Khamis, 10 Oktober 2013

DENDAM NI TIADA SIFAT ISLAM@AKHLAK ISLAM...TIADA AMALAN TASAUF

Audit: Pemuda PAS harap siasatan SPRM berhasil

Harakahdaily, 09 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka sebanyak 15 kertas siasatan berikutan laporan yang dikeluarkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012.

DPPM menganggap tindakan SPRM ini amat penting memandangkan kepincangan yang dilaporkan dalam Laporan Audit Negara terlalu serius dan perlu ditangani segera.

“Ia membuka aib dan pekung jabatan berkenaan yang menunjukkan kegagalan sesetengah jabatan kerajaan diuruskan dengan baik dan efisyen,” ujar Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, rakyat yang membaca Laporan Audit Negara merasa kecewa kerana mendapati pegawai dan pemimpin negara gagal menguruskan jabatan tertentu sehingga hampir setiap tahun berlaku ketirisan di mana-mana agensi yang dicatatkan oleh Jabatan Audit Negara.

“Laporan Audit Negara 2012 telah telah mendedahkan sejumlah kementerian, jabatan dan agensi kerajaan memandang remeh soal keberkesanan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran jabatan kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, segelintir pegawai atau pemimpin kerajaan bersikap culas dalam sesuatu urusan malah mungkin mengambil kesempatan di atas jawatan yang mereka miliki untuk kepentingan peribadi mereka.

Justeru, ujarnya apa yang diharapkan supaya kertas siasatan SPRM membuahkan hasil dengan tindakan susulan terhadap mana-mana pegawai atau jabatan berkaitan yang didapati bersalah.

“Tindakan ini adalah sebagai amaran agar jabatan tersebut tidak lagi mengulangi kesilapan lalu serta memperbaiki kesilapan di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat mengharapkan pegawai kerajaan serta pemimpin bertanggungjawab dengan menunaikan amanah ini dengan sebaiknya.

Katanya, kejujuran dan kesungguhan dalam menguruskan organisasi kerajaan menjamin keutuhan kerajaan yang seterusnya mengukuhkan negara di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, rakyat berharap Laporan Audit Negara tahun hadapan mencatat peningkatan terbaik dengan ‘sifar’ penyelewengan, ketirisan dan penyalahgunaan di mana-mana jabatan kerajaan.

Bantah TPPA optimis himpunan dapat sambutan

Hazayani Zakaria, 09 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Gabungan Bantah TPPA optimis himpunan besar-besaran di KLCC, Jumaat ini akan mendapat sambutan di luar jangkaan.

Jurucakap gabungan, Badrul Hisham Shahrin yang juga Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, keyakinan ini berdasarkan sambutan yang memberangsangkan daripada rakyat dalam siri jelajah bantah TPPA ke seluruh negara bermula 17 September lalu.

Siri jelajah bantah TPPA SAMM bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama Gabungan Membantah TPPA (Bantah) dengan pendukung utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berakhir malam tadi di Sekinchan, Selangor.

Manakala malam esok akan diadakan forum TPPA di Kelab Sultan Sulaiman yang akan dihadiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Siri jelajah Bantah TPPA mendapat sambutan yang baik di hampir semua tempat dan ini menunjukkan mood anti TPPA mula terbentuk dalam kalangan rakyat," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) hari ini.

Badrul Hisham juga berkata, Bantah juga mencipta kejayaan awal apabila berjaya membuka mulut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bersuara mengenai TPPA.

"Tahniah kepada Bantah kerana berjaya memberi tekanan kepada kerajaan dan Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri buka mulut dalam isu TPPA.

"Kita percaya Perdana Menteri pun ada sedikit kembimbangan dalam TPPA tapi mendapat tekanan yang kuat dari Amerika Syarikat," katanya.

Bagaimanapun katanya, rakyat tidak harus terpedaya dengan kerisauan yang ditunjukkan Najib sebaliknya mesti konsisten menunjukkan bantahan.

"Kita kena turun pada 11 Oktober ini selepas solat Jumaat di Masjid As Syakirin dan akan berarak ke KLCC seperti yang dirancang.

"Kita akan beri kerjasama kepada pihak polis dan menyediakan kawalan rapi kerana kita membantah dalam ruang lingkup perlembagaan Malaysia," katanya.

Tambahnya lagi, beberapa wakil parti-parti politik juga akan menyertai himpunan tersebut.

"Harus difahami bahawa bantahan kita mengatasi fahaman politik.

"Jadi kita minta mana-mana parti politik tidak kira pembangkang mahupun kerajaan harus bersama-sama kerana kita yakin tak semua menteri kabinet bersetuju dengan TPPA tapi tak berani membantah," katanya lagi.

Turut bersama-sama dalam sidang media ialah pengasas bersama Bantah, Anas Alam Faizli, Bendahari Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) Muhammad Sha'ani Abdullah, wakil Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Kohila dan Pengarah Kumpulan Pesakit Aids (MTAAG).

Tokoh pendakwah puji perkembangan Islam di S'gor

Selangorku, 09 Okt 2013
SHAH ALAM: Tokoh Pendakwah Selangor 2013 menyifatkan perkembangan Islam di Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebagai menakjubkan berikutan kerancakkan penganjuran program-program bercorak keagamaan di negeri ini.

Penerima anugerah itu, Shah Kirit Kakulal Govindji, berkata keadaan itu didorong oleh kesungguhan kerajaan negeri, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti dan semua pihak yang terlibat.

“Alhamdullilah saya lihat perkembangan Islam di Selangor khususnya sejak lima tahun ini adalah satu perkembangan yang cukup baik dengan program yang disusun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti dan sebagainya.

“Usaha dakwah dan latihan yang disediakan untuk kader-kader baru sebagai satu program yang menyeluruh, malah mereka mempunyai pelan tindakan untuk lima tahun akan datang, apa hasil yang kita boleh perolehi dalam masa 10 tahun, 20 tahun akan datang.

“Program dakwah di Selangor juga dijalankan dengan mempunyai wawasannya, bukan sekadar memenuhi syarat, saya amat terharu dan gembira dengan perkembangan ini,” ujar Shah Kirit yang memeluk Islam pada 1996.

Selain itu menurut Shah Kirit, Selangor juga semakin banyak melahirkan tokoh pendakwah muda dari pelbagai lapisan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan di kalangan saudara baru.

Penerima Anugerah Tokoh Pendakwah Wanita, Datin Aminah Zakaria pula berkata usaha gigih Kerajaan Negeri bagi memperbanyakkan program keIslaman wajar dicontohi negeri-negeri lain.

“Saya harap Kerajaan Negeri dapat meningkatkan usaha mengilmukan masyarakat Selangor ini dan saya doakan segala langkah, perbelanjaan yang digunakan Kerajaan Negeri untuk menyebar dakwah ini mendapat ganjaran maksima dari Allah dan minta Allah terima segala amal pihak pentadbir Kerajaan Negeri, pegawai, kakitangan dan rakyat Selangor semua, semuga dapat keberkatan Allah,” kata beliau.

Dalam Program Muzakarah Pendakwah dan Penolong Pendaftar Nikah Negeri Selangor yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, seramai tiga orang menerima anugerah Tokoh Pendakwah.

Shah Kirit yang mempunyai pengalaman berdakwah di serata dunia merupakan Duta Dakwah Saba Islamic Media Sdn Bhd dan beliau pernah menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Kebangsaan 2012, Tokoh Saudara Muslim Muslimin dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2010 dan Tokoh Saudara Kita Maal Hijrah 2011 Negeri Selangor.

Aminah yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Muslimah Malaysia (Salimah) juga turut terkenal sebagai penyampai ceramah mengenai ‘Fiqh Wanita’ di stesen radio Ikim fm dan beberapa slot bimbingan wanita dalam rancangan Al-Hidayah di TV3.

Beliau juga kerap mendapat undangan untuk menyampaikan ceramah agama di serata dunia termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Brunei dan Singapura.

Manakala penerima anugerah Tokoh Penolong Pendaftar Nikah Selangor, Aziz Mahmood merupakan seorang bekas Guru Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Seri Lanang.

Beliau yang juga memegangan jawatan Timbalan Nazir di Masjid At-Tawqwa, Pekan Banting kini juga aktif sebagai penceramah kursus Haji.

Ketiga-tiga tokoh terbabit masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil, piala iringan dan sepersalinan pakaian yang disampaikan Exco Hal Ehwal Islam Negeri Selangor, Sallehin Mukhyi.

Adakah Najib jujur mahu perangi rasuah?

Harakahdaily, 09 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak mengotakan janjinya dengan berusaha menjadikan rasuah sebagai sebahagian daripada perkara yang sudah berlalu bagi Malaysia, bukan suatu amalan akan datang.

“Tidak pasti sama ada PM benar-benar ikhlas bercakap soal memerangi rasuah atau tidak,” ujar Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Katanya, apa yang diharapkan, ucapannya lahir dari hati yang ikhlas dan ditunaikan dengan tindakan susulan yang agresif.

DPPM, ujarnya tidak mahu PM hanya berjanji dan berilusi bahawa Malaysia bebas rasuah, sedangkan di dalam negara ini sarat dengan pemimpin korupsi dan rasuah yang dilakukan secara terang-terangan.

Sebelum ini, kata beliau PM banyak beretorik dengan pelbagai slogan dan janji manis setinggi langit namuan pengisiannya hampas sama sekali.

“DPPM melihat dalam keadaan sekarang, rasuah tidak mampu di kekang mahupun dibanteras seperti yang dihasratkan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, keyakinan rakyat berdasarkan kepada prestasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama ini tidak begitu membanggakan kerana kuasanya terlalu terbatas dan hanya bergerak pada sudut yang sempit sahaja.

“Yang diketahui adalah pemimpin atau pegawai bawahan diambil tindakan sekiranya mereka didapati terlibat dengan rasuah sedangkan ramai ‘jerung-jerung besar’  yang bebas bergerak di dalam negara menggunakan kuasa mereka meskipun rakyat mengetahui bahawa mereka terlibat dengan korupsi atau rasuah,” ujarnya.

Justeru itu, kata beliau DPPM bersetuju dengan saranan Datuk Mahfuz Omar bahawa sekiranya benar PM mahu SPRM dijadikan tentera medan hadapan bertempur dengan rasuah, empat tindakan agresif perlu diambil iaitu SPRM diletakkan di bawah kuasa parlimen di mana Pengerusi SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan calon-calonnya ditapis oleh Parlimen melalui satu jawatankuasa khas Parlimen.

Kedua, SPRM diberi kuasa untuk mendakwa tanpa merujuk Peguam Negara; ketiga, semangat anti rasuah mesti disematkan dalam kehidupan rakyat Malaysia manakala keempat, Umno mesti berundur dari tampuk pemerintahan negara. 

“Jika PM berani menghapuskan rasuah, ini bermakna PM mesti berani berhadapan dengan pemimpin parti beliau dan komponennya yang banyak dipalitkan dengan rasuah termasuk diri dan keluarganya,” katanya.

Soalnya, tanya beliau beranikah PM bertegas dengan pemimpin bawahannya dan sanggupkan berlaku adil kepada rakyat untuk tindakan diambil terhadap diri dan ahli keluarganya sendiri sekiranya mereka didapati melakukan rasuah.

Maahad Tahfiz Sains di setiap daerah Selangor

Saidah Hairan, 09 Okt 2013
SHAH ALAM: Selangor bercadang mewujudkan Maahad Tahfiz Sains di setiap daerah di negeri ini bagi memenuhi permintaan tinggi penduduk Islam sekaligus meningkatkan kefahaman Islam rakyat, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Ustaz Sallehen Mukhyi (gambar).

Menurut beliau, sehingga kini sudah wujud tiga maahad tahfiz sains yang beroperasi di daerah Kuala Langat, Klang dan Sabak Bernam.

Malah Maahad Tahfiz Sains di Sabak Bernam yang kini beroperasi di premis sementara di Institut Latihan Dakwah Sabak Bernam akan ditingkatkan infrastruktur apabila dipindahkan ke bangunan Institusi Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Bagan Terap.

Dalam sesi wawancara bersama Harakahdaily di pejabatnya, semalam, Ustaz Sallehen berkata, tiga lagi Maahad Tahfiz Sains akan ditubuhkan di daerah Sepang iaitu di kawasan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), daerah Hulu Langat dan daerah Hulu Selangor.

Ustaz Sallehen yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri turut memaklumkan rancangan kerajaan negeri untuk mewujudkan Kafa Menengah pada 2015 jika projek perintis yang dilaksanakan tahun hadapan berjaya.

Menurut beliau, kerajaan negeri akan mewujudkan Kafa Menengah di setiap daerah pada tahun hadapan sebagai projek perintis.

Sebagai permulaan, jelasnya, premis Sekolah Rendah Agama (SRA) milik Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan digunakan bagi projek perintis Kafa Menengah dan kelas akan diadakan tiga hari seminggu.

"Bagi pelajar sekolah menengah yang belajar sesi petang maka sesi pagi mereka belajar di kelas Kafa," katanya.

Beliau turut menggalakkan Kafa persendirian supaya mewujudkan Kafa menengah kerana ia dapat membantu usaha kerajaan negeri.

Menjawab soalan berhubung pengurusan masjid dan surau, Ustaz Sallehen berkata, pihaknya dalam usaha menjadikan masjid sebagai pusat komuniti masyarakat.

"Masjid dan persekitarannya perlu dibangunkan untuk menarik minat masyarakat. Oleh kerana itu masjid juga perlu menyediakan kemudahan seperti gelanggang futsal, bengkel jahitan dan dewan bagi majlis kenduri kendara," ujarnya.

Dengan mempelbagaikan kemudahan dan program, tambahnya masjid dan surau mampu menarik kehadiran umum dan menjadi pusat aktiviti masyarakat.

Menyedari betapa pentingnya aspek ini, Jais ujarnya akan menjadikan faktor 'kemakmuran masjid' sebagai salah satu indikator Indeks Pencapaian Utama (KPI) para imam dan nazir masjid.

Bagi meningkatkan khidmat kepada 'saudara baru', beliau berkata 'pegawai muallaf' akan diwujudkan di setiap masjid berbanding sekarang yang hanya ditempatkan di Pejabat Agama Daerah.

Langkah ini, ujarnya penting bagi melicinkan usaha menyalurkan bantuan kepada golongan terbabit.

Hapuskan dendam 23 tahun demi rakyat

Salmah Mat Husain, 09 Okt 2013
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan digesa memajukan Kelantan Selatan, iaitu Gua Musang berperingkat-peringkat memandangkan kedudukannya yang begitu strategik  antara Kuala Lumpur, Kota Bharu atau Ipoh.

Zulkifli Mamat (PAS-Pulai Chondong) berkata  walaupun memerlukan tempoh yang agak panjang untuk memajukannya, khususnya dari segi pembangunan, namun Kelantan perlu memajukan kawasan itu, khususnya mengenai infrastruktur.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2014 dalam sidang Dun Kelantan penggal ke-13, semalam.

Katanya, kerajaan negeri perlu menyediakan kemudahan jalan yang lebih baik kerana jarak satu kampung ke satu kampung atau daerah agak jauh.

“Bagi menjayakan hasrat ini, kerajaan negeri perlu berunding dengan kerajaan Pusat agar jalan-jalan raya yang lebih baik dapat diadakan untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan Kelantan dan Persekutuan perlu duduk bersama untuk berbincang demi untuk kepentingan rakyat.

“Dendam membara sejak 23 tahun lalu sewajarnya dihapuskan demi untuk kepentingan rakyat.

“Saya menyokong cadangan wakil BN dalam Dun ini, Adun Kuala Balah yang berkata pihaknya akan berbaik dengan kerajaan negeri. Kita harap semua wakil BN dalam dewan ini sebagai jambatannya,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan Umno Kelantan menghentikan sebarang cubaan yang tidak baik terhadap kerajaan Kelantan.

Tegasnya, pendaratan gas ke Kelantan sewajarnya tidak lagi ditangguh, begitu juga pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai yang masih tertunda pembinaannya.

Sementara itu Roslan Putih (PKR-Guchil), menggesa kerajaan Kelantan supaya mempertingkatkan kualiti air khususnya di kawasan perkampungan.

Menurutnya, masaalah kualiti air dan putus bekalan air adalah dua perkara yang berbeza dan perlu diberi perhatian segera.

“Kita tidak mahu tindakan sebegini yang sering berlaku akan membuatkan rakyat memandang buruk pada kerajaan negeri.

“Kerajaan perlu cari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masaalah ini,” ujarnya.

Perkasakan tarbiyyah memacu masa depan Islam

Ustaz Norhan Hamsi,
Alhamdulillah kita baru sahaja selesai berijtima' tarbawi di Pagoh. Ijtima' tarbawi adalah program tarbawi tahunan yang tidak lain tidak bukan mengembalikan semula roh perjuangan Islam dalam diri setiap abnaul harakah. Tahniah kepada pemuda yang berjaya menghadirkan diri, semoga tadhiyyah ini diberi nilai yang tinggi oleh Allah SWT. Kepada yang tidak dapat hadir dengan alasan yang syar'ie, semoga Allah SWT memberi kesempatan untuk terus hadir pada program-program tarbiyyah kelak insyAllah.

Tarbiyyah mempunyai definisi yang pelbagai tetapi merangkumi kepada satu objektif - membina dan membentuk suatu produk pejuang Islam yang ideal dengan perjuangan dan realiti semasa. Inilah harapan besar yang diletakkan kepada tarbiyyah.

Dalam konteks sebuah syarikat pengeluaran, tarbiyyah bukan hanya 'machine' yang mencetak pejuang Islam untuk berjuang di lapangan, bahkan tarbiyyah juga merangkumi 'quality control' yang sentiasa menjaga, memerhati dan meneliti kualiti setiap produk yang dibawa keluar.

Begitulah pentingnya tarbiyyah dalam perjuangan Islam. Ianya bukan omongan kosong. Matlamat dan pengisian tarbiyyah perlu diambil perhatian serius oleh semua abnaul harakah. Ini merupakan asas yang penting dalam menghadapi denai perjuangan Islam yang berliku.

Gerakan Islam tidak pernah sunyi dari menghadapi cabaran-cabaran yang getir. Kadang-kadang bahtera ini tenang ditiup angin yang lembut, kadang-kadang ia bergelora dipukul badai dan ribut yang mengganas.

Namun, itulah asam garam perjuangan Islam, sentiasa menghadapi ujian untuk terus kukuh dipersada perjuangan. Hanya tarbiyyah yang jitu yang akan memberi bekalan yang secukupnya buat abnaul harakah. Semoga Allah SWT istiqamahkan kita atas jalan juang ini insyAllah.

Salam tarbiyyah.

Penulis ialah Pengerusi Lajnah Tarbiyyah DPPK Batu 13/15.

Lampu HID ganggu penglihatan pengguna jalanraya

Jofri Jaraiee, PAS Sarawak,
Ramai pengguna jalanraya mengadu yang mereka menghadapi masalah dengan pemandu yang menggunakan lampu HID (High-Intensity Discharge) terutama pada waktu malam. Penglihatan mereka terganggu akibat dari kenderaan yang menggunakan lampu tinggi kerana silau cahaya yang terlampau terang.  Ini boleh mendatangkan bahaya kepada penglihatan pemandu lain sekaligus membawa risiko kemalangan di jalanraya.

Pemandu yang memandu kereta dengan lampu HID ini mungkin menyukainya sebab ianya terang dengan kecerahan yang tinggi namun bagi pemandu yang terpaksa berdepan dengan lampu HID ini terpaksa berhati-hati sebab lampu HID terlalu silau lebih-lebih lagi ketika mereka membuka lampu tinggi pada waktu malam. Begitu juga ketika waktu hujan lebat sukar untuk nampak cahaya lampu putih HID dan ini pasti boleh membawa kepada kemalangan sekiranya tidak berhati-hati ketika memandu.

Laman sesawang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara jelas menyebut bahawa penggunaan High intensity Discharged (HID) Headlamp iaitu lampu yang tidak menggunakan filament tetapi menggunakan Gas Xenon. Pemasangan lampu HID secara aksesori (Retrofit) adalah tidak dibenarkan kecuali penukaran keseluruhan sistem lampu tersebut dengan mendapat akreditasi daripada badan yang diberi kuasa seperti SIRIM.

Pada 19 November 2007, JPJ telah mengemaskini C&U dan memasukkan peraturan kawalselia terhadap penggunaan lampu HID di dalam Kaedah 96 (2) (i) yang menyatakan "sekiranya lampu HID digunakan, pemasangan,spesifikasi dan sistem lampu tersebut hendaklah mematuhi peraturan UNECE 48, UNECE 98 dan UNECE 99".

Penguatkuasaan terhadap kenderaan yang menggunakan lampu HID yang dipasang secara aksesori (Retrofit) boleh diambil tindakan dibawah Kaedah 94 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Kegunaan) 1959 iaitu 'keadaan kenderaan bermotor yang digunakan di atas jalan raya dan semua bahagian dan aksesorinya hendaklah sentiasa tidak mengakibatkan atau mungkin mengakibatkan berbahaya pada orang di dalam kenderaan atau di atas jalanraya', kesalahan ini boleh didenda sehingga RM 2000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih 6 bulan dibawah seskyen 119(1) APJ 1987. Pemandu/pemilik akan diberi masa selama sepuluh hari (10) untuk memperbetulkan lampu tersebut kepada lampu asal

Bagaimanapun, peraturan ini tidak dikuatkuasa sepenuhnya oleh pihak berkuasa. Semakin banyak kenderaan yang memasang lampu putih ini walaupun ia membahayakan pengguna jalan raya yang lain.  Mungkin lampu HID ini hanya sesuai untuk kenderaan yang masuk ke dalam pedalaman atau kawasan yang gelap.  Kalau mereka hendak memasang juga, perlulah cari keadah yang terbaik seperti dipasang untuk lampu tinggi saja dan lampu rendah hendaklah dipasang dengan lampu biasa. Lampu ini hanya sesuai digunakan di tempat yang gelap yang tiada kenderaan menuju arah yang bertentangan agar ianya tidak merbahayakan pengguna jalan yang lain.

Pihak JPJ dan kerajaan sepatutnya mengawal lampu HID dijual secara bebas di kedai aksesori kenderaan dan kenderaan baru juga perlu mengikut spesifikasi asal bukannya boleh diubah-suai sesuka hati sehingga menyalahi peraturan pengangkutan jalanraya.

Walaubagaimana pun kepada mereka yang berkenaan seharusnya memikirkan juga pengguna jalanraya lain, jangan disebabkan mereka pentingkan diri sendiri sehingga ianya boleh mengancam nyawa pengguna jalanraya lain  Jadilah pemandu yang bertimbang rasa ketika memandu di jalanraya agar pengguna jalanraya selamat sampai ke destinasi. Tindakan undang-undang adalah jalan terakhir untuk mereka yang ingkar mematuhi peraturan jalanraya.

Tiada ulasan: