Ahad, 6 Oktober 2013

BILA POLITIK GOPOH....POLITIK TIPU..POLITIK BANYAK BUAT SALAH

Audit: Najib perlu bentang kertas putih di parlimen

Harakahdaily, 06 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak perlu membentangkan Kertas Putih kepada Dewan Rakyat dalam sesi yang akan bermula pada 21 Oktober nanti berkenaan tindakan dan keputusan yang diambil oleh Jawatankuasa Khas yang dibentuk untuk meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Pembentukan Jawatankuasa Khas itu telah diumumkan kelmarin oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr. Ali Hamsa yang akan mempengerusikan jawatankuasa khas berkenaan yang akan turut dianggotai oleh ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Peguam Negara, dan juga wakil-wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia.

“Keraguan timbul sama ada Jawatankuasa Khas berkenaan akan membawa sebarang perubahan bagi menamatkan korupsi, pembaziran wang rakyat dan penyalahgunaan kuasa dalam perkhidmatan awam seperti yang boleh dilihat menerusi Laporan-laporan Ketua Audit Negara,” kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan.

Katanya, jika kerajaan benar-benar hendak membasmi korupsi, pembaziran, pemborosan, dan penyalahgunaan kuasa yang telah menelan berbilion-bilion ringgit wang rakyat saban tahun, jawatankuasa peringkat tinggi sedemikian sepatutnya telah ditubuhkan sejurus selepas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengemukakan Laporan Audit 2012 kepada kerajaan pada bulan Julai lalu dan bukan hanya sekarang, iaitu hanya setelah pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2012 di Parlimen pada 1 Oktober lalu mula diperkatakan sejak minggu lalu.

Justeru, Ahli Parlimen Gelang Patah itu mempersoalkan apakah Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara merasa rakyat Malaysia akan percaya bahawa kedua-dua mereka tidak membaca atau mengetahui isi Laporan Ketua Audit Negara 2012 ketika ia pertama kali dikemukakan kepada kerajaan pada bulan Julai lalu.

“Apakah kedua-dua mereka tidak menyedari ketika itu seteruk mana korupsi, pembaziran wang rakyat, dan penyalahgunaan kuasa yang telah berlaku seperti mana yang dapat dilihat dalam laporan tersebut sehinggalah ia dibentangkan di Parlimen pada hari Selasa lalu dan dilaporkan secara meluas dalam media?” soal beliau lagi.

Katanya, kerajaan mempunyai masa selama lebih dua bulan untuk memberi respons terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2012 sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Justeru itu, ujar beliau rakyat Malaysia mengharapkan kerajaan memberikan respons yang lebih baik memandangkan ia selama ini berbangga dengan Program Transformasi Kerajaan dan tidak menunggu sehingga pekung semakin berbau.

Kata Lim lagi, dalam Kertas Putih berkenaan Perdana Menteri bukan saja perlu memperincikan langkah-langkah yang akan mengakhiri “kisah ngeri tahunan” dalam Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga menjelaskan tindakan disiplin yang telah diambil oleh semua kementerian terhadap kakitangan mereka yang terlibat dalam salah laku dan melanggar tatacara umum kerajaan sehingga menyebabkan banyak wang rakyat lesap.

Saya teringat pula perbidalan lama 'macam jakun dapek bogheh'

http://aspanaliasnet.blogspot.com/, 06 Okt 2013
Rakyat tahu yang kerajaan sekarang merupakan kerajaan yang berbelanja secara membazir dan budaya ini sudah terbentuk hampir tiga dekad dahulu. Dari waktu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri belanja untuk menyelenggarakan perbelanjaan seorang Perdana Menteri sangat besar dan semuanya itu dibayar dari wang rakyat.

Oleh kerana mereka tidak merasakan bagaimana susahnya rakyat berkerja dan membayar cukai maka mereka hanya membelanjakan wang rakyat itu mengikut hawa nafsu mereka masing-masing. Tidak ada perasaan bersalah dan tidak peduli dengan apa yang rakyat kata. Perasaan malu sudah tidak ada lagi dalam diri mereka.

Baru-baru ini Dewan Rakyat di beritahu bahawa dalam tempoh tiga tahun sahaja belanja untuk perjalanan Perdana Menteri Najib dengan Jet Eksekutifnya memakan perbelanjaan sebanyak hampir RM100 juta. Hampir RM 30 juta setahun di bazirkan dengan membayar bill jet peribadi Perdana Menteri dan ini merupakan satu budaya yang sangat gila dan tidak masuk akal.

Kita tidak faham kenapa Perdana Menteri kita mesti menggunakan jet peribadi untuk terbang ke merata dunia. Kenapa tidak menggunakan penerbangan komersial MAS misalnya seperti lazim digunakan oleh banyak pemimpin negara lain. Perdana Menteri Singapura hanya menggunakan penerbangan SIA sahaja dan beliau boleh juga sampai kemana-mana dalam dunia ini.

Sejak Dr Mahathir sehinggalah Najib budaya Perdana Menteri terbang keseluruh dunia dengan kerapnya ini terbentuk dengan jelas, seolah-olah seorang Perdana Menteri itu mesti keluar negara setiap bulan. Ini masalah biasa bagi pemimpin yang baru dan datang dari negara yang baru menjumpai kehidupan. Ada seorang pemimpin kita yang berkata, membawa keluar seseorang dari kampung itu senang, tetapi hendak mengeluarkan kampung dari orang itu sangatlah susah.

Ada juga perbidalan yang agak kasar bunyinya yang pernah saya dengar semasa saya kecil-kecil di kampung dahulu, dan sekarang tidak kedengaran lagi. Perbidalan itu ialah ‘macam jakun dapek bogheh’ (macam jakun dapat beras). Belum pun sampai ke kerak dah bertanak lagi, sehingga beras habis dan tiada yang tinggal. Itulah umpamanya mereka yang menjadi pemimpin hari ini terutamanya Perdana Menteri. Baginya menjadi Perdana Menteri itu merupakan 'privilege' untuk berbelanja sesuka hati mereka tanpa bertanggung jawab seolah-olah wang itu adalah wang datuk nenek mereka.

Malahan apabila sudah berhenti menjadi Perdana Menteri pun mesti juga naik jet kemana-mana seolah-olah dari kecil sampai ke tua mereka ini sememangnya naik jet ke mana-mana. Mereka sudah tidak boleh lagi terbang dengan penerbangan komersial dan cara perjalanan yang lain.

Mentaliti kekampungan inilah yang menjadikan kepimpinan itu tidak dihormati lagi dan akhirnya mereka ini menyalahkan rakyat kerana tidak menyokong mereka. Itu sebab diawal artikel ini saya mengingati seorang pemimpin yang berkata yang membawa keluar seseorang dari kampung itu senang dan mudah dilakukan, tetapi untuk mengeluarkan kampung dari diri mereka sangat susah.

Itulah keadaan kita yang sedang dipimpin dengan pemimpin seperti ini. Malunya kurang, adabnya tiada dan adatnya entah kemana. Tidak ada langsung usaha untuk meninggalkan nama yang baik apabila sudah tiada nanti. Setidak-tidaknya harimau pun mati ditinggalkannya belang.

Harga gula dan tepung akan diumumkan naik bajet ini?

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 06 Okt 2013

Pertengahan September lalu, Menteri Pedagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hassan Malik memberi jaminan harga gula dan tepung tidak akan naik.

Namun, hari ini menteri yang sama memberikan bayangan, kerajaan akan menurunkan subsidi untuk kedua-dua barangan keperluan utama itu.

Penjelasan terperincinya mengenainya akan dimaklumkan melalui pembentangan Bajet 2014 25 Oktober nanti, lapor akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times hari ini.

Baca lagi

Kenapa Zahid Hamidi terlalu emosional?

Shahbudin Husin, 06 Okt 2013
Sejak timbulnya isu berkenaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dan kemudian laporan audit yang mengaitkan wujudnya beberapa kelemahan dalam agensi Kementerian Dalam Negeri, Zahid Hamidi menjadi menteri yang paling kacau dan tidak tenteram jiwanya. Tindakan dan gelagatnya beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan beliau seolah-olah seorang pemimpin yang tidak boleh ditegur dan hanya mahu berita yang baik-baik saja mengenai diri dan kementeriannya.

Melihatkan gelagatnya dalam video yang kini tersebar luas di blog dan media sosial bagaimana beliau begitu emosi dengan wartawan sebuah portal berita yang tidak disenanginya kerana didakwa sering memutarbelitkan kenyataan dan memberi laporan tidak baik mengenai kementeriannya, pasti ada yang menggeleng kepala dan mempertikaikan kematangannya sebagai seorang pemimpin.

Dalam video itu terlihat bagaimana Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berulangkali meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap portal berita berkenaan, bahkan mempertikaikan bagaimana wartawan berkenaan boleh dijemput dan hadir di majlis yang diadakannya. Lebih dari itu, Zahid juga tidak membenarkan wartawan berkenaan bertanya soalan kepadanya dan di akhir majlis pula beliau sekali lagi memberi amaran dan tidak mahu bersalam dengan wartawan berkenaan.

Sebagai pemimpin yang sepatutnya tahu peranan media menyebarkan maklumat kepada orangramai, tindakan Zahid dilihat agak keterlaluan dan tidak matang. Kalau pun beliau ingin menunjukkan ketegasan dan keberanian serta tidak mahu dibayangi Menteri Dalam Negeri terdahulu yang asyik memberi amaran tetapi tiada tindakan, tentulah bukan begitu caranya.

Media mempunyai peranannya yang tersendiri kepada masyarakat dan mereka seharusnya dilayan dengan baik dan sopan. Anggap saja kehadiran mereka sebagai tetamu. Jika tidak, maklumkan daripada awal bahawa sidang akhbarnya itu hanya untuk media tertentu saja dan selainnya diminta meninggalkan majlis dengan baik.

Jika laporan portal berita berkenaan didakwa sering memutar-belit kenyataan dan memberi laporan tidak tepat, Zahid bukan saja boleh membetulkannya, bahkan boleh saja mengambil tindakan mahkamah dan menuntut gantirugi sebagaimana sebuah akhbar arus perdana yang sering disaman dan terpaksa membayar banyak gantirugi kerana laporannya yang salah dan tidak tepat.

Namun, portal berita yang didakwa Zahid sering memutar-belit kenyataan itu, tidak pula kedengaran pernah disaman oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Dalam majlis lain di Melaka hari ini pula, kerana menyedari ucapannya di majlis tertutup turut dihadiri wartawan, beliau turut melontarkan amaran agar tidak menyiarkan ucapannya berhubung isu keselamatan atau berhadapan dengan kemungkinan syarikat akhbar yang berbuat demikian ditutup.

Ramai juga pemimpin lain yang mengadakab majlis tertutup, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, dan tidak mahu maklumat dalam majlis itu disiarkan tetapi tidak pernah pula ada yang sampai memberi amaran mahu menutup akhbar yang menyiarkannya. Biasanya permintaan dibuat dengan baik supaya akhbar tidak menyiarkannya dan memaklumkan ianya adalah perjumpaan tertutup. Dan media tiada masalah untuk mematuhinya.

Apa perlunya sampai mahu menunjuk-nunjuk kuasa menutup syarikat akhbar?

Zahid adalah antara pemimpin yang dirasakan mempunyai masa depan yang cerah. Dalam pemilihan 19 Oktober ini, beliau dijangka tiada masalah mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya. Sesetengah penyokong meramalkan beliau bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri dan ada juga yang meramalkan bakal Perdana Menteri suatu hari nanti. Tidak ada salahnya bagi penyokongnya meramalkan demikian, bahkan tidak ada salahnya juga jika Zahid turut menyimpan cita-cita sedemikian.

Tetapi untuk berada di kedudukan yang lebih tinggi, Zahid juga perlulah menunjukkan wataknya yang sesuai. Lihat sahaja Najib, Muhyiddin atau Mahathir misalnya, walaupun mereka juga dikririk teruk oleh media namun tidak pernah sesekali mereka menunjukkan sikap emosional yang berlebih-lebihan. Semua pemimpin berkenaan menghadapi media, sama ada yang menyokong atau yang kerap mengkritik, dengan cara yang matang, berhemah dan penuh budi bahasa.

Kalaulah mahu dibandingkan dengan Menteri-Menteri Dalam Negeri terdahulu yang sering dianggap mempunyai wibawa dan ketegasan tersendiri seperti Tun Dr Ismail, Ghazali Shafie atau Musa Hitam, mereka juga tidak pernah sama sekali menunjukkan sikap yang keterlaluan dalam menangani karenah media.

Sebagai pemimpin, seseorang itu perlulah menunjukkan sikap yang berbeza dengan orang kebanyakan yang mudah emosional, marah atau menunjuk-nunjuk, sebaliknya kematangan dan kedewasaan dalam menangani situasi sukar itulah yang membezakan seseorang pemimpin itu itu dengan rakyat yang dipimpinnya.

Banyak lagi luahan sikap yang tidak sewajarnya dipamerkan Zahid sejak menjadi Menteri Dalam Negeri ini. Jika dulu rakyat resah dengan menterinya yang asyik memberi amaran tetapi tiada tindakan, tetapi sekarang ini rakyat turut resah kerana Zahid seolah-olah menteri yang terlebih amaran dan tidak sabar-sabar mahu menggunakan kuasa yang ada padanya.

Meskipun ramai yang memahami perlakuan Zahid ini lebih untuk memancing perhatian perwakilan UMNO menjelang pemilihan parti 19 Oktober ini, namun berpada-padalah. Tindakan yang berlebih-lebihan atau "over do" boleh juga memakan dirinya sendiri.

Terutama ketika berhadapan dengan media dan jika ingin terus menyimpan cita-cita sebagai penimpin masa depan, sikap emosional itu hendaklah ditangani dengan baik. Jika tidak, cita-cita itu hanya tinggal angan-angan saja. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Tiada ulasan: