Khamis, 10 Oktober 2013

ADAKAH INI WATAKNYA...ADAKAH INI PERJUANGANNYA

Tekun untuk Umno, kenapa komponen BN senyap?

Abdul Aziz Mustafa, 10 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Selepas mendakwa pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) hanya untuk ahli Umno sahaja, selepas ini mengaku sebagai apa pula?

Persoalan itu dibangkitkan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub apabila Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Tekun, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata agensi bantuan itu memang ditubuhkan bagi membantu ahli Umno.

"Dakwaan tidak bertanggungjawab itu adalah satu lagi kemuncak manifestasi keangkuhan Umno.

"Mungkin selepas ini, seperti Firaun, mereka akan mengisytiharkan diri mereka sebagai tuhan pula di negara ini," kata beliau.

Salahuddin menyifatkan Umno begitu bongkak dan angkuh sekali dalam mentadbir negara hinggakan wang rakyat diperuntukkan kepada ahli-ahli mereka sahaja.

Beliau membidas parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA, MIC, Gerakan, PBB, PBS dan lain-lain yang takut untuk berkata walau sepatahpun membantah kenyataan itu.

"Mengapa PBB, PRS, SUPP, SDAP dari Sarawak dan PBS, UPKO dan PBRS dari Sabah diam dan langsung tidak berani bersuara terhadap keangkuhan Firaun Malaysia itu?

"Adakah ahli-ahli mereka sudah kaya dan tidak memerlukan bantuan Tekun?" beliau mempersoalkan.

Salahuddin mencabar parti-parti komponen BN membantah kenyataan biadab itu.

Beliau juga mengajak rakyat membuka mata terhadap keangkuhan dan kesombongan Umno itu dan menghukum pihak yang berlagak sebagai 'Firaun' moden di dalam pilihan raya umum ke-14 kelak.

"Sepatutnya bantuan Tekun diperuntukkan kepada semua rakyat berpendapatan rendah dan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama.

"Malangnya, pinjaman yang sepatutnya dapat membantu rakyat seluruhnya mengatasi gejala pinjaman dari Along atau ceti haram itu dibolot oleh Umno sahaja," katanya.

Dalam kenyataan CEO Tekun itu, beliau juga berkata, Tekun merupakan hasil usaha Umno bagi memperkasakan ekonomi kaum Melayu dalam parti itu.

Abdul Rahim juga berkata, Tekun ditubuhkan semasa Konvesyen Umno Pulau Pinang pada tahun 1994.

"Kerana itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak begitu menekankan perkembangan dan beliau sendiri berkata Tekun merupakan anak kandung Umno," katanya.

'Terengganu Darul Runtuh' malukan negeri

Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah & Dr. Syed Azman Syed Ahmad, 10 Okt 2013
AMAT tidak bertanggungjawab! Seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan bumbung dan siling Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal, Terengganu yang runtuh awal pagi baru-baru ini.

Insiden yang amat memalukan ini dipercayai berlaku pukul 4 pagi dan melibatkan kira-kira 40 peratus bahagian masjid itu yang telah siap dibina dua tahun lepas serta melibatkan kos RM6 juta dan boleh memuatkan 1,000 jemaah dalam satu masa.

Isu keruntuhan ini bukan laporan pertama mengenai masjid bumbung runtuh di negeri ini. Pada 20 Mei lepas, 12 jemaah masjid yang baru sahaja solat Isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu runtuh. Pada 3 Okt 2009, bumbung bahagian hadapan Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman juga runtuh menyebabkan tiga mangsa cedera.

Demikian juga, pada 2 Jun 2009, bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menelan belanja RM292.9 juta yang telah siap dibina pada Mei 2008 dan pernah digunakan dalam penganjuran Sukan Malaysia turut runtuh. Sebahagian struktur bumbung stadium berkenaan sekali lagi roboh pada 20 Februari 2013 yang menyebabkan tiga pekerja parah manakala dua lagi cedera ringan.

Inilah fenomena keruntuhan yang berlaku di negeri ‘Darul Iman’ sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Walaupun  fenomena ini telah berlaku sejak beberapa tahun yang lepas, tidak ada langkah-langkah yang positif dan pro-aktif di ambil untuk menghalang berulangnya peristiwa-peristiwa sebegini.

Perkara ini bukan hanya di sebabkan masalah-masalah teknikal tetapi termasuk soal ‘nilai’ (values) yang di dokongi oleh pihak berkuasa dalam mengawasi dan memantau pembinaan projek-projek ini.

Pengawasan di tapak amatlah lemah dan banyak kerosakan boleh dielakkan. Profesional-profesional yang berkelayakan yang sepatutnya mengawasi kerja tidak diberi tanggungjawab dan kuasa di tapak.

Peraturan-peraturan profesional dan jabatan-jabatan kawalan ada kalanya tidak diikuti dan dipatuhi menyebabkan kelonggaran dan kerendahan faktor-faktor keselamatan dan mutu pembinaan.

Contoh-contoh keruntuhan dan kerosakan sepanjang 2 penggal pentadbiran yang ada adalah seperti disenaraikan:

1.  Dewan Saidina Abu Bakar SMK Wakaf Tapai,  Marang (12 April 2008, RM2 Juta).

2.  Bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak ( 2 Jun 2008, RM292 juta).

3. Kolam Renang Batu Burok bocor (5 Jun 2008, RM18 juta).

4. Siling Bumbung Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) tanggal (29 Jun 2008,  harga terminal  RM123 juta)

5. Pusat Latihan Antarabangsa (ITC), Kemaman runtuh sebahagian balkoni di tingkat lapan.

6. Menara Komunikasi jalur lebar di Kampung Chegar Batang, Besut tumbang (6 Ogos 2009, RM15 juta)

7. Bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman runtuh (3 Oktober 2009, RM2.1 juta)

8. Bumbung Kaca Terminal Bas Kuala Berang (21 Disember 2009, kos RM700,000 dengan RM4.2 juta kos keseluruhan projek).

9. Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu runtuh sebahagian semasa dalam pembinaan (29 Mac 2010).

10. Pondok rehat di kawasan lanskap Pasar Besar Kedai Payang runtuh sebaik siap dibina  (9 Januari 2011).

11. Papan tanda (sign board) gergasi Pusat Penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu di Bukit Kor, Marang (19 Julai 2012).

12. Tangki Air Sekolah Menengah Paka (24 Julai 2012).

13. Sengkuap bumbung pentas astaka di Taman Bandar Chukai (30 Disember 2012).

14. Kerangka Stadium Sultan Mizan runtuh semasa di baik pulih (20 Februari 2013).

15. Masjid Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang (20 Mei 2013, RM1.4 juta).

Contoh klasik kegagalan mengambil pengajaran dari kesilapan yang lepas adalah keruntuhan bumbung-bumbung Stadium Sultan Mizan, Kuala Terengganu yang telah runtuh pada tahun 2009.  Walaupun setelah  siasatan Jawatankuasa Penyiasatan (Investigation Committee) kerajaan yang diketuai pihak JKR serta nasihat-nasihat perunding dilakukan, namun keruntuhan kedua,  bumbung kedua  Stadium yang sama berlaku lagi pada awal 2013 – iaitu 4 tahun kemudian.

Persoalannya, kenapakah keruntuhan ini begitu mudah boleh berlaku di negeri Terengganu di bawah pentadbiran yang ada sedangkan beratus-ratus juta ringgit wang rakyat telah dibelanjakan?

Apakah kerana ‘kontraktor kroni’ yang tidak berwibawa langsung telah dikurniakan kontrak secara ‘know who’ dengan begitu mudah? Dan apakah ada unsur-unsur rasuah dan salahguna kuasa berlaku secara berleluasa di bawah pentadbiran yang ada ini di negeri ini?

Namun sehingga kini tidak ada yang di pelajari dari ‘siasatan’ demi ‘siasatan’ yang telah dijalankan termasuk dari pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).  Yang terbaru dan terkini adalah bahaya yang dihadapi dalam kerja-kerja penambakan yang sedang berjalan di muara Kuala Sungai Terengganu di Bandar Kuala Terengganu walaupun kajian Kesan Alam Sekitar dan Kajian Terperinci “Hydrologi Study” masih belum diluluskan pihak berkuasa.  Kerja-kerja ini dianugerahkan kepada pemborong secara reka-bina (design and built) tanpa apa-apa tawaran terbuka di panggil.

Jelasnya, sehingga segala  peraturan-peraturan sedia ada dipatuhi dan “rule of good governance” dapat di laksanakan, ‘keruntuhan’ di negeri Terengganu akan terus berlaku.

Menteri Besar serta pimpinan kerajaan negeri perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap tragedi demi tragedi keruntuhan yang amat memalukan ini. Imej rakyat dan negeri Terengganu amat tercemar akibat dari pelbagai kejadian keruntuhan berterusan yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Negeri Terengganu sekarang bukan sahaja terkenal dengan kerepok lekor, sutera dan songket, ia kini juga terkenal sebagai negeri yang bergelar ‘Darul Runtuh’.

Dato' Raja Kamarul Bahrin Shah ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu manakala Dr. Syed Azman Syed Ahmad ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok.

Zahid Hamidi, Cengkadak Buruk dan Pol Pot

Aliff Fikri Roketkini, 10 Okt 2013
‘CENGKADAK Buruk’ adalah satu perkataan yang disebut dengan penuh bergaya dan angkuh sekali oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Melaka, Sabtu lalu untuk menyerang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy kerana mengkritik pasukan polis susulan insiden tembakan lima suspek penjenayah di Pulau Pinang, baru-baru ini.

'Cengkadak Buruk’ ini ternyata amat menarik perhatian dan mengganggu hidup saya sekitar dua, tiga hari ini, kerana pada saya ia adalah perkataan yang cukup ‘rare’ dan ‘cult’ untuk diguna malah diungkap dalam perbualan seharian atau pada acara keraian.

Oleh kerana keseksian serta kelunakan bunyinya, saya memaksa diri dengan bersungguh-sungguh mencari makna perkataan itu di Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) walaupun amat menggelikan untuk berhubung dengan satu entiti bernama DBP.

Keberahian saya untuk mengejar makna perkataan ini berpusat pada rasa ghairah mungkin lahirnya satu lagi laungan seperti ‘sapere aude’ yang berlaku pada akhir abad ke-17 dan 18 iaitu petanda bermulanya zaman Enlightment di Eropah. Apakah ia akan membawa reformasi pemikiran dan intelektualiti? Menghapus dogma, taklid dan hegemoni lapuk?

Saya juga tertanya-tanya apakah ‘cengkadak’ ini serumit persoalan mengapa King Kong memanjat World Trade Center (WTC) demi cinta tidak masuk akalnya pada seorang wanita? Atau serumit mengapa pagar menjadi elemen seni bina yang begitu penting untuk warga Asia? Walhal pagar ini adalah cerminan masyarakat paranoid.

Demikian selepas beberapa minit proses carian, akhirnya saya menjumpai makna atau maksud ‘cengkadak’ ini yang dipecahkan kepada tiga takrif dalam tiga kamus.

Dalam Kamus Pelajar, ‘cengkadak’ ditakrifkan maksudnya sebagai nama sejenis serangga yang berkaki panjang; mentadak atau secara saintifiknya disebut Mantis Religiosa. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat pula ia bermaksud sejenis serangga seperti belalang hijau warnanya dan panjang kakinya, sentadu, mentadak, ketenun. Manakala Kamus Pelajar Edisi Kedua pula memberikan takrifan sama seperti yang tertera dalam Kamus Pelajar.

Kita berbalik pula pada ‘buruk’, DBP tidak mempunyai maklumat tesaurus untuk kata ‘buruk’. Tolak ketepi apa itu ‘buruk’ mengikut DBP, secara logiknya ‘buruk’ itu menjurus ke arah negatif, semua orang mengetahuinya.

Jadi bila digabungkan kedua-duanya perkataan itu ‘cengkadak’ dan ‘buruk’, maka ia secara literal dengan mengambil takrif daripada Kamus Dewan Edisi Keempat adalah sejenis serangga seperti belalang hijau dan panjang kakinya, sentadu, mentadak atau ketenun yang buruk. Aneh dan unik.

Jika kupu-kupu dan rama-rama masuk ke rumah, kita sering didongengkan dengan orang jauh akan datang, tapi jika mentadak masuk? Tidaklah pula diketahui. Mentadak atau cengkadak ini khabarnya hanya memiliki satu telinga, ia sekaligus bermaksud mendengar atau menerima pandangan hanya dengan satu hala.

Kembali pada tindakan Zahid mengcengkadak burukkan Waythamoorthy, ia sangat kontradik, kerana Zahid sepatutnya memegang gelaran satu hala itu dengan beberapa hal yang dilakukannya kebelakangan ini.

Tidak cukup dengan menghalal dan menggalakkan pembunuhan apabila menyatakan bahawa menembak suspek penjenayah sebagai langkah terbaik, secara tidak langsung memberikan kuasa penuh (kebebasan) kepada polis untuk melakukan apa saja, Zahid juga sebelum ini meluluskan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA), menyokong kehilangan senjata polis, menyifatkan kumpulan kongsi gelap Tiga Line sebagai rakannya, mengugut wartawan, tidak melaksanakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana kononnya bercanggah serta tersasar daripada perlembagaan dan pelbagai lagi amalan satu hala yang dilakukannya.

Sikap serampang dua mata dan tidak makan saman Zahid itu tidak semena-mena mengingatkan saya kembali pada tokoh cengkadak buruk nombor wahid iaitu saudara Salot Sar atau dikenali oleh dunia dengan nama Pol Pot. Pol Pot satu nama yang cukup sinonim dengan sejarah kelam Kemboja dan sehingga kini sosok kekejamannya masih tidak terhapus daripada ingatan rakyat di sana.

Apakah persamaan antara Zahid dan Pol Pot? Zahid masih belum mencapai tahap kekejaman Pol Pot, namun ada persamaan daripada segi perilaku iaitu ‘tidak ada kompromi’.

Atas kebencian kepada pemerintahan Lon Nol, Pol Pot mula menggembleng orang untuk melakukan satu perubahan drastik atau pembangunan menyeluruh Kemboja daripada titik awal, maka pada 17 April 1975, selepas menjatuhkan Lon Nol, beliau memproklamasikan negara baru dengan semangat ‘Year Zero’. Beliau turut menyebut tarikh itu sebagai Hari Pembebasan (Liberation Day) daripada taklukan Lon Nol yang teruk, korup dan dicemari rasuah. Ini telah membawa satu harapan baru kepada warga Kemboja untuk berkembang serta berjalan sebagai sebuah negara melalui cara sepatutnya.

Namun, pembebasan yang dijanjikan Pol Pot akhirnya bertukar daripada cahaya kepada awal kegelapan. Ketaksuban beliau kepada apa yang digelar sebagai perubahan melalui ideologi komunisme ekstrem membawa kepada pembunuhan massa besar-besaran terutama kepada penentang daripada  kalangan rakyat biasa, cendekiawan, intelektual, doktor, tokoh ilmuwan dan golongan profesional yang menyanggah atau meragui keinginannya.

Tanpa memandang bulu, puluhan ribu rakyat yang diketahui memiliki idea dan pandangan politik berbeza ditangkap dan ditahan. Lebih daripada itu, sesiapa saja yang berpenampilan seakan-akan intelektual seperti boleh berbahasa asing, berkaca mata, memperoleh mata pencarian bukan sebagai buruh dan kerja kasar lain semuanya diheret untuk dihapuskan terus daripada muka bumi di Ladang pembantaian Choeung Ek dan pusat penyiksaan Tuol Sleng.

Jadi apa yang diungkapkan Zahid kebelakangan ini saya kira tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkemungkinan merupakan satu simbol harapan yang akan bertukar kepada titik awal sejarah kelam negara. Atas nama transformasi dan meremajakan UMNO, berjuta harapan ditabur dan dijanjikan, kerakusan politik melampau ini boleh membawa kepada kehancuran. Mungkin tidak berupa pembunuhan fizikal, tapi pembunuhan minda, permulaannya sudah kelihatan.

Walau apa pun, pengakhirannya masih belum jelas, dongeng cengkadak buruk ini masih belum mencapai taraf kucing hitam lalu depan rumah. Untuk itu, cukuplah sekadar kita merenung satu paradoks yang diajukan tokoh falsafah dan novelis Russia, Fyodor Dostoyevsky dalam bukunya ‘Notes from Underground’ bahawa: “adakah manusia berani melakukan perkara berbahaya dan bodoh yang bakal menjejaskan keselamatan mereka sendiri, demi membuktikan bahawa mereka memiliki kebebasan mutlak untuk bertindak semahunya?”

Dr.Mursi tolak untuk dibicarakan

http://greenboc.blogspot.com, 10 Okt 2013

Dr.Mursi Tolak Untuk Dibicarakan & Tidak Akui Kesahihan Kehakiman



Anak lelaki Presiden Mesir Muhammad Mursi yang digulingkan kudeta tentera mengecam pengumuman yang dibuat oleh pihak kehakiman Kaherah yang menetapkan 4 November sebagai tarikh perbicaraan terhadap Mursi. Dia menyatakan ayahnya menolak untuk dibicarakan dan tidak memperakui kesahihan kehakiman.

“Presiden menolak perbicaraan ini dan tidak memperakuinya,” kata anak lelaki Mursi, Usamah kepada pejabat berita Anadolu, semalam Rabu (9/10/2013).

“Dan kami pihak keluarga tidak memperakui perbicaraan yang melanggar legitimasi demokrasi dan siasatan berdasarkan pelanggaran perlembagaan dan undang-undang,” tambahnya.

Sumber kehakiman menyatakan kepada Anadolu bahawa perbicaraan terhadap Mursi akan bermula bulan depan. Pemimpin terguling itu menghadapi tuduhan, yang para pendukungnya katakan tuduhan itu bermotif politik dan sengaja diada-adakan iaitu membunuh para demonstran di luar istana presiden Ittihadiya akhir tahun lalu.

Ini akan menjadi penampilan perbicaraan pertama Mursi sejak digulingkan pada 3 Julai lalu.

Usamah menyatakan bahwa keluarganya tidak peduli tentang laporan perbicaraan yang akan berlansung, yang gambarkan sebagai “tidak sah.”

“Dalam hal bentuk, perbicaraan tidak sah dan cacat dari sudut perlembagaan,” tegasnya. “Dan dalam hal substansi, saya tidak mengenali perbicaraan itu atau dasarnya.”

Dr Agus ulas Husam bahas Belanjawan Kelantan 2014

http://gigitankerengga.blogspot.com, 09 Okt 2013

Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusof
Husam Musa

PEMBENTANGAN bajet negeri Kelantan bagi tahun 2014 baru-baru ini menarik sekali.

Dato Husam Musa, Adun Salor yang sebelum ini adalah Exco Kelantan bangun berucap memohon penjelasan kerajaan negeri mengenai pemberian kawasan balak seluas 3500 ekar di hutan simpan Chabang Tongkat Hulu Sat Machang.

Menariknya, apabila beliau menimbulkan cerita ini pelbagai persoalan muncul.

Antaranya mengapa beliau bangun untuk melawan kerajaan dari partinya sendiri? Mengapa tidak beliau atasi kelemahan kerajaan negeri semasa beliau berkuasa dahulu? Mengapa hanya sekarang beliau memberikan pelbagai cadangan untuk membangunkan negeri? Adakah ini sabotaj beliau kepada kerajaan negeri selepas tidak lagi dilantik menjadi Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri yang baru?

Saya tidak hendak mempertahankan sesiapa dalam hal ini. Saya tidak boleh kata apa yang Adun Salor timbulkan itu benar atau salah.

Tapi yang saya yakin ialah Adun Salor membuat 'kerja rumahnya' sebelum berucap di Dun. Maka sekarang ini bagi melihat kekuatan hujah masing-masing, saya menunggu jawapan MB dalam penggulungan nanti.

Bukan saya sahaja yang menunggu, rakyat juga ternanti-nanti jawapan MB. Ini kerana dalam beberapa hal, bajet tadi tidak menjawab banyak persoalan yang dinantikan rakyat tentang peruntukan pembinaan lebuh raya dan stadium serta peruntukan untuk menjayakan projek kambing jamnapari dan padi organik -perkara yang sebelum ini juga saya timbulkan.

Satu lagi yang rakyat hendak tahu secara rasmi ialah tentang kenaikan tarif air yang dikatakan naik sehingga 39% mengikut tahap tertentu penggunaan air, tetapi tidak diumumkan.

Yang rakyat hendak tahu ialah betulkah tarif air naik? Jika naik, kenapa tidak diumumkan?

Dalam hal ini, seorang kawan saya memberitahu saya, sekeras-keras kerajaan BN pun, kenaikan harga minyak dan elektrik diumumkan kepada rakyat.

Kembali kepada tindakan Adun Salor tadi, persoalan yang perlu kita jawab bukanlah soal beliau mengkritik kepimpinan partinya, tetapi apakah tindakan beliau itu salah?

Saya tidak melihat begitu. Saya tunggu perbahasan seperti ini sekian lama, iaitu ahli dari parti sendiri membahas dasar dan keputusan kerajaan.

Pada saya, tindakan Adun Salor adalah baik untuk memperbaki kelemahan parti, lagi pun beliau adalah Adun biasa yang bukan lagi berada dalam barisan kepimpinan kerajaan.

Lainlah kalau beliau ahli Exco yang terikat dengan doktrin ‘tanggungjawab bersama’.

Di pihak kerajaan negeri pula, terimalah pandangan Adun Salor sebagai politik profesional dan politik matang.

Jawablah dengan baik untuk menangkis dakwaan beliau, bukan untuk melihat beliau sebagai musuh parti atau musuh kerajaan negeri. Ingat, dari segi hierarki parti, Adun Salor adalah naib presiden Pas.

Maka, sebagai naib presiden, tidak ada tujuan bagi beliau untuk mensabotajkan parti dan kerajaan negeri dokongannya.

Melihat lebih jauh, hati saya berkata: Jikalah politik cara ini juga diamalkan di parlimen, alangkah majunya politik kita dan alangkah baiknya untuk rakyat dan negara kita. Semoganya!

Video perbahasan Husam

2 ulasan:

rodrigo ,iuli berkata...

Memohon untuk pinjaman cepat dan mudah untuk membayar bil-bil dan untuk memulakan pembiayaan baru projek-projek anda pada kadar faedah yang paling murah sebanyak 3%. Sila hubungi kami hari ini melalui: eagleloanfinance@hotmail.com dengan jumlah pinjaman yang diperlukan sebagai tawaran pinjaman minimum kami adalah 1,000.00 kepada mana-mana pilihan pinjaman amount.I pagi disahkan, berdaftar dan legit lender.You boleh menghubungi saya hari ini jika anda berminat untuk mendapatkan ini pinjaman, hubungi saya untuk maklumat lanjut mengenai proses pinjaman, proses seperti terma-terma dan syarat-syarat pinjaman dan bagaimana pinjaman akan dipindahkan kepada anda. Saya memerlukan jawapan mendesak anda jika anda berminat.

Unknown berkata...

Adakah anda memerlukan pinjaman? Pernahkah anda mencari di mana untuk mendapatkan pinjaman? Adakah anda telah cuba untuk mendapatkan apa-apa jenis pinjaman? kemudian memohon di? (rodrigoluliloanfirm@yahoo.com) jika anda mahu untuk mendapatkan pinjaman yang berpatutan. Pinjaman yang ditawarkan di sini pada kadar faedah yang sangat rendah 3%. Hubungi kami sekarang jika anda berminat.