Khamis, 3 Oktober 2013

OBAMA PUN SEDANG BERMASALAH DI NEGARANYA....ALLAH MAMPU BUAT APA SAJA YANG DIKEHENDAKINYA

Audit: Himpunan macam Bersih desak ambil tindakan

Harakahdaily, 02 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Sudah sampai masanya diadakan himpunan seperti Bersih, tetapi kali ini untuk menuntut penyiasatan dan tindakan diambil kepada mereka yang didapati bersalah dan bertanggungjawab berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara.

“Tekanan untuk perkara ini diberi perhatian perlu datang daripada rakyat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tambahnya, tekanan harus diteruskan sehingga kerajaan BN mengaku bahawa kerajaan mereka boros.

Jika tidak, kata beliau budaya ketirisan itu akan berterusan dan rakyat akan disuruh terus membayar lebih untuk menampung kos kehidupannya untuk membolehkan kerajaan BN terus berboros dalam perbelanjaannya.

Katanya lagi, ketirisan yang dilaporkan setiap tahun dalam Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan Malaysia memerlukan rasionalisasi perbelanjaan di semua jabatan kerajaan terlebih dahulu sebelum menghukum rakyat dengan rasionalisasi subsidinya.

Menurutnya, tidak adil buat kerajaan yang hanya tahu suruh rakyat membayar lebih 20 sen seliter untuk minyak yang menjadi keperluan hariannya untuk mencari rezeki tatkala agensi-agensi kerajaan terus menerus melakukan pemborosan membeli perkakasan yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

Bayangkan, ujarnya jam dinding yang berharga RM100 dibeli pada harga RM3,810 oleh Radio Televisyen Malaysia menggunakan duit rakyat.

“Cukup kecil hati rakyat jikalau duit yang dijimatkan daripada pengurangan subsidi minyak digunakan untuk pembelian-pembelian seperti ini yang cukup menjengkelkan,” katanya.

Beliau berkata, pada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang berkata laporan Ketua Audit menunjukkan ketelusan pentadbiran negara, PAS berharap beliau dapat menggunakan kepintarannya yang diwar-warkan sendiri untuk melihat bahawa ketirisan itu menandakan sistem perolehan kerajaan telah rosak dijangkiti barah rasuah sehingga akarnya.

Di sini, kata beliau perlunya kerajaan BN untuk melakukan rasionalisasi perbelanjaan sebagai kemoterapi merawat barah ini sebelum memerah otak mereka menekan rakyat untuk menampung perbelanjaan.

Tuan Ibrahim menambah, persoalan yang berlegar di fikiran rakyat ialah kenapa tiada sebarang tindakan apabila setiap kali laporan audit dibentang.

“Ke manakah perginya transformasi yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri yang sepatutnya membendung barah ini?” tanya beliau.

Tambahnya lagi, ternyata laungan transformasi beliau hanya slogan kosong.

“Kita yakin selagi kerajaan BN menerajui negara, penyalahgunaan kuasa dan pengurusan sumber kewangan negara akan berterusan,” ujarnya.

Menurut beliau, media-media boleh terus mengorek ketirisan-ketirisan yang telah berlaku, tetapi sekiranya rakyat Malaysia terus mengambil sikap hangat-hangat tahi ayam dalam soal ketirisan, kerajaan BN akan terus bersikap acuh tidak acuh pada laporan Ketua Audit itu.

Hope2walk tuntut sekolah khas bagi cerebral palsy

Anis Nazri, 02 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Ibu bapa kepada kanak-kanak istimewa, An-Nur Mohamad Affandi, 10,  yang mengalami kecacatan cerebral palsy (CP) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di parlimen.

Memorandum itu turut diserahkan ke beberapa kementerian iaitu Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan dan Ketua Pembangkang Malaysia.

Mohamad Affandi, yang juga merupakan Naib Pengerusi Pertubuhan Anak cerebral palsy (Hope2Walk) dalam kenyataannya kepada media, berkata memorandum tersebut bagi menuntut sekolah pendidikan khas bagi golongan tersebut.

"Di Malaysia memang terdapat sekolah pendidikan khas, namun ia tidak sesuai untuk pemulihan bagi golongan CP. Golongan ini agak berbeza dan tidak sama dengan golongan lain seperti autisme dan sebagainya," kata beliau.

Tambah beliau, golongan CP ini merupakan golongan orang kelainan upaya (OKU) terlantar yang mana anak yang dilahirkan terlantar, terencat perkembangan dan pembesaran, malah tidak mampu menguruskan diri.

Kategori OKU terlantar ini, katanya tidak sama dengan kategori OKU lain yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan seperti kecacatan anggota tetapi boleh mengurus diri, cacat akal tapi masih boleh mengurus diri dan sebagainya.

Namun, katanya untuk golongan CP yang didefinisikan sebagai kelumpuhan otak ini, ia memerlukan satu perhatian serius, khususnya dalam soal pendidikan seperti yang disediakan di luar negara.

"Di negara Scandinavia atau di Lingkaran Artik seperti Sweden, Norway, Denmark dan Finland, selain United kingdom, Amerika Syarikat dan Australia menyediakan sekolah khas untuk golongan CP, lengkap dengan sukatan pelajaran dan kaedah sistematik," kata beliau.

Sehubungan itu, Affandi berharap pihak kerajaan bersedia mempertimbangkan permohonan yang dikemukakan Hope2Walk bagi memastikan keperluan kanak-kanak CP diberi keutamaan.

Kelantan buka dua lagi penempatan Orang Asli

Salmah Mat Husain, 02 Okt 2013
KOTA BHARU: Keprihatinan Kerajaan Kelantan terhadap masyarakat Orang Asli, dua kawasan lagi telah dijadikan penempatan baru untuk golongan itu.

Ianya diluluskan melalui Seksyen 62 KTN 1965 dalam usaha membantu golongan itu mendapatkan penempatan baru bersesuaian dengan perkembangan masyarakat mereka juga semakin bertambah.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata dua kawasan terbabit di Jeli iaitu di tepi sungai dengan 1,464.88 ekar dan dalam Mukim Nenggiri Daerah Bertam dengan keluasan 577.26 ekar.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Katanya, kerajaan Kelantan hari ini telah bersetuju berbuat demikian untuk membantu membangun masyarakat itu di atas tanah milik kerajaan negeri sebagai tapak perkampungan mereka yang baru.

Dengan hasrat itu, menurutnya secara tidak langsung akan menangkis kenyataan pihak tertentu yang mendakwa kerajaan negeri tidak peka terhadap nasib golongan terbabit.

“Kita menolak fitnah pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri tidak ambil berat terhadap nasib mereka,” ujarnya.

Katanya, sebelum ini 606 ekar telah dijadikan penempatan Orang Asli  di Gua Musang.

Koperasi Permodalan K’tan bayar dividen RM225,640

Salmah Mat Husain, 02 Okt 2013
KOTA BHARU: Koperasi Permodalan Kelantan Berhad (KRKB) telah mengisytiharkan pembayaran dividen sebanyak 55 peratus kepada ahlinya seramai 267 orang berjumlah RM225,640.92.

Pengerusinya, Hassan Shukri Hussin berkata, bayaran berkenaan dibuat berikutan hasil aktivit-aktiviti perniagaan seperti pajak gadai Islam Ar-Rahn dan Ar-Rahn Xtra, telefon bimbit, iPad, jam berjenama, barangan elektrik dan lain-lain lagi yang berharga.

Menurutnya, pada masa yang sama Tabung Pelaburan 1 yang diperkenalkan pada tahun 2009 telah mengekalkan prestasi bayaran dividen yang sama sepanjang tiga tahun.

“Untuk meningkatkan hasil jualan PKB telah melantik Koperasi Kelantan Berhad sebagai franchise management company.

“Sehingga kini kita telah mempunyai tiga francais yang telah bersama-sama untuk meningkatkan tahap ekonomi koperasi,” ujarnya pada sidang media di sebuah hotel di sini.

Kata Hassan antaranya francais Ar-Rahn yang kini telah beroperasi, iaitu di Sabah dan tiga di Semenanjung.

Pada masa yang sama beliau memberitahu Ar-Rahn X-Tra turut beroperasi di Pusat RTC, Tunjong.

Sambungnya, memandangkan RTC menjadi pusat pasaran ekonomi yang semakin maju, pihaknya telah menyediakan Ar-Rahn di situ bagi memudahkan para peniaga mendapat modal segera.

Hassan seterusnya berkata, memandangkan koperasi ini semakin maju dan berkembang, pihaknya berhasrat untuk meluaskan perniagaannya dalam hartanah seperti membina rumah pelbagai kos yang kini semakin mendapat perhatian masyarakat.

Koperasi Permodalan Kelantan Berhad telah ditubuhkan pada 26 Januari 1998 melalui Akta Koperasi 1993 (pindaan) sebagai koperasi kredit yang dibuka hanya pada kakitangannya sahaja.

TPPA: Obama tak hadir, himpunan diteruskan

Hazayani Zakaria, 02 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Perhimpunan membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan tetap diteruskan pada 11 Oktober ini di KLCC walaupun tanpa kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Jurucakap gabungan NGO Bantah TPPA, Badrul Hisham Shahrin yang juga Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, segala gerakan mobilisasi yang disusun berjalan seperti biasa termasuklah Jelajah #BantahObama #TolakTPPA.

SAMM tegasnya, tetap menggesa agar wakil Obama iaitu Setiausaha negara John Kerry 'disambut' oleh rakyat Malaysia dengan simbol-simbol penolakan.

"Tidak kira siapa pun wakil Amerika Syarikat yang datang ke Malaysia, negara yang berpaksikan fahaman zionisme dengan sikap imperialis, kapitalis yang menindas ini adalah pembuli masyarakat dunia khususnya mewujudkan kecelaruan Islamiphobia, juga merupakan perancang utama Perjanjian TPPA yang penuh agenda tersembunyi.

"Ketidakhadiran Obama bukan bermakna Malaysia terkeluar dari rundingan menyertai Perjanjian TPPA, maka rakyat harus bersatu menunjukkan kekuatan bagi menghalang perjanjian 'rahsia' ini dimetrai," tegas beliau dalam satu kenyataan.

Menurut beliau juga, impian menjadikan ekonomi Malaysia lebih baik dengan mengikat janji bersama Amerika umpama meletakkan lembu sihat ke dalam kandang harimau yang luka.

"US sedang mengalami kejatuhan ekonomi teruk, Obama dan pentadbirannya sedang bergelut untuk menaikkan kadar hutang negaranya. Maka apakah wajar kita membenarkan negara ini diheret bergelumang dengan masalah ekonomi Amerika?" soalnya.

SAMM bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama Gabungan Membantah TPPA (Bantah) dengan pendokong utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) sedang mengadakan jelajah Bantah TPPA yang bermula 17 September lalu.

Gabungan itu juga akan menganjurkan pentas perdana sebagai kemuncak jelajah pada 10 Oktober iaitu sehari sebelum himpunan di KLCC.

Meeka akan menjemput ramai tokoh negarawan termasuklah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berada sepentas menjelaskan betapa TPPA ini harus ditolak rakyat dan surat jemputan telah disahkan terima oleh kedua pihak.

Sementara itu, satu perjumpaan penting melibatkan banyak pihak terdiri dari perbagai NGO dan parti politik akan diadakan esok sebagai persediaan akhir menggandakan mobilisasi demonstrasi 11 Oktober.

Manakala pengumuman penting akan dibuat dalam satu sidang media yang akan diadakan pada hari Jumaat ini.

Berikut merupakan jadual Jalajah TPPA sehingga 10 Oktober:

4 Oktober   : Pusat Komuniti Bakri-Bentayan, Muar, Johor
5 Oktober   : Taman Asean, Bandar Melaka, Melaka
6 Oktober   : Taman Tasek Jay, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan
8 Oktober   : Dewan Seri Sekinchan, Selangor
10 Oktober  : Grand Finale, Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: