Selasa, 8 Oktober 2013

JADI MUNAFIK YANG JELAS...BILA BERCAKAP BOHONG...BILA DIBERI AMANAH IA KHIANAT...BILA BERJANJI MUNGKIR

45% pelajar Kelantan belajar perubatan di Mesir

Aslani M, 07 Okt 2013
KOTA BHARU: Kira-kira 45 peratus daripada jumlah pelajar Kelantan yang melanjut pelajaran ke institusi pengajian tinggi di Mesir belajar dalam bidang perubatan.

Anggota Exco, Datuk Dr Mohamad Fadzli Hassan berkata, pelajar terbabit melanjut pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

"Jumlah pelajar terbabit iaitu seramai 663 orang daripada lebih 1,500 pelajar Kelantan yang sedang menuntut di Mesir," katanya pada persidangan Dun hari ini.

Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan Azami Mohd Nor (PAS-Kadok).

Katanya, selain bidang pengajian lain termasuk Pengajian Islam dan Bahasa Arab seramai 682 pelajar, pengajian al-Quran (104), matrikulasi (4) dan lughah (34).

Menurutnya, kalau sebelum ini ramai yang melanjut pelajaran ke Mesir hanya dalam bidang agama sahaja, namun sekarang sudah berlainan.

Kata beliau ramai berminat melanjut pelajaran ke Mesir sekarang dalam bidang perubatan bagi membolehkan mendalami ilmu agama dan Bahasa Arab.

"Sebab itulah sekarang 7,000 daripada 12,000 pelajar Malaysia di Mesir belajar dalam bidang perubatan," katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri tidak bercadang memindah pelajar di Mesir ke tempat lain memandang keadaan di sana sekarang semakin reda.

Namun pelajar masih diberi pilihan lain sekiranya mereka ada pilihan sendiri.

Dr Fadzli juga berkata kerajaan negeri memberi saguhati sebanyak RM1,000 kepada pelajar kelantan yang dibawa pulang ketika Ops Piramid 2.

Nuridah kekal Ketua Muslimat PAS Wilayah

Hazayani Zakaria, 07 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) mengekalkan Ustazah Nuridah Salleh (gambar) sebagai ketua muslimat bagi sesi 2013-2015.

Dalam mesyuarat yang diadakan di Gombak semalam, Nuridah menang tanpa bertanding.

Jawatan-jawatan lain juga dipegang muka-muka lama selepas tiada  pengundian dijalankan.

Seramai lapan orang mewakili setiap kawasan iaitu sebanyak 12 kawasa, kecuali Wilayah Persekutuan Labuan menghantar dua perwakilan sahaja.

Mesyuarat dirasmikan oleh Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Berikut adalah senarai penuh organisasi Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan bagi sesi 2013-2015.

Pengerusi Tetap: Faizah Ismail
Timbalan Pengerusi Tetap: Fauziah Bidin

Ketua: Ustazah Nuridah Salleh
Timbalan Ketua: Dr Rosni Adam
Naib Ketua: Sakinah Awang

AJK:
Dr. Hani Ali
Sharifah Rashida Syed Idrus
Kartini Ahmad
Rosiah Husien
Khairy Syutina Mahmud
Normilan Mamat
Ustazah Teh Izzanuri jamaluddin
Zarina Amri Shahidin
Salbiah Wahab

Bohong berlapis pemimpin BN

Zulkifli Yahaya, 07 Okt 2013

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu tiada penyelewengan berhubung kehilangan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentang di Dewan Rakyat, menyatakan bahawa PDRM kehilangan 309 aset bernilai RM1.33 juta dalam tempoh tiga tahun dari 2010 hingga 2012 termasuk 44 unit senjata api. Laporan tersebut turut menyatakan aset tertinggi yang hilang ialah gari iaitu sebanyak 156 unit selain 29 unit kenderaan PDRM.

Hilang dan seleweng mempunyai dua maksud yang berbeza. Tidak semestinya kehilangan aset tersebut kerana berlaku penyelewengan. Namun polis adalah pihak yang memegang amanah menjaga keselamatan negara,  jika berlaku kehilangan yang begitu besar sehingga mencecah nilai RM1.33 juta bermakna mereka sudah melakukan penyelewengan dalam menjaga amanah.  Lalai juga adalah satu bentuk penyelewengan amanah.  Mengapa Menteri Dalam Negeri beriya-iya hendak membohongi rakyat dengan mengatakan tiada penyelewengan?

Lagi fakta menarik dalam laporan Ketua Audit Negara ialah Kementerian Belia dan Sukan telah membazirkan wang rakyat kerana membayar K-Pop pada sambutan Hari Belia Negara sejumlah RM1.6 juta. K-Pop adalah kumpulan penyanyi wanita muda dari Korea yang terkenal dengan persembahan separa bogel.

Perkara ini pernah didedahkan Pakatan Rakyat sejurus selepas program untuk menarik belia menyokong BN itu diadakan. Namun jurucakap KBS sendiri memberitahu kononnya RM1.6 juta dibayar oleh pihak swasta, bukan guna duit kerajaan.

Mustahil untuk Ketua Audit Negara kemudiannya mengemukakan sebuah laporan palsu apabila mendakwa KBS membayar K-Pop menggunakan duit kerajaan. Menteri Belia dan Sukan sekarang, Khairy Jamaludin turut mengesahkan bahawa pembayaran terpaksa dibuat sendiri oleh KBS setelah penaja tidak menepati janji.

Tiba-tiba bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek cuba membuat putarbelit baru dengan mendakwa penaja ada memberi sumbangan. Bagi mempertahankan diri, Shabery mendakwa pihak Ketua Audit Negara sebagai culas.

Sudahlah pembohongan mereka berlapis-lapis, pihak lain pula yang menjadi mangsa. Jabatan Audit tidak fasal-fasal menjadi 'punching beg' para pemimpin kerajaan yang cuba menutup penyelewengan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata negara Israel menciplak slogan 'Endless Possibilities' dari Malaysia. Hujahnya, Israel melancarkan slogan sama pada Mei tahun ini, manakala Malaysia menggunakan slogan tersebut sejak Januari.

Slogan baru yang diperkenalkan untuk mengiringi slogan '1Malaysia' itu menerima kritikan meluas kerana didakwa sebagai “produk ciplak” dari kempen Mongolia dan Israel.

Setelah disiasat rupanya slogan 'Endless Possibilities' digunakan oleh Israel sejak Disember 2011 lagi, bukannya Januari 2013. Dahsyat sungguh pembohongan para menteri BN.

Catatan di atas hanya beberapa contoh pembohongan oleh para pemimpin kerajaan yang sedang memerintah Malaysia di mana sejarah pembohongan mereka terhadap rakyat sudah berlarutan sejak separuh abad. Berbohong dan terus berbohong terhadap rakyat, itulah cara hidup mereka.

Prof. Dr Mohamad Ridhuan Osman telah mendedahkan rahsia kejayaan Firaun memerintah negara dalam tempoh yang terlalu lama. "Rahsianya kerana Firaun berjaya memperbodohkan rakyatnya," ujar beliau.

Antara yang dilakukan Firaun, dedah Dr. Ridhuan adalah menggunakan saintisnya untuk menyukat kedudukan air Sungai Nil. Dengan itu mereka boleh menjangkakan kedatangan banjir. Firaun akan mengarahkan rakyatnya untuk membuat persediaan menghadapi banjir sambil memberitahu, "Aku akan banjirkan bumi Mesir."

Demikianlah BN boleh memerintah dengan lama di Malaysia melalui strategi memperbodohkan rakyat melalui pembohongan. Oleh kerana Malaysia sebuah negara demokrasi maka kuantiti golongan yang boleh dibohongi BN akan menentukan parti tersebut terus memerintah. Semakin ramai golongan yang mempercayai pembohongan mereka, semakin banyak kerusi diperolehi, maka parti tersebutlah yang memerintah.

Tetapi dalam PRU13 lalu, BN cuma mendapat 47 peratus sokongan, mengalahkan Pakatan Rakyat yang mendapat 53 peratus sokongan. BN berkuasa juga. Mengapa? Jawabnya kerana BN bukan hanya pandai berbohong tapi pandai menipu.

Sg Limau: Pengundi luar dirayu balik mengundi

Muhammad Faizal, 07 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS menyeru kepada pengundi berdaftar bagi kerusi N20 Dun Sungai Limau, yang berada di luar kawasan, agar balik mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun itu yang ditetapkan pada 4 November nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sokongan dari pengundi luar sangat penting dalam menentukan keputusan pilihan raya itu nanti.

"PAS menggesa agar ke semua mereka yang mendaftar sebagai pengundi di Dun Sungai Limau balik mengundi pada 4 November nanti.

"Selain itu juga kita turut berharapan setiap majikan tidak kira swasta ataupun kerajaan memberi pelepasan tanpa rekod kepada pekerjanya untuk balik mengundi," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Mahfuz yang dalam pada itu mengingatkan pengundi-pengundi luar memberikan sepenuh komitmen pada PRK kali ini dalam memastikan PAS kekal di kerusi tersebut.

Jelasnya, sokongan padu yang diberikan oleh pengundi luar akan dapat merealisasikan segala amanah dan harapan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebelum ini.

"Harapan yang besar ditinggalkan oleh Azizan sebelum ini bagi memastikan PAS dapat meneruskan khidmat di Sungai Limau termasuk di Kedah.

"Atas amanah dan tanggungjawab ini saya berharap pengundi yang berada di luar balik menunaikan tanggungjawab mereka.

"PAS akan bekerja kuat bagi memastikan apa yang ditinggalkan oleh Azizan dapat kita teruskan," sambung beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga turut melahirkan kekecewaan dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan hari pengundi pada hari bekerja dan selepas perbentangan bajet.

Katanya, tindakan SPR itu bukan sahaja dilihat mengecilkan ruang demokrasi malah menyusahkan para pengundi khususnya pengundi luar untuk pulang membuang undi.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, PAS Pusat akan bermesyuarat pada 10 Oktober ini bagi membentuk Jawatankuasa Induk PRK Sungai Limau.

Audit: Tak pelik Umno BN memang boros, rasuah

Harakahdaily, 07 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Laporan tahunan Ketua Audit Negara seperti kebiasaannya penuh dengan pendedahan sensasi namun ianya tidak mengejutkan dengan mengambilkira sifat pemerintah Umno BN yang boros, tidak cekap dan rasuah.

“Ketidakcekapan dan ketirisan sebeginilah yang menyebabkan kerajaan saban tahun, tanpa segan silu, memohon belanja tambahan sehingga menjadikan situasi defisit fiskal negara semakin parah,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan.

Malah, katanya untuk tahun 2013, pemerintah memohon RM14.12 billion belanja tambahan, hatta sistem perakaunan kerajaan (Saga) yang sepatutnya digunakan untuk mencatat perbelanjaan pun turut disebut Ketua Audit Negara berdepan masalah.

Menurutnya, antara yang paling membimbangkan, kerugian pelaburan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) di dalam syarikat Time dotCom (TdC) Berhad berjumlah sehingga RM209 juta.

Beliau berkata, menggunakan wang amanah pencen pesara untuk melabur di dalam sebuah syarikat yang pasaran sedia maklum bermasalah merupakan satu keputusan yang membingungkan.

“Sekarang, pelaburan ini mencatatkan kerugian besar. Maka siapa yang harus bertanggungjawab?” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh dalam satu kenyataan.

Bagi Pemuda PAS, tegasnya itulah kesan bail-out kerajaan menggunakan wang rakyat demi menyelamatkan kroni-kroni mereka.

Hakikatnya, kata beliau pemerintah telah sekian lama menggunakan dana rakyat untuk membiaya projek dan syarikat yang tidak mempunyai daya saing sehingga menghambat prestasi ekonomi negara.

“Pendedahan ini sekaligus menambah kesangsian mengenai status pelaburan dan kewangan kumpulan-kumpulan wang seperti KWSP,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sebagai susulan kepada laporan audit ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa Jawatankuasa Audit Parlimen (PAC) untuk memulakan enkuiri mendalam terhadap pelaburan dan penggunaan dana kumpulan-kumpulan wang negara khususnya KWSP dan KWAP.

Justeru, ujar beliau sudah tiba masanya pemerintah dan kroni-kroni mereka berhadapan dengan tindakan akauntabiliti agar rakyat benar-benar faham bagaimana wang caruman mereka digunakan.

Tiada ulasan: