Selasa, 8 Oktober 2013

MEMBAZIR BAGI KITA....MUNGKIN ADA PIHAK YANG UNTUNG

Zul Noordin tarik balik tuduhan terhadap Aziz Bari

Harakahdaily, 07 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini merekodkan penghakiman persetujuan antara Dr Aziz Bari dan akhbar Utusan Malaysia serta Zulkifli Nordin atas kes saman fitnah yang difailkan oleh Dr. Aziz Bari ke atas kedua dua pihak tersebut.

Di dalam perbicaraan writ saman fitnah yang difailkan oleh Dr. Aziz yang sepatutnya berlangsung hari ini  hingga Rabu, pihak plaintif dan defendan-defendan bagaimanapun bersetuju menyelesaikan kes tersebut apabila pihak Utusan dan Zulkifli Noordin bersetuju untuk menarik balik tuduhan ke atas Dr Aziz sepertimana yang diterbitkan semula oleh Utusan pada 18 Oktober 2011.

Bagaimanapun penarikan balik tersebut dilakukan tanpa pengakuan liabliti oleh defendan-defendan.

Penarikan balik tuduhan ke atas Dr Aziz Bari dilakukan oleh defendan-defendan di Mahkamah terbuka hari ini di hadapan Yang Arif Hakim Puan Yeoh Wee Siam dan kata-kata penarikan balik yang direkodkan di Mahkamah adalah seperti berikut:-

Defendan-defendan bersetuju menarik balik perkataan-perkataan berikut yang telah dituturkan oleh Defendan Pertama dan diterbitkan semula oleh Defendan Ketiga pada 18.10.2011

"Bahawa kenyataan Abdul Aziz itu bukan sahaja kurang ajar dan biadap tetapi bercanggah dengan kedudukan profesion dia sebagai seorang pensyarah. Justeru dia perlu letak jawatan."

Dr Aziz Bari diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin bersama sama Azhana Mohd Khairudin menakala Utusan diwakili oleh Mohanakumar dan Zulkifli Noordin diwakili oleh encik Hasnal Redzua Merican.

Dr Aziz  juga turut hadir di Mahkamah hari ini.

Baru baru ini akhbar Sinar Harian juga memohon maaf atas penerbitan kata kata fitnah ke atas Presiden PAS Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Pas, Tuan Haji Mohd Sabu di dalam artikel yang ditulis oleh Dr Mashitah bertajuk " Skandal seks, krisis politik Pakatan" bertarikh 2.3.2012 di kolum beliau "langit terbuka" di akhbar tersebut.

Kata kata maaf tersebut telah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian pada 27 September 2013 yang lalu. Bagaimanapun Dr Mashitah sehingga kini masih enggan meminta maaf ke atas kedua dua pemimpin tertinggi PAS tersebut dan kes ke atas Dr Mashitah akan diteruskan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam kes tersebut Presiden PAS diwakili oleh Nasar Khan manakala Haji Mohd Sabu diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin dan Azhana Mohd Khairudin.

Laporan Audit: Feldajaya membazir, rugikan Felda

Salmiyah Harun, 07 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pusat Pertumbuhan dan Industri baru dikenali sebagai Feldajaya yang mula dilaksanakan pada 2003 disifatkan satu pembaziran dan kerugian kepada Felda.

Laporan Ketua Audit Negara mendapati pengurusan projek pembangunan Feldajaya kurang memuaskan kerana mempunyai kelemahan dalam pengurusan projek berkenaan.

Pengauditan yang dijalankan antara bulan November 2012 sehingga Januari 2013 antaranya mendapati, kesemua 80 lot pasar awam dan 16 lot hentian bas di Feldajaya Raja Alias dan Trolak dibina dengan kos sejumlah RM2.22 juta serta 10 lot medan selera di semua Feldajaya tidak mempunyai penyewa.

Manakala tunggakan bayaran sewa bulanan bagi rumah banglo, rumah kedai, medan selera dan hentian bas sejumlah RM1.31 juta. Tempoh tunggakan tertinggi adalah 72 bulan.

Semakan Audit juga mendapati, projek pembangunan di Feldajaya Trolak dijalankan di atas tanah pertanian yang belum ditukar status kepada tanah pembangunan. Pembeli rumah masih belum menerima kelulusan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan akibat status tanah tersebut.

Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan Dan Penyenggaraan tidak diperbaharui menyebabkan tunggakan tuntutan kerja penyenggaraan oleh Felda Engineering Services Sdn. Berhad (FESSB) sejumlah RM330,924.

Bagi Audit, kajian kemungkinan hendaklah dijalankan sebelum projek dimulakan supaya Felda boleh membuat keputusan yang lebih tepat sebelum memulakan projek untuk mengelakkan projek yang tidak berdaya maju dibangunkan dan memastikan objektif yang ditetapkan dapat
dicapai.

"Pada pendapat Audit, kemudahan awam yang tidak digunakan sepenuhnya menyebabkan pembaziran dan kerugian hasil kepada Felda," jelas Ketua Audit Negara dalam laporannya.

Felda telah membangunkan pusat pertumbuhan dan industri baru yang dikenali sebagai Feldajaya merangkumi penempatan moden dilengkapi rumah kediaman, kawasan rekreasi, premis perniagaan dan perkhidmatan lain.

Objektif Feldajaya adalah untuk memberi peluang kepada warga Felda terutama generasi peneroka menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik serta
berpotensi menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan moden.

Projek ini merangkumi tiga projek iaitu Feldajaya Mempaga di Pahang, Feldajaya Raja Alias di Negeri Sembilan dan Feldajaya Trolak di Perak dengan keluasan 417.77 ekar melibatkan kos pembangunan berjumlah RM206.62 juta

Kenyataan Zahid mirip gengster mafia - Hanipa

Muhammad Faizal, 07 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung "kita tembak dulu", seperti dilapor Malaysiakini, sebagai tidak bertanggungjawab.

Timbalan Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS, Hanipa Maidin berkata, kenyataan Zahid itu mirip bahasa gengster atau mafia.

"Satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab keluar dari seorang menteri, sepatutnya menteri tahu apa yang ingin dikatakan. Seperti kenyataan orang yang tidak bersekolah.

"Saya melihat tindakan tersebut tidak jauh bezanya dengan kumpulan gengster atau mafia, "ada bukti tembak"," jelasnya kepada Harakahdaily.

Malaysiakini dalam laporannya hari ini mendedahkan rakamam audio ucapan 20 minit Zahid di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka Sabtu lalu.

Dalam ucapan itu Zahid antara lain memberi gambaran bahawa lebih baik jika suspek jenayah ditembak terlebih dahulu, sebelum siasatan dijalankan.

Antara lain beliau didakwa menyebut "Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu".

Mengulas lanjut, Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang juga menjelaskan, amat malang bagi rakyat negara ini apabila mempunyai seorang menteri yang bersikap ala mafia.

"Apa guna undang-undang dan mahkamah jika menteri bercakap sedemikian, tak semua mereka ditahan itu bersalah.

"Setiap kesalahan perlu dibuktikan di mahkamah terlebih dahulu barulah hukuman dijatuhkan, ini tidak, terus nak tembak," sambung beliau.

Selain itu, Zahid dalam rakaman itu juga dilapor mendakwa pindaan ke atas Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA) yang memperkenalkan penahanan tanpa bicara sebagai undang-undang beliau.

"Bagi saya setiap apa yang Zahid perkatakan itu tidak memcerminkan seorang menteri dan malang bagi negara ini mempunyai menteri sedemikian," kata Hanipa.

PAS jangan selesa hadapi PRK Sg Limau - TG Nik Aziz

Harakahdaily, 07 Okt 2013

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan seluruh jentera parti agar tidak memandang ringan berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi N20, Dun Sungai Limau 4 November ini.

Menurut beliau, biarpun atas kertas PAS dilihat selesa dengan majoriti agar besar menerusi kemenangan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, namun pada PRK kali ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

"Saya berharap agar semua lapisan pimpinan parti PAS tidak memandang ringan cabaran Umno BN di dalam pilihanraya kecil Dun Sungai Limau nanti.

"Gerak kerja harus dimulakan sekarang, jauhi sikap terlampau yakin. Tingkatkan usaha di tahap maksimum, gantungkan harapan kepada Allah SWT.

"Semua pihak di dalam PAS dan Pakatan Rakyat wajib berwaspada, saya yakin pihak lawan akan menggunakan segala macam usaha untuk menawan kembali kerusi tersebut," katanya menerusi Facebook.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November depan sebagai hari pembuangan undi PRK Dun Sungai Limau sementara penamaan calon pada 23 Oktober.

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya, Ustaz Azizan meninggal dunia pada 26 September lalu.

Pada PRU13 Mei lepas, Ustaz Azizan yang mendapat 13,294 undi menang dengan majoriti 2,774 undi menewaskan calon BN, Mohd Fazillah Mohd Ali (10,5204 undi) serta dua calon Bebas, Sobri Ahmad (100) dan Abdullah Hashim (84).

CIJ kecam kenyataan Zahid ancam wartawan

Anis Nazri, 07 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Centre of Independent Journalist (CIJ) mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat mengancam wartawan dan akhbar mereka.

Pegawai Eksekutifnya, Masjaliza Hamzah, berkata adalah tidak wajar bagi seorang menteri mengancam untuk menutup akhbar, walaupun Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) membolehkan kementerian terbabit membatalkan lesen dan permit sesebuah akhbar.

Bagaimanapun, kata Masjaliza undang-undang tersebut tetap memberi ruang dan hak kepada pihak terbabit untuk mendengar sebab penarikan, selain boleh mempersoalkan keputusan menteri di mahkamah.

"Namun, yang lebih penting bagi CIJ, semua pemegang jawatan awam, termasuk menteri, perlu mempunyai sifat kebertanggungjawaban (accountability).

"Zahid tidak boleh bercakap sewenang-wenangnya dan seolah-olah sesuka hatinya. Negara kita ada undang-undang dan walaupun undang-undang seperti PPPA tidak menghormati kebebasan media, namun prinsip rule of law mesti dihormati," kata beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

Masjaliza berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zahid yang mengancam kumpulan wartawan yang hadir pada satu majlis anjurannya di Melaka, Jumaat lalu.

Zahid sebagaimana dilaporkan Oriental Daily, telah mengeluarkan satu kenyataan “sensitif” dalam forum berkenaan dan memberi amaran kepada petugas media terbabit untuk tidak membuat laporan.

Beliau didakwa memberi amaran bahawa syarikat akhbar terbabit boleh ditutup sekiranya melaporkan perkara itu, lapor akhbar berbahasa Cina tersebut.

Laporan itu menyebut, menteri berkenaan bertindak demikian selepas menyedari kehadiran beberapa orang wartawan di kalangan hadirin.

Ahmad Zahid seterusnya dilaporkan “menjemput” para wartawan tersebut untuk meninggalkan acara tersebut.

Gangguan air di Kuala Lumpur, Gombak malam ini

Selangorku, 07 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Wilayah Kuala Lumpur dan Wilayah Gombak akan mengalami gangguan bekalan air sementara ekoran kerja-kerja kecemasan pembaikan paip di Rumah Pam Wangsa Maju.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata kerja-kerja pembaikan itu dijadual dapat disiapkan dalam tempoh 8 jam bermula 7 Oktober, 10.00 malam hingga 6.00 pagi keesokan harinya.

“Pihak Syabas berharap pengguna yang terlibat dengan gangguan sementara ini akan bersabar dengan kesulitan tersebut kerana pembaikan separa tersebut perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kerosakan serta gangguan bekalan air yang lebih besar,”jelasnya menerusi satu kenyataan media.

Priscilla juga menasihatkan pengguna agar menyimpan bekalan air secukupnya serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan tersebut.

Sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS; dengan menaip PUSPEL, dan hantar ke 39222.

Berikut adalah kawasan-kawasan yang terjejas ekoran kerja-kerja pembaikan Rumah Pam Wangsa Maju.

Tiada ulasan: