Khamis, 21 Mac 2013

JANGAN KITA JADI MAKHLUK YANG DIBENCI MAKHLUK DILANGIT DAN MAKHLUK DIBUMI...NI DAH KES TERUK

Umno heret Ops Daulat untuk kempen PRU

Khairil Abdul Rahim, 20 Mac 2013

(Bendera Ops Daulat yang dinaikkan di Bukit Lada, Chenor)


MARAN: Di sebalik gesaan pihak berkuasa supaya peristiwa pencerobohan di Lahad Datu Sabah tidak dipolitikkan, Umno pula dilihat cuba mengheret isu tersebut menjelang pilihan raya umum (PRU) yang akan datang ini.

Di simpang masuk ke Kampung Bukit Lada dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Chenor di sini, dikibarkan bendera BN bertulis ‘Ops Daulat PRU 13’ dipercayai dinaikkan oleh petugas-petugas Umno kampung berkenaan.

Serentak dengan itu Ketua Pemuda PAS cawangan kampung berkenaan Mohd Roduan Zainal Abidin (gambar), 30, mahu bendera tersebut diturunkan kerana boleh mengundang provokasi jika dibiarkan berterusan.

“Apa motif kaitkan Ops Daulat dengan PRU 13. Kami bantah naikkan bendera itu kerana seolah-olah nak gambarkan PRU ini sebagai perang. Apakah lawan BN dalam PRU mahu dianggap tidak setia kepada negara? Mereka faham atau tidak dengan isu ini atau sengaja main-mainkan?

“Peringkat atasan kata jangan politikkan isu keselamatan, kita hormati permintaan daripada kerajaan itu kerana menganggap isu keselamatan adalah isu bersama tetapi di sini mereka buat modal kempen PRU, jadi tak baguslah,” katanya.

Roduan berkata, Pemuda memberi tempoh seminggu untuk pihak yang mahu menangguk di air keruh itu menurunkan bendera berkenaan atau pihaknya akan membuat laporan polis.

Ops Daulat ialah operasi pasukan keselamatan menggeledah dan menjejaki pengganas Sulu yang menceroboh kawasan di Lahad Datu, Sabah bulan lalu sehingga mengorbankan 8 prajurit negara dan berpuluh-puluh anggota mereka.

Sementara itu ketua keselamatan PAS Dun Chenor, Ahmad Jamal Azian (gambar kanan), 44, berkata tindakan menaikkan bendera BN dengan Ops Daulat itu seolah-olah ada pihak yang mahu timbulkan suasana tegang dengan sentimen keselamatan.

“Apa maksud mereka naikkan bendera itu? Adakah mereka ingin mengatakan pembangkang itu seperti penceroboh Sulu? Adakah mereka mahu mengatakan menyokong BN itu syahid dunia seperti perajurit yang gugur? Apakah Ops Daulat itu sememangnya dirancang jadi modal PRU? Atau adakah mereka sekadar mahu menaikkan semangat pekerja pilihan raya Umno yg dilihat masih lena?

“Semua itu menimbulkan persoalan tetapi dilihat seolah-olah Umno sudah ketandusan isu sehingga sanggup mencemarkan perjuangan perwira negara di Lahad Datu,” katanya.

Sementara itu Penyelaras PAS Dun Chenor, Ramli Awang Abdul Rahman berkata, tindakan Umno menyamakan kempen PRU 13 dengan Ops Daulat adalah satu penghinaan kepada anggota keselamatan yang terkorban dan tindakan menaikkan bendera itu amat tidak wajar.

Katanya, satu laporan polis akan dibuat jika bendera tersebut terus dibiarkan

Penjawat awam bukan bergaji buta

Harakahdaily, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman menyifatkan tindakan segelintir pesara kerajaan yang mengkritik pelbagai dasar kerajaan atas pentas politik bersama parti pembangkang sebagai tidak mengenang budi adalah pandangan yang sangat dangkal.

“Penjawat awam bukannya bergaji buta, gaji yang diterima adalah untuk kerja yang dilakukan. Setelah sekian lama membanting tulang untuk kerajaan dan rakyat, tindakan menganggap pesara yang kini menyokong pembangkang sebagai tidak mengenang jasa adalah pandangan yang sangat dangkal,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Sebaliknya, Tuan Ibrahim menyarankan Datuk Omar Osman untuk mengkaji kenapa para pesara kini beralih menyokong pembangkang.

“Sebagai Presiden CUEPACS, beliau harus sedar bahawa beliau bukan mewakili parti pemerintah. Beliau mewakili pelbagai kakitangan yang terdiri dari pelbagai segmen parti politik,” tegur Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan beliau bahawa CEUPACS tidak sepatutnya menjadi agen parti pemerintah dengan bertindak mengecam pesara kerajaan semata-mata kerana mereka kini menyokong pembangkang.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut menyeru Omar untuk menghormati hak 600,000 pesara yang kini mula menyatakan sokongan kepada pembangkang.

“Beliau sepatutnya memperjuangkan kebebasan kepada kakitangan awam dalam menyatakan sokongan kepada mana-mana parti yang mereka sukai.

"Akibat tekanan melampau semasa mereka bertugas menyebabkan mereka hanya menunggu hari pencen untuk menyatakan bantahan kepada kerajaan yang memerintah,” hujah Tuan Ibrahim.

Beliau juga mengingatkan kejadian pemberian penyapu oleh Menteri Besar Selangor yang menjatuhkan maruah kakitangan awam dan menimbulkan pelbagai tekanan kerja.

"Penyalahgunaan kuasa politik Umno sehingga memaksa kakitangan awam meninggalkan tugasan di pejabat semata mata memenuhi program Umno juga menimbulkan ketidaksenangan kakitangan awam.

"Bahkan ada yang menerima surat tunjuk sebab kerana tidak menghadiri program anjuran parti pemerintah yang tiada kena-mengena dengan tugasan,” tambah Tuan Ibrahim.

OKU penerima BR1M diugut undi BN

Harakahdaily, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Sekretariat Prihatin OKU menyesali tindakan Puteri Umno yang seakan-akan memaksa orang kurang upaya (OKU) mengundi BN selepas menerima BR1M.

Pengerusinya, Mohammad Faizal Che Yusof (gambar) dalam kenyataannya berkata, pihak sekretariat telah menerima aduan bagaimana seorang OKU di negeri Kelantan telah diminta oleh pihak Puteri UMNO untuk beliau mengundi BN kerana telah menerima pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia, BRIM.

Pengadu juga mengadu kebimbangan beliau dihentikan atau dipotong bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia bilamana beliau dilihat tidak memberi sokongan kepada parti UMNO atau Barisan Nasional.

Menurut Faizal, bagi sebahagian orang awam, herdikan atau ugutan seumpama di atas boleh dikesampingkan begitu saja.

Namun ia amat memberi kesan psikologi kepada warga OKU, jelas beliau.

"Kami tegaskan bahawa apa juga dana dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan yang memerintah, ia menjadi hak kepada rakyat tanpa mengira idiologi atau fahaman politik.

"Justeru amat tidak wajar setiap bantuan dan dana yang dibelanjakan oleh kerajaan memerintah dijadikan alat untuk mengenakan ugutan atau tindakan perdayaan demi kepentingan sempit pihak-pihak tertentu," katanya.

Menurut Faizal, sebagaimana di perakui oleh muqadimah Akta OKU 2008, Akta 685, setiap warga OKU mestilah dihormati haknya sebagai rakyat Malaysia lain seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Rakyat, katanya, termasuklah OKU adalah bebas untuk menyokong atau condong kepada mana-mana parti politik selagi ia selari dengan amalan demokrasi berparlimen yang amalkan selama ini.

"Kami menyeru untuk setiap pihak menghormati tempoh masa yang cukup kritikal pada masa kini bilamana keadaan ambang Pilihan Raya Umum 13 masih tidak menunjukkan tanda bila PRU 13 akan berlangsung," kata beliau.

Bagi beliau, dalam waktu negara meraikan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mana calon-calon OKU penglihatan telah mendapat keputusan cemerlang, pihak sekretariat terus menerima aduan ugutan pihak-pihak tertentu terhadap warga OKU.

Suasana ambang PRU 13 telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengenakan pelbagai tindakan berupa ugutan, perdayaan dan pengaruh yang tak berpatutan terhadap warga OKU.

Laporan NTP bukti kerajaan hilang punca

-, 20 Mac 2013



Pembentangan Laporan Tahunan Pelan Transformasi Nasional (NTP) 2012 yang merangkumi Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) menjadi satu lagi bukti kelemahan kerajaan mengurustadbir ekonomi negara. Angka-angka besar yang dicanangkan ibarat tong kosong, kuat bunyinya, isinya tiada – sekadar mengabui mata rakyat mengenai prestasi sebenar kerajaan.

Hakikatnya, laporan tersebut melalui pengesahan firma audit terkemuka PriceWaterhouseCoopers (PWC) yang dilantik kerajaan sendiri menunjukkan penurunan ketara dalam unjuran jumlah Pendapatan Negara Kasar (GNI) tahun 2020 dari RM 129.5 billion pada tahun 2011 kepada RM 6.6 billion sahaja pada 2012.

Jumlah penempatan kerja baru dari projek-projek ETP pula turun mendadak dari 313, 741 pada tahun 2011 kepada 94,702 tahun lepas. Hatta jumlah penempatan kerja baru 2011 tersebut boleh dipertikai memandangkan KWSP cuma mencatat 224,182 pencarum baru bagi tempoh yang sama. Apatah lagi angka-angka 2011 ETP tidak pernah disahkan oleh PWC.

Maka timbul persoalan sejauh mana ETP relevan dalam pembangunan ekonomi negara? Dengan prestasi ETP yang sebegitu lemah, Keluaran Negara Kasar (GDP) negara terus meningkat dari 5.1% kepada 5.6% tahun lepas. GNI juga dilaporkan meningkat dari USD 9,900 pada tahun 2011 kepada USD 9,970.

Malah cukup sukar untuk mengaitkan peningkatan hasil negara kepada RM 207 billion berpunca dari perlaksanaan ETP memandangkan cuma 39 projek dilaksanakan sepanjang tempoh tahun lepas berbanding 129 projek tahun 2011.

Laporan 2012 ini bukan sekadar menunjukkan kerajaan semakin kehabisan punca untuk memajukan negara malah wajar untuk kita mempersoalkan kecekapan PEMANDU di dalam mengemudi ETP. Ini belum lagi mengambilkira jumlah hutang negara yang terus meningkat semata-mata untuk memastikan kelangsungan pelan transformasi kosong ini.

Apa yang pastinya, Laporan NTP 2012 ini menunjukkan pengaruh dorongan ETP di dalam memacu ekonomi negara semakin mengecil dan telah hilang relevannya. Maka untuk apa kita berbelanja RM 40 juta setahun bagi membiayai PEMANDU dan inisiatif-inisiatif syok sendirinya?

Memandangkan PM Dato Seri Najib Tun Abd. Razak sering mendakwa bahawa mandat beliau bergantung kepada prestasi transformasi yang beliau megahkan ini, maka laporan 2012 ini menjadi satu lagi bukti bahawa mandat beliau telah gagal.

Satu-satunya tindakan transformasi yang tinggal sekarang ini adalah pelan penukaran kerajaan secara aman dari BN-UMNO kepada Pakatan Rakyat di dalam PRU ke13 yang segera mendatang.



* Penulis adalah Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia

Keluarga Diraja pimpin rakyat serah memorandum

Khairul Azlam Mohamad, 20 Mac 2013

(Ribuan rakyat Terengganu yang turun menyerahkan memo kepada Ahmad Said)

KUALA TERENGGANU: Hari ini dalam sejarah, apabila keluarga sendiri turun padang memimpin ribuan rakyat untuk menyerahkan ‘Memorandum Rakyat’ kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said.

Himpunan aman dan serahan memorandum tersebut dipimpin oleh Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


(Tengku Paduka menyerahkan memo kepada wakil MB)

Kata Tengku Seri Paduka, kerajaan Terengganu yang diketuai oleh Datuk Seri Ahmad Said gagal mempertahankan hak rakyat dan wajar disingkirkan pada pilihan raya akan datang.

Katanya, rakyat perlu tahu kenapa saman kerajaan terhadap pihak Petronas dan kerajaan Persekutuan ditarik-balik secara ‘senyap’ tanpa perbincangan dan persetujuan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.

“Royalti ini hak kita, hak rakyat dan hak negeri Terengganu yang ‘dirampas’ semasa kerajaan PAS memerintah Terengganu, dan kerajaan PAS saman pihak Petronas dan kerajaan pusat.

“Hari ini, tiba-tiba kerajaan ‘Mat’ (Ahmad) Said tarik balik secara senyap-senyap, dia buat keputusan sendiri dan ini satu kesilapan besar yang dia (MB) buat…kita (rakyat) kena tukar (kerajaan) pada pilihan raya (PRU13) tidak lama lagi,” tegasnya kepada Harakahdaily.

Tengku Seri Paduka diiringi oleh Pengerusi Sekretariat Royalti Terengganu, Mohamad Fauzi Abu Samah, Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Presiden Gabungan Anak Terengganu (Gate), Ahmad Amzad Hashim, Pengerusi dan Timbalan DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran dan Encik Jefri Chua.

Memorandum berkenaan mewakili 45 buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini yang diselaraskan oleh Sekretariat Royalti Terengganu atau ‘R’ turut membuat desakan terhadap empat perkara kepada kerajaan negeri Terengganu.

(Doa dibaca untuk mengadu kepada Allah tentang kezaliman yang dibuat)

Pengerusinya, Mohamad Fauzi Abu Samah menegaskan Sekretariat ‘R’ mendesak empat perkara bagi memastikan kerajaan negeri Terengganu kekal mendapat hak royalti serta memelihara maruah dan kedaulatan negeri Terengganu Darul Iman.

“Pertama, kerajaan negeri Terengganu perlu memfailkan kembali saman untuk menuntut royalti Petroleum dan ‘R’ komitmen akan bersama dengan Menteri Besar (Ahmad Said) dalam memperjuangkan hak royalti tanpa berbelah bagi.

“Kedua, tidak menerima sebarang istilah lain yang menggantikan ‘royalti’ kerana lain-lain istilah akan membawa maksud yang tidak tepat serta merendahkan hak, maruah dan kedaulatan rakyat negeri Terengganu sebagaimana termaktub dalam perjanjian Petroleum 1974, dan kegagalan menyerahkan royalti kepada rakyat dan negeri Terengganu adalah satu ‘pencabulan’ semangat federalisma.

“Ketiga, menuntut Royalti Petroleum dinaikkan kepada 20 peratus sebagaimana kerajaan Aceh menerima royalty dari Indonesia sebanyak antara 30 hingga 70 peratus.

“Dan keempat, mendesak Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu menarik balik secara keseluruhan (en-bloc retraction) pada ‘Usul Menghentikan Royalti Petroleum’ kepada kerajaan Terengganu dalam ucapan perbahasan Perhimpunan Agung Umno tahun 2000, yang menjurus kepada penamatan bayaran Royalti Petroleum kepada kerajaan Terengganu pada tahun yang sama dan digantikan dengan Program Pembiayaan Wang Ehsan pada 27 Oktober 2000,” jelasnya pada satu sidang media di tempat parkir Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, dekat sini.

Menurut beliau, pihak Sekretariat Royalti Terenggnau turut melahirkan rasa dukacitanya di atas penarikan balik saman kerajaan negeri Terengganu terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan pada 21 Mac 2012, sedangkan tuntutan hak royalti belum selesai.

(Muslimat turut turun untuk menyokong penyerahan memorandum)

Katanya, MB Terengganu dibawah kepimpinan Dato’ Seri Ahmad Said juga mungkir janji serta mengkhianati harapan rakyat bagi memastikan royalti Petroleum itu dipulangkan sebagaimana dijanjikan pada 11 Mac 2011, lalu.

Malah, kata beliau yang lebih mengejutkan banyak pihak bagaimana saman royalti yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ditarik balik tanpa persetujuan Dun Terengganu.

Penyerahan Memorandum Rakyat itu hanya diterima oleh Setiausaha Politik MB Terengganu iaitu Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid di pintu masuk Wisma Darul Iman pada jam 10.30 pagi.

Sebelum itu, orang ramai mula berkumpul seawal jam 9.00 pagi di tempat parkir kenderaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan berarak sejauh 500 meter ke Wisma Darul Iman.

Kesempatan itu, diambil oleh beberapa orang pimpinan NGO turut berucap dihadapan hampir 5,000 hadirin bagi menyatakan bantahan masing-masing terhadap kerajaan Umno-BN Terengganu berhubung isu royalti tersebut.

Hadir sama pada perhimpunan tersebut pimpinan PAS Terengganu, Parti KeADILan Rakyat (PKR) Terengganu dan DAP Terengganu.

Ustaz Azizan pimpin PAS Kedah hadapi PRU13

Harakahdaily, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Diraja Azizan Abdul Razak akan terus memimpin PAS di Kedah sebagai Pesuruhjaya  dan tidak ada sebarang pertukaran dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13).

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang  menjelaskan bahawa Azizan akan terus memimpin sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah dan tidak ada sebarang pertukaran dalam menghadapi PRU13.

"Semua pimpinan PAS negeri dan dewan-dewan diminta menumpukan kerja dalam menghadapi PRU yang bakal di hadapi dalam waktu terdekat ini," kata Presiden PAS dalam  satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politiknya hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan Sinar Harian hari ini mengenai cadangan Dewan Ulamak PAS Kedah supaya PAS melantik Pesuruhjaya Kedah yang baru untuk menghadapi PRU13 ini

Laporan ETP: GTP 2012 bukti kerajaan hilang punca

Harakahdaily, 20 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Pembentangan Laporan Tahunan Pelan Transformasi Nasional (NTP) 2012 yang merangkumi Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) menjadi satu lagi bukti kelemahan kerajaan mengurus tadbir ekonomi negara.

“Angka-angka besar yang dicanangkan ibarat tong kosong, kuat bunyinya, isinya tiada – sekadar mengabui mata rakyat mengenai prestasi sebenar kerajaan,” ujar Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan.

Hakikatnya, kata beliau laporan tersebut melalui pengesahan firma audit terkemuka Price Waterhouse Coopers (PWC) yang dilantik kerajaan sendiri menunjukkan penurunan ketara dalam unjuran jumlah Pendapatan Negara Kasar (GNI) tahun 2020 dari RM129.5 billion pada tahun 2011 kepada RM6.6 billion sahaja pada 2012.

Jumlah penempatan kerja baharu dari projek-projek ETP pula turun mendadak dari 313,741 pada tahun 2011 kepada 94,702 tahun lepas.

Hatta, katanya jumlah penempatan kerja baru 2011 tersebut boleh dipertikai memandangkan KWSP cuma mencatat 224,182 pencarum baru bagi tempoh yang sama, apatah lagi angka-angka 2011 ETP tidak pernah disahkan oleh PWC.

“Maka timbul persoalan sejauh mana ETP relevan dalam pembangunan ekonomi negara?” tanya beliau.

Dengan prestasi ETP yang sebegitu lemah, Keluaran Negara Kasar (GDP) negara terus meningkat dari 5.1% kepada 5.6% tahun lepas. GNI juga dilaporkan meningkat dari USD 9,900 pada tahun 2011 kepada USD9,970.

Malah, kata Nasrudin cukup sukar untuk mengaitkan peningkatan hasil negara kepada RM207 billion berpunca dari perlaksanaan ETP memandangkan cuma 39 projek dilaksanakan sepanjang tempoh tahun lepas berbanding 129 projek tahun 2011.

“Laporan 2012 ini bukan sekadar menunjukkan kerajaan semakin kehabisan punca untuk memajukan negara malah wajar untuk kita mempersoalkan kecekapan Pemandu di dalam mengemudi ETP,” katanya.

Ini, ujar beliau belum lagi mengambil kira jumlah hutang negara yang terus meningkat semata-mata untuk memastikan kelangsungan pelan transformasi kosong ini.

Apa yang pastinya, ujar beliau Laporan NTP 2012 itu menunjukkan pengaruh dorongan ETP di dalam memacu ekonomi negara semakin mengecil dan telah hilang relevannya.

“Maka untuk apa kita berbelanja RM40 juta setahun bagi membiayai Pemandu dan inisiatif-inisiatif syok sendirinya?

“Memandangkan PM Datuk Seri Najib Tun Abd. Razak sering mendakwa bahawa mandat beliau bergantung kepada prestasi transformasi yang beliau megahkan ini, maka laporan 2012 ini menjadi satu lagi bukti bahawa mandat beliau telah gagal,” ujarnya lagi.

Justeru, ujar beliau satu-satunya tindakan transformasi yang tinggal sekarang ini adalah pelan penukaran kerajaan secara aman dari BN Umno kepada Pakatan Rakyat di dalam PRU13 yang segera mendatang.

Tiada ulasan: