Sabtu, 5 Oktober 2013

DAH BEGINI MASIH MENOLAK HUKUM ALLAH SWT...TAKUT PADA ALLAH ATAU TAKUT PADA MANUSIA...ATAU PUN MENYEMBAH SYAITAN@MENGIKUT SYAITAN

Diserbu ketika memadu asmara
  • Diserbu ketika memadu asmara Anggota Imigresen (tengah) menahan seorang warga tempatan dan seorang wanita yang dipercayai memberikan khidmat seks di sebuah hotel murah.
1 / 1
TELUK INTAN - Seorang lelaki tempatan yang asyik memadu asmara bersama seorang wanita di sebuah hotel murah di Jalan Raja terkejut apabila diserbu sekumpulan anggota  Jabatan Imigresen Cawangan Teluk Intan, dalam satu operasi,  malam kelmarin.

Bahkan wanita berkenaan juga turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota Imigresen yang menyertai Ops 6P Bersepadu di hotel murah tersebut.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, operasi yang diketuai beliau turut disertai 12 anggotanya dan dua kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Teluk Intan.

Menurutnya, sebanyak enam lokasi diserbu dalam masa dua jam dan pihaknya berjaya menahan dua wanita di premis berasingan.

"Dua wanita berusia lingkungan 30-an itu disyaki menjalankan aktiviti pelacuran di  hotel murah di sini dan salah seorang daripada mereka  dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Hasil risikan dibuat mendapati, hotel murah berkenaan turut menawarkan aktiviti tidak bermoral dengan bayaran sekitar RM30 hingga RM50 bagi satu sesi, malahan pelanggan boleh membawa wanita tersebut ke lokasi lain namun dikenakan caj,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Khairul Anuar berkata, kesemua wanita yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Cawangan Teluk Intan bagi tujuan siasatan.

Katanya, JPN turut memeriksa wanita yang dikatakan mempunyai kad pengenalan namun, MyKad salah seorang daripadanya diragui.

“Dalam kes ini, JPN turut menyiasat kes tersebut bagi mengesan sindiket mengeluarkan MyKad palsu yang digunakan oleh wanita warga Indonesia tersebut.

“Wanita warga Indonesia berkenaan disiasat di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 dan kini  ditempatkan sementara di Depot Langkap untuk tindakan lanjut,” katanya.
Bersekedudukan hampir 10 tahun
  • Bersekedudukan hampir 10 tahun Penguatkuasa Jaij Batu Pahat mengambil keterangan wanita berkenaan, awal pagi semalam.
1 / 1
BATU PAHAT - Tindak-tanduk seorang wanita berusia 29 tahun yang sering kali berulang-alik ke rumah kekasihnya yang bukan Islam menimbulkan tanda tanya penduduk sekeliling selama ini  akhirnya terbongkar.

Kelakuan sumbang pasangan berkenaan terbongkar apabila kediaman lelaki itu yang terletak di Jalan Mustafa, di sini, diserbu kira-kira jam 3 pagi semalam, oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat.

Turut menyertai serbuan itu adalah anggota dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pasangan yang didakwa  bersekedudukan hampir 10 tahun itu turut memiliki seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

Timbalan Penguatkuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, wanita berasal dari Kelantan itu pada mulanya enggan memberikan kerjasama  dengan mendiamkan diri.

Bagaimanapun, setelah beberapa kali dipujuk, wanita terbabit akhirnya akur dan keluar dari bilik seterusnya menceritakan situasi sebenar.

“Wanita itu dipercayai bersekedudukan dengan kekasihnya yang bukan Islam di sebuah rumah sejak 10 tahun lalu. Wanita itu juga mengakui tidak lagi mengamalkan ajaran Islam seperti solat dan  sebagainya,” katanya, di sini.

Saiful Ariffin berkata, hasil  pemeriksaan lanjut dalam sebuah  bilik di kediaman pasangan ber- kenaan mendapati seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sedang nyenyak tidur.
Menurutnya, wanita terbabit turut mengakui kanak-kanak itu adalah anak hasil hubungan dengan kekasihnya.

Mengikut surat beranak yang disertakan, anak itu tidak berbinkan kepada sesiapa dan pihaknya percaya dia adalah anak tidak sah taraf.

Bagaimanapun, pihaknya masih menyiasat agama yang dianuti kanak-kanak berkenaan.

“Setakat ini, pasangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 23(1)(a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997 dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai berhubung  kesalahan yang dilakukan

“Kita menasihatkan agar  keluarga memainkan peranan  penting bagi mengelak anak tersasar jauh daripada ajaran Islam,” katanya.

Saiful Ariffin memberitahu,  operasi itu bertujuan membendung kegiatan sumbang yang semakin  menular dalam kalangan anak muda sejak kebelakangan ini.

Tambahnya, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap, tertumpu kepada aduan orang ramai, hotel bajet dan  kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti itu.
Remaja asyik dodoi awek kantoi
  • Remaja khusyuk dodoi awek kantoi
1 / 1
GEORGETOWN - Seorang remaja perempuan yang bertudung litup rela menyerahkan diri dipeluk teman lelakinya sementara seorang rakan perempuannya yang duduk bersebelah hanya mampu memandang tanpa menegur kelakuan rakannya.

Perbuatan tidak bermoral remaja berkenaan dapat dilihat ketika operasi maksiat Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) di tepi sebuah pantai di sini.

Ketika dipandang sekali imbas, kelihatan dari jauh remaja lelaki berusia lingkungan awal 20-an itu ibarat sedang mendodoi kanak-kanak kecil.

Namun setelah didekati penguatkuasa, rupa-rupanya yang dipeluk adalah kekasih hatinya.

Apa yang lebih memalukan apabila rakan perempuannya yang berada di sebelah kelihatan selamba saja langsung tidak menegur perbuatan sahabatnya itu.

Ketika disapa JAINPP kedua-duanya terkedu sementara seorang lagi rakan hanya mampu memandang dalam keadaan keliru.

Kedua-duanya yang masih menuntut di sebuah pusat pengajian mengakui hanya keluar untuk berjumpa bersama rakan-rakan.

“Saya hanya berbual saja, kami tidak buat apa-apa ustaz,” kata remaja wanita berkenaan yang berasal dari Bukit Mertajam.

Penguatkuasa JAINPP juga menasihatkan remaja perempuan tersebut supaya lebih menjaga maruah diri kerana masih belum berkahwin.

“Kamu belum berkahwin tapi sudah menyerahkan diri untuk sesuka hati dipegang dia (teman lelaki), kamu kena jaga maruah diri.

“Kalau berkahwin nanti apa lagi yang tinggal,” nasihat penguatkuasa berkenaan.

Akibatnya kedua-duanya dikenakan saman mengikut Seksyen 29 atas kesalahan berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

"Kenapa ambil gambar kami, untuk apa ambil gambar?," jerkah seorang remaja berusia 24 tahun ketika wartawan Sinar Harian mengambil gambarnya.

Dia juga dikenakan notis akibat berkelakuan tidak sopan dan didapati duduk di celah paha teman lelakinya ketika berkelah bersama dua lagi rakan yang lain.

Sama seperti pasangan sebelumnya, dua lagi rakannya yang juga belum berkahwin hanya melihat tindakan remaja berkenaan bermesra dengan teman lelakinya tanpa segan silu.

Namun setelah diserbu JAINPP ketika sedang seronok berkelah, barulah kesemuanya menggelabah.

“Kami bukan buat apa-apa pun, salah ke kami duduk macam ini,” jerit remaja perempuan itu sekali lagi.

Ketua Operasi dan Penguatkuasaan JAINPP, Khairul Azman Azizan berkata, pihaknya akan terus mengadakan operasi sepanjang masa dan bukan sahaja memfokuskan pada hari-hari tertentu.

Ia berikutan ada yang beranggapan JAINPP hanya melaksanakan operasi maksiat ketika hari-hari istimewa antaranya, malam merdeka, malam tahun baru dan hari kekasih.

“Sangkaan berkenaan silap kerana operasi kami tetap dijalankan setiap hari dan memantau perlakuan maksiat oleh umat Islam di Pulau Pinang,” katanya.
Curang dengan rakan isteri
  • Curang dengan rakan isteri Pasangan kekasih disiasat anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda.
1 / 2
SUNGAI PETANI - Kepulangan isteri ke kampung halaman memberi peluang si suami melakukan adegan 'mesra' bersama kekasih yang juga rakan kepada isterinya.

Malangnya, perbuatan tidak senonoh itu berjaya dihidu orang ramai yang bertindak menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa Pejabat Agama Kuala Muda, sebelum serbuan dijalankan jam 2 pagi baru-baru ini.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah, Zaiferi Zainul Abidin berkata, seorang wanita berusia 20-an warganegara Indonesia ditahan bersama seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai suami kepada rakannya sendiri dalam operasi banteras maksiat itu.

Menurutnya, ketika serbuan, lelaki itu dipercayai sedang leka menghabiskan masa dengan kekasih gelapnya melakukan perbuatan tidak senonoh dalam keadaan separuh bogel.

“Anggota penguatkuasa menunggu agak lama sebelum pintu dibuka oleh lelaki ini setelah diketuk beberapa kali.

“Kita juga menemui tilam dan beberapa bantal yang sedia diletakkan di hadapan televisyen dipercayai digunakan pasangan tersebut,” katanya.

Zaiferi berkata, wanita terbabit cuba bersembunyi di sebalik pintu dengan hanya memakai pakaian dalam serta berseluar pendek manakala lelaki tersebut hanya memakai seluar paras lutut.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati, isteri lelaki terbabit yang juga rakan kepada kekasihnya turut berasal dari Indonesia dipercayai sudah beberapa hari pulang ke kampung halaman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988," katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah, Sheikh Radzi Abd Mutlib mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang berkongsi maklumat bagi membantu membanteras kegiatan maksiat di kawasan masing-masing.

Beliau turut menasihati orang ramai yang mengetahui atau menyaksikan sebarang kegiatan mencurigakan supaya menghubungi imam, pejabat agama atau agensi berkaitan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian.
Exco: Tiada kompromi atlet terlibat khalwat
  • Rozi Mamat Rozi Mamat
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana atlet negeri ini yang didapati terlibat dalam kes khalwat tanpa mengira kedudukannya.

Menegaskan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri akan melihat bentuk tindakan yang akan diambil terhadap atlet terbabit.

Rozi diminta mengulas mengenai atlet bola tampar lelaki dan atlet hoki wanita Terengganu ditangkap oleh pasukan pencegah maksiat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan semasa sambutan Merdeka di Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau menjelaskan bahawa kedua-dua atlet tersebut bukan atlet dari Sukan Malaysia (Sukma) seperti yang dilaporkan akhbar.

Katanya, atlet bola tampar terbabit merupakan bekas pemain negeri manakala atlet hoki pula hanya terbabit dalam kejohanan peringkat daerah.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menyiasat lebih lanjut. - Bernama
Isteri banduan dicekup khalwat
  • Isteri banduan dicekup khalwat Wanita yang ditangkap berkhalwat bersama kekasihnya.
1 / 1
KLUANG – Ketiadaan suami akibat dipenjara atas kesalahan dadah menjadi ‘tiket’ buat seorang isteri berlaku curang bersama kekasihnya.

Bagaimanapun tindakan wanita berusia 29 tahun itu terbongkar apabila dia dicekup bersama teman lelaki di rumahnya di sini, semalam.

Kelakuan sumbang yang difahamkan berlaku sejak lebih sebulan lalu oleh penduduk setempat yang pada mulanya menyangka lelaki terbabit adalah suaminya.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Khalil Md Noor berkata, berdasarkan laporan yang dibuat, satu pasukan anggota penguat kuasa Jaij melakukan serbuan ke rumah wanita terbabit.

“Setibanya di rumah berkenaan, pihak kami mendapati keadaan rumahnya gelap dan hanya lampu di bahagian dapur dipasang. Sebuah motosikal yang digunakan lelaki tersebut diletakkan di bahagian belakang rumah kononnya untuk mengaburi orang ramai agar tidak mengetahui kehadiran lelaki berkenaan.

“Selepas disiasat, pihak kami mendapati ada penghuni di rumah tersebut kerana kipas angin di ruang tamu terpasang selain terdapat kelibat pergerakan manusia menerusi cermin tingkap,” katanya.

Mohd Khalil berkata, selepas mengetuk pintu rumah berkenaan, pihaknya terpaksa menunggu hampir 20 minit sebelum seorang wanita bersama seorang lelaki berusia 29 tahun membuka pintu.

Ketika soal siasat dijalankan katanya, pasangan berkenaan menyatakan bahawa mereka adalah pasangan suami isteri yang sah.

“Namun hasil pemeriksaan dijalankan, pasangan terbabit gagal menunjukkan mereka adalah pasangan suami isteri sebelum mereka mengaku merancang untuk bernikah selepas wanita berkenaan bercerai.

“Apa yang lebih mengejutkan adalah anak perempuan wanita tersebut yang berusia empat tahun turut tidak mempunyai sah taraf melalui pemeriksaan terhadap surat beranak milik kanak-kanak berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pasangan itu disiasat di bawah seksyen Seksyen 27 (1)(a)&(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kami juga akan membuat siasatan lanjut ke atas kanak-kanak tersebut bagi menentukan kedudukannya yang sebenar,” katanya.
Baru kenal sudah ajak ke bilik
  • khalwat Pegawai penguat kuasa memeriksa pasangan berkenaan yang ditahan berada dalam keadaan mencurigakan.
1 / 1
BATU PAHAT – Niat pasangan kekasih untuk memadu asmara tidak kesampaian selepas ditahan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan dekat sini, semalam.

Dalam serbuan jam 2 pagi itu, pasangan berusia 25 dan 22 tahun terbabit ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai ikatan perkahwinan.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pasangan terbabit mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membuka pintu dipercayai memikirkan cara bagi mengelak ditahan.

“Selepas pintu dibuka, hasil soal siasat mendapati mereka bukan mahram dan mengaku telah melakukan perbuatan yang salah.

“Pasangan terbabit berasal dari daerah ini dan mengaku baru sahaja berkenalan tidak sampai sebulan serta dalam proses mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, pasangan terbabit di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk proses selanjutnya sebelum mereka dituntut oleh waris masing-masing.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997.

“Operasi yang dilakukan ini bertujuan membendung kegiatan sumbang yang kian menular dalam kalangan anak-anak muda yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

“Operasi seperti ini akan dilakukan lebih kerap lagi, dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel bajet dan kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti ini,” katanya.

Tiada ulasan: