Sabtu, 5 Oktober 2013

BERKALI2 SAMA APA YANG DIBUAT...PEYELEWENGAN...AKHIRAT ADAKAH MEREKA LARAT JAWAB ATAU BOLEH LARI HUKUMAN ALLAH...SAMA2 KITA TENGOK

Pemilihan: Pada pandangan saya

Tuan Ibrahim Tuan Man, 04 Okt 2013

Pada pandangan saya pemilihan parti, pimpinan utama parti tak perlu beri ulasan lebih-lebih...

Pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pelbagai pihak dalam memberi ulasan berhubung pemilihan parti menjelang Muktamar bulan November ini.

Ulasan tersebut kelihatan lebih menonjol berbanding persiapan menghadapi Pilihanraya Kecil Sungai Limau pada 4 November ini.

Keadaan ini sanga t tidak baik bagi parti, tambahan pula ulasan tersebut datangnya dari pimpinan tertinggi parti.
Ulasan pimpinan tentunya akan mengundang pelbagai reaksi segera pelbagai pihak.

Saya melihat fenomena ini sebagai satu elemen negatif bagi parti kerana polimik dalaman harus ditangani dalam lingkungan adab dan akhlak jamaah yang tinggi.

Lantaran itu disarankan agar pimpinan utama parti di semua peringkat tidak memberikan komentar sama ada menyokong atau sebaliknya terutama melibatkan jawatan utama parti.

Perwakilan harus diberi sepenuhnya kepercayaan bagi membuat pilihan, kerana kita yakin mereka lebih tahu ke mana hala tuju parti perlu dibawa.

Kita tidak menyekat jalan demokrasi dalam parti, tetapi kita harua memimpin sistem demokrasi agar tidak merosakkan ukhuwah jamaah.

Dalam keadaan media baru yang sukar dikawal, maka ulasan positif sekalipun boleh diulas dalam bentuk negatif yang akan mengundang pelbagai reaksi.

Mari kita pelihara ukhuwah jamaah ini dengan memelihara thiqah pada pimpinan yang telah berkorban untuk jamaah selama ini, menghormati perasaan mereka dan menghormati mereka.

Saya yakin semua kita sayangkan jamaah ini. Cuma caranya berbeza: ada orang yang sayangkan anak maka dimarah anak itu, ada yang mencubitnya ada yang memukulnya dan ada yang memeluk dan menciumnya.

Kalaulah anda jadi anak, cara mana yang anda suka? Senyum.

 


Audit: Isyarat kerajaan boros, tidak berhemah

., 03 Okt 2013
Laporan Audit Isyarat Perbelanjaan Kerajaan Boros Tidak Mengikut Kaedah Perbelanjaan Berhemah Islam

2 asas penting dalam perbelanjaan sebagaimana digariskan oleh Islam ialah pertama perbelanjaan berhemah dan kedua perbelanjaan menurut kemampuan. Allah berfirman dalam surah al-Furqan, 67:

وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا

Maksudnya: Dan mereka yang apabila berbelanja mereka tidak boros dan tidak kedekut dan adalah perbelanjaannya pertengahan antara keduanya.

Allah berfirman lagi al-Tolaq: 7

لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ

Maksudnya: Hendaklah berbelanja orang yang berkelapangan berdasarkan kelapangannya dan sesiapa yang disempitkan rezkinya hendaklah dia berbelanja berdasarkan apa yang diberikan oleh Allah

Saya memetik ulasan umum Ketua Audit Negara Tan Sri Datuk Setia Haji Ambrin Buang dalam Laporan Audit Negara 2012 siri 1 hasil daripada pengauditan 21 program/aktiviti/projek dibawah 15 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan Pengurusan 4 syarikat Kerajaan dan juga siri 2 hasil daripada pengauditan 24 program/aktiviti/projek dibawah 13 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan Pengurusan 2 syarikat Kerajaan dan pengurusan terhadap prestasi kewangan dan pengawasan syarikat kerajaan:

"Pada umumnya terdapat kelemahan seperti improper payment, kerja/bekalan tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti/tidak sesuai, kelewatan tidak munasabah, pembaziran, kelemahan pengurusan hasil dan kelemahan pengurusan aset Kerajaan. Kelemahan tersebut adalah disebabkan oleh kecuaian dalam mematuhi peraturan/prosuder yang ditetapkan oleh Kerajaan, kurang teliti semasa merancang program/aktiviti/projek dan menetapkan skop serta spesifikasi tender, tidak memantau dengan kerap dan teliti kerja kontraktor /vendor/perunding, kurang kemahiran dalam pengurusan projek, lewat membuat keputusan mengenai perolehan, sistem maklumat Kementerian/Jabatan/Agensi yang tidak lengkap dan tidak kemas kini, kurang memberi perhatian terhadap keberhasilan/impak sesuatu program/aktiviti/projek, kekurangan peruntukan untuk penyenggaraan aset dan kekurang pegawai untuk mengutip hasil".

Menelusuri satu-persatu setiap Laporan Audit 2012 jelas menemukan kita dengan pelbagai kecuaian, pemborosan dan ketirisan yang sangat ketara dalam perbelanjaan kerajaan sama ada berskala kecil atau skala besar. Ulasan "tidak memuaskan" boleh ditemui di banyak tempat.
Antaranya:

1. Di Kementerian Kewangan "pembayaran RM529,733 kepada 4 syarikat perunding yaang dilantik pada tahun 2003 merupakan satu pembaziran kerana laporan yang dikeluarkan tidak dapat digunakan" (Laporan Audit Siri 1 hlm xiv dan 41)

2. Di Kementerian Pengangkutan projek peningkatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan 2 pakej bernilai RM1.44 bilion. Untuk pakej 2 Audit mengulas "kerja naik taraf tidak mengikut  spesifikasi/tidak berkualiti." (Laporan Audit siri 1 hlm xix)

3. Perbelanjaan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar melibatkan Scanner A4 berharga RM200 di pasaran ditender dengan harga RM14,670.

4. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melakukan lawatan ke luar negara berjumlah RM3.43 juta tanpa  disokong dokumen lengkap. Kos lawatan ke luar negara berjumlah RM253,813 tidak munasabah dan tidak mengikut kadar ditetapkan. Program promosi dan publisiti yang dibatalkan telah dibayar RM3.19 juta. Juga berlaku improper payment RM13.54 juta. (Laporan Audit 2012 siri 2 xxxi)

5. Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM1.6 juta untuk menaja kumpulan K-Pop. Menariknya sebelum ini kementerian melaporkan konsert tersebut ditaja oleh syarikat swasta. Ertinya pemborosan berlaku disulami dengan penipuan untuk menutup pemborosan.

6. Jabatan Kastam lupuskan kasut 7659 unit dengan kerugian 600k dengan alasan tidak menepati piawaian

7.    Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membelanjakan RM7.23 juta terhadap projek penambahbaikan TOP WP Labuan walaupun masih dalam proses timbang tara dengan kontraktor asal pembinaan TOP di mana akhirnya projek penambahbaikan terpaksa ditamatkan. (Laporan Audit 2012 siri 2 hlm xxviii)

Justeru, saya menegaskan beberapa perkara berikut:

1. Ketirisan dan pemborosan sepertimana didedahkan oleh Laporan Audit Negara bukanlah kali pertama berlaku. Malah laporan-laporan audit sebelumnya menyaksikan hakikat pemborosan dan ketirisan yang sama. Ia mendorong satu anggapan bahawa kerajaan tidak berusaha mengambil pengajaran dan tidak berusaha membetulkan keadaan.

2. Pemborosan dan ketirisan perbelanjaan negara adalah penyebab kepada situasi hutang negara yang telah melebihi RM500 bilion.

3. Alasan kerajaan bahawa hutang negara tersebut adalah terkawal masih boleh diterima sekiranya tidak berlaku ketirisan dan pemborosan dalam perbelanjaan. Tetapi apabila hutang berlaku kerana kelemahan pengurusan perbelanjaan maka ia tidak boleh dimaafkan dan tidak wajar lagi kerajaan membodohkan rakyat dengan alasan seumpama itu.

4. Laporan audit 2012 membuktikan bahawa pengurangan subsidi minyak hingga minyak dinaikkan 20 sen baru-baru ini dengan alasan menstabilkan kewangan negara adalah alasan yang direka-reka oleh kerajaan BN. Hakikatnya pengurangan subsidi minyak adalah untuk menampung ketirisan dan pemborosan perbelanjaan kerajaan. Berdasarkan hakikat ini saya berpandangan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi minyak adalah haram menurut Islam kerana ia bukan bertujuan menampung kekurangan dana kerajaan tetapi kerana menampung pembaziran perbelanjaan.

5. Nasihat kerajaan untuk rakyat berjimat cermat hanyalah ibarat ketam mengajar anak berjalan betul sedangkan kerajaan menjadi contoh terbaik untuk perbelanjaan boros dan membazir.

6. Kerajaan diperingatkan bahawa perbelanjaan harta negara bukan hanya akan diaudit di dunia tetapi juga akan diaudit di akhirat Allah. Maka hendaklah kerajaan bertaqwa kepada Allah dalam membelanjakan harta negara. Pemborosan dan pembaziran juga ditolak dan dikeji oleh semua agama dan penganut agama.

7. Rakyat tanpa mengira agama, kaum dan parti tidak boleh berdiam diri melihat kemungkaran pemborosan, pembaziran dan ketirisan perbelanjaan negara. Ia ditolak oleh semua agama dan kaum. Mereka perlu mengambil sikap seperti mana yang ditunjukkan oleh seorang Tabi'i terkenal bernama Abu Muslim al-Khaulani yang secara tegas menegur Muawiyah bin Abi Sufyan r.a selaku Khalifah pemerintah Islam dalam perkara melibatkan perbelanjaan harta negara: Wahai Mu`awiyah! Harta negara itu bukan hasil usaha kamu. Bukan juga hasil usaha bapa kamu. Dan bukan juga hasil usaha ibu kamu.”

8. Saya menyokong satu demo aman besar-besaran dilakukan sebagaimana cadangan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi menggambarkan keprihatinan rakyat terhadap laporan audit 2012.

YB Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus


 

Ijtimak Tarbawi 3.0: Tarbiyah membina syakhsiah

., 04 Okt 2013

1. Pagi ini sungguh mendamaikan. Hati pula berdebar-debar tidak sabar untuk musafir ke Pagoh Johor Darul Ta'zim bagi menghadiri program pengkaderan terbesar yang dianjurkan oleh DPPM saban tahun.

2. Ijtimak Tarbawi 3.0 adalah himpunan para pemuda dan pemudi Islam untuk membina serta membugar kombinasi aqidah, spiritual dan peribadi mulia sebagai anggota Gerakan Islam. Penuh dan sarat dengan pengisian dan amalan yang berpaksi kepada gandingan 3 elemen utama itu.

3. Kepada pemuda dan pemudi Islam yang pernah menghadiri Ijtimak Tarbawi siri pertama di Rusila dan kedua di Taman Melewar pasti masih menyimpan rapi kenangan manis dan indah menyertai program Amal Tarbawi ini dan saya yakin mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai Ijtimak Tarbawi siri ketiga ini bagi menambah koleksi pentarbiyahan sekaligus meningkatkan prestasi diri sehingga mendekati noktah utama untuk benar - benar layak sebagai seorang pejuang Islam.

4. Ijtimak Tarbawi yang telah memasuki siri ke tiga ini akan menggarap beberapa unsur penting dalam pembinaannya seperti kefahaman Islam, ukhuwwah fillah, aqidah perjuangan dan lainnya sekaligus akan merawat pelbagai penyakit yang melanda individu atau jamaah Islam pada hari ini. Ia adalah himpunan untuk menghidup-ceriakan Amal Tarbawi dalam jamaah atau Parti PAS ini agar ia tidak malap dan lesu dicelah - celah jadual padat menangani isu semasa dan kemelut politik tanahair.

5. Ijtimak Tarbawi akan membekalkan sumber kekuatan dalaman buat pemuda - pemudi Islam yang bersedia untuk turun ke medan menyahut seruan perjuangan ke arah mendaulatkan Islam di bumi tercinta ini. Ia adalah satu bahagian besar dari 3 bahagian utama operasi Dewan Pemuda PAS. Tiga bahagian operasi DPPM yang saya maksudkan itu ialah :

a] Ijtimak Tarbawi itu sebagai pembina aqidah Ahlus sunnah, fikrah Islami dan akhlak yang soleh.

b] Himpunan 30K sebagai peledak semangat juang dan mengaktifkan gerakkerja pilihanraya agar siap dan sedia menempuh segala jenis cabaran memburu kemenangan.

c] Jambori AMAL mengungguli gerakkerja sukarelawan dan pemantapan skuad beruniform dengan AMAL Lillah untuk menyantun masyarakat dan menghulur khidmat bakti kepada semua tanpa kenal erti penat dan lesu.
6. Himpunan pada ketiga - tiga bahagian utama operasi Dewan Pemuda PAS Malaysia ini adalah bersifat program tahunan. Setiap bahagian operasi itu akan terus disemarakkan melalui aktiviti rutin dan semasa, secara berterusan melalui tindakan DPPM dan juga DPP negeri serta kawasan. Ia diselia dan diurus perlaksanaan gerakkerjanya oleh lajnah dan jabatan yang wujud di bawah DPPM seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] Akademi Tarbiyah, Jabatan Pilihanraya dan Lajnah penerangan. Ia mengadun 3 jalur besar yang disatukan iaitu:

Tarbiyah,
Dakwah,
Siasah.

3 jalur lebar itu turut diaktifkan oleh semua jabatan dan lajnah yang lain melalui aktiviti yang dirancang.

7. Ijtimak Tarbawi juga seperti mana Himpunan 30K dan Jambori AMAL, adalah program sepadu untuk melengkapkan agenda DPPM mengharungi dunia perjuangan ini sekaligus menjadi kilang untuk melahirkan anggota parti atau jamaah sebagai pemimpin berkarismatik dan ahli berkualiti tinggi. Justeru itu ia menyatukan semua segmen, latar belakang dan cara fikir pemuda dan pemudi Islam yang cintakan Islam dan perjuangannya.

8. Tarbiyah Membina Syakhsiyah adalah tema Ijtimak Tarbawi 3.0 membuktikan usaha serius DPPM mahu membina kualiti anggota parti yang unik dan tersendiri. Sasaran yang ingin dicapai ialah piawai standard anggota parti yang bergerak diatas Manhaj Perjuangan Islam yang tulen. Ianya adalah:

yakin pada perjuangan Islam,
indah pada penampilan imej,
bijak pada pemikiran aqal.

9. Ijtimak Tarbawi tidak memusuhi sesiapa sebaliknya ia kawan atau sahabat pada semua. Ia juga adalah mesin pembugar yang bergerak mengikut skima dan skil Amal Tarbawi terhadap pesertanya. Membawa agenda perdana parti tanpa sebarang dikotomi.

10. Selamat datang saya ucapkan kepada semua pemuda - pemudi Islam yang akan berkampung di Maahad Tahfiz Al Quran Al Muhammadi, Kampung Parit Medan Kundang Ulu, Ledang [dalam Parlimen Pagoh] selama 3 hari 2 malam bermula jam 3 - 5 petang ini dan akan berakhir pada petang hari Ahad. Kepada yang belum mendaftar, boleh terus ke kaunter pendaftaran ditapak program untuk mendaftarkan diri anda sebagai seorang pemilik kenangan terindah dalam hidup sebagai seorang pejuang Islam.

Nikmatilah program AMAL Tarbawi yang direalisasikan secara berjamaah.

Tarbiyah Membina Syakhsiah.

Nasrudin Hassan
Ketua DPP Malaysia

Forum TPPA: Anwar setuju, Tun M belum jawab

Harakahdaily, 04 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju naik ke Pentas Perdana Anti-TPPA yang akan berlangsung pada malam 10 Oktober ini di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama Solidariti Mahasiswa (SMM) dengan kerjasama Badan Bertindak Bantah TPPA menganjurkan pentas perdana mempertahan kedaulatan negara menolak Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Seorang lagi tokoh ternama yang diundang ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-dua tokoh ini diundang ekoran kedua-duanya mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi perdagangan antarabangsa selain punyai hubungan agak istimewa dengan Amerika yang menjadi dalang Perjanjian TPPA.

Justeru Pengasa SAMM, Badrul Hisham Saharin berkata, pentas perdana ini harus menjadi satu ruang dan peluang yang penting untuk Anwar dan Tun Mahathir menjelaskan segala persoalan khususnya mengenai Perjanjian TPPA yang disifatkan seabagai penuh dengan agenda tersembunyi.

"Pihak kami masih menunggu jawapan dari pihak Tun Mahathir dan optimis bahawa Tun Mahathir akan mempertimbangkan kehadirannya di pentas perdana ini.

"Anwar Ibrahim telah buktikan betapa segala persengketaan lalu wajar diketepikan demi memastikan tanahair ini tidak dijual melalui skim perjanjian TPPA," kata beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

SAMM katanya, yakin kedua-dua tokoh yang mempunyai pengaruh tersendiri ini mampu disatukan di atas pentas yang sama dengan masing-masing mengenepikan permusuhan politik domestik seterusnya merealisasikan aspirasi rakyat demi masa depan negara.

Gabungan Membantah TPPA (Bantah) dengan pendokong utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) sedang mengadakan jelajah Bantah TPPA yang bermula 17 September lalu.

Berikut merupakan jadual Jalajah TPPA sehingga 10 Oktober:

4 Oktober   : Pusat Komuniti Bakri-Bentayan, Muar, Johor
5 Oktober   : Taman Asean, Bandar Melaka, Melaka
6 Oktober   : Taman Tasek Jay, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan
8 Oktober   : Dewan Seri Sekinchan, Selangor
10 Oktober  : Grand Finale, Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Dedah jumlah sebenar kekosongan guru

Harakahdaily, 04 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan diminta mendedahkan angka sebenar jumlah kekosongan guru di semua sekolah berikutan ada sikap "melengah-lengah" dari pihak kementerian dalam urusan mengisi kekosongan tersebut.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, pada bulan Januari 2012, Kementerian Pendidikan telah membuka kursus Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Namun katanya, graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah tamat pengajian tersebut pada bulan Mei tahun ini masih belum mendapat penempatan sehingga sekarang.

Menurutnya, dalam jawapan lisan Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan pada September 30 memaklumkan bahawa graduan GSTT-DPLI adalah sebanyak 6,020 orang di mana sebanyak 2,017 orang di bawah kategori Sekolah Rendah dan 4,003 orang di bawah kategori Sekolah Menengah.

Senarai calon juga kata  timbalan menteri itu telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan temuduga dijangka akan dijalankan pada bulan Oktober dan lantikannya akan bermula pada bulan Januari tahun depan.

"Akan tetapi, laman web Kementerian Pendidikan atau SPP masih belum ada sebarang maklumat tentang temuduga tersebut sehingga sekarang.

"Apabila graduan-graduan menelefon Jabatan berkenaan, pegawai-pegawai tersebut tidak dapat memberi tarikh temuduga seperti yang dikatakan oleh Timbalan Menteri," katanya yang juga Ahli Parlimen Kulai.

Apa yang menyukarkan katanya, kesemua graduan tersebut telah menandatangani kontrak perkhidmatan selama dua tahun dengan kementerian maka ini telah menjadi halangan kepada mereka untuk mencari pekerjaan alternatif terutamanya di sektor swasta.

"Pernahkah Kementerian mengambil berat terhadap mereka apabila mereka perlu menunggu penempatan selama 7 bulan dan menghadapi masalah pengangguran serta menanggung kos sara hidup yang tinggi," soal beliau.

Selain itu, survey yang tidak rasmi juga katanya menunjukkan bahawa sebanyak 100-120 kekosongan guru-guru di sekolah rendah.

"Jikalau kekurangan tersebut sudah lama berlaku, mengapakah temuduga dan penempatan graduan GSTT-DPLI masih lagi ditangguh-tangguhkan,"soalnya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pengajian DPLI telah melahirkan 6,000 tenaga pengajar yang masih menunggu penempatan, perkara ini telah menimbulkan satu keraguan besar sama ada betulkah kita mempunyai 6,000 kekosongan guru di semua sekolah supaya graduan ini dapat menampung keperluan ini.

"Maka, Kementerian Pendidikan perlu memberi penjelasan atau statistik terhadap kekosongan guru di semua sekolah agar kita dapat menilai sama-ada Kementerian membuat perancangan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini.

"Jikalau tidak, perkara ini sekali lagi menunjukkan kegagalan Kementerian dalam membuat perancangan yang sempurna lalu membazirkan sumber negara," jelasnya.

Jangan orang Putrajaya isi ‘Putrajaya Inquisition’

Harakahdaily, 04 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik kenyataan Ketua Audit Negara yang mengumumkan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa khas untuk menangani kes-kes yang dibangkitkan di dalam Laporan Audit.

Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad berkata, biarpun PAS kritikal kepada sebarang inisiatif yang dijenamakan sebagai suatu program transformasi kerajaan kerana kebiasaannya akan menjadi slogan kosong, kes-kes salah laku kewangan yang dibangkitkan adalah serius dan apa sahaja usaha pembetulan wajar diberi perhatian.

“Begitupun awal-awal lagi rancangan perlaksanaannya sudah meragukan. Antaranya ialah jawatankuasa Putrajaya Inquisition yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri bagi menyelesaikan kes-kes audit yang telah sekian lama tertangguh,” ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik kenyataan Ketua Audit Negara yang mengumumkan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa khas untuk menangani kes-kes yang dibangkitkan di dalam Laporan Audit.

Biarpun PAS kritikal kepada sebarang inisiatif yang dijenamakan sebagai suatu program transformasi kerajaan kerana kebiasaannya akan menjadi slogan kosong, kes-kes salah laku kewangan yang dibangkitkan adalah serius dan apa sahaja usaha pembetulan wajar diberi perhatian.

Begitupun awal-awal lagi rancangan perlaksanaannya sudah meragukan. Antaranya ialah jawatankuasa Putrajaya Inquisition yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri bagi menyelesaikan kes-kes audit yang telah sekian lama tertangguh.

Persoalannya, salah laku urustadbir kewangan, lebihan belanja sehingga menyebabkan defisit fiskal - kesemuanya berpunca dari perilaku sumbang orang-orang yang mencengkam Putrajaya. Apakah rasional bagi konco-konco Putrajaya menghukum diri sendiri di atas beban khilaf Putrajaya yang mereka sendiri cipta?

Bagi kami DPPWP, Perdana Menteri adalah orang yang terakhir yang sepatutnya mempengerusikan jawatankuasa tersebut. Malah beliau adalah orang yang pertama sepatutnya diheret ke muka jawatankuasa untuk menjawab salah laku kewangan.

Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat yang dipangku oleh Perdana Menteri sendiri menggunakan duit geran secara tidak sah untuk membiaya NGO-NGO tertentu. Bagaimana hendak melakukan tindakan pembetulan kalau pengerusi jawatankuasa ini pun melakukan kesalahan?

Malah pernah dibangkitkan di dalam Laporan Audit 2011 mengenai status Akaun Belum Terima Perbendaharaan yang sudah menjangkau RM5.7 billion sedangkan ada kesnya yang sudah melebihi 5 tahun dan mungkin lupus begitu sahaja kerana kekangan Akta Had Masa. Bukankah isu ini di bawah pertanggungjawaban Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan?  

Kalau PM menjadi pengerusinya, inisiatif jawatankuasa "Putrajaya Inquisition" ini akan menjadi satu lagi birokrasi yang membuang masa dan menghabiskan sumber kerajaan yang dibiayai rakyat. Mungkin sahaja kelembapan jawatankuasa ini pula yang akan dilaporkan oleh Ketua Audit dalam laporan 2013 nanti!

Kita menyanjung kebebasan Ketua Audit Negara yang hak dan tanggungjawabnya dipelihara oleh keluhuran Perlembagaan. DPPWP menggesa agar Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang melihat perancangan alternatif serta menggunakan sepenuh kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Audit 1957 bagi menjayakan jawatankuasa ini.

Sebagai contohnya, Ketua Audit Negara boleh memilih Pengerusi jawatankuasa ini dari individu-individu ulung negara dari latarbelakang hakim, tokoh akademik atau warga profesional yang mempunyai kredibiliti dan bersifat bebas. (Mungkin elok juga kalau YM Tuanku Raja Muda Dr. Nazrin Shah menjadi pengerusinya sekaligus menjadi wakil Majlis Raja-Raja).

Dan sekiranya Perdana Menteri benar-benar serius ingin membantu, maka beliau mesti menunjukkan komitmen dengan menyediakan bajet dan kedudukan khas kepada jawatankuasa ini sebagaimana beliau mencurahkan pelbagai keistimewaan kepada PEMANDU dengan bajet RM40 hingga RM50 juta setahun itu.

Sg Limau: SPR tidak telus, nafi hak pengundi

Saidah Hairan, 04 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Penetapan tarikh pembuangan undi pada hari bekerja membuktikan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak demokratik dan menafikan hak pengundi khususnya mereka yang bekerja di luar kawasan atau negeri.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusar, Siti Zailah Mohd Yusoff menegaskan, dalam menentukan tarikh pembuangan undi seharusnya SPR mengambil kira pengundi yang bekerja luar dari negeri Kedah.

Menurut beliau, cara yang dilakukan SPR sangat tidak telus walaupun pilihan raya kecil (PRK) belum dilaksanakan tetapi pembuangan undi pada hari bekerja telah dilakukan pada PRK Kuala Besut.

"Tindakan SPR itu seolah-olah menafikan hak pengundi yang bekerja untuk balik mengundi," katanya.

Bagi persediaan jentera Muslimat katanya,  muslimat seluruh negara bersedia untuk turun membantu mempertahankan kemenangan di Dun Sungai Limau dengan majoriti yang lebih banyak.

Menurut beliau, selepas jentera Muslimat dilancarkan pada 11 Oktober nanti jentera muslimat akan hadir membantu mengikut jadual yang telah ditetapkan kepada Dun dan negeri.

"Kita akan jalankan program selepas pelancaran. Jika PRK di Kuala Besut pada bulan ramadan, jentera Muslimat bergerak dengan baik, Insya Allah di Dun Sungai Limau mereka akan bekerja dengan lebih baik," tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang yakin PAS akan mempertahankan kemenangan Dun Sungai Limau memandangkan Dun tersebut merupakan kubu PAS.

Katanya, lebih 90 peratus penduduk terdiri daripada orang Melayu dan daripada jumlah itu 43.9 peratus daripada golongan anak muda.

Sudah pasti tambah beliau faktor pengundi muda merupakan penentu kemenangn dan perkembangan terbaru usaha untuk memberi kesedaran kepada pengundi muda sangat penting selain calon PRK daripada orang muda.

Beliau menegaskan, rakyat Dun Sungai Limau seharusnya boleh menilai tindakan BN terhadap Kolej Universiti Insan (Kuin) disewakan kepada swasta dan tidak dimanfaatkan pada matlamat asal.

"Ini merugikan masa depan anak-anak Kedah dan masa depan pendidikan Islam. Begitu juga kerajaan negeri menjadikan pulau Tauba sebagai tempat pelancongan dan diserahkan kepada syarikat dari Australia," katanya.

Sedangkan tambah beliau, pulau Tauba ketika kerajaan PAS tempat itu mahu dijadikan tempat menghafal al-Quran dan pengajian agama. Beliau menegaskan, kerajaan BN seolah-olah tidak mengambil berat tentang pendidikan tetapi lebih mementingkan soal pelaburan semata-mata.

Semalam, SSPR menetapkan 4 November adalah hari pembuangan undi PRK Dun Sungai Limau, Kedah sementara penamaan calon pada 23 Oktober.


PRK itu diadakan berikutan penyandangnya, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada jam 11.10 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 26 September lalu.

Pada PRU13 Mei lepas, Ustaz Azizan yang mendapat 13,294 undi menang dengan majoriti 2,774 undi menewaskan calon BN, Mohd Fazillah Mohd Ali (10,5204 undi) serta dua calon Bebas, Sobri Ahmad (100) dan Abdullah Hashim (84).

Data pesakit: Malaysia wajar contohi Brunei

Harakahdaily, 04 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kalau dibandingkan dengan Brunei Darussalam nampaknya Malaysia agak ketinggalan dalam pengurusan data-data pesakit dan juga sistem pendaftaran di hospital-hospital kerajaan.

“Hampir semua hospital di Malaysia masih lagi mengguna cara lama dalam pengambilan data-data serta maklumat pesakit,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Miri berkata, kaedah itu bukan sahaja lambat dan kurang efisen tapi menyebabkan penyakit pesakit sukar dikesan pada peringkat awal.

Menurutnya, Brunei Darussalam telah memperkenalkan satu konsep sistem baru Bru-HIMS (Maklumat Kesihatan dan Sistem Pengurusan) Satu Pesakit Satu Rekod di mana data perubatan pesakit direkodkan daripada semua hospital, perkhidmatan pesakit luar, pusat-pusat rawatan dan klinik kerajaan dikumpulkan ke dalam satu Rekod Elektronik pesakit.

Berikut kenyataan beliau.

Negara Brunei Darussalam telah memperkenalkan satu konsep sistem baru Bru-HIMS (Maklumat Kesihatan dan Sistem Pengurusan) Satu Pesakit Satu Rekod di mana data perubatan pesakit direkodkan daripada semua hospital, perkhidmatan pesakit luar, pusat-pusat rawatan dan klinik kerajaan dikumpulkan ke dalam satu Rekod Elektronik pesakit.

Setiap orang di negara ini akan mempunyai Rekod Elektronik pesakit yang mengandungi sejarah-sejarah perubatan yang komprehensif mereka termasuk maklumat mengenai ubat-ubatan yang diberikan dan pemeriksaan yang dilakukan.

Projek Bru-HIMS ialah projek ICT Kementerian Kesihatan di mana semua pengurusan data pesakit dikendalikan secara elektronik melalui penggunaan Rekod Elektronik Pesakit.

Projek ini bukan sahaja akan menggantikan sistem-sistem berkomputer yang telah lalu tetapi juga ditambah lagi dengan sistem-sistem lain yang menjadikan Sistem Bru-HIMS sebagai sistem yang mengintegrasikan pengurusan maklumat-maklumat pesakit di perkhidmatan-perkhidmatan perubatan dan kesihatan.

Kalau dibandingkan dengan Brunei Darussalam nampaknya Malaysia agak ketinggalan dalam pengurusan data-data pesakit dan juga sistem pendaftaran di hospital-hospital kerajaan.

Hampir semua hospital di Malaysia masih lagi mengguna cara lama dalam pengambilan data-data serta maklumat pesakit. Bukan saja  lambat dan kurang efisien tapi menyebabkan penyakit pesakit sukar dikesan pada peringkat awal.

Dengan adanya data dan maklumat yang lengkap akan memudahkan pihak hospital mengesan dan mengenal pasti penyakit yang dihadapi oleh pesakit. Bukan itu saja bahkan orang awam tidak perlu beratur panjang untuk mendapatkan rawatan setelah segala maklumat mereka ada dalam sistem di talian.

Dengan adanya data dan maklumat yang lengkap tentang setiap pesakit, ini akan memudahkan pihak Kementerian Kesihatan mengesan serta memberi rawatan intensif kepada pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan berdasarkan rekod yang diperolehi dari maklumat setiap pesakit.

Dengan adanya sistem data dalam talian, ini akan memudahkan urusan pendaftaran serta pesakit akan mudah dirawat semasa berlaku kecemasan.

Ini adalah salah satu cara terbaik dan lebih efisien bagi pihak kementerian kesihatan mengambil insentif dalam urusan pendaftaran orang awam yang memerlukan rawatan di hospital kerajaan atau swasta.

Kita menggesa kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan perlu menaik taraf cara pendaftaran pesakit dengan melaksanakan Sistem Maklumat Kesihatan dan Sistem Pengurusan yang berkonsepkan Satu Pesakit Satu Rekod seperti yang digunakan oleh kerajaan Brunei Darussalam.

Kita harap pihak Kementerian Kesihatan dapat mengkaji semula sistem pentadbiran dan dapat melaksanakan program yang bersistematik ini ke seluruh negara untuk memudahkan tugas kakitangan hospital dan orang awam dapat berurusan dengan cepat tanpa perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan.

Tiada ulasan: