Posted on Thursday, October 03 @ 01:31:07 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering
KUALA LUMPUR: Penerbit MIG Production David Teo menafikan mengambil pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus berlakon sebagai strategi untuk melariskan filem terbaru terbitannya Ustaz, Mung Tunggu Aku Datang! arahan Pierre Andre.
Katanya, Ustaz Azhar dipilih kerana watak ustaz itu bersesuaian dengan beliau yang berasal dari Terengganu.
David juga enggan mengulas mengenai jumlah bayaran yang diberikan kepada Ustaz Azhar kerana ia adalah rahsia syarikatnya dan Ustaz Azhar.
harian metro online
02 okt 2013
Polis buru pencuri dalam masjid
Posted on Thursday, October 03 @ 01:22:46 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering
Selayang: Dia akan berlegar-legar di pekarangan masjid sebelum meluru masuk ke ruang solat wanita dan melarikan beg tangan jemaah wanita ketika sedang bersujud.
Itulah taktik digunakan seorang lelaki berusia 20-an untuk mencuri barangan berharga milik jemaah di Masjid Jamiatus Solahiah, Kampung Sungai Tua Baru, di sini, pada 22 dan 28 September lalu.
(IMEJ CCTV menunjukkan suspek mencuri beg tangan jemaah wanita ketika sedang sujud.)
Perbuatan keji lelaki itu bagaimanapun terbongkar selepas seorang daripada jemaah wanita yang sedang menunaikan solat Subuh menyedari kejadian itu kemudian berusaha mengejarnya, namun gagal.
Biarpun gagal menahannya, pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan mendapati kejadian pada 28 September lalu bukan pertama kali sebaliknya lelaki sama turut mengulangi jenayah pada 22 September lalu.
Malah, dua rakaman
CCTV aksi mencuri lelaki itu kini tersebar meluas di laman YouTube dan
Facebook selain mendapat pelbagai kecaman daripada pengguna.
Dua
rakaman CCTV masing-masing berdurasi 1 minit 10 saat dan 1 minit 28
saat itu menunjukkan lelaki berkenaan masuk ke ruang solat wanita
melalui pintu kaca selepas melihat jemaah mula sujud sebelum melarikan
beg mereka. Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Tinjauan Harian Metro ke masjid berkenaan semalam, mendapati terdapat 16 CCTV dipasang di kawasan yang menjadi tumpuan untuk melakukan kecurian termasuk di dalam ruang solat.
Sementara itu, Timbalan Nazir masjid berkenaan, Mohd Razid Suli, 52, berkata, pihak pengurusan masjid memandang serius kejadian itu sehingga memaksa CCTV dipasang selepas beberapa kejadian curi pernah berlaku sebelum ini.
“Kami percaya dua kejadian mencuri beg jemaah wanita ini dilakukan individu sama. Malah, pihak polis memberi jaminan akan meneliti rakaman CCTV berkenaan dan mendapatkan paparan sebenar wajah suspek sebelum poster wajahnya diedarkan bagi mengesannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
“Pihak kami yakin ia perbuatan orang luar kerana kedudukan masjid hanya bersebelahan dengan jalan besar memudahkan sesiapa sahaja untuk memasuki masjid ini, “katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mohd Razid berkata, dalam kejadian sebelum ini, barang untuk mengadakan program Qurban yang disimpan dalam stor turut dipecah masuk sehingga kerugian hampir RM20,000.
Harian Metro Online
2 Okt 2013
Khairy: Ya, Kementerian Bayar K-pop RM1.6 Juta
Posted on Thursday, October 03 @ 00:53:35 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui kementerian itu membayar RM1.6 juta untuk acara konsert K-Pop pada tahun 2012 seperti dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuat bayaran itu selepas syarikat yang menawarkan penajaan tidak meneruskan pembiayaan itu.
"Mengenai konsert K-pop di sambutan Hari Belia 2012 yang mendapat perhatian orang ramai - memang betul konsert ini dibiayai KBS.
"Kenyataan awal bahawa konsert itu ditaja oleh pihak swasta dibuat kerana pada ketika itu ada tawaran dari pihak swasta untuk menaja aktiviti tersebut.
"Namun, tajaan itu akhirnya tidak diberi dan KBS terpaksa tanggung pembayaran untuk konsert K-pop di Hari Belia 2012," katanya menerusi kenyataan pada laman Facebook beliau.
Jelasnya lagi, pihaknya tidak akan meneruskan lagi acara sebegitu pada sambutan Hari Belia 2013 dan tahun-tahun akan datang.
'Saya mesti jawab & bertindak'
Ketua setiausaha kementerian Mohd Mohamad dalam laporan Bernama tahun lalu menyatakan bahawa kos membawa masuk persembahan tersebut ditanggung penaja.
Tiga kumpulan K-Pop - U-Kiss, Teen-Top dan Dal shabet - dilapor ditampilkan untuk persembahan pada acara tersebut oleh syarikat Stadium First Sdn Bhd.
Menurut Khairy, beliau bertanggungjawab menjelaskan perkara itu walaupun beliau bukanlah menteri KBS pada masa itu.
"Saya tidak boleh menggunakan alasan bahawa laporan ini adalah tentang perbelanjaan di KBS sebelum saya dilantik sebagai menteri.
"Prinsip kebertanggungjawapan bersama atau collective responsibility bermakna saya mesti menjawab dan bertindak ke atas apa yang berlaku dalam kementerian saya," katanya.
Menteri belia dan sukan sewaktu sambutan itu berlangsung adalah Datuk Seri Shabery Cheek yang kini merupakan menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan.-mkini
Harga Rumah Naik: Belum Masa Untuk Bertindak Lagi?
Posted on Thursday, October 03 @ 00:45:23 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan
Pengumuman yang dibuat oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) beberapa minggu lalu bahawa BNM tidak akan melaksanakan ‘langkah-langkah menyejukkan’ pasaran atau ‘cooling measures’ bagi menangani spekulasi dalam harga rumah diterima dengan pelbagai reaksi. Tentunya kita dapat mengagak pihak mana yang suka dan yang mana pula yang terus sengsara.
Meskipun pun pihak BNM sedar wujud kegiatan spekulasi dalam sektor hartanah ini, menjadi tandatanya apakah akhirnya akan BNM lakukan juga langkah-langkah tersebut.
Berdepan dengan perangkaan belanjawaan Negara dalam beberapa hari lagi ini, Kerajaan Najib tidak lagi mahu melakukan ‘kesalahan’ yang pastinya akan mengundang cemuhan dan kritik yang tajam khasnya dari rakyat selaku pembeli.
Beberapa langkah berikut boleh dilakukan oleh kerajaan bagi menangani spekulasi yang berlebihan sekarang ini.
1. Memperketatkan lagi nisbah Pinjaman ke Nilai atau Loan-To-Value (LTV) sesuatu property atau hartanah khasnya pada pembelian lebih dari satu rumah atau property. Ini bagi mempastikan bahawa pinjaman atau kredit yang terlalu mudah didapati tidak akan merancakkan kegiatan membuat pembelian secara spekulasi.Pinjaman dikurangkan kepada paras 80% atau 70% atau kurang dari itu dari itu; nisbah nilai adalah menasabah bagi mengekang bermudah-mudah membuat dan mendapat pinjaman.
2. Menghapuskan skema pinjaman mudah DIBS (Developers Interest Bearing Scheme) dimana pembeli kononnya tidak membayar apa-apa kerana didakwa telah dibayar oleh pemaju. Sebenarnya ia tidak benar sebab faedah telah dimasukkan dalam kiraan harga rumah lebih awal. Dengan tidak perlu membayar 10% dari kos rumah pendahuluan atau ‘up-front’, pihak yang bergiat dalam spekulasi sangat tergalak untuk membeli beberapa property yang akan dijual atau ‘flip’ setelah siap.
3. Memperkenalkan semula cukai keuntungan penjualan property RPGT atau ‘Real Property Gains Tax’ kepada kadar asal dan/atau mempastikan pegangan sesuatu hartanah itu dipanjangkan kepada 3 tahun berbanding 2 tahun bagi mengelakkan kegiatan spekulasi. Dalam tahun 1976 RPGT atau lebih dikenali dengan Cukai Spekulasi Tanah adalah pada kadar 50% kalau dijual dalam 2 tahun yang kemudian diturunkan kepada 30%. Pada tahun2003, cukai ini dihapuskan samasekali yakni 0%. Kesilapan kerajaan itu diperbaikki dengan mengenakankembali RPGTsebanyak 15%. Kini ia bukan sahaja dikenakan semula tetapi mesti diperketatkan kepada pegangan selama 3 tahun. Ini yang perlu dikenakan segera oleh kerajaan berbanding GST yang bakal membebankan rakyat berpendapata rendah.
Di samping itu adalah disyorkan agar kerajaan juga mempastikan persoalan bekalan (supply-side) kerana isu harga juga tertakluk kepada undang-undang bekalan permintaan (supply-demand economics).
Maka wajar bagi kerajaan, kedua-dua Pusat dan Negeri mempastikan bekalan terutama ‘rumah mampu milik’ atau ‘affordable housing’ samada oleh pemaju kerajaan sendiri atau dijalankan secara joint-venture oleh pihak swasta. Disamping itu wajar juga kerajaan memerhatikan penjualan hartanah kepada pihak asing atau ‘foreign buyers’ tidak mencetuskan kenaikan harga di segi segmen ‘high-end’ atau rumah kos tinggi.
Ia telah terbukti boleh menjadikan pemaju kurang minat untuk membina rumah yang bertaraf mampu milik sebab keuntungan atau ‘margin’ nya rendah. Pemaju lebih mahu membina segmen ‘high-end’. Kesemua ini memerlukan intervensi kerajaan dengan dasar yang betul dan pruden sebelum rakyat sendiri bdapata sederhana terpinggir dengan bekalan yang tidak mencukupi dan satu pihak lain yang berkemampuan terbeban dengan persaingan yang tidak adil kerana pihak luar juga membeli secara ‘spekulatif’. Ada pihak pemaju diketahui lebih suka menjual kepada pihak luar. Ini pun satu gejala juga.
Disaming itu juga kerajaan boleh bertindak mengurang kos pembinaan bagi menurunkan harga rumah khususnya dari segi bekalan semen dan besi keluli. Tamatkan monopoli pengimportan semen dan bemensi keluli dengan tidak menghentikan pemberian AP dalam dua bahan bina terpenting ini yang sekaligus akan menyaksikan harga kos rumah dan pembinaan mampu diturunkan.
Agak pelik penjualan besi (steel) adalah pada paras yang hampir dua kali ganda harga pasaran dunia. Industri pembinaan adalah industri yang telah matang dan tidak perlu perlindungan dengan AP. Izinkan pasaran menentukan harga dan kita akan saksikan bahawa tidak ada pengherotan atau ‘market distortion’ dalam harga hartanah. Ia sekaligus akan mengurangkan harga rumah dan hartanah. Menafaatnya adalah untuk rakyat.-HD
Dr Dzulkefly Ahmad,
Pengarah Eksekutif
Pusat Penyelidikan PAS Pusat
Laporan Audit Dedah Jkm Beri Bantuan Kepada Orang Mati
Posted on Thursday, October 03 @ 00:35:27 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan
KUALA LUMPUR 2 OKT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang membuat pembayaran Bantuan Am kepada penerima yang meninggal dunia, dedah Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Mengikut laporan itu, Bantuan Am ialah pemberian wang bagi membantu individu yang tidak berkemampuan dan memerlukan.
“Pada keseluruhannya pengauditan setakat Julai 2012 mendapati pengurusan Bantuan Am kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan.
“Antaranya, pembayaran dibuat kepada penerima yang meninggal dunia, bantuan dikeluarkan daripada akaun penerima yang meninggal dunia dan agihan bantuan kepada penerima yang telah ditamatkan,” laporan itu dipetik.
Mulai Januari 2010, kadar baru Bantuan Am oleh Kerajaan Pulau Pinang ialah antara RM100 hingga RM350 sebulan bagi setiap penerima yang layak.
Memetik Keadilan Daily, beberapa kelemahan lain turut dikesan dalam pengauditan yang dijalankan setakat bulan Julai 2012 itu.
Kerajaan Persekutuan memperuntuk 33.3 peratus atas kadar semasa sebagai tambahan kepada bantuan sedia ada.
Antara 2010 sehingga Julai 2012, jumlah penerima bantuan yang aktif di Pulau Pinang ialah 2,866 orang.
Bagi tempoh itu, JKM Pulau Pinang menerima RM12.23 juta peruntukan dan sehingga Julai 2012 sejumlah RM10.55 juta (86.2 peratus) dibelanja.
Ketua Audit Negara menyarankan jabatan itu supaya mendapatkan kerjasama polis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang dan Bank Simpanan Nasional berhubung penyelarasan maklumat terkini.-selangorku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan