Rabu, 20 Mac 2013

KENA SEDARLAH ... TELAH RAMAI RAKYAT MENOLAK

Gambar fitnah: Anwar akan saman Papagomo

Harakahdaily, 19 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan saman ke atas blogger pro-Umno, Papa Gomo berhubung penyebaran gambar fitnah berunsur lucah di internet yang didakwa menyerupainya.

Peguam kepada Ketua Pembangkang itu, N Surendran dalam satu kenyataan berkata, surat tuntutan telah dihantar kepada bloger Papa Gomo.
Menurut Surendran, Anwar menamakan Wan Muhammad Azri Wan Deris, pemilik blog Papa Gomo sebagai individu bertanggungjawab menyebar gambar fitnah tersebut.

Katanya, dalam surat itu Anwar menuntut Papa Gomo menarik balik tuduhan berniat jahat itu, meminta maaf dalam tempoh 48 jam bermula hari ini, dan membayar ganti rugi sebanyak RM100 juta.

Surendran yang juga Naib Presiden PKR berkata, laman web Papa Gomo menyiarkan gambar palsu dan tuduhan keras terhadap Anwar dalam usaha untuk mengaitkan Ketua Umum PKR itu ke dalam satu lagi video seks yang direka.

Anwar dalam Twitternya hari ini turut mengesahkan tindakan mahu menyaman bloger tersebut.

“Saya telah arah pasukan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas blogger pemfitnah yang mempunyai kaitan rapat dengan Umno,” katanya.

Puluhan ribu risalah fitnah sedia diedar di Perak

Faeez Azahar, Foto Jannatul Firdaus, 19 Mac 2013
IPOH: Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini mendedahkan agenda jahat pihak tertentu dalam menghadapi PRU13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Koordinatornya, Salman Saleh berkata, pihaknya mendapat banyak maklumat tentang kontena diseluruh negeri Perak yang membawa risalah berbaur fitnah.

Menurutnya, puluhan ribu risalah fitnah itu sudah siap dicetak dan dipercayai akan diedarkan kepada masyarakat pada pilihanraya nanti setelah mendapat arahan.

Katanya, risalah fitnah dalam bentuk buku kecil bertajuk “Drama Pecah Panggung; Box Office” itu ternyata merbahaya kerana ianya terkandung pelbagai fitnah yang bersifat perkauman dan penipuan.

Jelas Salman, risalah tersebut dianggap haram kerana tidak mempunyai terbitan daripada mana-mana pihak.

“Kami mengesyaki risalah tersebut dikeluarkan oleh pihak pro Umno-BN kerana ianya diedarkan bersama satu risalah berbentuk buku bertajuk ‘Mengorak Negara Ke Hadapan” yang tertera dibelakang buku itu cetakan oleh Ibu Pejabat Barisan Nasional,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah ahli jawatankuasanya, Salman Saleh, Hafez Sabri dan Safarizal Saleh.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Perak mendesak Kementerian Dalam Negeri dan pihak Polis merampas risalah haram itu kerana ianya bercanggah dengan undang-undang negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga katanya turut harus mengambil tindakan sewajarnya agar risalah tersebut tidak diedarkan dalam pilihanraya nanti.

“Kami desak pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya kerana cara kotor serta jijik ini menyalahi undang-undang dan akan memecah belahkan masyarakat di Negara ini,” tegasnya lagi.

Politik samseng: Taktik pihak kalah sebelum bertempur

Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, 19 Mac 2013
PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menyokong penuh dan bersetuju dengan gesaan daripada Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih), Datuk S Ambiga supaya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) menolak keganasan politik dalam PRU ke 13.

Gesaan Datuk S Ambiga amat baik dan wajar dinilai oleh setiap parti politik. Dalam iklim PRU ke 13 yang semakin panas, parti-parti politik tidak seharusnya memanaskan landskap politik negara dengan insiden keganasan. Iklim politik hanya perlu dipanaskan dengan isu-isu semasa yang dibangkitkan dengan kefahaman dan kesedaran, bukan dengan keganasan.

Rakyat merasa terkejut dan takut untuk menerima kenyataan terhadap budaya membaling telur dan botol terhadap penceramah, menyerang dan mencederakan pemimpin, membaling batu terhadap penonton, menyimbah cat merah terhadap premis dan kenderaan aktivis, menghalang laluan pemimpin politik, melempar molotov cocktail terhadap rumah pemimpin, serta mengganggu ceramah yang diadakan oleh samseng bermotosikal dan lain-lain.
Ini adalah insiden yang benar-benar terjadi dalam masyarakat berbudaya tinggi seperti negara ini. Malangnya, hampir keseluruhan mangsanya adalah Pakatan Rakyat dan pemimpinnya. Soalnya, mengapa ada pihak begitu takut dengan ceramah atau aktiviti yang diadakan sehingga sanggup menghalangnya walau dengan apa cara sekalipun?

Keganasan politik akan menimbulkan suasana tidak tenteram, kacau bilau, ketakutan dan kebencian terhadap rakyat. Keganasan politik adalah budaya yang ditolak oleh rakyat. Sebagai masyarakat yang bertamadun, berintelek tinggi serta terdedah dengan pelbagai maklumat melalui kemudahan teknologi terkini, pengundi sebenarnya telah memuktamadkan keputusan dan tahu membezakan parti mana yang perlu mereka sokong dan tolak. Mana-mana pihak tidak perlu mencetus keganasan politik sebagai suatu pemaksaan mental terhadap pengundi untuk memilih mereka.

Parti-parti politik sama ada PR mahupun BN sepatutnya menumpukan strategi kepada memenangi hati pengundi lebih dari menyerang parti lawan. Pengundi adalah aset utama pilihanraya dan mana-mana parti yang mampu meraih sokongan pengundi terbanyak akan memenangi pertarungan ini. Seharusnya parti politik menerangkan manifesto dan tawaran mereka kepada rakyat supaya mereka merasa yakin terhadap kemampuan parti mereka.

Rakyat berpendapat mana-mana parti politik yang menimbulkan suasana ganas adalah parti yang telah kalah tetapi enggan menerima hakikat kekalahan mereka. Mereka gagal meraih keyakinan pengundi untuk memberi kepercayaan kepada mereka lalu mencari dalih lain seperti keganasan bagi meluahkan kemarahan. Keganasan politik akan menatijahkan sesebuah parti yang mencetusnya ditolak dengan mudah oleh rakyat tanpa perlu menunggu PRU ke 13.

*Penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan

PRU13: Pemuda Marang lancar kenderaan khas

Khairul Azlam Mohamad, 19 Mac 2013



MARANG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang telah melancarkan sebuah kenderaan khas pacuan empat roda jenis Toyota Landcruiser 4x4 yang akan digunakan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pelancaran kenderaan tersebut dirasmikan oleh Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah pada majlis Ceramah Penerangan Isu-isu Terkini di Markaz Pemuda Unit Peti Undi (UPU) Tebakang, Kampung Pak Madah, Dewan Undangan Negeri (Dun) Alor Limbat, semalam. (Gambar atas)

Kenderaan khas berwarna hijau muda itu akan digunakan mulai sekarang hingga PRU13.

Ketua Pemuda PAS Marang, Ustaz Mohammad Khalil Abdul Hadi berkata pelancaraan kenderaan khas itu merupakan inisiatif kalangan Pemuda PAS kawasan.

Ini, katanya membuktikan jentera Pemuda PAS Marang bersungguh-sungguh dalam gerak kerja bagi mempastikan keempat-empat Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Parlimen Marang kembali kepada PAS.

“Kami akan pastikan Parlimen Marang kekal di tangan PAS dan empat Dun iaitu Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Bukit Payong dan Alor Limbat ini boleh kita tawan, insya Allah,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis pelancaran tersebut Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Timbalan DHPP Terengganu, Jefri Chua.

Adly pertahan kenyataan, jumpa di mahkamah

Harakahdaily, 19 Mac 2013
MELAKA: Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari menegaskan bahawa beliau bersedia ke mahkamah dan mempertahankan kenyataannya sebelum ini berhubung dakwaan penyalahgunaan wang zakat oleh Kerajaan Negeri Melaka.

Menurut Adly beliau juga tidak berhasrat memohon maaf atau menarik balik pendedahannya sebelum ini biarpun berdepan saman.

"Saya tidak melihat sebarang keperluan untuk saya meminta maaf atau menarik balik sebarang kenyataan berhubung dengan isu ini.

"Saya akan terus membongkar segala salah urus kerajaan yang dipimpin Umno BN supaya ianya dapat dinilai oleh rakyat Negeri Melaka," tegas Adly yang dihubungi Harakahdaily.

Pada 13 Mac lalu Adly telah menerima notis tuntutan daripada firma guaman Rosfinah & Co yang mewakili Kerajaan Negeri Melaka dan Najlis Agama Islam Melaka (Maim) berhubung satu kenyataannya pada 2011 berkaitan dakwaan penyalahgunaan wang zakat.

Sebelum ini Adly yang merujuk Laporan Audit 2010 pernah mendedahkan, sejumlah RM13.5 juta wang zakat telah digunakan bagi projek membina bangunan Maim di tapak bersebelahan Masjid Negeri.

Menurutnya, pada asalnya projek pembinaan bangunan Maim itu telah diberikan kepada sebuah syarikat kontraktor dengan konsep 'timbal balas'.

Difahamkan dalam satu perjanjian, kerajaan negeri telah bersetuju 'membayar' kepada kontraktor tersebut dengan tukaran sebidang tanah hak milik Maim.

Bagaimanapun katanya, syarikat kontraktor tersebut tidak membuat projek tersebut namun tanah yang dijanjikan telah diberikan kepada syarikat itu.

Ekoran itu, Maim didakwa menggunakan wang zakat bagi membina semula bangunan mereka yang gagal dibuat syarikat kontraktor terbabit.

Perkara itu juga telah dibawa oleh PAS Melaka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2011 lalu.

Sementara itu, dalam notis saman yang dikeluarkan, mereka menuntut penarikan balik kenyataan, permohonan maaf serta bayaran RM1 juta dalam tempoh 14 hari yang berakhir hari ini.

Mereka menuntut dari tiga pihak iaitu Adly, Ketua Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil Jauhar Mohamad Dawi dan Ketua Pegawai Operasi Harakahdaily, Mohd Mokhtar Ruzaidi.

Mengulas lanjut, Adly berkata beliau juga tidak akan membuat sebarang bayaran ke atas tuntutan tersebut malah bersedia untuk berdepan di mahkamah.

"Saya juga ingin tegaskan bahawa isu yang saya bangkitkan adalah isu kepentingan ramai yang menyentuh tentang bagaimana dana awam telah disalahurus sepertimana yang dinyatakan di dalam Laporan Ketua Audit Negara sendiri."tambah beliau

"Saya cukup berkeyakinan bahawa writ saman ini dikeluarkan menjelang tibanya pilihanraya umum yang ke 13, tidak lain bagi menyekat kemaraan dan pengaruh PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat di negeri Melaka ini," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan telah melantik firma Tetuan Mohamed Hanipa & Associates bagi mewakilinya di mahkamah nanti.

Realitinya pegawai tinggi kerajaan tolak Umno BN

Harakahdaily, 19 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Mentaliti rendah dengan menganggap pihak lain sama seperti mereka menyebabkan pemimpin Umno terkurung dalam dogma lapuk, kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.


Justeru, katanya Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menjadi semakin tidak rasional apabila menuduh beberapa bekas pegawai tinggi kerajaan menyokong parti pembangkang, berkemungkinan sebagai jalan pintas untuk mereka menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

“Apakah beliau berfikir semua pegawai tinggi sama seperti beliau, masuk parti politik hanya semata-mata untuk bertanding dan merebut jawatan?

“Inilah mentaliti Ketua Penerangan Umno yang menjadi tunjang dalam kerajaan,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, Ahmad tidak mengerti amalan demokrasi seperti negara ini kerana parti politik yang berdaftar bukan sebuah pertubuhan haram.

Jelasnya, PAS dan lain-lain parti adalah parti yang sah dan berdaftar secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan.

Beliau menambah, sebagai parti politik mereka berhak mengkaderkan mana-mana individu atau kumpulan menyertainya.

Justeru, ujarnya terpulang kepada rakyat, daripada pelbagai lapisan peringkat, untuk menyertai parti tersebut atau tidak.

Katanya lagi, keyakinan rakyat menyertai sesebuah parti politik diukur daripada sejauh mana prestasi parti tersebut.

“Amat mengkagumkan dalam keadaan PAS dan PR dituduh sebagai parti songsang, parti ajaran sesat, parti pemecah belah masyarakat, di samping kempen negatif oleh media rasmi kerajaan, berduyun-duyun masyarakat menyertai PAS dan Pakatan Rakyat.

“Yang menyertai PR bukan setakat rakyat biasa, bahkan bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan, para intelektual, akademis, cendikiawan, golongan korporat sehingga kepada golongan selebriti,” katanya.

Yang menghairankan pula, ujarnya dalam keadaan BN sebagai parti yang memerintah, dibantu pula oleh kempen propaganda oleh media utama siang dan malam, gagal pula menarik minat bekas pegawai kerajaan menyertai mereka.

“Mengapa Datuk Ahmad Maslan begitu marah dengan penyertaan bekas pegawai tinggi kerajaan dalam PR sedangkan partinya gagal meraih sokongan golongan yang sama?

Baginya, tuduhan Ahmad bererti menghina golongan elit dalam PR, juga menghina hak rakyat yang bebas memilih parti politik pilihan mereka.

“Realitinya yang beliau perlu sedari bahawa parti beliau bukan lagi menjadi harapan rakyat,” ujarnya.

Katanya, BN sudah sampai tamat tempohnya dan perlu diganti dan kini rakyat sudah menemui penggantinya bersama PR.

8 aktivis GM13 ditahan di UiTM malam tadi

Salmiyah Harun, 19 Mac 2013
KUALA LUMPUR: Jelajah penerangan anjuran Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam tadi menyaksikan lapan mahasiswa ditahan oleh polis bantuan kampus itu.

Antara mereka yang ditahan termasuklah Pengerusi Aksi Mahasiswa PeduliEkhsan Bukhairy dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia Safwan Anang.

Kira-kira jam 9.15 malam tadi, sekumpulan mahasiswa GM13 berkumpul di Dataran Cendekia UiTM untuk program 'Speaker's Corner' bagaimanapun mendapat halangan daripada pihak polis bantuan dan segelintir mahasiswa lain.

Mereka cuba berunding bagaimanapun mereka kemudiannya ditangkap.

Kelapan-lapan mahasiswa dibebaskan sejam kemudian, namun mereka meneruskan aktiviti itu di luar pagar UiTM selama setengah jam.

Menurut salah seorang mahasiswa yang ditahan malam tadi, Ekhsan kesal dengan insiden yang terjadi kepadanya hanya kerana mahu bercakap soal polisi pengajian tinggi kepada mahasiswa-mahasiswa seangkatan dengannya.

"Kita hendak bercakap soal polisi pendidikan tinggi, mengenai teras utama pendidikan. Bukannya hendak bercakap soal turunkan bendera, turunkan Najib, rasuah, PI Bala dan langsung tidak mahu bercakap soal sentimen.

"Tetapi kami bagi idea untuk diperkenalkan kepada mahasiswa, tidak lebih daripada itu. Itu pun kami kena tahan," tegasnya kepada Harakahdaily.

Beliau agak terkejut apabila diberitahu oleh pihak keselamatan UiTM apabila mereka mengakui bahawa demokrasi di universiti itu sudah mati.

Katanya, jika pihak universiti menyambut mereka dengan hujah dan ide ia tidak akan mengundang masalah.

"Malangnya selama ini kita menjemput MPP Pro Aspirasi untuk berhujah mereka tidak berani untuk berdebat.

"UiTM, UPSI kita akui memang tidak boleh masuk, cara yang paling berkesan untuk mendekati mahasiswa di universiti ini melalui 'speaker'z corner'. Hendak edar risalah pun tidak boleh! Universiti apa ni?," jelas beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) merangkap Pengerusi GM13, saudara Syis Abdul Kadir menyatakan rasa kesal dengan apa yang berlaku.

“Di UiTM Hak kebebasan mahasiswa disekat bahkan ada yang ditangkap polis bantuan kerana ingin mengadakan speaker's corner. Lebih malang bila mana ucapan dan hujah mahasiswa dibalas dengan kata-kata kesat, maki hamun dan ugutan oleh segelintir manusia yang mengaku ingin menjaga kedaulatan UiTM”, ujar beliau kesal.

Sambil menyifatkan provokasi seperti ini adalah di luar jangkaan serta tidak sepatutnya berlaku, Syis menegaskan bahawa GM13 tetap komited untuk memberi penerangan kepada mahasiswa berkenaan agenda yang dibawa.

“GM13 akan meneruskan siri roadshow 'speaker's corner' ke kampus-kampus untuk memberi pencerahan serta berkongsi harapan perubahan dengan mahasiswa seluruhnya.

Tiada ulasan: