Selasa, 8 Oktober 2013

BILA TAK INGAT AKHIRAT...CINTA DUNIA...GILA NAK JADI PEMIMPIN...MAKA TAKUT ORANG NI MENGHALALKAN CARA....JANJI APA IA NAK...DAPAT

Antara disumbat dalam flat dan pekerja ladang dihalau

Jerit, 07 Okt 2013
Deklarasi Hari Habitat Sedunia 2013

Sempena Hari Habitat Sedunia 2013, Jerit bersama kumpulan-kumpulan Organisasi Masyarakat menuntut kerajaan Malaysia;

1. Menyediakan perumahan mampu milik yang selesa, cukup ruang, dengan kemudahan yang perlu untuk pembangunan sosial keluarga dan komuniti

2. Hentikan ancaman kepada Habitat Rakyat dengan projek seperti Lynas, Lombong Emas di Bukit Koman & Projek Petrokimia di Pengerang

3. Kerajaan harus mengambil alih penyelenggaraan bagi flat kos rendah dan sederhana di seluruh Malaysia.

4. Mengubal Undang–undang Skim Perumahan Sendiri Pekerja Ladang

5. Iktiraf tanah adat orang asli/asal, hentikan rampasan tanah adat.

6. Hentikan pengusiran paksa dan iktiraf hak Peneroka Bandar

Pada 2012, dalam Budget 2013, Perdana Menteri beria-ia mengumumkan bahawa rakyat Malaysia kini dengan mudah dapat memiliki rumah mampu milik yang berharga RM100,000 hingga RM400,000. Kerajaan juga akan membina 123,000 unit rumah dengan kelonggaran maksimum dalam memiliki rumah pertamaku. Tapi apakah 70% rakyat Malaysia dengan pendapatan seisi keluarga kurang daripada RM3,000 dapat memiliki  satu rumah mampu milik? Adakah PR1MA ini telah menyelesaikan masalah perumahan di Malaysia terutamanya di bandar-bandar besar.

Sejak 10 tahun kebelakangan ini harga hartanah di Malaysia melonjak sangat tinggi. Bukan itu sahaja, kos sara hidup juga telah meningkat begitu tinggi sekali sehingga gaji RM3,000 pun tidak cukup untuk hidup sekarang. Maka dalam keadaan ini apakah pilihan rakyat untuk memiliki satu rumah yang decent?


Bukan itu sahaja, keghairahan kerajaan dalam membelanjakan wang dalam projek-projek yang tidak memanfaatkan rakyat seperti pembinaan Menara Warisan yang akan menelan belanja lebih kurang 5 billion tidak membantu dalam penyelesaian isu perumahan rakyat.

Apakah fungsi Menara Warisan 100 tingkat kepada rakyat, manakala ramai rakyat Malaysia masih tidak mempunyai rumah yang selesa mahupun rumah untuk tinggal? Bukan setakat tiada rumah, tetapi tindakan kerajaan yang membenarkan syarikat seperti kilang Lynas beroperasi di Malaysia, merosakkan habitat rakyat dan mengancam nyawa rakyat.

Rumah Rakyat Sarang Burung! Menara Dibina Bagaikan Istana Kaca

Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) sempena Hari Habitat Sedunia pada 7 Oktober 2013 menuntut kerajaan mengimplementasi Deklarasi Agenda Habitat di Istanbul, 1986  yang ditandatanganinya. Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk memberikan keutamaan kepada Perumahan yang mencukupi dan selesa dan memberi komitmen untuk menyediakannya untuk rakyat. Akan tetapi apakah langkah-langkah yang diambil selain daripada polisi-polisi kosong?

Di peringkat antarabangsa hak perumahan dan petempatan untuk setiap manusia  diberikan keutamaan dan dijamin melalui resolusi-resolusi antarabangsa. Resolusi-resolusi ini memastikan dan menjamin sesebuah kerajaan harus menyediakan perumahan yang mencukupi dan selesa kepada setiap rakyatnya. Kerajaan Malaysia juga telah menandatangani beberapa resolusi antarabangsa. Antaranya yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia adalah  Deklarasi Habitat Agenda 1992, Agenda 21 dan Resolusi Suruhanjaya Persatuan bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Perumahan 1993.

Di Malaysia polisi-polisi dan pelaksanaan perancangan perumahan oleh kerajaan seringkali dipertikaikan oleh rakyat  mahupun badan-badan bukan kerajaan. Kerajaan Malaysia demi merealisasikan pembentukkan Negara maju telah dan sedang mengabaikan kepentingan perumahan dan petempatan  golongan berpendapatan rendah seperti pekerja-pekerja ladang, masyarakat kampung, masyarakat peneroka bandar (setinggan), masyarakat Orang asli/orang asal, masyarakat nelayan, masyarakat petani, masyarakat miskin bandar dan juga kelas pertengahan bandar.

Akibat harga rumah yang melambung tinggi masyarakat miskin dan kelas pertengahan bandar tidak dapat memiliki sebuah rumah. Masyarakat peneroka bandar pula disumbat dalam flat-flat kos rendah bagaikan sarang burung yang mengundang pelbagai masalah sosioekonomi. Pekerja ladang dihalau dari ladang tanpa sebarang perumahan alternatif.

Polisi-polisi Kerajaan yang membenarkan pelaburan asing di Malaysia kini mengancam kehidupan rakyat. Perlombongan emas dengan menggunakan cynide dan nadir bumi projek LYNAS di Pahang banyak mengundang ancaman kepada kesihatan penduduk yang tinggal di sekitarnya. Kegagalan kerajaan Malaysia mengawal pembalakan haram serta pembangunan kawasan hutan (yang tidak terancang) menyebabkan masyarakat Orang Asli/Asal kehilangan tempat tinggal dan juga Tanah Adat yang sangat bernilai pada mereka.

Bukan itu sahaja, kelas pertengahan juga menghadapi masalah memiliki rumah kerana harga rumah melambung tinggi dan banyak spekulasi berlaku dalam sektor hartanah.

Dalam keadaan ini, kerajaan pula berbelanja dengan boros untuk perkara – perkara seperti pembinaan Menara Warisan – RM5 billion, rumah terbuka Perdana Menteri – RM2.88 dan menjadikan Pejabat PM bangunan hijau – RM110 million, Projek MRT (Lembah Kelang) – RM43 billion dan  sebagainya.  Kalau kerajaan menggunakan duit rakyat untuk projek mega sebegini, bagaimana ia boleh menyelesaikan isu perumahan rakyat?

Isu perumahan rakyat biasa semakin hari semakin teruk dimana harga rumah adalah terlalu tinggi sehingga rakyat biasa tidak dapat memilikinya, masalah rakyat homeless meningkat dan habitat rakyat diancam dengan projek mega ataupun projek yang membahayakan nyawa rakyat.

Adalah tugas sebuah kerajaan untuk memastikan keperluan asas rakyat dipenuhi. Rumah adalah satu keperluan asas. Maka perlulah kerajaan Malaysia menggariskan satu polisi perumahan rakyat yang berfaedah dan mengutamakan isu ini daripada membelanjakan untuk projek mega. Kerajaan harus mengambil kira semua lapisan masyarakat dalam menangani isu perumahan dan bukan hanya fokus kepada vote bank.

Perumahan untuk semua!

Untuk maklumat lanjut hubungi Theva -0133845740. J/K Penggerak Habitat c/o JERIT

Kenyataan bersama ini disokong oleh:

1.  ALIRAN
2.  Angkatan Nasional India Malaysia (AGNI)
3.  Angkatan Warga Aman Malaysia (WARGAAMAN)
4.  Community Action Network (CAN)
5.  Dapur Jalanan Kuala Lumpur
6.  ENGAGE
7.  Federation Of Malaysian Indian Organisation (PRIMA)
8.  Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma(GMPP)
9.  Himpunan Hijau
10.  Jawatankuasa Penduduk Kg.Hakka Mantin
11.  Jawatankuasa Penduduk Ladang Bangi
12.  Jawatankuasa Penduduk Ladang Dunedin Semenyih
13.  Jawatankuasa Penduduk Ladang Semenyih
14.  Jawatankuasa Penduduk Taman Permata Dengkil
15.  Kelab Bangsar Utama
16.  KL Selangor Chinese Assembly Hall Youth
17.  Lawyers for Liberty (LFL)
18.  Malaysia Youth & Students Democratic Movement (DEMA)
19.  Malaysian Indians Progressive Association (MIPAS)
20.  Malaysian Indians Transformation Action Team (MITRA)
21.  Malaysians Against Death Penalty and Torture (MADPET)
22.  Malaysians for Beng Hock
23.  Parti Sosialis Malaysia (PSM)
24.  Pemuda Persatuan Murid- Murid Tua Sekolah Serdang Bharu
25.  Pemuda Sosialis PSM
26.  People's Welfare And Rights Coalition (POWER)
27.  Persatuan Komuniti Prihatin Selangor dan KL
28.  Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERMAS)
29.  Persatuan Penduduk Taman Muhibah
30.  Persatuan Prihatin Belia Malaysia (PRIHATIN)
31.  Persatuan Sahabat Wanita , Selangor
32.  Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS)
33.  Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC)
34.  Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
35.  Selangor and KL Hokkien Association
36.  Selangor and KL Hokkien Association Youth Section
37.  Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
38.  Tamilar Action Force (TAF)
39.  Tenaganita
40.  Women's Aid Organisation (WAO)
41.  Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
42.  Gindol Initiative for Civil Society Borneo
43.  UK-based Borneo Right International [ BRI ]
44.  Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
45.  Pahang Raub Ban Cyanide in Gold Mining Action Committee
46.  Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)

Negara Kristian: Mengapa tiada tindakan kepada Umno?

Harakahdaily, 07 Okt 2013
GEORGE TOWN: DAP menyokong kecaman Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap mereka yang menyebarkan pembohongan berbahaya bahawa parti itu berhasrat menyebarkan agama Kristian dan menubuhkan sebuah negara Kristian di Pulau Pinang.

“DAP adalah konsisten dalam menentang mana-mana penubuhan negara teokratik, termasuk negara Kristian,” tegas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Katanya, kenyataan Anwar adalah tepat bahawa tidak ada kebenaran dalam pembohongan terhadap DAP itu.

“DAP dan saya sendiri telah menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kami terhadap kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama Persekutuan,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Tambahnya, pembohongan dibuat oleh kumpulan Umno dan Utusan Malaysia terhadap DAP semata-mata atas alasan rapuh bahawa pemimpin-pemimpin DAP telah menghadiri satu mesyuarat tertutup dengan pastor Kristian.

Beliau berkata, apa salahnya menghadiri mesyuarat tertutup dengan pastor Kristian apabila pemimpin-pemimpin DAP juga telah menghadiri mesyuarat dengan para pemimpin dari kumpulan agama lain termasuk Islam.

Katanya, kumpulan Umno ini juga membuat laporan polis terhadap DAP dan pastor Kristian.

“Siasatan polis terhadap kandungan mesyuarat dengan pastor Kristian yang melibatkan Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi di Pulau Pinang membuktikan bahawa dakwaan mereka bahawa DAP mahu membentuk sebuah negara Kristian adalah satu pembohongan. Lebih-lebih lagi, apabila Jeff Ooi bukan Kristian tetapi Buddha,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, walaupun polis menutup kes itu, tiada tindakan diambil terhadap kumpulan tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah tersebut.

“Mengapa tiada tindakan polis terhadap kumpulan Umno dan Utusan Malaysia yang menyebarkan pembohongan merbahaya dan menyemai kebencian agama bahawa DAP berhasrat menubuhkan negara Kristian di Pulau Pinang dan Malaysia?” tanya beliau.

PRK Sg Limau jangan ulangi pembaziran Kuala Besut

Muhammad Faizal, 07 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli mengingatkan kerajaan BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mengambil kira perbelanjaan dan peruntukan yang akan ditawarkan Pada pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau agar tidak mengulangi apa yang berlaku pada PRK Kuala Besut, Terengganu.

PRK Kuala Besut antara yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya apabila jumlah peruntukan yang digunakan Barisan Nasional (BN) mencecah RM476.19 juta.
Jumlah tersebut menjadikan setiap kertas undi bernilai RM27,000 dengan jumlah pengundi seramai 17,688 orang.

"Kita berharap agar kerajaan tidak lagi mengulangi apa yang berlaku di PRK Kuala Besut, pembaziran yang amat ketara.

"Kerajaan dan SPR perlu lihat apa yang berlaku di PRK Kuala Besut, peruntukkan yang dikeluarkan amat luar biasa jika dibandingkan dengan pilihanraya sebelum ini," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menghadkan jumlah anggota yang terlibat pada PRK Sungai Limau.

"Perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak polis melebihi RM8 juta dan nisbah setiap anggota polis dengan jumlah pengundi adalah tidak munasabah.

"Ini akan memberi sedikit ketidakselesaan kepada pengundi, saya harap ia tidak akan berulang lagi. Perbelanjaan yang berhemat perlu dilakukan," kata beliau.

Dewan Negara perlu tolak PCA

Harakahdaily, 07 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Negara yang bersidang bermula hari ini sehingga 10 Oktober diharap akan menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Jenayah (PCA) (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 yang akan dibentangkan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadhil berkata, RUU yang sebelum ini telah diluluskan di Dewan Rakyat 2 Oktober lalu, telah mengejutkan bukan sahaja rakyat Malaysia, malah badan hak asasi antarabangsa.

"Jangan benarkan hak asasi manusia di Malaysia dinoda, para Senator wajib menolak pindaan PCA ini," katanya.

Beliau mengulas RUU tersebut yang didakwa melanggar hak asasi manusia seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan hanya dibahas dalam masa yang amat singkat pada persidangan Dewan Rakyat yang lalu.

Lebih malang katanya, kelulusan RUU itu dibuat dalam keadaan Malaysia adalah ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurut beliau lagi, Malaysia juga bakal menjadi bahan ketawa masyarakat dunia apabila Universal Periodic Review (UPR) berhubung status hak asasi manusia bagi ahli-ahli badan tersebut akan bersidang 24 Oktober ini.

"Para Senator yang dilantik perlu ingat bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja kepada nusa dan bangsa, tetapi juga kepada semangat hak asasi manusia seperti termaktub dalam Perlembagaan kita," tegasnya.

Audit: Mencari 'Umar Abdul Aziz' dalam pemerintahan

Harakahdaily, 07 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pendedahan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang sarat dengan ketirisan menunjukkan betapa kewangan negara ini diurus secara tidak berhemah dan wujud salah laku yang membimbangkan.

Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kepincangan ini harus dihentikan segera sebelum berlaku kerosakan yang lebih besar kepada masa hadapan negara.

"Sudah cukup peringatan yang dinyatakan oleh Nabi saw bahawa punca kerosakan itu ialah apabila amanah diberikan kepada orang yang tidak sepatutnya.

"Cara terbaik membuang barah penyelewengan ini adalah dengan menggantikan pemimpin atasan dengan individu yang amanah dan menghayati nilai taqwa," katanya.

Berikut ulasan penuh beliau.

Kes-kes pembelian barangan seperti jam berharga RM100 menjadi RM 3,000 atau pencetak berharga RM 200 menjadi RM 2,000 bukanlah kes spesifik kepada Laporan Audit 2012 sahaja. Ianya berlaku saban tahun lalu mengesahkan wujudnya satu corak salahlaku kewangan yang membimbangkan.

Pada tahun 2010, audit melaporkan kerajaan membeli set teropong yang kosnya tidak lebih RM 3,000 pada harga RM 56,000 sepasang. Pada tahun 2006 pula, kerajaan dilaporkan berbelanja RM 224.00 untuk set pemutar skru yang berharga cuma RM 40.00. Besar kemungkinan, kesalahan-kesalahan seperti ini dilakukan oleh pegawai-pegawai kerajaan yang pernah disifatkan oleh mantan PM Tun Abdullah Badawi sebagai "Napoleon kecil" - yang cuai atau turut sama mengambil untung dalam mengurus transaksi kerajaan.

Menginvois kerajaan dengan menaikkan kos barangan secara berantakan sebegini memerlukan kepada konspirasi penjual (pembekal) dan pembeli (kerajaan). Pembekal cuma akan berani meletakkan harga tidak munasabah sebegini apabila mereka tahu pembeli menutup mata atau bersekongkol sama.   

Transaksi sebegini secara intipatinya merupakan suatu bentuk "trade/invoice mispricing". Di peringkat yang lebih besar, ianya menyebabkan ketirisan sepertimana yang dilaporkan oleh Global Financial Integrity (GFI). Dari tahun 2001 sehingga 2010, Malaysia berada ditangga ke-3 global dengan jumlah wang haram dianggar pada USD 285 billion. Pastinya pada tahap dan skala sebegini, salahlaku kewangan dilakukan oleh pemimpin atasan yang berkuasa.

Kerana itulah corak salahlaku kewangan ini amat membimbangkan. Napolean kecil di dalam birokrasi kerajaan sanggup melakukan salahlaku ini kerana mereka sebenarnya sekadar mencetak watak korup pemimpin-pemimpin atasan yang saban tahun merompak hasil negara tetapi terlepas kerana terlalu berkuasa.

Rasional mereka mudah; kalau bos-bos kami boleh melakukannya dan terlepas pula, mengapa tidak kami? Laporan GFI dan siri laporan audit tahunan negara sebenarnya membuktikan bahawa barah penyelewengan sesungguhnya telah meresap ke segenap pelusuk birokrasi kerajaan.

Sejarah panjang Islam menyaksikan ramainya personaliti unggul yang memikul tanggungjawab kepimpinan dengan amanah. Antaranya ialah Khalifah Umar Abdul Aziz yang cukup cermat menggunakan aset kerajaan.

Maka amat menghairankan apabila seorang Ketua Menteri bukan Islam lebih memahami watak Umar Abdul Aziz dari seorang Perdana Menteri beragama Islam yang seringkali mencampuradukkan urusan kerajaan, parti dan keluarga menggunakan jet eksekutif yang dibiaya rakyat. Dilaporkan di Parlimen, sewa penggunaan jet eksekutif kerajaan sahaja adalah sebanyak RM 80.53 juta!

Kemungkaran ini mestilah dicegah sebelum berlaku kerosakan yang lebih besar. Sudah cukup peringatan yang dinyatakan oleh Nabi saw bahawa punca kerosakan itu ialah apabila amanah diberikan kepada orang yang tidak sepatutnya. Cara terbaik membuang barah penyelewengan ini adalah dengan menggantikan pemimpin atasan dengan individu yang amanah dan menghayati nilai taqwa. Dengan itu pegawai di bawah berasa hormat dan malu untuk melakukan kesalahan. Bukankah perasaan malu itu pula sebahagian dari Iman?

Perubahan sebenar boleh bermula apabila sampai PRU ke14 kelak. Sementara itu, kita boleh terus menjangkakan pendedahan salahlaku kewangan untuk tahun-tahun mendatang oleh birokrasi kerajaan yang semakin hilang rasa malu kepada rakyat.

Tiada ulasan: