Rabu, 2 Oktober 2013

KORBAN AKAN ALLAH TERIMA JIKA AKIDAH KITA BENAR@HAQ SERTA IBADAH KITA SAH IAITU DITERIMA ALLAH SWT...JANGAN SEKALI AKIDAH LINTANG PUKANG

Menteri guna kedudukan lobi cawangan Umno?

Aslani M, 01 Okt 2013
KOTA BHARU: Calon yang mempunyai kedudukan dalam kabinet dan ada jawatan agensi kerajaan mengatasi pemimpin Umno lain. Mereka dikatakan mempunyai rangkaian kempen melibatkan agensi kerajaan.

Jabatan dan agensi kerajaan tertentu difahamkan diarah mengatur program khas menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC dengan cawangan-cawangan Umno di seluruh negara.

Bagaimanapun program tersebut difahamkan dibuat atas nama aktiviti menteri bersama masyarakat.

“Namun yang dijemput hadir cawangan-cawangan Umno dan bukannya orang ramai. Menteri menggunakan hubungan rapat dengan ketua-ketua bahagian bagi menghimpunkan cawangan-cawangan.

“Baru-baru ini memang menteri kerap berkunjung ke kampung-kampung, namun khalayak ditemui cawangan-cawangan Umno,” dakwa beberapa sumber di sini.

Umno sebelum ini meminda perlembagaan parti dengan memberi kuasa kepada 150,000 perwakilan memilih pemimpin bagi mengelakkan gejala politik wang.

Bagaimanapun ramai berhujah format baru pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) dianggap tidak mampu mengubah tabiat lama calon yang bertanding.

Persidangan Umno peringkat cawangan diadakan sehingga 15 September lalu,  manakala mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian akan diadakan serentak pada 12 Oktober ini.

Pemilihan MT dan wakil bahagian ke Perhimpunan Agung Umno 2013 akan diadakan serentak pada 19 Oktober. Perhimpunan Agung Umno pula akan diadakan bermula 2 Disember 2013.

(Ikuti pendedahan lanjut dalam Harakah cetak keluaran akan datang)

PPSMI bukan penentu kedudukan universiti

Salmiyah Harun, 01 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) menegaskan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak memainkan peranan bagi menentukan kedudukan (ranking) sesebuah universiti.

Pengerusi GMP Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, bahasa pengantar universiti tidak pernah menjadi faktor penilaian asana atau ranking universiti antarabangsa oleh mana-mana pihak penilainya seperti ranking QS World University Ranking atau THES yang diikuti universiti negara ini.

Katanya, universiti di Asia yang berada pada ranking pertama hingga ke-50 daripada 300 buah universiti yang dinilai oleh QS dalam tahun 2013 tidak mengamalkan PPSMI.

Universiti tersebut dari negara  Arab Saudi, Iran, Israel, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Tiongkok (dan Hong Kong) dan Turki.

"Walaupun universiti di Singapura berasana ke-2 dan ke-11 yang mungkin suka dijadikan contoh negara yang mahukan PPSMI tetapi universiti-universiti di Hindia yang juga melaksanakan PPSMI, asana tertingginya ialah yang ke-30," katanya dalam satu kenyataan.

Perlu diingatkan juga, katanya,  PPSMI di Malaysia yang dilaksanakan sejak 2002 manakala bermula tahun 2004 universiti pula menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar malangnya ia tidak memberi kesan positif terhadap ranking universiti negara ini.

"Bahkan UIAM yang memang berpengantar Bahasa Inggeris sejak penubuhannya 1983 lagi mendapat ranking ke bawah 50," tegasnya.

Beliau berkata demikian sebagai menyangkal pandangan Tun Mahathir Mohamad yang menegaskan PPSMI boleh membantu menaikkan ranking universiti di Malaysia.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu menyatakan tindakan kerajaan tidak memasukkan dasar Pengajaran dan PPSMI dalam pelan pendidikan negara adalah satu kesilapan kerana ia boleh membantu menaikkan ranking universiti di Malaysia yang dilihat terus menurun.

Beliau berkata, lebih banyak penekanan perlu diberikan kepada penggunaan bahasa itu terutama bagi subjek Sains dan Matematik di sekolah untuk menaikkan ranking universiti di negara ini.

Sudahkah kita berkorban?

Ahmad Baei Jaafar, 01 Okt 2013
Korban dalam bahasa Melayu boleh difahami dalam banyak maksud. Orang yang teraniaya oleh sesuatu keadaan dikatakan korban. Mangsa yang terlibat dalam kemalangan juga dikatakan korban. Memberi sesuatu demi agama juga dikatakan korban. Tetapi kalau perkataan korban dirujuk kepada bahasa Arab bermaksud dekat – dekat dengan Allah.

Sungguhpun begitu kalau korban itu dirujuk kepada ibadah menyembelih binatang ternakan pada hari-hari 10-13 Zulhijah diistilahkan sebagai “udhiyah”. Namun dalam bahasa Melayu masih menggunakan istilah korban. Ibadah ini akan bermula selepas solat hari raya Aiduladha sehingga hari ke 13 Zulhijah sebelum terbenam matahari.

Ibadah ini disebut korban kerana untuk melakukan penyembelihan binatang ternakan perlukan pergorbanan. Maknanya sebelum boleh menyembelih seseorang itu perlu korbankan wang untuk membeli binatang tersebut. Atau perlu korbankan perasaan sayang kepada binatang yang dipeliharanya sekian lama. Yalah, kalau dijual dapat hasil keuntungannya.

Walau apapun makna korban, ada pihak terseksa atau terkorban kecuali mereka beriman kepada Allah dan Rasul. Bayangkan kalau orang yang teraniaya kerana sesuatu keadaan lalu dia berserah kepada Allah kerana akur dengan takdir Allah pasti jiwanya tenang. Begitu juga dengan yang terkorban dalam sesuatu kemalangan, jika redha dengan takdir ini tentu besar pahala. Apatah lagi kalau dia korbankan kambing kesayangannya tentu besar nilaian Allah.

Korban Zaman Rasulullah


Jika kita lihat kepada amalan ibadah korban pada zaman Rasulullah, hanya melibatkan kibas dan unta. Hal ini kerana pada zaman itu kibas dan unta sahaja yang dipelihara untuk tujuan perdagangan selain untuk makanan mereka sendiri. Selain itu setiap individu dipercayai memelihara kibas dalam kadar yang kecil untuk kegunaan sendiri.

Walau bagaimanapun unta ini tidak dipelihara kecuali untuk tujuan komersial sama ada dijual atau untuk sewaan kenderaan. Oleh sebab unta tidak mampu dimiliki oleh semua orang, maka unta dianggap bahan mewah. Berdasarkan kedudukan itu orang Islam dicabar supaya berkorban dengan menyembelih unta atau kibas dalam sabdanya yang bermaksud:

“Barang siapa mempunyai kesanggupan dan kemampuan (untuk berkorban) tapi tidak mahu berkorban maka janganlah dia mendekati Musholla kami.”


Tentu dengan cabaran ini semua sahabat boleh berkorban dengan menyembelih kibas. Hal ini kerana mereka masing-masing memelihara kibas. Tetapi kalau semua menyembelih seekor kibas, kepada siapa pula daging itu boleh diagihkan. Ya, kalau mereka memikirkan hak dan kepentingan sendiri tentu mereka akan sembelih dan makan sendiri. Tetapi dalam ajaran Islam setiap korban, pemilik hanya boleh makan sendiri sebanyak 1/3 sahaja.

Berdasarkan hukum itu, mereka akur dan mengagihkan daging korban itu sesama mereka dengan tukar menukar daging korban. Jadi, mereka dapat merasai daging korban orang lain. Di sini tidak timbul isu pembaziran kerana lazimnya seekor kibas boleh dimakan oleh satu keluarga orang Arab.

Tetapi bagaimana dengan korban unta? Tidak semua sahabat mampu memilik unta. Maka di sini orang yang layak berkorban untuk ialah orang yang memelihara unta terebut. Tetapi kalau orang lain mampu membeli unta tentu mereka boleh lakukan. Tapi bolehkah mereka lakukan perintah korban kalau mereka tidak ada wang?

Falsafah korban lebih besar


Sebenarnya amalan korban yang direalisasikan pada zaman Rasulullah SAW berdasarkan falsafah yang ditetapkan. Berdasarkan korban zaman Rasulullah dapat kita fahami falsafah korban iaitu suatu tuntutan perjuangan untuk mengenepikan rasa cinta kepada wang, perasaan, dan nyawa. Mungkin dalam hal ini pengorbanan seseorang tidak sama antara satu sama lain.

Mungkin pada orang kaya mereka perlu korbankan perasaan. Mereka banyak harta, banyak unta dan kibas tetapi untuk menyahut seruan korban, mereka perlu korbankan perasaan sayang kepada harta tersebut. Namun mungkin pada orang miskin lain pula cabarannya. Mereka perlu korbankan wang yang sentiasa tidak cukup. Maka mereka perlu mencari wang tambahan untuk membolehkan mereka mendapat kibas dan sembelih.

Falsafah korban yang berjaya dilakukan oleh golongan kaya mahupun miskin adalah tanda mereka redha dengan cabaran Allah. Sungguhpun begitu bentuk pengorbanan ini adalah cabaran awal yang merupakan latihan ke arah pengorbanan yang lebih besar. kalau umat Islam boleh melakukan korban wang dan perasaan tentulah suatu hari nanti mereka mampu melakukan korban yang melibatkan nyawa dan darah.

Lihatlah sahabat Rasulullah seperti yang telah disebut di atas, apabila mereka mampu korbankan wang dan perasaan dengan menyembelih kibas dan unta, maka tiada halangan untuk mereka turun ke medan perang melawan musuh bagi mempertahankan Islam dan negara. Tawaran sukar ini disambut dengan baik.  Mereka tidak sayangkan nyawa dan darah mereka, malah terus mengejar syahid.

Keadaan itu kalau kita bawa ke zaman ini tentu jauh bezanya. Lihatlah berapa ramai umat Islam yang kaya boleh korbankan perasaannya? Biasanya orang kaya sekarang sanggup berkorban adalah kerana wang sudah banyak, lalu dengan itu dia tidak ada rasa sayang dengan berkurangan wang mereka. Manakala orang miskin pula, mereka bukan sahaja tidak sanggup berkorban wang ringgit malah menjadi alasan kuat untuk mereka tidak melakukan korban.

Kalau begitulah kedudukan kita pada hari ini mampukah kita sahut cabaran untuk korbankan nyawa dan darah di medan perang? Inilah realiti umat Islam pada hari ini. Mereka tidak sanggup untuk korbankan nyawa dan darah untuk mempertahankan Islam dan negara. Percayalah mereka yang sanggup masuk angkatan tentera, asalnya bukan kerana mahu berkorban tetapi kerana jaminan gaji tetap dan pencen sepanjang hidup.

Sudahkah kita berkorban?

Tahun ini kita akan menempuh hari-hari korban lagi. Kalau orang di Kelantan dan Terengganu amalan membuat korban adalah secara keluarga. Tetapi kalau orang negeri-negeri lain mereka buat korban melalui anjuran masjid. Walaupun sesebuah masjid membuat korban lebih 10 ekor lembu, namun kalau hendak dibandingkan dengan peratus penduduk sekitar kariah tersebut adalah masih kecil mereka yang sanggup berkorban.

Oleh sebab tidak ramai yang berkorban, maka agihan kepada anak kariah tidak boleh merata dan tidak boleh dalam kadar yang banyak. Persoalannya, adakah mereka yang tidak berkorban itu kerana tiada wang atau sayangkan wang? Kalau jelas mereka tiada wang kenapa tidak usahakan untuk mendapatkan wang tambahan untuk membolehkan mereka membeli lembu atau kambing korban?

Kalau kita sedar pentingnya seruan supaya berkorban tentu mereka akan usahakan untuk mengumpul wang secara bulanan untuk membolehkan mereka berkorban. Kalau cara ini boleh dilakukan sudah layaklah mereka dianggap telah melakukan korban. Ingatlah orang kaya yang sanggup berkorban kerana wang banyak belum tentu boleh dinilai sebagai telah berkorban.

Sebenarnya orang kaya yang hendak berkorban seharusnya bertindak atas dasar hendak korbankan perasaan sayangkan terhadap harta atau wang. Kalau dia sanggup korbankan perasaan sayang kepada wang ringgitnya lalu wang itu dibelinya binatang korban, barulah nilai korbannya tercapai. Saya percaya kita semua mampu berkorban pada tahun ini berdasarkan falsafah korban di atas.

Dalam hal ini Rasulullah memberi jaminan dengan sabdanya yang bermaksud:

“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan redha akan ibadat korban yang kamu lakukan.”
(Riwayat al-Tirmizi)

Yakinlah kalau Allah redha dengan pengorbanan yang kita laku apa lagi yang kita harapkan dengan korban ini. Oleh sebab itu sewaktu kita melakukan korban dengan sembelihan binatang ternakan redhalah dengan wang yang dikeluarkan, lepaskan rasa sayang kepada harta yang dimiliki dengan ketentuan Allah. Saya yakin dengan cara ini kita akan mampu tingkatkan korban kita ke arah korban nyawa dan darah.

http://baei.blogspot.com

Runtuh: Kerajaan T’ganu tidak ambil pengajaran

Harakahdaily, 01 Okt 2013



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Baharin berkata, pihak kerajaan sewajarnya mengambil pengajaran daripada siri runtuhan yang berlaku di negeri itu sejak beberapa tahun yang lalu.

Katanya, runtuhan bangunan yang sering berlaku di negeri itu bukan disebabkan masalah teknikal semata-mata, tetapi juga termasuk soal nilai khususnya dalam mengawasi dan memantau projek-projek tersebut.

"Peraturan profesional dan jabatan kawalan ada kalanya tidak diikuti menyebabkan kelonggaran dan kerendahan faktor keselamatan dan mutu binaan," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Paling ketara katanya dalam isu bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh pada 2009, di mana jawatankuasa khas ditubuhkan yang diketuai JKR bagi menyiasat punca kejadian itu.

Namun katanya, runtuhan bumbung kedua berlaku lagi pada 2013.

"Jadi kenapa kerajaan tidak amanah dalam menyelamatkan duit rakyat.

"Banyak peraturan dibuat kerajaan tetapi tidak diikut," katanya.

Turut serta pada sidang media itu Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar, Ahli Perlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Presiden PAS ziarah kuburan Almarhum Ustaz Azizan

Zulkifli Yahaya, 01 Okt 2013


POKOK SENA: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini menziarahi kuburan bekas Menteri Besar Kedah, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak di Muassasah Darul Ulum yang meninggal dunia Khamis lalu.

Sebaik tiba di tapak perkuburan kira-kira jam 12 tengahari, Tuan Guru Abdul Hadi bersama rombongan menunaikan solat jenazah ghaib serta mendoakan kesejahteraan untuk Almarhum Ustaz Azizan.

Ustaz Abdul Hadi tidak hadir di majlis pengkebumian bekas Pesuruhjaya PAS Kedah Khamis lalu kerana menghadiri forum persidangan Islam di Pakistan.

Beliau memuji Azizan yang sepanjang hayatnya memberikan komitmen tinggi untuk perjuangan Islam.


"Sepanjang hayat tiada istilah rehat bagi beliau, sehinggalah Allah SWT menjemputnya dari ribaan umat,” kata Abdul Hadi.


Turut hadir menziarahi kubur Almarhum Ustaz Azizan ialah Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, Timbalannya, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Setiausaha Politik Presiden PAS,  Dr Ahmad  Samsuri Mokhtar.

PAS ambil tindakan langgar etika berkempen

Salmiyah Harun, 01 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke-59 menegaskan mereka  tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang berkempen secara tidak sihat dalam pemilihan kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Asmuni Awi berkata, mana-mana ahli PAS yang didapati melanggar garis panduan dan etika berkempen mungkin boleh dibatalkan kemenangan calon.

Malah katanya, jawatankuasa tatatertib boleh mengambil tindakan sekiranya terdapat aduan daripada pihak yang terancam dengan kempen yang dilancarkan oleh saingannya.

"Kita sedia maklum kempen-kempen giat berlangsung, seseorang itu boleh laporkan kepada kita jika ada pihak yang rasa terkilan, ataupun secara terangan kesalahan dari kaca mata kita sendiri. Kita ambil perhatian," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di Jalan  Raja Laut hari ini.

Pada pemilihan kali ini, katanya calon dibenarkan mempromosikan diri mereka sama ada bersendirian atau berpasukan bagaimanapun tertakluk kepada bahagian 6 dalam peraturan tersebut.

Bahagian 6 peraturan itu menggariskan; menerbitkan, mengeluarkan, menyiarkan atau mengedarkan dalam apa jua bentuk, sebarang bentuk kenyataan sama ada lisan atau dalam bentuk tulisan atau grafik atau karikatur di dalam apa-apa medium sekalipun, yang mengandungi fitnah, kejian, celaan, sindiran atau apa juga kenyataan palsu sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan tujuan mempengaruhi atau mendorong mana-mana ahli PAS supaya mencalonkan atau tidak mencalonkan atau mengundin atau tidak mengundi mana-mana ahli PAS.

Asmuni turut mengakui sebelum ini PAS tidak pernah mengeluarkan garis panduan berkempen tetapi pada kali ini ramai orang hendak tahu apa yang calon buat dan tidak buat.

"Sebelum ini memang tidak ada, jadi kali ini adalah lebih baik kita benarkan kempen secara sihat, mereka yang dilantik sebagai juru kempen akan memudahkan kita untuk awasi mereka," katanya.

Berhubung borang pencalonan, Asmuni mengingatkan borang pencalonan bagi kawasan yang diisi dan dihantar melalui emel tidak akan diterima kerana setiap borang mesti ditandatangani YDP Kawasan masing-masing.

Asmuni turut mengingatkan kepada mereka yang disenaraikan sebagai calon oleh PAS Kawasan hendaklah mengesahkan penerimaan mereka sebelum atau pada 8 November ini, sebelum jam 5.00 petang.

Manakala katanya, tarikh akhir untuk menghantar borang pencalonan untuk AJK PAS Pusat, Dewan Pemuda dan Muslimat pada 20 Oktober jam 12.00 malam, manakala tarikh tutup pencalonan Dewan Ulamak pada 31 Oktober.

Pemilihan ahli jawatankuasa PAS pusat akan berlangsung pada 22 November depan di Stadium Malawati dan keputusannya akan diumum keesokan harinya.

Manakala, pemilihan sayap-sayap akan berlangsung pada 21 November pada waktu pagi dan keputusan akan diumumkan pada sebelah malam.

Tiada ulasan: