Rabu, 9 Oktober 2013

BILA BANYAK KAKI BEDAL@KAKI HENTAM TAK KIRA HALAL HARAM....KAKI SABOTAJ....KIRA NAK NAMPAK IA BAGUS SANGAT...PADA HAL MEREKALAH PENYAMUN TARBUS

Unit Khas PTG selesai permohonan tanah rakyat

Mohd Nor Yahya, 08 Okt 2013
KOTA BHARU: Kerajaan negeri mewujudkan Unit Khas di bawah seliaan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi menyelesaikan permohonan pemilikan tanah rakyat yang masih tertunggak di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sehingga sekarang masih terdapat sebanyak 48,000 fail permohonan tanah yang tertunggak.

Katanya, kes tertunggak itu paling tinggi di Kuala Krai sebanyak 20,927 fail, Gua Musang (12,307), Jeli (6,610) dan Tanah Merah (4,653).

“Bagaimanapun sehingga sekarang sebanyak 72,000 permohonan hak milik tanah telah diluluskan,” katanya ketika menjawab soalan Rohani Ibrahim(PAS-Tanjung Mas) pada persidangan Dun di sini.

Menjawab soalan tambahan Adun Dabong, Datuk Ramzi Ab Rahman beliau berkata, sejak diwujudkan unit khas tersebut telah memperlihatkan kemajuan daripada aspek kelulusan tanah.

Katanya juga unit tersebut akan dipertingkatkan lagi dengan kemungkinan menambah jumlah kakitangan dan mengkaji langkah-langkah baru yang lebih sesuai.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan pembinaan rumah mampu milik di peringkat jajahan, dan belum lagi dapat diperluaskan ke peringkat Dun.

“Sehingga kini proses temuduga sedang dijalankan bagi perumahan mampu milik kos rendah yang telah siap dibina di Labok, Machang. Selain itu projek rumah mampu milik juga dilaksanakan di Gua Musang,” katanya menjawab soalan Rozi Muhamad (PAS-Tendong).

Menurutnya juga sehingga sekarang sebanyak 4,113 unit rumah awam kos rendah dibina di Kelantan.

1Malaysia mati, gagal bertindak kepada Zahid, Ali

Harakahdaily, 08 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kegagalan untuk bertindak terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam atas kenyataan berbaur perkauman terhadap orang bukan Melayu bukan sahaja menjadi bukti bahawa konsep 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sudah mati.

Malah, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuktikan bahawa Umno tidak akan meminta maaf di atas sifatnya yang korup serta menyebarkan penipuan bagi memburukkan pihak lawan.

Menurutnya, pada tahap di mana pemimpin Umno kelihatan mengabaikan impian negara Malaysia dan menyebarkan kebencian kaum, Umno pada masa akan datang tidak akan ada bezanya dengan tentera Nazi yang memperjuangkan keturunan dan ketuanan perkauman.

Justeru, katanya DAP tidak terkejut dengan sikap kebencian kaum yang diperlihatkan oleh pemimpin Umno yang ternyata korup seperti bekas Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali yang sebelum ini tidak dibenarkan bertanding dalam pemilihan Umno kerana terlibat dalam rasuah politik.

Beliau berkata, Ali terus menyalahkan pengundi Cina di atas kekalahannya yang mengejutkan di kerusi Parlimen Bukit Katil dengan marjin yang begitu besar dalam PRU ke-13, walaupun pengundi Melayu di sana adalah majoriti seramai 53%.

“Kalau pun semua pengundi Cina tidak mengundi Ali Rustam, beliau akan tetap menang seandainya beliau tidak kehilangan sejumlah besar undi orang Melayu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam satu kenyataan.

Namun, katanya Ali Rustam dengan mudah menyalahkan masyarakat Cina bagi menyembunyikan hakikat sebenar kekalahannya kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar adalah kerana aktiviti rasuahnya dan salahguna kuasa untuk membuli penduduk Melaka sewaktu beliau menjadi Ketua Menteri.

Bagi Ahmad Zahid pula, katanya tidak ada sebarang keperluan bagi beliau untuk membuat kenyataan berbaur perkauman dan kebencian terhadap masyarakat bukan Melayu apabila beliau sudah pun terkedepan dalam senarai calon Naib Presiden Umno dalam pemilihan akan datang.

Beliau memperpersoalkan beginikah perangai bakal Timbalan Perdana Menteri dan calon Perdana Menteri; membuat provokasi yang begitu mengejutkan, cuai, tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima langsung:-

•  menyifatkan pertubuhan gelap Tiga Line sebagai kawan dan menggalakkan mereka melakukan ‘apa yang perlu dilakukan’ berbanding mengambil tindakan terhadap mereka.


•  mengancam wartawan yang hadir bahawa beliau akan menutup operasi akhbar mereka jika kata-katanya dilaporkan.

•  mengabaikan hakikat bahawa orang bukan Melayu juga turut menjadi mangsa jenayah. Daripada 14,511 anggota kongsi gelap, 6,171 darinya Melayu, 1,701 Cina, 3,685 India sementara 2,954 dari keturunan lain; namun begitu pun orang Melayu selalu menjadi mangsa. Pengedar dadah terbesar adalah orang Cina, yang kecil sedikit India dan penggunanya orang Melayu. Dalam judi internet, bosnya Cina, operatornya India dan pelanggannya Melayu… “Oleh itu mangsanya adalah orang Melayu”

•  menafikan proses undang-undang dengan menyuruh supaya menembak penjenayah terlebih dahulu jika polis ada bukti.

Menurut Lim, setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama adalah mangsa jenayah.

Katanya lagi, dengan menyebut bahawa hanya orang Melayu yang menjadi mangsa, adakah orang bukan Melayu yang menjadi mangsa sekadar tidak kelihatan atau patut hilang sahaja tanpa dilindungi daripada jenayah terhadap mereka.

“Susah untuk saya percaya bahawa Menteri Dalam Negeri yang diamanahkan untuk mendaulatkan undang-undang boleh dengan begitu bersahaja membuat kenyataan yang begitu menghasut, menggalakkan kehidupan tanpa hormat kepada undang-undang dan menggalakkan gangguan awam,” ujarnya.

Katanya, kegagalan daripada pihak Perdana Menteri untuk bertindak menyangkal kenyataan mereka dan menghukum tindakan perkauman dan kebencian mereka hanya akan memecahbelahkan Malaysia menjadi dua negara dengan double standard - satu negara dengan standard untuk orang Umno, dan satu lagi untuk orang bukan Umno yang tidak berhak mendapat perlindungan undang-undang yang saksama mahupun hak yang dijamin perlembagaan sebagai warganegara.

“DAP menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyatakan pendirian terhadap Umno dan menolak usaha memecahbelah, diskriminasi dan penghancuran maruah dengan menunjukkan kepada Umno bahawa kita semua ayah, emak, abang dan adik adalah warga Malaysia,” ujarnya.

Subsidi rumah bukan penyelesaian utama

Hazayani Zakaria, 08 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Subsidi ke atas rumah mampu milik disifatkan sebagai serpihan kepada penyelesaian bebanan hidup rakyat selagi kerajaan tidak memikirkan cara terbaik dan holistik untuk menyelesaikan masalah asas.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, sukar untuk kerajaan menyediakan subsisi ke atas pembinaan rumah mampu milik sekiranya masalah kenaikan harga minyak dan barang lain tidak mampu diselesaikan.

"Bajet 2014 kalau hanya sediakan subsidi untuk bina rumah mampu milik, ia hanya serpihan kepada penyelesaian masalah lain dan masih tidak menyelesaikan aspek fundemental.

"Saya tak anggap subsidi untuk rumah mampu milik merupakan pendekatan yang jitu.

"Dalam keadaan cukai import, kos pembinaan yang mahal, bagaimana nak wujudkan subsidi untuk rumah mampu milik? Kenaikan harga minyak dan harga barang-barang lain tak dapat nak selesaikan masalah lain," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut Salahuddin juga, pengumuman kerajaan sempena pembentangan bajet 2014 itu hanya untuk menyedapkan hati rakyat tanpa mempedulikan kenaikan kos hidup rakyat.

"Subsidi rumah mamu milik itu tak akan jadi realiti selagi kenaikan barangan masih berlau dan ia hanya untuk sedapkan hati rakyat," katanya.

Sebaliknya beliau menegaskan, Buku Jingga Pakatan Rakyat lebih relevan kerana memberikan tumpuan kepada pendidikan percuma dan penurunan harga minyak.

"Saya berpendirian masih relevan Buku Jingga Pakatan Rakyat yang mahu menghapuskan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma, serta menurunkan harga minyak.

"Kenaikan harga minyak memebrikan kesan berantai kepada kenaikan harga barang lan termasuk dalam industri pembinaan," katanya.

Semalam,  Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan akan menyediakan subsidi antara RM15,000 dan RM20,000 bagi membolehkan rakyat membeli rumah mampu milik.   , kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) akan membina tiga jenis rumah mampu milik dengan tiga bilik tidur berharga RM65,000, RM55,000 dan RM45,000.

Selangor berusaha selamatkan Kuis

Harakahdaily, 08 Okt 2013
SHAH ALAM: Syarikat milik penuh kerajaan Selangor, Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) telah diminta  mengkaji situasi Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan berbincang mengenai bentuk bantuan yang boleh diberikan.

Ini  termasuk menyalurkan dana kepada  Kuis yang  menanggung kerugian sebanyak RM11.30 juta pada 2011, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Dalam satu kenyataan media kepada Harakah, Faekah berkata, kerajaan negeri maklum dengan kedudukan kewangan Kuis  yang lemah serta keperluan untuk mengemaskini urustadbir kolej tersebut seperti mana dinyatakan Laporan Audit Negara 2012.

Sehubungan itu, jelas beliau, beberapa langkah telah dikenal pasti untuk membantu Kuis agar keluar dari masalah kewangan yang ditanggung sejak 2010.

"KPS sedang dalam perbincangan dengan pemilik tunggal Kuis iaitu Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan hasil perbincangan mendapati Kuis memerlukan sekurang-kurangnya RM238 juta bagi memulihkan kewangannya.

"Dana ini termasuk bayaran berjumlah RM152 juta untuk sekali bayaran (one off payment) kepada syarikat pemegang konsesi;  Redha Resources Sdn. Bhd. (RSSB) manakala dana selebihnya pula akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan pendidikan di Kuis seperti perpustakaan, dewan kuliah, asrama dan penyelenggaraan bangunan," ujarnya.

Menurut Faekah, RSSB telah diberikan konsesi selama 33 tahun pada 2005 oleh kerajaan BN negeri di bawah pentadbiran mantan Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo.

Sekiranya bayaran sekaligus tidak dibuat, beliau menambah, Kuis terpaksa membayar lebih RM19 juta setahun kepada RSSB selama 33 tahun yang mencecah RM600 juta.

Setakat ini, Kuis telah membayar RM50 juta kepada RSSB.

"Seperti yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara, kerugian ini disebabkan proses penyusunan semula Kuis melalui pembangunan secara Build Operate and Transfer (BOT) apabila terpaksa mula membayar sewa asrama dan bangunan kepada RSSB mulai 2009.

"Pada tahun 2011, tanggungan terhadap konsesi tersebut merupakan 14 peratus dari keseluruhan kos operasi Kuis. Ironinya  Kuis  dikehendaki membayar kos sewaan asrama berdasarkan penginapan 100 peratus dan 300 hari kalendar akademik meskipun kadar penginapan pelajar tidak pernah mencapai kadar 100 peratus dan kalendar akademik adalah kurang dari 280 hari," jelas Faekah.

Menurut beliau, RRSB adalah  syarikat milik  Adun BN Permatang, Sulaiman Abdul Razak yang memegang 51 peratus pegangan saham manakala isteri beliau, Jamaliah Kamarudin memegang 6 peratus ekuiti.

Baki 43 peratus saham RRSB, jelasnya dimiliki Bina Puri Holdings Bhd iaitu syarikat sub-kontraktor yang menjalankan sepenuhnya operasi pembinaan dan penyenggaraan asrama.

"RRSB disokong sepenuhnya Kerajaan Selangor di bawah BN ketika itu. Malah Khir Toyo menjadi saksi pemeteraian perjanjian pinjaman sebanyak RM125.8 juta di antara MAIS, RRSB dan bank-bank pembiaya pada 3 Ogos 2007 untuk membiayai pembinaan asrama pelajar Kuis ini.

"Mais turut bertindak sebagai Penjamin dengan memberi jaminan kepada bank-bank jika Kuis gagal membuat bayaran kepada pemegang konsesi; RSSB," jelasnya.

Menurut Faekah, kontrak pembinaan Kuis kemudian diberikan kepada Bina Puri Holdings Bhd dengan RRSB hanyalah menjadi orang tengah.  Dengan kos RM125.8 juta ini, RSSB diberi konsesi sehingga tahun 2039 dengan menerima bayaran keseluruhan mencecah RM600 juta.

"Kuis adalah contoh bagaimana pimpinan Umno-BN mengambil kesempatan sepenuhnya dari dasar memperniagakan pendidikan; akibatnya ditanggung oleh pelajar dan ibu bapa kerana terpaksa membayar yuran pengajian dan kos asrama yang tinggi manakala pentadbiran Kuis terpaksa mengabaikan kepentingan lain demi mengawal kedudukan kewangan dari terus menjunam," ujarnya kesal.

Tambah Faekah, disebabkan 'kesilapan' pemimpin terdahulu memilih pembangunan secara BOT dan menandatangani perjanjian konsesi yang berat sebelah, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terpaksa mencari jalan menyelamatkan Kuis.

"Kerajaan sedang berusaha untuk mengambilalih semua kos prasarana dan infrastruktur kolej dan universiti milik negeri Selangor agar pentadbiran universiti dan kolej tidak dibebankan dengan kos tersebut tetapi hanya mengurus kos operasi harian.

"Dengan cara ini dijangkakan institusi tersebut akan dapat lebih menumpu kepada mutu pendidikan dan pembelajaran," ujarnya.

Tekun: Bagi kepada Umno, modal habis begitu sahaja

Salmiyah Harun, 08 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pengakuan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Datuk Abdul Rahim Hassan mengesahkan lagi bahawa kerajaan tidak faham tanggungjawab dan tugasan yang sepatutnya dimainkan oleh mereka.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, parti yang diberi mandat mentadbir kerajaan wajar mengagihkan kekayaan negara kepada sesiapa sahaja tanpa memilih bulu.

"Bukan ahli Umno sahaja yang bayar cukai, kita pun bayar cukai. Tabung ini bukan untuk orang Umno, semua bumiputera layak dapat tidak kiralah parti mana pun," katanya.

Terdahulu, Abdul Rahim menegaskan Tekun ditubuhkan untuk ahli Umno bagi memperkasakan ekonomi kaum Melayu dalam parti itu.

Jelas Khalid, tindakan Umno yang memilih bulu itu sekaligus menghalang mereka yang benar-benar layak dan berminat untuk berniaga.

"Oleh kerana mereka adalah Umno, dan diberi pinjaman walaupun tidak layak dan tidak minat berniaga, akhirnya modal habis begitu sahaja. Orang yang berminat pula tidak mendapat peluang sebab mereka bukan ahli Umno.

"Lepas itu orang Umno yang dapat pinjaman tidak bayar, dalam masa yang sama Umno pula tidak ambil tindakan. Peruntukan berjuta-juta hilang begitu sahaja," katanya kepada Harakahdaily.

9 Februari 2013, Tekun telah meminjamkan dana berjumlah RM2.42 bilion kepada 237,173 orang usahawan.

Dari jumlah itu sebanyak RM1.6 bilion adalah dana yang diberi Kerajaan Pusat. Sejak ditubuhkan pada tahun 1998 hinggalah awal tahun ini, hanya RM1.43 bilion dibayar balik.

Tekun Nasional yang dahulunya di kenali sebagai Yayasan Tekun Nasional adalah merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diwujudkan pada 9 November 1998.

Matlamat penubuhan Tekun Nasional adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada bumiputera untuk memula dan memajukan lagi perniagaan mereka.

Banglo RM7.2 juta: Terima kasih Nora Danish

Harakahdaily, 08 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini merakamkan uacapan jutaan terima kasih kepada pelakon Nora Danish di atas pengakuan wujudnya sebuah banglo RM7.2 juta yang dibeli oleh Nadem Nazri, anak kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz.

Menurut Pengarah Propaganda SAMM Edy Noor Reduan, pengakuan Nora Danish semalam sekaligus menguatkan lagi persoalam bagaimana seorang anak menteri boleh memiliki sebuah banglo bernilai RM7.2 juta.

"Bagaimana anaknya dapat membeli banglo ini? Adakah dia layak? Adakah dia membeli dengan tunai? Jika melibatkan pinjaman bank berapa banyak pinjaman dibuat dan berapa jumlah tunai yang dibayar? Bagaimana bank boleh memberikan kelulusan bernilai jutaan ringgit kepadanya, adakah kerana dia anak menteri?"

"Walaupun Nora mengaku bahawa rumah mewah yang dibeli itu bukan untuk dirinya, namun sekurang-kurangnya kewujudan banglo tersebut sudah cukup menggugurkan keraguan munasabah pendedahan SAMM minggu lalu," katanya.

Dengan pengakuan Nora itu juga katanya, SAMM menggesa pihak SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri sedia untuk membuka fail siasatan ke atas anak menteri itu.

Beliau juga berkata, SAMM bersedia tampil memberi kerjasama kepada pihak berwajib dengan membawa dokumen-dokumen yang berada di tangan.

"Maka SAMM tampil membuat pendedahan di atas maklumat awam. Kepada pak menteri, jawablah dengan tenang, jika anakmu membeli istana, dari mana datang kewangannya," katanya.

Sg Limau: PAS atur gerak kerja tiga fasa

Muhammad Faizal, 08 Okt 2013
KUALA LUMPUR: PAS telah bersedia sepenuhnya untuk berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau pada 4 November nanti dan telah membahagikan gerak kerja jentera kepada tiga fasa.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menjelaskan gerak kerja itu telah pin bermula untuk fasa awal dan akan berterusan sehinggalah tibanya hari pengundian.

"Fasa pertama memperkemaskan kerja-kerja yang dilakukan sebelum kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan ia dilakukan sekarang sehingga Hari Raya Korban.

"Bagi fasa kedua pula garak kerja akan dilakukan selepas Hari Raya Korban sehingga hari penamaan calon, manakala fasa ketiga bermula hari penamaan calon hingga tiba waktu pengundian," jelasnya.

Beliau yang yakin melalui pendekatan gerak kerja tiga fasa ini akan menjadikan setiap perancangan bagi menghadapi PRK akan berjalan dengan lebih lancar dan teratur.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu juga turut memberitahu pertemuan jentera dengan peringkat akar umbi di dun Sungai Limau dan Parlimen Jerai telah dilakukan.

Dalam pada itu, Mahfuz turut menyatakan Pakatan Rakyat Kedah telah mewujudkan jawatankuasa bersama yang melibatkan PAS, PKR dan DAP.

"Bagi peringkat Pakatan Rakyat kita telah mewujudkan jawatankuasa bersama dan ini bagi memastikan segala kempen lebih teratur mengikut apa yang ditetapkan.

"Jawatankuasa ini diketuai oleh Datuk Ir Amiruddin Hamzah dari PAS dan beberapa individu dari PKR dan DAP," sambung beliau.

Teks ucapan Belanjawan 2014 Kelantan

Ustaz Datuk Ahmad Yakob, 08 Okt 2013

Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negeri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

أَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللَّهَ سَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهِرَةً وَبَاطِنَةً وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلَا هُدًى وَلَا كِتَابٍ مُنِيرٍ

Yang bermaksud : Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran. -Surah Luqman, ayat 40.

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Marilah sama-sama kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua dapatlah saya berdiri di dalam Dewan yang mulia ini bagi menyampaikan Ucapan Belanjawan Negeri Kelantan tahun 2014 dalam persidangan kali Yang Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Pertama Dewan Negeri Kelantan Yang Ketiga belas.

Saya juga ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke Hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurniaNya Kerajaan Negeri Kelantan telah dapat melaksanakan tugasnya dengan baik dalam menyampaikan perkhidmatan untuk kesejahteraan rakyat dan menggerakkan aktiviti ekonomi bagi kemakmuran negeri.  Marilah kita terus berdoa agar segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada kita akan berkekalan malah bertambah lagi pada tahun-tahun yang akan datang.

Kepada seluruh rakyat negeri ini, setinggi-tinggi penghargaan  dan terima kasih saya ucapkan di atas kepercayaan dan sokongan  yang jitu serta mandat yang terus diberikan kepada kami dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk terus mentadbir negeri Kelantan di bawah dasar “Membangun Bersama Islam”.

Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru semua Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk sekali lagi memperbaharui azam bagi menyumbang khidmat yang terbaik, demi memikul amanah Allah serta melaksanakan harapan rakyat dan tanggungjawab ummah. Marilah kita sama-sama menyinsing tangan bekerja keras menjayakan agenda membangunkan negeri Kelantan mengikut landasan syariat agar bumi yang kita cintai ini menjadi makmur, dipenuhi barakah, rakyat sejahtera, serta sentiasa mendapat keredhaan Allah yang Maha Pengampun.

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran :

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آَيَةٌ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ


yang bermaksud : Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!. - Surah Saba, ayat 15.

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Kerajaan Negeri Kelantan telah meletakkan Islam sebagai paksi dalam pentadbiran dan urusan harian negeri. Di dalam memacu pembangunan ekonomi negeri, model ekonomi berasaskan ‘paradigma tauhidi’ menjadi titik tolak kepada perancangan pembangunan ekonomi keseluruhannya.

Pertumbuhan ekonomi negeri Kelantan bagi tahun 2011 dan 2012 adalah setara dan seiring dengan pertumbuhan di lain-lain negeri di Malaysia. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Kelantan bagi tahun 2011 ialah sebanyak 6.5% dan bagi tahun 2012 ialah 5.4%. Ini bermakna purata pertumbuhan KDNK bagi kedua-dua tahun tersebut ialah sebanyak 5.95%. Angka ini mengatasi purata kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Nasional di dalam tempoh yang sama iaitu hanya sebanyak 5.35%. Berdasarkan momentum sedia ada, pertumbuhan KDNK  Negeri Kelantan bagi tahun 2013 diunjurkan sebanyak 5.7% dan ekonomi negeri ini akan terus mengukuh bagi tahun-tahun akan datang, insyaAllah!

Ini sekaligus menafikan tuduhan sesetengah pihak bahawa Kelantan mundur dan tidak membangun di bawah pentadbiran dasar Membangun Bersama Islam.

Jika kata ditutur tepat
Nista keji manakan dicampak
Jika mata dipejam rapat
Sinar cahaya manakan nampak

TEMA BAJET 2014

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Tema Bajet Negeri Kelantan Tahun 2014 adalah “Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negeri”.

Ia menggambarkan hasrat Kerajaan untuk berbelanja secara bijaksana dan berhemat dengan memberikan keutamaan kepada projek-projek atau program-program yang boleh mendatangkan manfaat langsung kepada rakyat, serta boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Bagi mencapai hasrat ini, kerajaan negeri beriltizam memberi tumpuan kepada teras berikut:

Pertama     :     Merancakkan pembangunan ekonomi rakyat;

Kedua        :         Memperkasa pembangunan Insan berteraskan  Islam;

Ketiga         :       Pembelaan golongan daif dan miskin, orang kurang upaya,     anak yatim, armalah dan warga emas;

Keempat     :    Mengukuhkan keupayaan institusi dan badan pelaksana bagi tujuan mencapai maksud dan tujuan.

Berasaskan kepada tema tersebut, Bajet 2014 akan berpaksikan kepada strategi-strategi berikut :

Memastikan hasil dan tunggakan hasil Kerajaan Negeri dapat dipungut, termasuk mengenalpasti sumber-sumber hasil baru.

Memberi tumpuan untuk merancakkan ekonomi dan taraf hidup rakyat dengan memberi fokus kepada aspek mengurangkan keadaan ketidakseimbangan sosioekonomi, supaya matlamat mengatasi  kemiskinan tegar dapat dicapai sepenuhnya.

Memastikan  dasar perbelanjaan berhemah dipraktikkan di semua peringkat pentadbiran supaya setiap perbelanjaan dibelanjakan mengikut keperluan dan keutamaan untuk manfaat rakyat. Setiap projek yang bakal dilaksanakan dinilai dengan terperinci bagi mengelak ketirisan perbelanjaan.

Memastikan pembentukan masyarakat bertamadun tinggi melalui program pembangunan insan berterusan, dan melaksanakan kerja-kerja amar maaruf nahi munkar.

Memastikan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat di Bandar dan Luar bandar meningkat, termasuklah menambah keupayaan bekalan air  dan memastikan kemudahan infrastruktur asas terus dipertingkatkan dan diselenggara dengan baik.

Mewujudkan urustadbir yang baik dengan mengutamakan ketelusan dan kecekapan menerusi pentadbiran yang berlandaskan Ubudi’yyah, Mas’ulliyyah dan Itqan.

TERAS PERTAMA : MERANCAKKAN PEMBANGUNAN EKONOMI UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT

Pembangunan Infrastruktur Asas

Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk sentiasa menjamin kesejahteraan  dan kebajikan rakyat, program sosioekonomi untuk meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup akan dimantapkan. Penggubalan strategi dan program dalam Bajet 2014 akan diiringi dengan kesungguhan untuk melaksanakannya secara berkesan. Dalam Bajet 2014 sejumlah RM171.88 juta telah diperuntukkan di bawah program penyediaan kemudahan infrastruktur asas kepada rakyat.

Di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri 2014, sejumlah RM21.0 Juta telah diperuntukkan untuk pembangunan jalan dan jambatan bagi mempertingkatkan lagi keselamatan pengguna dan memperluaskan rangkaian jalan,  sekaligus ianya dapat meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

Kerja-kerja memperluaskan persimpangan-persimpangan jalan utama yang sempit dan menaiktaraf serta melebar jalan-jalan yang dikenalpasti  akan terus dipergiatkan.

Selain daripada peruntukan mengurus negeri, Kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak  RM85.5 juta bagi tahun 2013 berbanding RM50.4 Juta tahun 2012 dari Peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (KAPJN) kepada Jabatan Kerja Raya Negeri, Pejabat Tanah dan Jajahan, dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi kerja-kerja menyelenggara jalan-jalan negeri, terutamanya menurap permukaan jalan yang rosak dan berlubang. Sejumlah peruntukan yang sama  akan diperuntukan pada tahun 2014.

Selain itu, sebanyak RM30.00 Juta telah diperuntukkan bagi proses pengambilan balik tanah pada tahun 2014. Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyambung beberapa jalan-jalan utama sedia ada di sekitar Kota Bharu bagi mengurangkan kesesakan lalulintas dan memberi kemudahan serta keselesaan kepada pengguna.

Kerajaan juga serius dalam meningkatkan kemudahan-kemudahan asas bagi membaikpulih serta menceriakan kampung-kampung tradisional di seluruh negeri.  Sebanyak RM500 Ribu juga diperuntukan untuk projek traditional bagi memperelok atau menaiktaraf kampung-kampung tradisional.

Pemuliharaan Alam Sekitar

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Kerajaan juga komited untuk menjadikan pantai-pantai di Kelantan sebagai  destinasi pelancongan utama negeri. Bermula tahun 2013, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 4.5 Juta bagi projek Pelindung Pantai Daripada Hakisan (Groin),  dan projek itu diteruskan dalam tahun 2014 dengan peruntukan yang sama dan dijangka siap pada tahun 2015. Di samping itu, Kerajaan Kelantan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas kelulusan projek-projek perlindungan Hakisan Pantai Negeri Kelantan yang telah dan sedang dilaksanakan semenjak tahun 2007 sehingga kini berjumlah RM39.0 Juta yang meliputi pantai sepanjang 11.0 Kilometer.

Saban tahun juga, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri menjalankan penyelenggaraan sungai dan kerja-kerja tebatan banjir bagi mengurangkan kesan sosial dan ekonomi akibat daripada kejadian banjir. Pembangunan dan pembukaan kawasan hulu juga akan memberi impak yang serius kepada larian air hujan dan banjir. Kerajaan Negeri menggesa supaya semua pembangunan dan pembukaan kawasan hulu perlu membuat kajian keperluan Plan Kawalan Mendapan dan Hakisan iaitu ESCP (Erosion, Sedimentation and Control Plan). ESCP ini perlu dibuat dan diselenggara oleh pemaju bagi mengelak hakisan dan air sungai yang berkelodak. JPS Negeri perlu membuat semakan dan pemantauan supaya pemaju membina dan menyelenggara ESCP yang dibina.

Mengkomersilkan Sektor Pertanian dan Penternakan

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Sektor pertanian merupakan sektor  kedua terpenting kepada ekonomi Negeri Kelantan. Oleh itu, bagi meningkatkan daya saing sektor pertanian, Kerajaan memperuntukan sebanyak RM11.47 Juta  untuk galakan dan meningkatkan pelaburan dalam aktiviti pertanian dan penternakan di Negeri Kelantan.

Selain program yang dirancang oleh Jabatan Pertanian Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Kerajaan juga merancang program-program lain yang antaranya ialah pemberian input pertanian, program biotek, program bumi hijau, program jihad ternak, lembu fidlot, pembangunan industri lebah, program teknologi hijau, subsidi baja padi, subsidi baja organik, rancangan perkembangan perusahaan lembu dan kambing tenusu dan bantuan nelayan pantai/sungai dan akuakultur.

Keseluruhannya hasil tanaman Negeri Kelantan dianggarkan meningkat pada tahun 2013 berbanding tahun 2012. Secara keseluruhan dianggarkan 507,000 matrik tan dikeluarkan pada tahun 2013 berbanding jumlah yang dicapai sebanyak 469,294 matrik tan pada tahun 2012.

Di bawah Jabatan Pertanian Negeri, 3 program diberi keutamaan iaitu ternakan lebah madu, tanaman herba dan juga pertanian organik. Pada masa sekarang, seramai 20 peserta terlibat dengan industri lebah madu. Manakala industri herba pula seramai 16 orang pengusaha melibatkan dua jajahan iaitu Jajahan Pasir Puteh dan Jajahan Bachok.

Pusat Pertanian Melor pula dijadikan pusat kecemerlangan bagi pertanian organik bagi memberi latihan kepada peserta yang berminat. Sebagai permulaan, satu kampung organik telah diwujudkan iaitu di Kampung Lak Lok, Machang.  Di sini para petani mengamalkan pertanian organik yang tidak menggunakan baja kimia dan racun perosak.

Dalam pembangunan sektor penternakan, penekanan diberikan kepada pembangunan penyediaan kemudahan dan galakan, agar lebih banyak pihak melibatkan diri dalam pengeluaran ternakan di negeri ini.

Bagi tahun 2013, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM500 Ribu bagi projek pembangunan Jabatan perikanan Negeri. Beberapa strategi telah dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Negeri bagi memodenkan dan mentransformasikan industri perikanan seperti membangunkan industri perikanan tangkapan secara cepat dan mampan, memperkukuhkan infrastruktur industri perikanan tangkapan dan  menyusun semula aktiviti perikanan pantai, membangunkan sumber manusia  perikanan laut dalam dan laut pantai. Manakala strategi bagi pembangunan industri akuakultur pula adalah, meningkatkan pengeluaran hasil akuakultur bernilai tinggi melalui strategi pengeluaran 50:50 dan program “Touch Point” secara pembangunan kawasan baru dan kawasan terbiar, menjamin bekalan benih yang konsisten dan berkualiti, mempertingkatkan pengeluaran bahan makanan untuk industri akuakultur, program pelepasan umum, program galakan siswazah, galakan pelaburan dalam produk kesihatan dan kosmetik rumpai laut dan galakan pelaburan dalam industri ikan hiasan dan tumbuhan akuatik.

Pembangunan Usahawan Yang Berdaya Saing

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Bajet kali ini juga memberi penekanan kepada langkah-langkah untuk melahirkan generasi usahawan yang berkualiti tinggi dan berdaya saing. Untuk ini, Bajet 2014 memperuntukan sebanyak RM5.85 Juta,  meliputi penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas bagi menggalakkan aktiviti perniagaan/usahawan. Antara pengisian peruntukan adalah meliputi galakan usahawan, dana belia niaga, khas siswazah, tabung usahawan wanita dan skim bina usahawan.

Pembinaan pasar baru adalah salah satu usaha menambah usahawan baru. Selaras dengan itu, pada tahun 2014, kerajaan akan menaiktaraf kemudahan pasar di Berek 12 , Kota Bharu dan lain-lain pasar secara berperingkat.

Misi Pelaburan

Kerajaan sentiasa serius untuk menarik pelabur bagi melabur di negeri Kelantan samada pelabur dari dalam atau luar negara. Sejumlah peruntukan sebanyak RM600 Ribu telah diperuntukkan untuk  Misi Pelaburan luar negara bagi menarik lebih banyak Pelaburan Asing Langsung (Foreign Direct Investment- FDI) ke negeri ini. Ini termasuklah mengadakan misi pelaburan ke China dan Timur Tengah bagi melabur dalam industri berasaskan sumber mineral yang terdapat dalam negeri ini seperti industri simen, petroleum, gas dan juga dalam industri halal. Kerajaaan mengunjurkan nilai pelaburan yang dapat dijana dari beberapa siri misi ini adalah sebanyak RM12.0 Billion bagi tempoh 3 tahun bermula seawal 2014 akan datang insyaAllah! Sudah tentu aliran masuk FDI ke negeri ini akan membuka banyak peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti ekonomi setempat, menambahkan hasil negeri dan yang lebih penting ianya akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri keseluruhannya.

Merancakkan Industri Pelancongan

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Industri pelancongan masih kekal sebagai industri utama bagi ekonomi Negeri Kelantan. Pada tahun 2012, seramai 5.08 juta orang pelancong telah mengunjungi ke Negeri ini dan sehingga bulan Jun 2013, seramai 2.32  juta pelancong telah melawat Kelantan termasuk 588,904  orang pelancong antarabangsa. Bagi terus menarik lebih ramai pelancong ke Negeri Kelantan, Belanjawan 2014 memperuntukkan sebanyak RM2.56 Juta pada tahun bagi merancakkan industri pelancongan di Negeri ini.

Peruntukan ini termasuk untuk  promosi pelancongan negeri dan mengadakan pelbagai acara tahunan yang menarik seperti Pesta Wau Antarabangsa, Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir, Pesta Makanan dan Buah-buahan dan lain-lain lagi.

Produk-produk pelancongan baru telah dikenalpasti dan akan dikembangkan. Ini termasuk memajukan Taman Kelip-kelip di Kampung Pulau, Kubang Kerian. Taman ini merupakan satu-satunya lokasi hinggapan kelip-kelip di negeri ini dan berdasarkan kajian yang dibuat, kelip-kelip yang terdapat di sini adalah yang tercantik dari segi cahaya kerlipannya.

TERAS KEDUA : MEMPERKASA PEMBANGUNAN INSAN BERTERASKAN KEPADA  ISLAM

Pembinaan Shaksiah dan  Jati Diri

Yang Berhormat Tuan Speaker,

Pembinaan Syaksiah dan jati diri adalah agenda utama Kerajaan Kelantan. Sejajar dengan keadaan semasa dan tuntutan global, kerajaan turut memahami betapa pentingnya memiliki sumber manusia dan tenaga insan yang berkualiti tinggi. Berkualiti di sini bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mempunyai keperibadian unggul. Untuk itu, sejumlah RM13.57 juta telah disediakan dalam bajet 2014 bagi mengadakan pelabagai bentuk program pembinaan syaksiah dan jati diri. Peruntukan berkenaan disalurkan melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan juga Pejabat Pembangunan Negeri.

Kerajaan percaya serta yakin bahawa program-program pembangunan kerohanian yang bersistematik mampu mengimbangi dan menangani pengaruh gejala maksiat dikalangan remaja dan rakyat negeri ini.
Program-program pengukuhan akidah seperti program Tahfiz Al-Quran, Kecemerlangan Solat, Program Dakwah, Pusat Khidmat Islam, Penerbitan Bahan Dakwah dan lain-lain akan terus dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan pada tahun 2014 bagi membasmi mana-mana fahaman, ajaran dan amalan yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Program Memartabatkan Pendidikan Agama Islam

Kerajaan juga akan terus memastikan pendidikan Islam terus berkembang. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri  telah memperuntukkan sebanyak RM72.0 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi melaksanakan program-program pendidikan. Pada tahun 2012, kecemerlangan pelajar dibawah sekolah-sekolah YIK terus menyerlah. Seramai 316 orang pelajar berjaya mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR),  seramai 186 orang pelajar mendapat 9A hingga 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seramai 115 orang pelajar mendapat pangkat Mumtaz dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Sehingga kini, terdapat 91 buah sekolah agama termasuk dua (2) buah Maahad Tahfiz Quran dan empat (4) buah Maahad Tahfiz Sains dikendalikan oleh YIK.

Selain RM72.0 juta diperuntukan untuk perbelanjaan program pendidikan, bajet 2014 juga turut menyediakan peruntukan sebanyak RM4.0 juta bagi projek pembangunan, menyelenggara dan menaiktaraf 91 buah sekolah berkenaan. Peruntukan yang disediakan adalah tanda keperihatian Kerajaan dalam memastikan infrastruktur dan kemudahan asas untuk pembelajaran para pelajar yang mendalami agama Islam sentiasa diutamakan. Pada tahun 2014 juga, YIK telah merancang pembinaan sebuah lagi sekolah Maahad Muhammadi Sains (Lelaki) di Pengkalan Chepa dengan kos anggaran sebanyak RM12.0 Juta dengan sumber pinjaman daripada peruntukan Kerajaan Negeri.

Di samping itu juga, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sejumlah RM2.0 juta kepada Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) bagi tujuan merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sebagai sebuah Kolej Universiti. Kerajaan Negeri berharap agar pihak Kementerian berkenaan dapat mempercepatkan kelulusan permohonan untuk menjadikan KIAS sebagai sebuah kolej universiti.

Sehingga tahun 2013, YAKIN telah menyediakan biasiswa kepada seramai 693 orang pelajar peringkat sekolah menengah agama dan sekolah menegah umum dan bagi pinjaman pelajaran dalam negeri YAKIN telah menaja seramai 996 orang pelajar. Selain itu juga, YAKIN juga sedaya upaya meringankan beban hidup yang ditanggung oleh pelajar-pelajar khususnya di Mesir yang telah sekian lama menjadi bumi tempat anak-anak Kelantan menimba ilmu dan bagi tujuan tersebut, sebanyak 345 kuota bagi  kemudahan pinjaman luar negara telah disediakan kepada pelajar di Mesir, Jordan dan Indonesia.

TERAS KETIGA : PEMBELAAN GOLONGAN DAIF DAN MISKIN, ORANG KURANG UPAYA, ANAK YATIM, ARMALAH DAN WARGA EMAS

Mewujudkan Masyarakat Penyayang

Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian  kepada golongan daif dan miskin, orang kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas. Ini selaras dengan dasar Islam yang mengambil berat soal kebajikan golongan seperti ini. Rasulullah SAW bersabda :

السَّاعِي عَلَى الْأَرْمَلَةِ وَالْمِسْكِينِ كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ الْقَائِمِ اللَّيْلَ الصَّائِمِ النَّهَارَ

yang bermaksud : Orang-orang yang membantu golongan armalah dan miskin seperti orang-orang yang berjihad di jalan Allah SWT atau sebagaimana orang yang berqiyamullail dan berpuasa di waktu siang - Hadis riwayat Bukhari.

Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang prihatin akan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan armalah, anak yatim dan fakir miskin.  Oleh itu, bajet 2014 menyediakan peruntukan sebanyak RM28.31 juta bagi menjalankan program-program pembelaan rakyat miskin dan yang memerlukannya.

Antara program-program yang akan diteruskan oleh Kerajaan Negeri adalah seperti Bantuan Armalah, Bantuan Anak Yatim, Bantuan Bulanan Orang Miskin, Bantuan Sekolah, Bantuan Bencana Alam, Gerbang Azziwaj, Bantuan Al itám, Bantuan Penjaga Pesakit di Hospital, Bantuan Pesakit Kronik, Bantuan Orang Kelainan Upaya (OKU), Bantuan Bekalan Air dan Elektrik, Program Pembelaan Rakyat Miskin dan lain-lain lagi. Peruntukan-peruntukan ini disediakan sesuai dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memupuk masyarakat penyayang, selari dengan tuntutan Islam ke arah mewujudkan masyarakat dan negeri berkebajikan untuk kesejahteraan rakyat dan juga membantu rakyat meningkatkan taraf hidup dan keluar dari kepompong kemiskinan.

Golongan belia adalah benteng kekuatan negeri, mereka adalah aset dan pemimpin masa hadapan. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta  bagi mengadakan program/ aktiviti belia termasuk satu peruntukan baru sebanyak RM500 Ribu yang dikhaskan bagi Projek Pembangunan Belia Selimbar yang bertujuan membantu para belia mengusahakan tanah-tanah bagi membuahkan hasil untuk meningkatkan taraf hidup mereka bak kata pepatah, berbudi pada tanah,hasil menanti.

Memperkasakan Wanita

Bajet 2014 juga tidak mengenepikan kebajikan dan keperihatinan kepada kaum wanita, kerajaan sentiasa berikhtiar untuk memastikan kaum wanita di Kelantan akan terus maju dan setaraf dengan kaum wanita di lain-lain negeri dalam semua bidang. Sehubungan dengan itu sebanyak RM3.8 juta diperuntukan bagi program kebajikan dan pembangunan wanita serta keluarga, program latihan belianita serta lain-lain program supaya mereka boleh bergiat aktif dalam program pembangunan diri dan juga masyarakat.

Perumahan Untuk Golongan Kurang Berkeupayaan

Kerajaan sedar, harga pasaran rumah sentiasa meningkat dari setahun ke setahun. Sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin akan permasalahan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah, Kerajaan Negeri Kelantan telah memberi tumpuan khusus kepada mengadakan Projek Perumahan Awam Kos Rendah dan Rumah Mampu Milik.

Untuk tujuan tersebut, satu peruntukan berjumlah RM9.0 juta disediakan kepada Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam bajet 2014 untuk  membangunkan  Perumahan Awam Kos Rendah.

Kerajaan juga telah meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 2000 unit rumah mampu milik dibangunkan dalam tempoh empat tahun bermula 2014. Program ini akan dilaksanakan melalui dua agensi utama iaitu Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Kerajaan juga berhasrat mempelawa pihak swasta yang berminat dan berkemampuan untuk mengadakan perkongsian strategik bagi menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat Kelantan.

Selain itu juga, “Bajet Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negeri” 2014 juga menyediakan peruntukan sebanyak RM5.5 juta Bantuan Rumah Dhua’fat  yang diperuntukan bagi tujuan penyelenggaraan rumah-rumah dan  pembinaan rumah golongan miskin dan dhaif di setiap di seluruh negeri utnuk membantu mereka membaiki dan mendapatkan rumah sendiri, walaupun pada binaan yang asas.

TERAS KEEMPAT : MENGUKUHKAN KEUPAYAAN INSTITUSI DAN PELAKSANAAN

Mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam Negeri

Kerajaan Negeri sentiasa menghargai sokongan dan komitmen kakitangan sektor awam dan sumbangan mereka dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Beberapa program transformasi untuk pemantapan pentadbiran telah berjaya diperkenalkan malah mendapat pengiktirafan dari pihak Kerajaan Persekutuan, antara amalan yang diperkenalkan dan terus menjadi amalan ialah Budaya Kerja Berprestasi Tinggi yang berpegang kepada  empat (4) teras utama yakni; pengukuhan nilai dan etika yang berteraskan kepada Ubudi’yyah, Mas’ulliyyah dan Itqan; perkhidmatan berteraskan pelanggan; hubungan majikan-pekerja dan persekitaran kerja yang kondusif dan juga Amalan Persekitaran Berkualiti (QE/5S).

Dalam ICT pula, portal rasmi Kerajaan Negeri Kelantan telah mendapat anugerah cemerlang penarafan lima (5) bintang bagi tiga (3) tahun berturut sejak tahun 2010 melalui penilaian yang dikeluarkan oleh Multimedia Development Corporation (MDeC).  Bagi kategori portal, Portal Rasmi Kerajaan Kelantan telah meraih tempat pertama dengan memperolehi 100 markah berkongsi kedudukan dengan Sarawak. Secara keseluruhan, portal rasmi Kerajaan Negeri Kelantan telah menduduki tempat ke-3 daripada 554 portal yang dinilai. Ini merupakan peningkatan berbanding tahun 2011 yang mana kedudukannya di tempat ke-10 daripada 1,155.
Pada tahun 2014, kerajaan bercadang untuk meningkatkan keupayaan infrastruktur ICT bagi membolehkan jabatan/agensi Kerajaan Negeri dan rakyat menggunakan perkhidmatan internet yang berkelajuan tinggi melalui satu perkhidmatan rangkaian terurus (Managed Network-Services) yang dinamakan KelantanNet. Sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri yang melibatkan jumlah langganan selama setahun untuk kegunaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, semua Jabatan/Agensi di Kompleks Kota Darulnaim, semua Majlis Daerah, semua Pejabat Tanah dan Jajahan, masjid-masjid terpilih dan lokasi-lokasi yang sesuai di seluruh Negeri Kelantan.

Kerajaan juga sedar bahawa aduan awam merupakan perkara yang perlu diberi perhatian secara khusus. Penyelesaian kepada pengaduan awam ini merupakan salah satu daripada prestasi pencapaian sesebuah kerajaan itu sendiri. Kerajaan amat berpuashati kerana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan telah menunjukan prestasi 100% penyelesaian aduan pada tahun 2011 dan 98.6% bagi tahun 2012 sebagaimana yang telah dibuat pengiktirafan oleh Biro Pengaduan Awam.

Menghargai Perkhidmatan Awam

Dengan penambahbaikan dalam pengurusan dan pentadbiran tersebut, Kerajaan berharap ia bukan sahaja dapat membantu Kerajaan khususnya dalam melaksanakan program-program pembangunan ke arah kesejahteraan rakyat di negeri ini, malah turut  memastikan jentera Kerajaan dapat menyempurnakan peranannya supaya terus menyumbang kepada daya maju ekonomi Negeri. Sejajar dengan itu, Kerajaan akan terus memastikan kebajikan dan keselesaan mereka terus diberi perhatian yang utama. Kerajaan berkeyakinan kakitangan awam Negeri akan terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dengan cemerlang dan penuh tanggungjawab.

Pada 15 Ogos 2013 yang lepas, Kerajaan Negeri telah turut sama membayar bantuan khas kewangan sebanyak RM500.00 kepada pegawai perkhidmatan awam negeri Gred 1 sehingga Gred 54 sebagai menghargai khidmat bakti penjawat awam dalam memacu program pembangunan negeri.

Selain itu juga, bangunan baru Blok 8 yang menelan kos RM42.5 juta sedang giat dibangunkan sebagai satu lagi prasarana untuk kemudahan kepada anggota perkhidmatan awam Negeri dan dijangka siap pada tahun 2015. Kerajaan yakin bahawa bangunan ini akan lebih memantapkan lagi jentera pentadbiran Negeri apabila ianya siap sekaligus dapat memberikan penyampaian perkhidmatan yang selesa kepada rakyat dan juga seluruh anggota pentadbiran awam.

Yang Berhormat Tuan Speaker,

BAJET NEGERI KELANTAN TAHUN 2014

Bajet Negeri Kelantan Tahun 2014 merupakan belanjawan defisit di mana perolehan hasil yang dianggarkan  berjumlah RM549.26 juta, manakala Perbelanjaan Mengurus dianggarkan berjumlah RM559.64 juta.  Oleh itu defisit bagi tahun 2014 dijangka berjumlah RM10.39 juta,  berbanding dengan anggaran lebihan dalam bajet tahun 2013 yang berjumlah RM45.83 juta. Penurunan Hasil dijangka sebanyak 5.58% peratus manakala perbelanjaan mengurus dianggarkan meningkat  4.42% berbanding tahun sebelumnya telah menyebabkan pengurangan daripada bajet lebihan pada tahun 2013 kepada bajet defisit tahun 2014.

ANGGARAN HASIL TAHUN 2014

Anggaran Hasil Negeri pada Tahun 2014 dijangka akan diperolehi sebanyak RM549.26 juta yang meliputi Hasil Cukai sebanyak RM311.12 juta,  Hasil Bukan Cukai sebanyak RM133.05 juta, sementara Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 105.08 juta.

Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya penurunan dalam hasil sebanyak RM32.51 juta ataupun sebanyak 5.58% berbanding dengan Anggaran Hasil Tahun 2013 yang berjumlah RM581.77 juta.

Penurunan hasil yang ketara adalah disebabkan jangkaan pengurangan dalam kutipan premium tanah. Adalah dijangka hanya sebanyak RM24.80 juta sahaja premium tanah dapat dikutip berbanding RM45.00 Juta pada tahun 2013. Ini disebabkan tiada pemberian milik tanah secara berskala besar bagi tahun hadapan.

Hasil royalti petroleum adalah penyumbang terbesar kepada hasil negeri iaitu sebanyak 36.41 % daripada keseluruhan hasil sebanyak RM549.26 juta. Kerajaan Negeri mengharapkan agar tuntutan royalti petroleum daripada Kerajaan Pusat berjaya. Kerajaan Negeri merakam setinggi-tinggi junjung kasih dan penghargaan kehadapan  Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan yang  telah beberapa kali mewakili Kerajaan Negeri Kelantan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi perundingan bersama pihak Kerajaan Pusat bagi mendapatkan tuntutan berkenaan.   Tidak ketinggalan juga penghargaan dan rakaman terima kasih kepada semua pihak dan seluruh rakyat yang berdiri teguh dan memberi sokongan yang berterusan dalam usaha menuntut royalti.

Hasil Tanah menjadi penyumbang kedua terbesar dengan jumlah RM105.44 juta atau 19.20 % daripada keseluruhan jumlah hasil. Selain daripada premium tanah, hasil tanah juga meliputi pungutan Cukai Tanah sebanyak RM38.32 juta, Bayaran Pendaftaran  RM6.26 juta, Bayaran Pindah Milik RM4.75 Juta serta Bayaran Gadaian sebanyak RM5.1 juta.

Hasil perlombongan juga telah dikenalpasti sebagai salah satu sumber hasil negeri baru dimana dijangka menyumbang sebanyak RM29.50 juta iaitu sebanyak 5.37% daripada anggaran kutipan hasil tahun 2014. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM18.5 Juta berbanding tahun 2013. Hasil lombong adalah meliputi royalti emas, royalti feldspar, royalti manganese, cukai galian, barite dan bijih besi.

Manakala Hasil Perhutanan menyumbang sejumlah RM67.41 Juta atau 12.27% daripada keseluruhan jumlah hasil. Ia menunjukkan penurunan sebanyak RM19.89 juta jika dibandingkan dengan anggaran belanjawan tahun 2013 yang berjumlah RM87.30 juta. Hasil hutan meliputi Royalti Kayu Kayan yang akan menyumbangkan sebanyak RM25.0 juta, bayaran jabatan hutan RM10.00 Juta dan Premium Perhutanan sebanyak RM30.0 juta.

Kerajaan akan meneruskan usaha-usaha untuk meningkatkan kesedaran kepada pemilik-pemilik tanah agar menjelaskan premium dan cukai tanah serta tunggakan  menerusi kempen dan usaha bersepadu oleh semua Pejabat Tanah. Walau bagaimanapun kempen dan galakan promosi kutipan hasil perlu berjalan seiring dengan tindakan undang-undang seperti yang diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negara dan Badan Penguatkuasaan perlu diperkemas lagi supaya benar-benar berkesan.

ANGGARAN PERBELANJAAN MENGURUS TAHUN 2014

Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tahun 2014 berjumlah sebanyak RM559.64 juta berbanding sebanyak RM535.95 juta dalam tahun 2013, iaitu meningkat sebanyak RM23.69 Juta atau  4.42%,  merangkumi Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM28.05 juta dan Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM531.59 juta.

Dari jumlah tersebut, RM279.14 juta atau 49.88% adalah untuk Pemberian dan Bayaran Kenaan Tetap, RM173.90 Juta atau 31.07% untuk Emolumen, RM88.00 Juta atau 15.73%  bagi Perkhidmatan dan Bekalan, RM16.39 Juta atau 2.93% untuk Aset dan RM2.2  juta atau 0.39% untuk Lain-Lain Perbelanjaan.   

Selaras dengan dasar serta tema Bajet 2014 iaitu “Kesejahteraan Rakyat, Kemakmuran Negeri”, Kerajaan telah meneliti secara terperinci anggaran belanjawan jabatan dan bagi mempastikan peruntukan yang disediakan adalah merupakan keperluan sebenar jabatan dengan mengambilkira kenaikan kos-kos pengurusan serta perbelanjaan secara berhemah. Oleh yang demikian, perbelanjaan mengurus bagi tahun 2014 telah dapat disediakan ke paras yang amat munasabah dan memenuhi keperluan sebenar setiap jabatan.

ANGGARAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN TAHUN 2014

Peruntukan Pembangunan bagi tahun 2014 adalah berjumlah sebanyak RM211.38 juta yang dibiayai dibawah peruntukan negeri termasuk sebanyak RM45.00 juta daripada sumber pinjaman.  Kerajaan Negeri akan terus memberi fokus dan penekanan kepada usaha mempertingkatkan penyediaan prasarana dan kemudahan bagi memajukan tahap sosio - ekonomi rakyat jelata berasaskan kepada kemampuan kewangan Kerajaan Negeri.

PENUTUP

Akhirnya, saya ingin mengambil kesempatan disini untuk menyampaikan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun, Penguasa-Penguasa Tempatan, Pegawai dan Anggota Keselamatan, Pemimpin-Pemimpin Masyarakat dan seluruh rakyat Negeri Kelantan ini yang telah sama-sama berusaha untuk mewujudkan perpaduan, keamanan, kemakmuran serta kesejahteraan hidup di negeri yang kita sayangi ini.

Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah S.W.T menjadikan Belanjawan Negeri Kelantan Tahun 2014 yang bertemakan “Kesejahteraan Rakya, Kemakmuran Negeri” yang kita bentang ini akan dilimpahi dengan seribu petunjuk, rezeki dan keberkatan.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلْ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلْ الْمَوْتَ رَاحَةً
لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ

Ya Allah, perbaikilah bagi kami agama kami sebagai benteng urusan kami, perbaikilah bagi kami dunia kami yang menjadi tempat kehidupan kami, perbaikilah bagi kami akhirat kami yang menjadi tempat kembali kami! Jadikanlah ya Allah kehidupan ini mempunyai nilai tambah bagi kami dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian kami sebagai kebebasan kami dari segala kejahatan!
Saya pohon mencadangkan.

WabillahiTaufiq Wal Hidayah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

*Belanjawan 2014 Kelantan dibentangkan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Isnin, 7 Oktober 2013

Tiada ulasan: