Umno Bahagian Larut menerima tamparan hebat apabila Exco Pemudanya, Zulkifli Minhat mengisytihar keluar daripada parti itu dan menyertai PAS.

Zulkifli mengumumkan menyertai PAS di program ceramah anjuran PAS  Larut yang dihadiri oleh Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia,  Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dan Setiausaha Pemuda PAS Perak, Salman Saleh semalam.

Borang permohonan keahlian PAS diserahkan kepada Dr Raja Iskandar dan turut mengikut jejak langkahnya ialah 39 ahli Umno yang sudah tidak yakin dengan perjuangan Umno ketika ini.

Berucap dalam program tersebut, Zulkifli yang lebih 20 tahun bergelumang Umno berkata, beliau membuat keputusan tersebut atas kesedarannya sendiri  dan melihat perjuangan PAS adalah benar dan relevan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Teras berkata, perjuangan yang dibawa oleh PAS selari dengan Islam dan sudah memahami perbezaan dasar perjuangan yang dibawa oleh PAS dengan Umno.

“Saya akan bersama-sama berjuang  dan matlamat saya membantu PAS memenangi semua kerusi yang ditandingi PAS di Larut ini,” katanya dan disambut dengan laungan takbir oleh hadirin.

Sementara itu, Dr Raja Iskandar berkata, keputusan Zulkifli itu sudah pasti akan memberi kesan besar kepada Umno Larut khususnya di peringkat pemudanya.

Kata beliau, dalam keadaan sekarang, masyarakat semakin sedar akan keburukan Umno ketika ini yang hanya mementingkan peribadi.

“Penyelewengan, kezaliman, korupsi dan salah urus tadbir yang dilakukan Umno ketika ini membuatkan rakyat termasuklah ahli Umno itu sendiri menolak mereka.

“Saya yakin Umno Larut sangat terkesan dengan apa yang berlaku dan ini menambahkan lagi kekuatan dan semangat untuk PAS menawan Parlimen Larut dan Dun Kubu Gajah serta,” jelas Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak itu.

Tiada ulasan: