• Space U8 lengang
1 / 3
SHAH ALAM - Peniaga di pusat membeli-belah Space U8, Shah Alam mendakwa terpaksa menanggung kerugian besar kerana tempat itu sepi dan tiada pelanggan yang mahu berkunjung ke sana.

Bertempat di kawasan perindustrian Bukit Jelutong, kawasan pusat membeli-belah itu juga agak terpencil dari laluan orang ramai.

Segelintir pengunjung pula hanya datang ke sana kerana pusat membeli-belah itu mempunyai pawagam dan pusat hiburan keluarga.

Salah seorang peniaga di situ, Hurairah Hamid, 45, berkata, keadaan sepi dan tidak ramai pelanggan merupakan fenomena yang biasa berlaku di pusat membeli-belah itu.

“Kalau hari bekerja, kita boleh nampak memang tak ada orang. Macam hari ini (semalam) pun, walau hari minggu dan masih dalam musim Tahun Baru Cina, tak ada sambutan pun.

“Di sini ada 200 lot kedai yang disediakan pihak pengurusan tapi kurang dari 10 peratus saja yang dibuka. Jika ada yang menyewa lot kedai, pasti tak lama dan kedai terpaksa ditutup. Mungkin tak ada untung dan terpaksa bayar sewa mahal,” luahnya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, untung perniagaan hanya sekadar cukup makan dan tidak mampu bermewah seperti peniaga lain.

“Nasib kami peniaga di sini semua sama, untung yang ada cukup sekadar bayar gaji pekerja, itu pun kalau ada pekerja dan lepaslah untuk bayar sewa tapak. Kami kena ada berniaga juga di luar. Kalau nak harap berniaga di sini, memang susah sebab tak ada untung sangat pun.

“Sayanglah, pusat beli-belah ini besar, tapi tak ada pengunjung pun yang nak datang,” katanya.


Untung RM2,000 saja sebulan

Bagi Zahir Mohd Yusoff, 24, pula, dia terpaksa bertahan meneruskan perniagaan pakaian wanita di situ kerana sayangkan tempat berkenaan yang merupakan tempat pertama dia berniaga.

“Sebelum ini saya ada berniaga tapi selalu kena tipu, tapi di sini saya mula sejak tahun 2012, sayang pula nak pergi tempat lain.

“Kalau awal berniaga tahun 2012 dulu, untung boleh cecah RM30,000 sebulan, tapi sekarang ni cuma dapat RM2,000 saja sebulan. Terpaksa survive juga sampai kadang-kadang gunakan duit simpanan sendiri.

“Kalau dulu ada juga seorang pekerja yang bantu, tapi sekarang saya sendiri yang jaga kedai,” katanya.

Dia turut berharap agar pihak pengurusan lebih bertanggungjawab ke atas nasib peniaga di situ.

Bagi Noor Laila Abdul Majid, 41, pihaknya turut tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dengan sambutan hambar pengunjung di Space U8.

“Akak dah berniaga di sini sejak 2012, tapi sambutan makin hari makin hambar. Memang beginilah hari-hari suasananya, sepi tak ada orang.

“Kalau dulu hasil jualan boleh sampai RM15,000, sekarang ni nak cecah RM10,000 pun susah. Mujurlah akak ada berniaga di luar juga, bolehlah cover mana yang tak cukup. Sepatutnya kedai di sini jadi tempat berniaga tetap tetapi bila dah tak laku sangat, tempat ni dah jadi macam part time kedai akak sajalah,” katanya.

Dia menambah, pihak pengurusan ada berjanji untuk naik taraf pusat membeli-belah itu tetapi hingga kini, tiada sebarang perubahan dilihat.


Pengunjung hampa tiada kedai menarik

Bagi pengunjung, mereka kecewa kerana Space U8 tidak banyak kedai yang boleh mereka kunjungi dan kebanyakannya membosankan.

Wan Muhd Adham, 29, berkata, dia agak terkejut dengan keadaan pusat beli-belah yang besar tetapi tidak ada banyak kedai beroperasi.

“Sebenarnya, ini kali pertama saya datang sini. Tak sangka Bukit Jelutong ada pusat membeli-belah.

“Saya ingatkan ia baru dibuka, tapi rupanya dah lama beroperasi tapi tak dapat sambutan. Saya datang ke sini pun sekadar bawa ahli keluarga di hujung minggu yang bosan duduk rumah,” katanya.

Bagi Fatinfarahana Abdul Rahman, 23, dia berkunjung ke Space U8 hanya untuk menonton wayang bersama rakan-rakannya sahaja.

“Saya duduk di Puncak Alam, jadi kalau nak tengok wayang, datang sini sajalah dekat.

“Mungkin sebab sini kawasan industri, jadi orang tak tahu sangat ada pusat beli-belah, itu yang buat tak dapat sambutan,” katanya.

Muhammad Naim Mohd Masran, 26, turut sependapat mengatakan Space U8 hanyalah pusat membeli-belah yang sepi dan membosankan.

“Dulu ada juga pusat bowling tapi sekarang ni yang tinggal hanya pusat karaoke dan panggung wayang saja.

“Tapi satu yang saya puji, surau di Space U8 ini terbaik dan cukup selesa.

“Dengan hiasan menyejukkan mata ditambah dengan ada air terjun buatan di setiap surau lelaki dan wanita, ia cukup mendamaikan buat kita yang ingin  tunaikan solat,” katanya.

Bagaimanapun, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pihak pengurusan Space U8 gagal kerana masih bercuti sempena Tahun Baharu Cina.