Ahad, 7 November 2010

SEMUA ALLAH UJI...MANGSA DIUJI DENGAN KESUKARAN....ORANG KAYA DIUJI DENGAN HARTANYA...PEMERINTAH DIUJI DENGAN KEADILANNYA..INGAT.SEMUANYA MILIK ALLAH

Kedah sedia RM1 juta bantu mangsa banjir
Harakahdaily

ALOR SETAR, 7 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah memperuntukkan hampir RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di samping RM500,000 daripada wang zakat yang diumumkan Sultan Kedah semalam.

Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi (gambar) berkata, soal kerajaan negeri tidak membantu mangsa banjir tidak berbangkit langsung di negeri ini.

"Yang menjadi masalah adalah media yang tidak membuat liputan untuk kerajaan negeri," kata beliau.

Kerajaan negeri, katanya, telah menubuhkan Bilik Gerakan Banjir peringkat negeri dan daerah.

Di peringkat negeri ia diketuai oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri manakala di daerah di ketuai Pegawai Daerah.

"Memandangkan SUK di Mekah, Timbalan SUK, Datuk Haji Ahmad Mat Isa yang ketuai operasi ini," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Selain jentera kerajaan, NGO dan parti politik khasnya PAS dan Pakatan Rakyat juga terlibat.

"Dakwaan Shahrizat Jabatan Kebajikan Masyarakat agensi pusat tak betul. Pengarahnya staff kerajaan negeri. Ia agensi bersama," katanya.

Beliau mengaku jabatan itu paling banyak membantu magsa di samping kerajaan tempatan, polis, bomba dan juga jabatan kesihatan dan pelajaran.

Hari ini, kata Phahrolrazi, pihaknya bersama JKR akan bersama syarikat yang menjaga konsesi trek berkembar, Gamuda, akan menyiasat kalau projek itu menyebabkan laluan banjir tersekat.

"Memang di Jalan Tun Razak dan Jalan Sultanah ada isu itu, kita akan siasat secara menyeluruh hari ini," katanya.

(Gambar: Pengerusi surau As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang menyerahkan sumbangan kepada ustaz Ghazali Omar (kanan) untuk diserahkan kepada mangsa banjir di Kedah)

Sementara itu, sumbangan dari luar datang mencurah-curah untuk membantu mangsa banjir di negeri Kedah.

Tengahari ini, Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali menyerahkan sumbangan RM400,000 dari kerajaan negeri Selangor kepada kerajaan negeri Kedah.

Bantuan juga diserahkan oleh kawasan-kawasan PAS di seluruh negara di samping kutipan dibuat di masjid dan surau untuk diserahkan kepada mangsa banjir.

Pemuda PAS kawasan Selayang telah menghantar kira-kira 50 kampit beras dan diserahkan di bilik oeparasi banjir PAS yang terletak di Kompleks PAS Kedah, dekat Kota Sarang Semut



Banjir: BN hanya berlakon, tuduh melulu
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Nov: Dakwaan Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan Negeri Kedah melepaskan tanggungjawab untuk membantu mangsa banjir di negeri itu adalah tuduhan melulu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sejak dari awal banjir melanda negeri itu, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan membantu mangsa banjir termasuk memastikan pusat penempatan sementara mencukupi.

(Gambar: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak turun bertanya khabar mangsa banjir di pusat pemindahan)

"Tuduhan mengatakan kerajaan Negeri Kedah tak ambil tahu masalah mangsa banjir satu tuduhan yang sangat melulu, yang dibuat oleh Barisan Nasional.

"Kerajaan negeri menyediakan bantuan untuk diagihkan kepada mangsa banjir termasuk sumbangan daripada PAS sendiri, wakil-wakil rakyat dan sumbangan orang ramai," kata Mahfuz ketika dihubungi Harakahdaily pagi ini.

Ujarnya, media hanya membuat laporan berdasarkan kenyataaan pempimpin Umno, tanpa mengikuti sendiri perkembangan dan usaha yang dilakukan kerajaan negeri.

"Media juga memberikan laporan yang tak betul. Kata tak ada pemimpin Pakatan Rakyat yang turun dan sebagainya. Media tak pernah pun ikut kita. Kita pun tak fikir waktu banjir ini nak panggil media, tak sempat nak tunggu media datang untuk kita redah kawasan banjir.

"Kalau nak tunggu media datang baru nak pergi kawasan banjir, bermasalah juga. Mana nak jaga orang media, mana nak bawa bantuan, bot pun tak cukup.

"Kita tak ada masa nak ambil gambar, nak berlakon, jadi kita pergi semata-mata untuk bagi bantuan. Sharizat datang sehari dua sahaja, bukan pergi semua kawasan pun," katanya.

Menurutnya juga, keadaan banjir di negeri itu sudah semakin pulih namun ada beberapa kawasan yang masih ditenggelami air.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri masih meneruskan pemberian bantuan khususnya bekalan makanan dan air bersih.

"Banjir makin pulih dan sebahagian besar mangsa sudah pulang.Tapi masak dan makan minum masih di pusat penempatan. Dijangka esok sebahagian besar mangsa akan pulang ke rumah masing-masing.

"Bantuan masih diperlukan kerana kita nak pastikan setelah pulang dari pusat pnempatan, mereka dapat bagi tumpuan untuk cuci rumah yang mengalami banyak kerosakan dan harta benda.

"Kita akan bagi apa-apa sumbangan yang ada dalam stok kita khususnya air bersih kerana di kawasan tertentu bekalan air terputus," katanya lagi.

Mahfuz juga memaklumkan, misi bantuan banjir di kawasannya akan bergerak ke Kampung Empa dan Kampung Seberang Paya di Dun Bukit Lada hari ini untuk menghantar bantuan kepada mangsa di kawasan itu yang terputus hubungan dengan kawasan lain sejak beberapa hari yang lalu.

"Penduduk di sana terputus hubungan dengan kawasan lain. Bomba pun tak berani nak pergi sebab bot mereka kecil dan arus deras," jelasnya.
Bekalan makanan juga akan dihantar ke Dun Bukit Pinang hari ini


Banjir: Selangor sumbang RM100 ribu pada Kedah
Harakahdaily

SHAH ALAM, 6 Nov: Kerajaan Negeri Selangor meluluskan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi membantu mangsa banjir di negeri itu.

Bantuan itu diluluskan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali (gambar) kepada Harakahdaily.

"Saya sendiri akan menyerahkan RM40,000 di pejabat SUK Kedah tengah hari esok sebagai pendahuluan," katanya.

Sementara itu, PAS menganggap kenyataan Tan Sri Muhyidin Yasin satu fitnah apabila mengatakan kerajaan Kedah tidak buat apa-apa terhadap mangsa banjir di negeri itu.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, tinjauan beliau di kawasan mangsa banjir di mana petugas PAS dan kerajaan negeri bertungkus lumus membantu tanpa mengira ideologi parti dan agama.

Katanya, pihak kerajaan Kedah, pejabat daerah, pejabat zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, pihak polis, bekerjasama dengan baik untuk membantu di pusat perpindahan.

Yayasan Amal dan Unit Amal yang dianggotai oleh ahli PAS bercekang mata membantu mangsa banjir dengan tulang empat kerat tanpa diupah.

“Memang ada pusat yang dikendalikan oleh ahli Umno, yang tidak perlulah kita hendak ceritakan bagaimana rungutan mangsa banjir kepada kami.

“Bukan masanya untuk kita hendak mendedahkan keburukan yang dilakukan oleh pelaku ahli Umno sewaktu mengendalikan pusat banjir,” katanya.

Sehubungan itu, katanya PAS menasihatkan Muhyiddin janganlah membuat fitnah dan mendengar taklimat daripada ketua cawangan Umno.

“Usahlah berpolitik ketika rakyat ditimpa dengan banjir. Air banjir tidak kenal apa anutan ideologi,” ujarnya.


Tiada ulasan: