GST: Belanja berhemah, jangan dera rakyat
Salmiyah Harun, | 09 Okt 2013 |
Pakar Ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakop berkata kerajaan mesti tentukan bahawa wang rakyat yang dipungut dalam bentuk cukai harus dibelanjakan dengan berhemah bukannya mendera rakyat dengan GST.
Beliau juga mempersoalkan tindakan kerajaan yang hendak mengenakan GST kepada rakyat sedangkan kerajaan sendiri menggunakan wang rakyat secara membazir, buktinya selama 16 tahun berturut-turut kerajaan sentiasa berbelanja defisit di samping keadaan hutang negara saban tahun meningkat.
"Buktinya kerajaan amat boros berbelanja dan tidak berhemah langsung dalam menggunakan wang yang dipungut daripada rakyat dalam bentuk cukai. Kena perbetulkan pengurusan ini dahulu, sebelum rakyat dikenakan GST," katanya kepada Harakahdaily.
Beliau mengakui Singapura telah mengenakan GST tetapi pelaksanaan itu dibuat setelah mereka mencapai status negara maju.
"Kita masih negara membangun sebab perkapita kita masih di bawah USD 15,000. Perlu diingat, Singapura urus wang dengan berhemah dalam berbelanja. Mereka ada tender terbuka, dan ada akauntabiliti di pihak kerajaan. Ini semua halangan yang membawa kepada pembaziran wang rakyat," jelasnya.
Malahan katanya, apabila Singapura mengenakan GST dalam masa yang sama mereka mengurangkan cukai korporat dan personal sehingga 17 peratus.
"Kita nampak kerajaan tidak berhati perut langsung kerana cukai GST dikenakan tanpa perancangan untuk mengurangkan cukai korporat, cukai individu dan cukai-cukai lain. Ini kerana rakyat bayar cukai korporat, personal ditambah pula kena bayar GST tetap tinggi. Akhirnya rakyat jadi sengsara terbeban dengan cukai yang tinggi," tegasnya.
Sehubungan itu, menurut Rosli, ahli ekonomi telah membuat kajian dan bersetuju bahawa GST bersifat regresif iaitu beban cukai lebih tinggi kepada orang miskin dan berpendapatan rendah, semakin rendah pendapatan seseorang itu pendapatan yang digunakan untuk bayar cukai semakin tinggi.
GST bermakna kerajaan akan mengenakan cukai kepada semua rakyat memandangkan cukai akan dikenakan ke atas barang-barang yang digunakan oleh rakyat.
"Sesiapa sahaja beli barang terpaksa membayar cukai, tetapi rakyat Malaysia bukan hanya membeli barang keperluan sahaja mereka juga membeli barang-barang lain. Jadi cukai ini tidak boleh dielakkan daripada rakyat, mereka harus bayar tidak kira kaya atau miskin, pendapatan tinggi atau berpendapatan rendah. Semua kena bayar cukai," tambahnya.
Beberapa pihak khususnya dalam industri korporat dam percukaian menyokong pelaksanaan GST kerana ia mampu mengurangkan defisit bajet.
Mengimpikan Lebuh raya Pan-Borneo yang baru
Mohd Aizan Mohd Nor, | 09 Okt 2013 |
Di Sarawak, lebuh raya inilah satu-satunya rangkaian jalanraya yang menghubungkan Bandaraya Kuching dengan bandar-bandar utama lain di sini. Tiada alternatif lain kecuali ‘naik belon’ (istilah tempatan bagi menggunakan kapal terbang).
Sebenarnya lebuhraya ini mula dibina pada tahun 1986 lagi. Namun, sehingga kini, hanya 93% daripadanya berjaya disiapkan. Selain itu, hanya sekitar 13% daripada lebuhraya ini telah dinaiktaraf menjadi ‘dual carriageway’ (dua laluan).
Keadaan jalannya juga kurang memuaskan, banyak lubang dan tidak rata. Bagi ramai orang, memang substandard untuk menjadi sebuah lebuhraya.
Komen nakal banyak pihak, perjalanan melalui lebuhraya ini adalah seperti ‘naik roller-coaster’. Ia mungkin lucu tetapi inilah hakikat sedih yang diperlu ditempuhi oleh rakyat Sarawak saban dekad sebagai pengguna tegar Lebuhraya Pan-Borneo ini.
Perjalanan di waktu malam juga agak berbahaya kerana ketiadaan lampu jalan yang ekstensif di samping kekurangan tempat R&R. Bagi mereka yang beragama Islam, kemudahan untuk solat adalah terhad dan mencabar.
Kalau ingin dibandingkan dengan PLUS, ia bagaikan langit dengan bumi. Tetapi akan ada yang menempelak bahawa PLUS lebuhraya berbayar manakala Lebuhraya Pan-Borneo percuma sahaja.
Benar, cumanya adakah adil hanya kerana ia percuma, keadaannya harus begitu serba kekurangan? Dan yang paling ironis, di negeri paling kaya di Malaysia.
Jika ditinjau dari aspek keselamatan jalanraya, banyak perkara yang perlu diperbaiki lagi. Penghadang jalan, lampu jalan, ketiadaan tanda amaran, ketiadaan tempat rehat yang sesuai, jalan yang tidak lurus, tiada lorong memotong dan banyak lagi, semuanya menyumbang kepada keadaan kurang selamat di Lebuhraya Pan-Borneo ini.
Mengikut statistik terkini, sehingga pertengahan tahun ini sahaja, hampir 100 orang kehilangan nyawa akibat kemalangan di lebuhraya ini. Mengerikan.
Dalam laporan Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya 2010, anggaran menaiktaraf lebuhraya tulang belakang Sarawak dan Sabah ini kepada dua laluan adalah sekitar RM 22 bilion.
Oleh kerana kos yang tinggi ini, kerajaan persekutuan bercadang untuk melaksanakan projek ini secara berperingkat-peringkat selama 14 tahun, bermula dari tahun 2011 sehingga 2025.
Saya kira tempoh 14 tahun adalah terlalu lama. Sebagai perbandingan, Fasa 1 bagi Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang yang juga menelan belanja sekitar RM 20 bilion dijangka siap pada akhir 2016. Hanya 5 tahun diperlukan untuk MRT tetapi lebih sedekad untuk Sarawak dan Sabah.
Kepentingan jaringan jalanraya termasuklah lebuhraya yang baik untuk kemajuan dan pembangunan ekonomi adalah satu fakta yang tidak boleh disangkal. Lebuhraya PLUS adalah ‘living example’ bagaimana limpahan ekonomi boleh dijana melalui lebuhraya yang baik.
Dalam kajian beberapa pihak, ada disebut bahawa setiap ringgit yang dilaburkan untuk pembinaan lebuhraya yang baik, mampu meningkatkan produktiviti sehingga 7.0%. Satu angka yang signifikan.
Ini mampu dicapai bukan sahaja dari aspek mempercepatkan perjalanan barangan dan lain-lain tetapi ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kos pengeluaran barangan khususnya di Sarawak yang kos sara hidupnya adalah 15%-25% lebih tinggi berbanding Semenanjung Malaysia.
Agak malang apabila kita lihat pembangunan SCORE (Sarawak Corridor of Renewable Energy) yang meliputi sebahagian besar keluasan negeri dari Tanjung Manis hingga Bintulu tidak diintegrasikan sebaik mungkin dengan inisiatif pembangunan dan penaiktarafan Lebuhraya Pan-Borneo itu sendiri.
Mana mungkin produk fokus baik dari segi barangan mahupun perkhidmatan di kelima-lima ‘growth nodes’ SCORE dapat dibekalkan dan manfaat ekonominya melebar ke seluruh negeri tanpa jaringan lebuhraya yang baik?
Logik potensi limpahan ekonomi dan pertumbuhan ini seharusnya mengujakan kerajaan persekutuan dan negeri untuk memberi perhatian selayaknya kepada lebuhraya ini.
Lebuhraya Pan-Borneo yang selesa dan selamat sudah lama tertangguh. Saya mengimpikannya sejak 2005 dan rakyat Sarawak telah mengimpikannya sejak 50 tahun yang lalu. Janganlah ditunggu sehingga 14 tahun, walhal 5 tahun sudah memadai.
Sekiranya logik kesejahteraan dan kebajikan rakyat dirasakan terlalu remeh, gunalah logik pertumbuhan ekonomi pula. Ini bukan meminta-minta tetapi rakyat Sarawak dan Sabah memang berhak ke atasnya.
Penulis ialah Pengarah, Sarawak Centre for Policy Studies (Sarawak Centre).
K-Pop RM1.6 juta: Shabery usah main silap mata
Harakahdaily, | 09 Okt 2013 |
“Bagaimana Ahmad Shabery boleh mendakwa bahawa RM1.6 juta tersebut dibayar oleh penaja konsert melalui penyaluran ke dalam akaun Majlis Sukan Negara sedangkan Ambrin menerusi laporan audit membuat kenyataan sebaliknya?” tanya Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat dalam satu kenyataan.
Bahkan, katanya menteri yang baru di kementerian yang sama pada tahun ini, Khairy Jamaluddin turut mendakwa bahawa sejumlah RM1.6 juta tersebut terpaksa akhirnya dibiayai oleh Kementerian Belia dan Sukan.
“Saya fikir jumlah RM1.6 juta ini merupakan jumlah yang besar dan jika ianya disalurkan untuk aktiviti dan insentif berbentuk biasiswa atau bantuan pengajian, manfaatnya lebih besar dapat dinikmati oleh generasi muda dan belia hari ini,” ujarnya.
Katanya, kenyataan yang tidak telus seperti itu hakikatnya akan menghakis keyakinan generasi muda terhadap kemampuan kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan.
Menurutnya lagi, orang akan mula bertanya khususnya golongan anak muda dan belia, apakah lagi alasan yang akan dikeluarkan oleh menteri untuk dijadikan helah demi menyembunyikan fakta-fakta pembaziran dalam perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan.
Lebih malang lagi, ujarnya tujuan konsert K-Pop yang dijalankan pada waktu itu juga boleh dipertikaikan, apakah manfaatnya kepada anak muda.
“Apakah ianya benar-benar dapat memberikan input kepada mereka atau sekadar 'gula-gula' Umno BN untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu?
“RM1.6 juta merupakan wang rakyat. RM1.6 juta ialah amanah rakyat. RM1.6 juta melibatkan hasil keringat rakyat yang terpaksa berkerja siang dan malam dalam suasana ekonomi negara yang amat menekan,” katanya.
Tambahnya, RM1.6 juta itulah yang dibelanjakan oleh kerajaan untuk membawa masuk persembahan artis K-Pop yang hakikatnya mudah sahaja didapati menerusi capaian internet dan media baru pada hari ini tanpa memerlukan kos yang tinggi, bahkan diputar belit pula fakta kos penganjurannya oleh menteri.
“Saya mendesak, Ahmad Shabery perlu jawab dan bertanggungjawab!” tegasnya.
UKM gagal umum tarikh pilihan raya kampus
Harakahdaily, | 09 Okt 2013 |
Minggu lepas, Pro Mahasiswa Nasional bersama Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) telah menyerahkan memorandum tuntutan Pilihanraya Kampus Bersih kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Antara kandungan memorandum tersebut adalah untuk mendesak pihak universiti mengumumkan tarikh pilihanraya dengan segera dan terus meletakkan tarikh tersebut dalam takwim tahunan universiti.
Pihak kementerian telah memberikan keseluruhan tarikh pilihanraya untuk semua kampus termasuk UKM yang dijangkakan bakal berlangsung pada 23 Oktober ini.
Namun, sebarang perubahan tetap tertakluk kepada keputusan daripada HEP universiti.
Andai mereka bersetuju dengan tarikh yang telah diputuskan oleh KPT, seharusnya tarikh tersebut perlu dikeluarkan segera.
Ini kerana mahasiswa akan mula bercuti dari 12 Oktober sehingga 16 oktober bersempena sambutan Aidil adha dan akan memulakan kembali pengajian pada 17 Oktober.
Berdasarkan pengalaman pilihanraya yang lepas, kita menjangkakan tarikh penamaan calon akan berlaku pada 18 Oktober sehari sejurus mahasiswa kembali dari cuti Aidil adha.
Jurucakap Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM), Azim Fitri Zainal Abidin berkata, apa yang berlaku kepada pihak HEP UKM sebelum dan kali ini jelas menggambarkan kegagalan pengurusan mereka.
“Ianya bagi kami jelas satu tindakan yang terdesak dan berkepentingan,” tegasnya.
Katanya, GMUKM berpendirian tragedi yang berlaku itu merupakan agenda tersirat mereka untuk membunuh semangat demokrasi dan kesedaran politik dalam kalangan mahasiswa.
“Ianya jelas satu tindakan yang zalim,” ujar beliau.
Justeru, ujarnya GMUKM menuntut kepada pihak HEP khususnya Prof Ir Dato Othman Karim, TNC HEPA UKM untuk bertindak lebih progresif dan bijak dengan mengumumkan tarikh pilihan raya segera kepada seluruh mahasiswa,” sambung beliau lagi.
Pilihanraya kampus UKM yang lepas menyaksikan kemenangan kepada pihak Gabungan Mahasiswa dengan majoriti kerusi yang besar.
TPPA: Malaysia terdedah gejala ‘pak turut’
Harakahdaily, | 09 Okt 2013 |
“Kami berpendapat memang Malaysia akan terdedah kepada gejala menjadi pak turut selagi mana ia akan terus turut berunding dengan kuasa ekonomi besar seperti Amerika Syarikat yang akan mengguna seluruh pengaruhnya untuk mendominasi ekonomi dunia ketiga termasuk Malaysia,” kata presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam saatu kenyataan.
Menurutnya, sejak dari awal perundingan itu lagi, ia dilakukan dalam keadaan penuh rahsia.
Katanya, ini sendiri adalah suatu tanda semua negara anggota yang berunding dalam TPPA adalah ‘pak turut’.
Katanya lagi, sifat kerahsiaan dalam perundingan ini menunjukkan kepentingan rakyat umum tidak diambilkira dan kepentingan rakyat tidak menjadi keutamaan berbanding kepentingan untuk syarikat besar.
Apa yang jelas, ujarnya menyertai perundingan itu sahaja sudah cukup memerangkap Malaysia untuk menerima syarat perdagangan yang nantinya dimeterei atas alasan kononnya ‘menang menang’.
“Pernyataan PM adanya kebimbingan terhadap kedaulatan negara boleh terjejas dalam TPPA itu sendiri sepatutnya menyebabkan Malaysia tidak perlu meneruskan penyertaannya dalam proses perundingan tersebut,” ujarnya.
Beliau menegaskan, jika benar Malaysia mahu mempengaruhi proses perundingan TPP itu, kenapa teks penuh perundingan itu tidak didedahkan dari awal lagi kepada Parlimen untuk dibahas.
“Kenapa pihak kerajaan tidak menjelaskan dari awal lagi siapa yang menderaf teks perjanjian itu dan kenapa ia perlu dirahsiakan?” tanya beliau.
Menurutnya, manipulasi kuasa ekonomi Barat seperti AS dalam pelbagai perundingan perdagangan antarabangsa sudah cukup untuk memberi dalil kenapa perundingan dalam TPPA mengundang risiko yang besar.
Justeru, ujarnya jika pengalaman perundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-AS sebelum ini tidak dimeterai, kenapa kerajaan mahu meneruskan perundingan dalam perjanjian yang lebih besar implikasinya.
Katanya, tidak dapat dinafikan TPPA adalah sebuah perjanjian yang sangat berpaksikan kepentingan Amerika Syarikat.
Katanya, ukuran potensi dan saiz perdagangan adalah berlegar pada kepentingan perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Jelasnya, semua penganalisis bersetuju TPPA mempunyai unsur hegemoni geo-ekonomi Amerika Syarikat di rantau ini.
“Kami mendapati kerajaan mengumumkan proses dalaman iaitu menerangkan perjanjian berkenaan kepada kabinet, rakyat Malaysia serta perbahasan di Parlimen, akan dilaksanakan sebelum membuat keputusan, hanya setelah pelbagai reaksi kritikan disuarakan oleh rakyat melalui NGO,” katanya.
Q&A: Cara terbaik agih daging korban
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, | 09 Okt 2013 |
Bagaimana cara pembahagian daging korban yang sebenarnya?
Jawapan;
Cara pengagihan daging korban tertakluk kepada status korban. Jika korban itu adalah korban wajib (yakni korban nazar), tidak harus orang yang melakukan korban dan juga keluarganya (yakni orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkahnya) untuk makan sedikitpun dari binatang yang dikorbannya. Wajib ia mensedekahkan ke semuanya kepada fakir miskin. Kalau ia telah memakannya, wajib ia membayar ganti dengan harga daging yang dimakannya atau dengan daging seumpamanya. Tidak dituntut ia menyembelih lagi binatang korban kerana ia telahpun melakukannya.
Jika korban itu adalah korban sunat, maka harus ia dan ahli keluarganya untuk makan sebanyak mana yang ia kehendaki dengan syarat sebahagian darinya hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin. Mensedekahkan daging korban kepada fakir atau miskin daripada kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Dan disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir dan miskin yang memperolehnya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya. Tidak memadai sekiranya disedekahkan dalam keadaan daging yang sudah dimasak atau pemilik korban memasak daging korban dan menjemput orang fakir atau miskin makan dirumahnya. Begitu juga tidak memadai sekiranya disedekahkan bahagian yang bukan daging seperti kulit, perut, limpa dan sebagainya.
Disunatkan pengagihan daging binatang korban merangkumi tiga bahagian;
1.Satu bahagian untuk dimakan oleh dirinya dan ahli keluarganya
2.Satu bahagian disedekahkan kepada fakir miskin
3.Satu bahagian dijadikan sebagai hadiah kepada rakan-rakan, para jiran atau sebagainya sekalipun mereka kaya.
Pemberian sebagai hadiah tidaklah wajib. Oleh itu, harus pengagihan daging korban berlegar antara dua sahaja iaitu untuk dimakan dan untuk disedekahkan. Lebih banyak bahagian yang disedekahkan adalah lebih afdhal (umpamanya separuh atau dipertiga (2/3) darinya). Paling afdhal ialah mensedekahkan ke semua daging korban kepada fakir miskin kecuali sedikit darinya yang sunat diambil untuk dimakan bagi mendapat berkat dan beramal dengan sunnah Nabi SAW. Terdapat hadis menceritakan;
“Adalah Nabi SAW memakan dari hati binatang korbannya.” (Riwayat Imam al-Baihaqi)
Baginda juga bersabda;
“Apabila seseorang kamu melakukan korban, maka makanlah dari daging korbannya.” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ al-Saghir, no. 737)
Tidak harus orang yang melakukan korban menjual apapun dari binatang korban sama ada daging, kulit, tanduk, bulu, lemak atau sebagainya. Begitu juga, tidak harus menyewanya kerana sewaan termasuk dalam pengertian menjual (yakni menjual manfaat). Ketidakharusan menjual dan menyewa ini merangkumi korban wajib dan juga korban sunat. Sabda Nabi SAW;
“Sesiapa menjual kulit binatang korbannya, maka tiada (pahala) korban baginya”. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)
Begitu juga, tidak harus menjadikan kulit, bulu dan sebagainya sebagai upah kepada tukang sembelih. Upah hendaklah datang dari sumber lain, bukan dari binatang korban. Diriwayatkan daripada Saidina Ali(k.w) yang menceritakan;
“Rasulullah SAW memerintahku supaya menguruskan (pengembelihan) unta baginda dan mensedekahkan daging, kulit serta kain/pakaian yang diletakkan di atas belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya aku tidak memberi kepada tukang sembelih dari unta itu. Kata ‘Ali; kami memberi (upah) kepadanya dari harta yang ada pada kami”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Namun jika ia telah memberi upah kepada tukang sembelih dengan wang darinya, kemudian setelah itu ia memberi pula daging korban kepadanya atas dasar sedekah jika ia miskin (yakni bukan sebagai upah) atau memberinya sebagai hadiah (jika ia kaya), maka itu adalah harus.
Harus bagi orang yang melakukan korban mengambil manfaat dari kulit dan tanduk binatang korbannya dengan segala bentuk manfaat seperti menjadikannya kasut, timba dan sebagainya sekiranya korbannya itu adalah korban sunat. Walau bagaimanapun, jika ia mensedekahkannya kepada fakir miskin adalah lebih baik. Adapun korban wajib, tidak harus orang yang melakukan korban memanfaatkan kulit binatang korbannya. Ia wajib disedekahkan kepada fakir miskin sebagaimana daging.
Tidak harus sama sekali daging korban dimusnahkan walaupun sedikit. Dinyatakan di dalam Raudhah; “Tidak harus bagi orang yang melakukan korban untuk merosak/memusnahkan sebarang apapun dari korbannya, sebaliknya ia memakannnya dan ia memberi makan (kepada orang lain)….”.
http://ilmudanulamak.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan