Khamis, 10 Oktober 2013

DENDAM BUKAN AJARAN ISLAM

Dendam politik punca petani dinafi baja subsidi

Aslani M, 09 Okt 2013
KOTA BHARU: Kecederongan dan dendam politik antara faktor petani-petani yang tidak menyokong Umno dan BN dinafikan hak mendapat baja subsidi padi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau Negeri Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, berikutan penafian itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menyediakan baja subsidi kepada mereka.

“Baja padi yang disediakan kepada kerajaan negeri diberi kepada semua petani tanpa mengira fahaman politik mereka.

“Namun kebetulan yang ramai mendapat baja itu kalangan yang menyokong PAS kerana dinafikan hak mendapat baja subsidi padi di bawah kerajaan pusat,” katanya menjawab soalan Tuan Mazlan Tuan Mat (PAS-Gaal) pada persidangan Dun hari ini.

Menurutnya juga setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan antara RM2 hingga RM4 juta bagi menyediakan baja subsidi kepada petani yang dinafikan hak di bawah program pusat.

“Sebenarnya bukan baja sahaja dinafikan, malah petani turut disisihkan hak mendapat subsidi racun, membajak dan jualan padi,” ujarnya.

Menurutnya beliau sendiri turun padang bersama pegawai kerajaan bagi menyelami dari dekat masalah yang dihadapi petani terbabit.

Katanya juga kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pertubuhan Peladang dan Kada bagi menyelesaikan masalah terbabit.

“Malah UPEN telah menghantar surat kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membolehkan diadakan pertemuan bagi membincang masalah petani di Kelantan,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad pula berkata, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Golok yang dirancang JPS meliputi Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat sepanjang 50 km.

Katanya, projek tersebut akan dibina tiga fasa membabitkan kos RM1.3 bilion dijangka mula dibina di Bandar Rantau Panjang.

Antara kompenan bakal dibina termasuk batas mencegah banjir dan laluan air banjir.

“JPS telah menyiapkan dokumen tender projek tersebut dan sekarang menunggu bajet daripada kerajaan pusat,” ujarnya.

Dr Agus ulas Husam bahas Belanjawan Kelantan 2014

http://gigitankerengga.blogspot.com, 09 Okt 2013


Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusof
Husam Musa

PEMBENTANGAN bajet negeri Kelantan bagi tahun 2014 baru-baru ini menarik sekali.



Dato Husam Musa, Adun Salor yang sebelum ini adalah Exco Kelantan bangun berucap memohon penjelasan kerajaan negeri mengenai pemberian kawasan balak seluas 3500 ekar di hutan simpan Chabang Tongkat Hulu Sat Machang.




Menariknya, apabila beliau menimbulkan cerita ini pelbagai persoalan muncul.




Antaranya mengapa beliau bangun untuk melawan kerajaan dari partinya sendiri? Mengapa tidak beliau atasi kelemahan kerajaan negeri semasa beliau berkuasa dahulu? Mengapa hanya sekarang beliau memberikan pelbagai cadangan untuk membangunkan negeri? Adakah ini sabotaj beliau kepada kerajaan negeri selepas tidak lagi dilantik menjadi Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri yang baru?




Saya tidak hendak mempertahankan sesiapa dalam hal ini. Saya tidak boleh kata apa yang Adun Salor timbulkan itu benar atau salah.




Tapi yang saya yakin ialah Adun Salor membuat 'kerja rumahnya' sebelum berucap di Dun. Maka sekarang ini bagi melihat kekuatan hujah masing-masing, saya menunggu jawapan MB dalam penggulungan nanti.




Bukan saya sahaja yang menunggu, rakyat juga ternanti-nanti jawapan MB. Ini kerana dalam beberapa hal, bajet tadi tidak menjawab banyak persoalan yang dinantikan rakyat tentang peruntukan pembinaan lebuh raya dan stadium serta peruntukan untuk menjayakan projek kambing jamnapari dan padi organik -perkara yang sebelum ini juga saya timbulkan.




Satu lagi yang rakyat hendak tahu secara rasmi ialah tentang kenaikan tarif air yang dikatakan naik sehingga 39% mengikut tahap tertentu penggunaan air, tetapi tidak diumumkan.




Yang rakyat hendak tahu ialah betulkah tarif air naik? Jika naik, kenapa tidak diumumkan?




Dalam hal ini, seorang kawan saya memberitahu saya, sekeras-keras kerajaan BN pun, kenaikan harga minyak dan elektrik diumumkan kepada rakyat.




Kembali kepada tindakan Adun Salor tadi, persoalan yang perlu kita jawab bukanlah soal beliau mengkritik kepimpinan partinya, tetapi apakah tindakan beliau itu salah?




Saya tidak melihat begitu. Saya tunggu perbahasan seperti ini sekian lama, iaitu ahli dari parti sendiri membahas dasar dan keputusan kerajaan.




Pada saya, tindakan Adun Salor adalah baik untuk memperbaki kelemahan parti, lagi pun beliau adalah Adun biasa yang bukan lagi berada dalam barisan kepimpinan kerajaan.




Lainlah kalau beliau ahli Exco yang terikat dengan doktrin ‘tanggungjawab bersama’.




Di pihak kerajaan negeri pula, terimalah pandangan Adun Salor sebagai politik profesional dan politik matang.




Jawablah dengan baik untuk menangkis dakwaan beliau, bukan untuk melihat beliau sebagai musuh parti atau musuh kerajaan negeri. Ingat, dari segi hierarki parti, Adun Salor adalah naib presiden Pas.




Maka, sebagai naib presiden, tidak ada tujuan bagi beliau untuk mensabotajkan parti dan kerajaan negeri dokongannya.




Melihat lebih jauh, hati saya berkata: Jikalah politik cara ini juga diamalkan di parlimen, alangkah majunya politik kita dan alangkah baiknya untuk rakyat dan negara kita. Semoganya!

Video perbahasan Husam

Pro-M dedah Umno campur tangan pilihan raya kampus

Hazayani Zakaria, 09 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pro Mahasiswa (Pro M) Universiti Malaya (UM) mendedahkan wujud campur tangan Hal Ehwal Pelajar UM dan Umno dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) UM.

Pro M UM mengesan Timbalan Naib Cancelor (TNC) HEP memberikan surat perlepasan kuliah kepada 43 mahasiswa dan mahasiswi untuk menghadiri kursus Transformasi Minda pada 18 hingga 20 September di Negeri Sembilan.

Menurut Pengerusi Pro M UM, Abdul Muqit Muhammad, selang beberapa hari selepas kursus tersebut, sumber dalaman HEP mendedahkan beberapa dokumen penting dalam program transformasi minda.

Katanya, ternyata dalam tentatif program tersebut bukanlah program transformasi yang dijangka tetapi hanya kursus pemantapan jentera dan calon PRK UM.

"Persoalan yang timbul mengapa program tersebut tidak ada hebahan umum kepada mahasiswa yang lain?

"Selain itu, mengapa hanya 43 orang yang terlibat dan ini seolah-olah signifikan dengan jumlah kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kampus.

"Mengapa pihak bertanggungjawab tidak maklum mengenai program ini? Kita merasakan wujud satu onspirasi dalam program ini," kata beliau pada sidang media di UM siang tadi.

Tambah Abdul Muqit, sumber dalaman itu mendedahkan, pihak penganjur menjemput Mohd Fairuz iaitu calon pembangkang yang lompat parti kepada Umno dan merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1.

"Terdapat juga slot yang membincangkan mengenai post mortem PRK 2012. Apakah kaitan transformasi minda dengan analisis PRK 2012?" soalnya.

Selain itu katanya, peserta program turut diberikan beberapa dokumen seperti 50 dalil mengapa perlu menolak DAP dan dokumen Aku Janji Barisan Nasional.

"Ternyata program ini bukanlah kursus untuk transformasi minda dan ia adalah program perancangan untuk pilihan raya kampus yang akan berlangsung.

"TNC HEP perlu bertanggungjawab atas komplot antara HEP dan penggerak mahasiswa dan salah guna kuasa yang dilakukan," katanya.

Justeru Pro M UM meminta pihak pentadbiran melakukan siasatan serius berhubung perkara ini dan mengenakan tindakan yang sewajarnya ke atas mereka.

"Pro Mahasiswa dengan tegas tidak akan membiarkan penipuan dan konspirasi ini terus berlaku dala pilihan raya kampus UM.

"Perkara ini menjadi bukti membenarkan konspirasi OPS 2020 yang berlaku dalam PRK yang lepas," katanya.

Abim pandang serius polemik Bumiputera Islam Sabah

Abim dan Wadah Sabah, 09 Okt 2013
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) Negeri Sabah memandang serius polemik dan perbahasan secara terbuka pandangan Sohibussamaha Ust. Bungsu @ Aziz Jaafar, Mufti Negeri Sabah berkenaan Bumiputera Islam Sabah yang perlu digelar Melayu.

Sesungguhnya pandangan Yang Berbahagia Mufti sewajarnya kita terima secara matang dan tidak emosional kerana pandangan ini dibentangkan dalam simposium yang bertujuan mendapatkan pandangan umum tentang bagaimana mendepani agenda asing dan cabaran kepimpinan Melayu di alam Melayu dan Nusantara.

Adalah kurang bijak dan matang untuk kita terus menerus mengeluarkan pandangan dan kritikan balas tanpa melihat teks asal perbincangan simposium dan konteks serta maudhu pandangan ini diutarakan.

2.    ABIM dan WADAH Sabah turut khuatir dan bimbang pandangan balas yang bersifat emosional dan melulu tanpa bertanya sendiri kepada sumber asal maklumat  dan amat bergantung kepada sumber kedua dan ketiga akan mencetuskan polimik ketaksuban suku dan bangsa yang lebih besar.

Apa yang jelas, pandangan balas dan kritikan tanpa memahami teks dan konteks sebenar sesuatu pandangan diutarakan akhirnya akan mengundang kekeliruan dan dendam kesukuan, agama dan bangsa yang lebih serius khususnya dalam konteks negeri berbilang agama, suku dan bangsa.

Malahan ABIM dan WADAH Sabah berpendapat bahawa pandangan Sohibussamaha Ust. Bungsu @ Aziz Jaafar adalah pandangan umum beliau yang tidak mencerminkan atau membawa ketetapan sebagai fatwa yang wajib dilaksanakan di negeri ini.

Malah perkara ini sejajar dengan pandangan balas YAB Ketua Menteri Sabah berkenaan pandangan Sohibussamaha Ust. Bungsu @ Aziz Jaafar sebagai satu pandangan umum sahaja dan tidak mencerminkan pendirian kerajaan. Pandangan balas YAB Ketua Menteri Sabah dalam hal ini telah dilaporkan oleh beberapa akbar tempatan bertarikh 4 Oktober 2013.

3.    ABIM dan WADAH Sabah juga menyatakan dan memohon agar semua pihak berhenti dari mengeluarkan pandangan secara terbuka sama ada melalui apa juga media sehingga ada ketetapan pandangan jelas dari pihak Sohibussamaha Ust. Bungsu @ Aziz Jaafar.

Selain itu, ABIM dan WADAH Sabah menyeru semua pihak sama ada orang ramai, Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan untuk mula menyuburkan budaya wacana ilmu dan pemikiran berupa seminar, sidang pleno dan forum bagi membincangkan dan mendengar fakta-fakta yang konkrit dan tepat dalam apa juga isu dan polemik agar semangat dan budaya masyarakat berilmu dapat disuburkan dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan bangsa.

4.    ABIM dan WADAH Sabah turut menggesa orang ramai agar kembali melihat dan memperhalusi resolusi-resolusi besar yang telah diangkat dalam Seminar Pengaruh Islam Dalam Budaya Suku Kaum di Sabah anjuran ABIM Sabah dan beberapa agensi kerajaan yang lain bertarikh 31 Mei 1993 yang dengan jelas menyatakan bahawa perlu ada perbincangan yang khusus dan panjang dilaksanakan sebelum kita boleh memperihalkan dan menterjemahkan konsep Melayu dalam kebudayaan suku dan bangsa di negeri Sabah. Dalam hal ini,

ABIM dan WADAH Sabah turut berpandangan bahawa adalah kurang wajar untuk memaksakan pemakaian Melayu kepada suku dan bangsa di Sabah yang sedari awalnya telah mempunyai kebudayaan tersendiri dan telah diamalkan sejak turun temurun lagi.

Justeru, terpulang kepada suku dan bangsa berkenaan untuk menerima atau memperihalkan elemen keMelayuaan malah menerima sekalipun identiti Melayu dalam diri suku dan bangsa mereka.


Sekian.

Dr. Abdullah Bade
Yang Dipertua, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Negeri Sabah

Abdul Manap Mahmud
Pengerusi, Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Negeri Sabah

Tiada ulasan: