Khamis, 10 Oktober 2013

CERITA SEBENAR

Kos Ecobound bina lebuh raya rakyat dinilai JKR

Aslani M, 09 Okt 2013
KOTA BHARU: Dakwaan kononnya kerajaan negeri mengadai kawasan lebih 100,000 ekar di Pergau, Gua Musang sebagai timbal balik kepada kontraktor membina Lebuh Raya Rakyat tidak berasas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Kelantan, Hanifa Ahmad berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas sebagaimana disebar pihak tertentu dalam media baru.

Katanya, tidak timbul sama sekali kawasan itu digadai kerajaan negeri.

“Kawasan berkenaan mempunyai balak yang dianggar bernilai kira-kira RM950 juta. Ia hanya sebagai pilihan bagi kerajaan terhadap pelaksanaan projek lebuh raya rakyat.

“Kita juga mempunyai pilihan lain iaitu menyediakan kawasan tertentu di kawasan laluan lebuh raya rakyat kepada syarikat untuk dibangunkan bandar baru,” katanya pada persidangan Dun hari ini.

Semalam ketika membahas Belanjawan Kelantan 2014, Adun Salor, Datuk Husam Musa berkata, Kelantan boleh memanfaatkan rizab besi mentah di Sungai Tuang dianggar lebih 50 juta tan kepada syarikat dari Korea yang dilantik sebelum ini membina lebuh raya rakyat.

Husam sebelum ini terbabit secara langsung projek lebuh raya rakyat empat lorong dua hala sepanjang 68 km dari Kota Bharu-Kuala Krai.

Hanifa berkata, tidak berbangkit kerajaan negeri menamatkan syarikat dari Korea memandangkan syarikat terbabit dalam sepucuk surat menyatakan tidak berminat meneruskan projek terbabit.

Begitu juga juru perunding Zaki yang juga terlibat dengan projek berkenaan sebelum ini juga menyatakan tidak lagi berminat.

“Ekoran itu konsultan baru, Ecobound Sdn Bhd dengan kerjasama Emirates House Group berminat meneruskan projek berkenaan.

“Mereka telah mengangkat kertas cadangan lengkap bagi menyiapkan projek lebuh raya rakyat sepanjang 30 km dari Bukit Baka ke Kuala Krai dengan anggaran kos RM669 juta.

“Berdasar anggaran itu kerajaan negeri meminta JKR menilai proposal dibuat Ecobound sama ada kosnya munasabah atau tidak.

“Jadi sekarang kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan lagi dan menunggu laporan penilaian JKR ke atas kertas cadangan dibuat Ecobound,” katanya.

Bagaimanapun sekiranya penilaian JKR mendapati kos tersebut tinggi, kerajaan negeri akan membuka tawaran kepada syarikat lain pula.

Beliau juga berkata, syarikat memerlukan sesuatu yang boleh dicagar bagi membolehkan mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan melaksanakan projek lebuh raya rakyat.

“Baru-baru ini Presiden Emirates House Group dan Timbalan Presiden Bank Pembangunan Islam (IDB) datang ke sini dan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu jajaran Pasir Hor ke Kadok sepanjang 7 km akan dibina kerajaan pusat membabitkan kos RM200 juta.

Tawaran tender projek pusat tersebut difahamkan akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“Bagi laluan seterusnya dari Kadok ke Machang sejauh 43 km lagi belum dipastikan dibina kerajaan pusat atau tidak.

“Dan bagi laluan Machang-Kuala Krai akan tetap dibina kerajaan negeri selepas mengambil kira projek lebuh raya Kota Bharu dipinggirkan kerajaan pusat sejak 1986,” tambahnya.

Dendam politik punca petani dinafi baja subsidi

Aslani M, 09 Okt 2013
KOTA BHARU: Kecederongan dan dendam politik antara faktor petani-petani yang tidak menyokong Umno dan BN dinafikan hak mendapat baja subsidi padi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau Negeri Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, berikutan penafian itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menyediakan baja subsidi kepada mereka.

“Baja padi yang disediakan kepada kerajaan negeri diberi kepada semua petani tanpa mengira fahaman politik mereka.

“Namun kebetulan yang ramai mendapat baja itu kalangan yang menyokong PAS kerana dinafikan hak mendapat baja subsidi padi di bawah kerajaan pusat,” katanya menjawab soalan Tuan Mazlan Tuan Mat (PAS-Gaal) pada persidangan Dun hari ini.

Menurutnya juga setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan antara RM2 hingga RM4 juta bagi menyediakan baja subsidi kepada petani yang dinafikan hak di bawah program pusat.

“Sebenarnya bukan baja sahaja dinafikan, malah petani turut disisihkan hak mendapat subsidi racun, membajak dan jualan padi,” ujarnya.

Menurutnya beliau sendiri turun padang bersama pegawai kerajaan bagi menyelami dari dekat masalah yang dihadapi petani terbabit.

Katanya juga kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pertubuhan Peladang dan Kada bagi menyelesaikan masalah terbabit.

“Malah UPEN telah menghantar surat kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membolehkan diadakan pertemuan bagi membincang masalah petani di Kelantan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad pula berkata, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Golok yang dirancang JPS meliputi Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat sepanjang 50 km.

Katanya, projek tersebut akan dibina tiga fasa membabitkan kos RM1.3 bilion dijangka mula dibina di Bandar Rantau Panjang.

Antara kompenan bakal dibina termasuk batas mencegah banjir dan laluan air banjir.

“JPS telah menyiapkan dokumen tender projek tersebut dan sekarang menunggu bajet daripada kerajaan pusat,” ujarnya.

Guru: Waktu bekerja tak keruan, mesyuarat tak perlu

Guru Kuantan,
Suara rintihan atau isu  para guru sering kedengaran sejak berpuluh tahun tetapi sehingga kini tidak pernah selesai. Memang tidak dinafikan ada tindakan penyelesaian diambil tetapi ianya banyak yang bersifat ad hoc dan political. Berbagai kajian telah dijalankan oleh KPM sendiri misalnya tentang beban kerja guru tetapi penyelesiannya bukan mereka meringankan beban malah ditambahkan lagi beban  kerja hingga lebih berganda. Lebih ironi lagi ialah tidak ada satu badan atau kesatuan pun yang bertindak atau mewakili semua guru. Sebagai contoh NUTP dan  KGLM selaku kesatuan yang disertai oleh ramai guru hanya memperjuangkan guru-guru lepasan maktab sahaja. Oleh kerana projek pensiswazahan guru, maka lulusan maktab telah dinaikkan status mereka secara ‘magic’ dan automatic kepada siswazah. Laluan kenaikan pangkat bagi golongan  mereka lebih mudah dan pendek iaitu formula 8: 8: 5 berbanding dengan guru siswazah dengan formula ‘time-based’ 8: 8: 6: 3. Mereka juga berjaya’melangkah kepala’ guru-guru berijazah tulen walaupun yang ‘super senior’ dalam urusan kenaikan pangkat seperti menjadi GPK, pegawai di PPD, JPN, KPM  dan menjadi Pengetua. Lalu kesatuan-kesatuan ini terus menuntut keistimewaan mereka sebagai siswazah pula dengan ‘mengabaikan’ lulusan siswazah yang sebenar.
Terlalu banyak isu keguruan yang tidak selesai dan scenario ketidakadilan yang berlaku dalam profesion ini tidak pernah disuarakan oleh mana-mana pihak secara pro aktif. Akibatnya golongan-golongan ini berterusan  teraniaya tanpa pembelaan. Kita ingin mengenengahkan beberapa isu yang berkaitan. Antaranya ialah masa kerja guru, beban kerja yang semakin bertambah, Pengetua/Guru Besar yang tidak kompeten, sistem kenaikan pangkat yang tidak adil, Kursus Upskilling guru, situasi tempat kerja yang tidak kondusif dan  kekurangan peralatan ICT dan ABM .

Dalam semua profesion, hanya keguruan sahaja yang tidak ada ditetapkan masa kerjanya.  TIDAK ADA SATU PIHAK pun yang memperjuangkan hak-hak guru dalam hal ini. Pada November 2012 kerajaan telah mengumumkan  sistem waktu bekerja 9 jam untuk para guru dimana Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak telah menjadi negeri perintis selama enam bulan sebelum ianya diperluaskan ke seluruh Malaysia. Oleh kerana mendapat tentangan dari komponen Pakatan Rakyat dan dari Kesatuan Guru,  pada 28hb November 2012, Timbalan, Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran telah membatalkan perlaksanaan sistem ini.  Sebagaimana kerajaan pernah mengumumkan penghapusan yuran sekolah  dalam bajet 2008, para ibubapa terpaksa membayar sejumlah wang yang berkali ganda dari jumlah yuran sekolah itu sendiri. Perkara yang sama berlaku pada masa kerja guru. Sebelum 2012, kebanyakan guru sekolah menengah harian biasanya balik pada jam 2.30 petang. Sejak awal 2012, terdapat pengetua yang mengarahkan guru bekerja sehingga jam 3 petang.  Malangnya guru hanya balik pada jam 3 petang Itu hanya untuk satu atau kadang-kadang 2 hari sahaja dalam seminggu. Selebihnya mereka pulang sehingga lewat jam 6.00 petang .  Di bawah ini dipaparkan jadual untuk menjelaskan pernyataan kami.

MASA KERJA GURU SELEPAS TAMAT WAKTU PERSEKOLAH  JAM  2.30 PM
Perkara

Hari
Aktiviti selepas tamat sesi  Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) ) pada  2.30pm  dari Isnin hingga Khamis
Waktu
Nota
Isnin
Mesyuarat  dengan Pengetua setiap  Isnin dengan agenda yang karut marut dan salahguna kuasa memaksa guru hadir hingga lewat petang.

3.00-5.00pm (atau 5.45 pm)
Pembelajaran bermula pada jam 7.30 tapi guru datang seawal jam 7.00am
Selasa
Kokurikulum (1 Sukan 1 Pelajar) @ Mesyuarat Guru.
3.00- 5.00pm
Bergantung kepada sekolah. Ada sekolah yg melaksanakannya pada hari lain.
Rabu
Kokurikulum  (Badan Beruniform @ Kelab dan Persatuan)
1.50pm – 3.30pm
Ada sekolah melaksanakan nya pd 1.50 – 4.30pm
Khamis
Mesyuarat hal ehwal sekolah seperti mesyuarat pantia, AJK kecil, koperasi dll
3.00 – 4.30
Hampir setiap minggu sehingga Oktober
Jumaat
Perjumpaan dgn pelajar/kelas tambahan
3.00 – 4.00
Sekurang2nya 1 kali dalam sebulan.
Sabtu
Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP), Kelas Tambahan, Sukan, Gotong Royong, Aktiviti In-House Training, Taklimat, Perjumpaan dengan PPD @J PNP  dll.
8.00am  -12.00 @ 1.00pm
Sekurang2nya 1 kali sebulan dan ada sekolah yang memaksa guru datang sehingga 3 kali sebulan.

Jadi secara puratanya guru bekerja selama  10 jam dari Isnin hingga Khamis. Ini belum diambilkira kerja yang dibawa pulang ke rumah. Kita boleh rumus sendiri dari jadual kerja bagi pengendalian PBS dalam jadual seterusnya.

Kesan-kesan kepada pertambahan waktu kerja antaranya ialah:

Secara teorinya minda para guru akan lega sebaik sahaja mereka keluar dari pintu pagar sekolah. Oleh kerana pulang lebih lewat, mereka akan berfikir tentang banyak perkara khususnya guru perempuan iaitu tanggungjawab pada suami dan anak-anak. Ini mengakibatkan gangguan psikologi kepada guru dalam bentuk stress atau tension kerana beban kerja yang makin bertambah dan tekanan kerana tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai suami/isteri secara normal.

Guru terpaksa berbelanja lebih membayar kepada ‘baby sitter’ setinggi RM15 bagi setiap tambahan 1 jam selepas jam 3 petang sebagaimana hari-hari biasa.

Apabila pulang sama (malah lebih lewat) dari waktu pejabat, jalanraya yang sesak pada ‘peak hour’ menyebabkan guru lewat sampai ke rumah. Solat Asar dilakukan di penghujung waktu.

Oleh kerana kami tiba lewat ke rumah, rutin kehidupan di luar kami hampir musnah. Jogging, bawa anak makan angin petang, berkebun dan sebagainya sudah sukar untuk dilakukan.

Pengetua-pengetua  yang berkursus di Institut Aminudin Baki (IAB) seolah-olah di ‘brainwash’ oleh IAB agar melaksanakan perjumpaan satu hari dalam seminggu dengan guru-guru semata-mata mahu mendengar celoteh KATUN mereka yang membosankan dan tidak berfaedah. Ironinya perjumpaan ini mengambil masa sehingga 3 jam. Kandungan perjumpaan berkisar  sekadar mendengar motivasi dungu yang tidak bermutu dan meminta para guru berkongsi ilmu yang tidak kami minta dan hargai sama sekali. Perjumpaan/mesyuarat ini hanya boleh berakhir dalam masa 15 – 30 minit sahaja. Tetapi aduan  rakan-rakan dari sekolah-sekolah yang lain adalah senada iaitu pengetua banyak cakap merapu dan tidak ada  walaupun ‘basic skill’ dalam mengendalikan mesyuarat.Oleh itu para guru merasa tertekan duduk berjam-jam dalam mesyuarat.

Bagi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pula, guru memperuntukkan sekurang-kurangnya 2 jam bagi menyelesaikan tugasan mereka setiap minggu. Ini tidak diambilkira masa yang digunakan oleh mereka dirumah. Di bawah ini adalah jadual masa kerja guru dalam  pengendalian PBS bagu satu (1) kelas. Seorang guru biasanya diberi dua (2) sehingga empat(4) kelas PBS.

PERUNTUKAN MASA GURU DALAM PENGURUSAN PBS BAGI SATU KELAS
(PURATA 30 PELAJAR)
Perkara


Menggubal/Menyiapkan/ Mengetip (stapler) dan Menyusun Soalan
Menanda/Memeriksa soalan dan mengesahkan penglibatan pelajar dalam PBS( 10minit untuk setiap kertas/pelajar)
Memasukkan Eviden Pelajar ke dalam fail
Mendaftar /Key-In
Pencapaian Pelajar Ke dalam Sistem SPPBS
Masa
2 jam
30 x 10 = 300min / 5 jam
5minit x 30 = 150 minit / 2 jam 30 minit.
Sepanjang 2012, kami mengambil masa sehingga 2 hari utk 1 kelas kerana capaian internet yang lemah.
Nota
Jika guru itu mengajar 4 kelas, darabkan 30 org pelajar  (30x4 = 120 org  pelajar)

5. Kelemahan-kelemahan PBS yang tidak didedahkan ialah:

Kemudahan ICT sekolah amat mendukacitakan. Dalam sebuah sekolah yang purata bilangan gurunya ialah 80 orang, hanya ada dua(2) atau tiga (3) desktop sahaja. Oleh itu hampir SEMUA guru menggunakan laptop/harta mereka sendiri untuk menjalankan kerja kerajaan. Malangnya kerajaan sanggup bagi laptop percuma pada pelajar dan membiarkan guru dalam kerumitan mereka sendiri. Hanya profesion guru sahaja di mana mereka terlalu banyak menggunakan wang dan harta sendiri untuk buat kerja kerajaan.

Oleh kerana guru tidak dibenarkan mencari pendapatan sampingan, mereka terpaksa meminjam untuk membeli laptop bagi melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka. Harga laptop RM1500- RM2000., guna kad kredit atau hutang dan bayaran bulanan sehingga RM60 sebulan.

Capaian internet/schoolnet yang amat lemah menyebabkan guru terpaksa guna streamyx atau broadband. Bayaran sebulan ialah dari RM48 hingga RM148 sebulan.

Peruntukan masa yang terlalu lama oleh guru untuk mendaftar pencapaian pelajar secara online (kerana capaian internet yang lemah) dan pengurusan PBS yang lainnya menyebabkan mereka terpaksa melaksanakan sebahagian kerja ini di rumah. Sebagaimana yang pernah didedahkan dalam akhbar, kami terpaksa berjaga sehingga jam 3 atau 4 pagi untuk menyelesaikan kerja-kerja PBS.

Kesan kepada situasi ini ialah terjejasnya sistem rumahtangga dan  hubungan suami isteri sehingga membawa kepada pertengkaran. Masa yang selama ini dihargai dengan membelai anak-anak sudah berkurangan dan berlaku pertelingkahan suami isteri kerana  isteri (guru) terpaksa tidur lewat dan  mengabaikan anak/suami kerana PBS.

Kami pernah menghantar email kepada pihak Kementerian dan NUTP tetapi respon mereka sekadar menyiasat sahaja dan tiada tindakan. Nampaknya seolah-olah ada agenda yang tersirat dari KPM yang memang berhasrat untuk melaksanakan sistem kerja 9 jam secara senyap-senyap. Malangnya tidak ada mana-mana badan yang berani menyuarakan keadaan ini.  Sebenarnya perkara ini bukan sahaja berlaku di Kuantan malah seluruh Malaysia. Oleh yang demikian, kami amat berharap pihak tuan dapat melakukan sesuatu bagi kebaikan semua guru yang selama ini tidak mendapat perhatian serius dari pihak yang berkenaan.

Pinjaman Tekun memang hanya untuk ahli Umno

Harakahdaily, 09 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) memang ditubuhkan bagi membantu ahli Umno kata Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Datuk Abdul Rahim Hassan (gambar).

Ini kerana menurutnya, Tekun merupakan hasil usaha Umno bagi memperkasakan ekonomi kaum Melayu dalam parti itu, lapor The Malaysian Insider.

Bagaimana pun beliau menafikan Tekun menolak seratus-peratus permohonan mereka yang bukan dari Umno.

"Pembangkang selalu kata (Tekun) hanya memberi pinjaman kepada ahlinya, kami punyai hak untuk mempertahankannya kerana ia merupakan idea yang diasaskan parti.

"Namun tidak bermakna kita langsung mengendahkan permohonan lain asalkan mereka kaum Bumiputera kami terima tapi kepentingan sudah tentu kepada ahli Umno," katanya dalam sidang media bagi Program Kerjasama Strategi Tekun Nasional & Sohonista di Kuala Lumpur, 7 Oktober lalu.

Kata Rahim, Tekun ditubuhkan semasa Konvesyen Umno Pulau Pinang pada tahun 1994.

"Kerana itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak begitu menekankan perkembangan dan beliau sendiri berkata Tekun merupakan anak kandung Umno," katanya.

Dana tambahan RM700 juta merupakan antara salah satu dalam Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan oleh Najib baru-baru ini.

Tekun akan menerima dana tersebut bermula tahun depan dan ia akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

"Kita tidak dapat sekaligus ia secara berperingkat tapi memang setiap tahun kita menerima RM300 juta dan RM300 juta merupakan bayaran balik daripada peminjam yang kita terima.

"Tambahan dana itu adalah kerana seruan perdana menteri yang mahukan kita meningkatkan pinjaman sehingga ke RM100,000, jadi inilah wadah perjuangan Tekun iaitu membantu kaum Bumiputera tanpa mementingkan keuntungan," katanya lagi.

Beliau berkata Tekun juga mengalakkan permohonan pinjaman dari usahawan muda dikalangan siswazah yang baru menamatkan pelajaran.

"Golongan muda antara yang perlu diberi perhatian, terutama perkembangan trend sekarang ramai usahawan terdiri daripada lepasan siswazah dilihat lebih suka menjalankan perniagaan sendiri.

"Kerana itu kita beri ruang kepada mereka untuk berniaga dengan program seperti Sohonista ini supaya mereka kemudiannya tidak menentang kerajaan akibat kegagalan kerajaan yang tidak mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada semua lepasan mahasiswa dan inilah peranan Tekun," katanya.

Saya tidak lantik pengurus kempen – Tuan Ibrahim

Khairil Abdul Rahim, 09 Okt 2013
TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan beliau tidak pernah melantik sesiapapun menjadi agen atau pengurus kempennya bagi pemilihan jawatan dalam PAS Pusat kali ini.

Serentak dengan itu beliau menolak sebarang spekulasi dan provokasi yang dikaitkan dengannya terutamanya menerusi media baru.

“Saya tidak pernah melantik sesiapapun sama ada agen mahupun pengurus kempen dan saya tidak pernah membayar kepada sesiapa untuk diri saya.

“Saya tegaskan ini supaya tidak berlaku salah faham kerana menerima laporan sudah ada orang tertentu yang berkempen kononnya saya akan bertanding jawatan sekian-sekian.

“Bahkan saya sendiri belum memutuskan apakah jawatan yang saya akan bertanding nanti,” katanya.

Beliau mengulas demikian sebagai menjawab ada beberapa akaun terutamanya di laman sosial yang seolah-olah berkempen untuk Tuan Ibrahim bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS.

Difahamkan, satu artikel dalam sebuah akhbar harian turut melabel Tuan Ibrahim mewakili golongan ulama profesional yang berpotensi menang.

Jelasnya, beliau tidak mahu dilihat terlalu ghairah ketika semua ahli diberi kesempatan meraikan demokrasi tetapi bukannya mahu berlawan sesama sendiri.

“Bagi saya PAS mesti bersedia dengan persediaan yang lebih besar, jangan habis dengan perkara remeh temeh. Parti benarkan berkempen selagi tidak memburukkan pihak lain. Perwakilan sendiri yang akan menilai,” katanya.

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke-59 Asmuni Awi menjelaskan, mana-mana ahli PAS yang didapati melanggar garis panduan dan etika berkempen akan diambil tindakan jika berkempen secara tidak sihat dan mungkin dibatalkan kemenangan calon.

Tuan Ibrahim dalam pada itu meminta jawatankuasa pemilihan mengambil inisiatif memperkenalkan calon terutama yang bertanding jawatan AJK PAS Pusat kerana mungkin ramai muka baru yang menawarkan diri.

“Jika calon tidak berapa dikenali mungkin perwakilan hanya memilih berlegar di kalangan tokoh-tokoh yang sudah sedia ada sama. Jadi itu tidak adil kepada calon-calon baru.

"Mungkin pihak jawatankuasa boleh menerbitkan buku berkaitan biodata calon dan sebagainya yang difikirkan sesuai,” ujarnya.

Pemilihan Umno: Peluang Terakhir Selamatkan Diri

A Kadir Jasin, 09 Okt 2013
MEMINJAM loghat P. Ramlee, tajuk berita utama akhbar Berita Harian 8 Oktober tidaklah “menggumbirakan”. Sebaliknya ia memalukan Umno khasnya, orang Melayu amnya dan penduduk Malaysia keseluruhannya.

Tetapi ia juga boleh dijadikan teladan dan mungkin juga petanda bahawa Umno telah bersedia berdepan dengan hantu yang sekian lama meracau dan mengacau tubuh badannya - puaka yang menyebabkan banyak ahli tawar hati dan meminggirkan diri.

Puaka yang menyebabkan sesiapa saja yang berani bersuara diketepikan. Puaka yang menjadikan pengampu, kaki bodek dan penghasut disukai dan berpengaruh di koridor kuasa.

Tahniah kepada BH atas tajuk berita “1,703 perwakilan, calon Umno muflis”.

Akhbar itu, antara lain, melaporkan: “Seramai 33,272 calon disahkan bertanding merebut pelbagai jawatan pada pemilihan Umno bulan ini selepas 869 calon gagal melepasi saringan Jawatankuasa Pemilihan parti, termasuk 334 yang didapati muflis.

“Selain itu, 1,369 daripada kira-kira 146,000 perwakilan yang telah dipilih, tidak layak kerana turut disenaraikan muflis oleh Jabatan Insolvensi.”

Syabas kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno kerana membuat tapisan yang teliti.

Saya tidak hairan sedikit pun dengan berita tersebut. Hari ini, walaupun banyak Melayu dan Islam begitu “judgmental” (suka mengukur orang) keimanan orang lain, banyak daripada mereka adalah hipokrit. Mereka sendiri lebih teruk daripada orang yang mereka ukur dan adili.

Hari ini banyak orang Melayu (dan orang Malaysia amnya) suka berhutang di luar kemampuan dan tidak berniat membayar balik hutang sedangkan Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang dan orang yang berhutang sama tarafnya dengan hamba abdi.

Orang yang berhutang, tetapi tidak membayar balik hutang, lagi-lagilah yang diisytiharkan muflis kerana tidak membayar balik hutang, tidak layak menjadi pemimpin. Memilih mereka sebagai pemimpin samalah dengan memilih hamba abdi menjadi pemimpin.

Saya bukan menghina hamba abdi. Tetapi adakah kita mahu dipimpin oleh hamba abdi yang berhutang? Tidak kira sama ada mereka muflis kerana berniaga, kerana tak bayar pinjaman pelajaran tinggi, tak bayar hutang kad kredit atau kerana menjadi penjamin orang yang berhutang, pokok pangkalnya mereka tetap muflis.

Lagi hina adalah orang yang rela diisytiharkan muflis daripada berusaha membayar balik hutang.

Tetapi bukan orang muflis sahaja wajib ditegah bertanding dan mengundi. Orang yang didapati bersalah kerana jenayah, rasuah dan politik wang juga wajib ditegah daripada bertanding dan mengundi.

Sekiranya ada orang seperti itu yang terlepas daripada pengawasan dan tindakan Jawatankuasa Pemilihan tetapi diketahui oleh pemilih dan perwakilan, mereka pun wajib ditolak juga.

Kalau Umno mahu pulih daripada dilema dan maladi (penyakit) yang dialaminya sekarang dan mahu kembali menjadi parti pilihan orang Melayu, ia memerlukan kepemimpinan yang bersih, telus, berwibawa, muda dan bertenaga.

Kepemimpinan yang hormat dan akur kepada ahli bukan yang takut dan utamakan anak bini, suku-sakat, para penasihat, peniaga minyak ular dan ahli sihir. Barang dijauhkan Allah!

Pemilihan kali ini adalah peluang terakhir Umno menyegarkan semula kepemimpinannya dan mengembalikan idealisme perjuangan. Sekiranya ini tidak berlaku, kemungkinan Umno menjadi parti rumput tengah jalan (hidup segan mati tak mahu) adalah amat besar. Wallahualam. http://kadirjasin.blogspot.com
 

Kenapa RM6,000 untuk sarapan pagi, ini penjelasannya

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 09 Okt 2013

Kenapa Kedai Daun Pisang caj RM6,000 untuk sarapan pagi?.. Ini penjelasannya.. bacalah!


Dalam masa 24 jam, sehari selepas Sinar Harian melaporkan tentang sebuah kedai makan yang mengenakan bayaran RM6,000 bagi sarapan pagi sekumpulan VIP (sebenarnya macai-macai UMNO), Restoran tersebut telah diserbu Penguatkuasa PDNKK.

Baca lagi

Tiada ulasan: