Ahad, 7 November 2010

DALAM PERTANDINGAN SEMUA PIHAK TAK BOLEH TIPU DAN RASUAH...JIKA NI BERLAKU...JIKA MENANG MELIBATKAN ELAUN YB ...HUKUMNYA ELAUN JADI MERAGUKAN...

Mengapa PAS kalah di Galas
Wan Nik Wan Yussof

Pilihan raya kecil (PRK) N.45 Galas sudah berlaku pada 4 November lalu. Kekosongan kerusi yang berlaku sejak 27 September 2010 sudah diisi oleh seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN). Proses pengisiannya berlaku melalui pengundian yang tidak menyebelahi PAS. Kesannya membawa kemerosotan pencapaian PAS yang lebih teruk daripada pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009 yang lalu. Ia juga suatu gambaran penggunaan secara salah jentera Kerajaan Pusat di Galas yang mungkin bakal merebak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Justeru itu, PAS yang mengawal sebuah ‘kerajaan kecil’ di Negeri menerima kekalahan di Galas. Mungkinkah ini punca sebenar kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat di Galas?

Punca PAS kalah

Banyak jawapan yang boleh diberi oleh jentera kempen PAS semasa post-mortem bagi merasionalisasikan punca PAS kalah di Galas. Namun latar belakang punca kekalahan PAS pada asasnya perlu dilihat dahulu aspek kekuatan sebenar PAS di Galas. Pencapaian PAS tahun 1999 dan 2004 antara ukurannya.

Pada dua pilihan raya itu, kekuatan PAS hanya sekitar 36 peratus sahaja. Sedangkan pada pilihan raya umum 2008 PAS mencapai kemenangan pada paras 54 peratus. Berlaku penambahan peratus sokongan kepada PAS sebanyak 18 peratus. Apakah punca kemenangan itu?

Banyak pihak bersetuju, ia berlaku atas faktor calon sebagai peribadi yang mewakili PAS pada pilihan raya umum 2008 itu. Tokohnya ialah Arwah Che Hashim, seorang yang popular berkhidmat kepada rakyat dan diterima baik oleh semua pihak termasuk masyarakat Cina dan Orang Asli. Khidmatnya bermula sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihan raya umm 2004. Maka tidak harianlah beliau berupaya menang ‘terkejut’ apabila mengalahkan penyandang wakil rakyat Galas ketika itu, Saufi Deraman.

Namun kemenangan PAS pada 2008 itu bukan bergantung sepenuhnya kepada faktor calon. Malah suatu faktor yang lebih bersifat strategik ialah gerakan kepartian dan penyusunan gerak kerja pilihan raya PAS di Galas antara 2004 sehingga pilihan raya 2008. Di antaranya nilaian strategik yang berjaya dilakukan ialah pendaftaran pemilih baru kalangan warga Galas, termasuk yang berada di perantauan. Hasilnya, pihak PAS dikatakan berjaya mendaftar lebih 1,000 orang pengundi baru. Justeru undi PAS tahun 2004 (kira-kira 3,000 undi) dijadikan teras ukuran sokongan rakyat apabila dicampur dengan 1,000 pengundi baru, maka logiknya PAS mencapai 4,000 undi pada pilihan raya umum 2008. Natijahnya, PAS mencapai kemenangan di Galas pada 2008 adalah tepat pada angka sokongan sebanyak 4,399 undi atau pada undi popular 53.96 peratus (54 peratus). Sedangkan undi popular PAS pada 2004 hanya 36 peratus. Bermakna PAS berjaya mencapai lonjakan agak besar iaitu 18 peratus.

Sehubungan itu, sumbangan 1,000 pengundi baru yang berjaya didaftarkan sepanjang 2004-2008 itu adalah bernilai 22.73 peratus apabila dinisbahkan dengan undi yang dicapai 4,399 pada pilihan raya umum 2008. Namun, selepas 2008 didapati usaha mendaftar pengundi baru tidak berlaku secara baik. PAS dikatakan hanya berjaya mendaftar sekitar 500 orang sahaja. Sedangkan pihak BN dikatakan berjaya mendaftar kira-kira 1,000 pengundi baru. Maka secara matematiknya, pihak BN sudah berjaya menyeimbangkan nilai undi yang dicapai tahun 2008 yang hanya kalah sebanyak 646 undi pada 2008. Justeru itu, semasa pilihan raya kecil Galas ini kekuatan PAS dan BN berada pada paras 50:50 dan pihak BN hanya memerlukan sedikit tambahan undi ke arah meraih majoriti.

Di atas rasionalisasi strategik tersebut, adalah amat mudah bagi BN meraih tambahan undi. Pendekatan rasional BN tidak lain ialah dengan cara memfokuskan faktor kekuatan dan peluang bagi BN meraih sokongan undi tambahan. Faktor kekuatan BN adalah jentera Kerajaan Pusat dan peluang bagi BN ialah pengundi Orang Asli dan pengundi terapung kalangan orang Melayu dan Cina. Pilihan raya kecil Galas kali ini jelas menyaksikan nilai rasionalisasi BN berjaya menggunakan sepenuhnya kekuatan jentera Kerajaan Pusat sekali gus berupaya meraih tambahan undi baru kalangan Orang Asli dan pengundi terapung orang Melayu dan Cina. Logiknya, inilah punca kekalahan PAS.

Meskipun diketahui PAS turut berusaha melakukan pendekatan terbaik bagi memenangi hati Orang Asli dan sejumlah pengundi terapung. Apa yang jelas, jentera kempen PAS hanya berjaya mempertahankan jumlah undi yang dicapai pada 2008 sekitar 4,000 undi. Sedangkan pencapaian BN melebih 5,000 undi adalah disumbangkan oleh peningkatan undi di semua saluran mengundi.

Keputusan pilihan paya kecil (2010)

Walau bagaimanapun, pilihan raya kecil kali ini menyaksikan PAS mendapat 4,134 undi berbanding BN memndapat 5,324 undi. Maka BN ialah 1,190 undi. Pilihan raya kali ini pula menyaksikan 83 peratus atau 9,950 keluar mengundi dan 132 undi rosak.

Menariknya daripada trend pengundian kali ini ialah tingginya keluar mengundi seperti mana juga pilihan raya umum 2008. Hal ini juga mempunyai penilaian politik tersendiri dalam konteks menjawab kenapa PAS kalah pada pilihan raya kecil Galas kali ini. Antara yang jelas adalah penggunaan jentera Kerajaan Pusat, khasnya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang berjaya memunggah, mengumpul dan menjamu pengundi Orang Asli secara teratur sejak awal sebaik sahaja gendang pilihan raya dipalu.

Analisis mendapati jumlah keluar mengundi kelompok Orang Asli meningkat agak besar, 7.73 peratus, iaitu daripada 77.79 peratus (2008) kepada 85.52 peratus (2010). Sedangkan di semua peti undi bukan Orang Asli peningkatan agak kecil hanya 0.50 peratus, iaitu daripada 81.05 peratus (2008) kepada 81.55 peratus (2010). Menjadikan peningkatan keseluruhan keluar mengundi sebanyak 1.65 peratus, iaitu daripada 80.57 peratus (2008) kepada 82.22 peratus (2010).

Faktor agensi kerajaan pusat

Melihat kepada sosioekonomi di Galas adalah berada dalam situasi pesat membangun dengan penduduknya sekitar 37,600 orang. Ekonomi yang berasaskan ekonomi tradisi (perladangan, perkebunan, pembalakan, perlombongan dan perniagaan) membolehkan perkhidmatan agensi dan jabatan Kerajaan Pusat berperanan secara langsung menguruskan sosioekonomi rakyat Galas. Paling berkesan ialah agensi yang mewakili Kerajaan Pusat - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asal Malaysia (JHEOA).

Istimewanya Tengku Razaleigh dalam mencipta kemenangan semula BN ialah mengarahkan kesemua agensi Kerajaan Pusat sebagai agen BN. Kesan daripada peranan agensi Kerajaan Pusat telah banyak melakukan pendekatan pengundi kerana semua agensi tersebut memiliki peralatan cukup bagi membujuk dan menarik sokongan politik untuk manfaat calon BN.

Menggunakan kekuatan agensi seperti Risda telah mampu menguasai semula minda ekonomi politik pengundi Cina di Kampung Pulai yang rata-ratanya adalah pekebun getah. Demikian pula Kesedar telah mengumumkan perumahan rakyat bernilai RM180 juta dan JHEOA membuat kurungan khas (menjamu) pengundi Orang Asli sebelum mereka dihantar ke pusat mengundi. Sementara agensi seperti jabatan KEMAS, Penerangan, Pembangunan Wanita, RELA dan tidak ketinggalan Jabatan Pendaftaran Negara telah secara terang-terangan digunakan untuk tujuan kempen terhadap pengundi mahu pun menyediakan perkhidmatan meraih sokongan pengundi.

Keseluruhan faktor agensi di bawah Kerajaan Pusat itu dilihat berperanan, maka kemudahan termasuk peralatan dan kewangan telah disalurkan untuk kepentingan kempen BN di Galas.

Prestasi 2010 dibanding 2008

Punca PAS kalah di Galas secara mudah boleh difahami daripada prestasi undi yang raih antara dua pilihan raya, iaitu daripada pilihan raya umum 208 kepada pilihan raya kecil 2010. Jadual 1 berikut menunjukkan PAS berkurang undi hanya 265 undi sahaja. Ini mungkin faktor undi terapung yang beralih kepada BN. Puncanya ialah kerana kekuatan jentera kempen PAS yang tidak dapat menguasai undi terapung yang pernah dicapai 2008. Maka nilai 265 undi itu jika dinisbahkan dengan undi PAS 2008 ialah 6 peratus. Impaknya PAS kekurangan undi popular 10.25 peratus.

Jadual 1: Keputusan bandingan pilihan raya

2008-2010

Pilihan raya

PAS

BN

Beza

%PAS

2008

4,399

3,753

646

53.96

2010

4,134

5,324

-1,190

43.71

Perubahan

-265

1,571

-10.25

Apa pun disebabkan upaya BN menarik 1,571 undi atau 41.85 peratus dibandingkan dengan undi BN 2008, maka undi terapung, malah undi peribadi yang pernah dicapai Arwah Chek Hashim telah beralih kepada BN.

Demikian pula, analisis khas seperti Jadual 2 mendapati populariti PAS kalangan pengundi Orang Asli didapati hanya merosot pada kadar 17 peratus atau 66 undi dinisbahkan dengan undi PAS 2008 sebanyak 387 undi. Berbeza dengan BN yang mencapai lonjakan 75 peratus atau 567 undi dinisbahkan dengan undi BN 2008.

Jadual 2: Bandingan trend undi Orang Asli pilihan raya 2008-2010

Pilihan raya

PAS

BN

Beza

%PAS

2008

387

755

-368

33.89

2010

321

1,322

-1,001

19.54

Perubahan

-66

567

-14.35

Realiti tersebut membuktikan penggunaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia dikira berkesan membawa kepada lonjakan undi maksimum pengundi Orang Asli keluar mengundi BN. Apakah isu ini wajar diamalkan dalam sistem demokrasi di Malaysia?

Sehubungan itu, pilihan raya kecil Galas kali ini menyaksikan suatu kerakusan kuasa state ke atas aparatusnya demi survival dominasi BN dalam mengukuhkan hegemoni! Jelas punca kekalahan PAS kali ini banyak disumbangkan oleh penggunaan maksimum jentera Kerajaan Pusat selain kelemahan persiapan dalaman PAS sendiri dalam menghadapi pilihan raya kecil.

Wan Nik Wan Yussof,

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan



Bolehkah BN menang tanpa tipu, rasuah?
Nik Nasri Malek

Apabila pasukan bolasepak Kelantan mengalahkan Negeri Sembilan 2-1 dalam pusingan akhir Piala Malaysia beberapa hari sebelum PRK Galas (saya tak tengok), mereka boleh bersorak dan berbangga kerana mereka bermain bersungguh-sungguh, tidak menipu dan mengelat.

Kalau mereka menipu dan merasuah pasukan bolasepak Negeri Sembilan, lalu mereka menang, dan berbangga bahawa pasukan mereka kuat, itu adalah menipu diri sendiri dan bodoh sombong namanya. Pasukan bolasepak Kelantan buktikan bahawa pasukan mereka layak merangkul juara Piala Malaysia.

Dalam keputusan PRK Galas, Mahyudin dengan nada bodoh sombong, termasuk akhbar mendabik dada bahawa 1Malaysia diterima rakyat, kepimpinan Najib diterima dan lain-lain kenyataan yang tidak berfakta sebenarnya. Ia hanya dakwaan kosong. Apa yang berlaku, sogokan, rasuah, pemberian duit dan hadiah serta kongkongan dan tekanan dilaporkan berlaku.

Apabila Tok Guru MB Kelantan beri zakat kepoada orang Asal masuk Islam, Timbalan Pengerusi SPR segera beri kenyataan bahawa ia sogokan. Bila Najib umum, Mahyudin umum, Menteri umum sesuatu projek segera di kawasan pilihanraya, ia bukan sogokan. Beratur panjang di kaunter BN untuk terima wang selepas mengundi bukan sogokan. Agensi kerajaan termasuk JHEOA dan lain-lain sewenang-wenangnya diperalatkan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

Apabila rakyat dapat diperbodoh dan dan ditundukkan dengan kuasa ugutan dan wang, mereka menang, lalu berkokoklah pemimpin BN bahawa rakyat terima mereka, 1Malaysia diterima dan lain-lain.

Saya setuju bahawa PAS perlu muhasabah dan membuat post-mortem terhadap kekalahan dalam pilihanraya, melihat dan mengkaji di mana kelemahan yang perlu diperbaiki. Namun saya, dan mungkin juga yang lain tidak boleh terima kekalahan dengan cara mengelat dan rasuah.

Pilihanraya umum ke 13 sudah diwar-warkan bahawa Pakatan Rakyat insya Allah akan menguasai Putrajaya. Najib juga sudah war-warkan akan mempertahankan Putrajaya dari jatuh ke tangan PR. Demi kuasa yang mesti dipertahan, BN akan mengelat dan merasuah dengan lebih hebat kepada rakyat. Al-harbu khid’ah perang itu penuh tipu daya. Bagaimana pula perancangan dan strategi PR menghadapi dan mengatasi tipu daya BN dalam PRU 13 nanti?

Nik Nasri Malek,

Kemaman, Terengganu



Ku Li atasi Najib, Mustapa hujung kuku
Mohd Nasir Awang

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa PAS bukanlah pihak paling gusar di atas kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan, 4 November lepas.

Walau pun keputusan itu menyaksikan PAS kehilangan penguasaannya ke atas kerusi yang tidak pernah dimenanginya sejak lebih 40 tahun itu, kesan negatif terhadap parti itu jauh lebih kecil berbanding kegusaran yang kini menyelubungi sesetengah kalangan pemimpin BN sendiri, khususnya Umno.

PRK Galas diadakan ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Allahyarham Chek Hashim Sulaima, akibat barah usus, 27 September lalu. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur, setelah lebih setahun bertarung melawan penyakit dihidapinya itu.

Pada pilihanraya lalu, Chek Hashim menang dengan majoriti 646 undi selepas menumpaskan penyandang dari BN, Mohamad Saufi Deraman. Allahyarham memperolehi 4,399 undi manakala calon BN itu memungut 3,753 undi.

PRK Khamis (4 November) lalu mengulangi pertembungan dua penjuru antara musuh tradisi, PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dan Umno mewakili BN. PAS tewas dengan majoriti 1,190 undi. Calonnya, Dr Zulkefli Mohamed memperolehi 4,134 undi berbanding lawannya, Abdul Aziz Yusoff yang mendapat 5,324 undi.

Keputusan itu sekali gus mengembalikan kerusi yang telah berada di dalam genggaman BN/Perikatan sejak 1964 itu kepadanya. Kawasan berkenaan hanya pernah dimenangi PAS pada 1959 menerusi Ustaz Khaidir Khatib (atas nama Dun Ulu Kelantan Barat) dan kembali dimenangi pada 2008.

Kekalahan kelmarin bagaimana pun bukan lah suatu kehilangan sangat besar buat PAS. Ia tidak mendatangkan implikasi terlalu signifikan kepada parti itu, sama ada di peringkat negeri mahu pun nasional.

Parti itu ada sebab agak rasional untuk tidak terlalu berdukacita di atas ketewasannya di Galas.

Pertama, ia suatu keputusan yang sudah dapat diduga sedari awal memandangkan PAS bertanding di kawasan yang secara tradisi milik BN. PAS hanya berharap dapat mengekalkan pola sokongan pengundi sepertimana 2008 untuk mempertahankan kerusi tersebut.

“Dua faktor utama kita menang 2008 ialah undi Cina dan Orang Asli. Kalau kita boleh kekalkan undi Cina dan Orang Asli, insya Allah kita dapat pertahan (kerusi Galas),” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Abdul halim Abdul Rahman kepada penulis.

Perbualan santai antara kami berlaku sejurus sebelum bermulanya perarakan calon, 26 Oktober lalu. Biar pun hasrat mengekalkan sokongan dua kelompok masyarakat itu amat tinggi, beliau sedari saat itu mengakui ia sesuatu yang memerlukan kerja sangat kuat oleh PAS.

Kebimbangan itu sedikit menjadi nyata. Analisa keputusan Khamis lalu menyaksikan perubahan sokongan di kalangan dua kaum ini, terutama di peti-peti undi Orang Asli.

Pengarah Pilihan Raya DAP, Thomas Su pula mengakui pilihan raya kecil kali ini juga menyaksikan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat.

Menurutnya, DAP mengendalikan tiga kawasan dalam kempen di Galas, iaitu Pulai, Kampung Baru dan Bandar Lama. Katanya, secara keseluruhannya undi di tiga kawasan tersebut kepada PAS merosot 206 undi atau 4.92 peratus Khamis lalu.

Kedua, kekalahan ini bukan suatu yang memalukan jika dinilai dari sudut manipulasi kuasa BN. PAS turun secara bermaruah berbekalkan kekuatan ahli dan penyokong berbanding BN yang turun dengan kekuatan kerajaan Pusat dan jentera beberapa kerajaan negeri-negeri.

Sukar dinafikan seluruh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dikerah menjayakan misi BN merampas semula Galas. Apa yang dilakukan BN di penempatan Orang Asli adalah contoh paling menyerlah.

Penglibatan secara langsung agensi kerajaan terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), tentera dan Rela di penempatan Orang Asli menjadi faktor utama peningkatan ketara pengundi kaum itu kepada BN.

Agensi-agensi kerajaan terbabit dikatakan mengawal sepenuhnya masyarakat Orang Asli menyebabkan mereka tidak berani memberi sokongan kepada calon PAS.

Kongkongan terhadap mereka malah dapat dinilai berdasarkan pakaian seragam merah bercop jabatan yang mereka pakai sewaktu keluar mengundi.

Ada pun penglibatan jabatan dan agensi kerajaan lain di segenap aktiviti kempen BN juga berlaku secara terbuka dan sukar dinafikan.

Ketiga, kekalahan itu tidak boleh dijadikan bukti kemerosotan pengaruh dan kekuatan PAS di Galas. Undi diperolehi Dr Zulkefli (4,134) merosot hanya 265 undi berbanding 4,399 dikutip Allahyarham Chek Hashim.

Kehilangan sebanyak itu terlalu sedikit untuk dikaitkan dengan apa juga andaian kemuakan atau penolakan rakyat terhadap PAS. Ia malah terlalu jauh dari memadai jika dinilai dari jumlah perbelanjaan dihabiskan BN untuk itu.

Keempat, kerahan BN menyaksikan peningkatan peratus keluar mengundi. PRU 2008 jumlah pemilih menunaikan tanggungjawab mereka di Galas hanya 80.9 peratus. Kelmarin ia melonjak kepada 83 peratus.

Menjadi sifir politik dalam mana-mana pilihan raya di negara kita, peratus keluar mengundi yang tinggi selalunya membantu kemenangan BN. Kerana mereka yang keluar secara luar biasa itu dikaitkan dengan kerahan.

Pihak yang paling berkemampuan membuat kerahan dan memberikan “dorongan” agar pengundi yang liat pun keluar juga sudah tentu lah BN. Parti itu ada “ubat” sangat mujarab mengatasi keengganan pengundi kategori itu.

Thomas Su turut mengakui, peratusan pengundian yang tinggi memberi lebih banyak undi pengundi Cina kepada BN.

Dengan mengambil contoh di Pulai, beliau berkata, walaupun PAS berjaya menambah sembilan undi, tetapi BN menambah lebih banyak undi dan menang di kawasan majoriti Cina itu.

Kelima, ini bukan kali pertama PAS kalah dalam pilihan raya kecil. Ia pernah kehilangan kerusi Dun Semerak dimilikinya dalam pilihan raya kecil pada 1997. Begitu juga Dun Pengkalan Pasir sejurus selepas Pilihan Raya Umum 2004.

Namun kekalahan di kedua-dua kerusi itu berjaya ditebus kembali dalam pilihan raya umum kemudian. Semerak kembali ditawan Pas pada 1999, begitu juga Pengkalan Pasir pada 2008 lalu.

Khabarnya sejarah serupa pernah dialami PAS bagi Dun Kemumin yang dirampas BN menerusi satu pilihan raya kecil ekoran pembatalan kemenangan tanpa bertanding calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1982. Kerusi itu bagaimana pun kembali semula ke pangkuan PAS pada 1986.

Ada pun bagi Dr Zulkefli secara peribadi, ini juga bukan kekalahannya yang pertama dalam pilihan raya. Beliau sebelum ini pernah dua kali tewas di kerusi Parlimen Gua Musang.

Namun, itu terbukti tidak mematahkan semangat juangnya. Beliau telah membuktikan komitmen sangat tinggi terhadap parti dan istiqomah di saf hadapan PAS kawasan berkenaan.

Keenam, dan paling penting, ia tidak mengubah status quo politik Kelantan, khususnya berkaitan kuasa pemerintahan negeri. Kemenangan itu sekadar menambah satu lagi kerusi di pihak BN dalam Dun, tetapi terlalu jauh untuk menggugat kelangsungan kerajaan diperintah PAS.

Lain halnya jika ia berlaku sebelum 2008, ketika mana perbezaan jumlah kerusi antara PAS dan BN dalam Dun Kelantan amat kritikal. Jika BN ada sebarang peluang menggugat dan melenyapkan pengaruh PAS di negeri itu, maka tempoh itu adalah peluang paling keemasan buatnya.

Namun kebimbangan itu tidak menjadi kenyataan. Maka, apa lah sangat yang boleh dibuat BN dengan kemenangannya di Galas ini.

Ibarat kata orang-orang tua kita, “sedangkan bah perahu tak hanyut, inikan pula kemarau panjang!”

Di atas perkiraan sama, BN juga tidak boleh terlalu berbangga dengan kemenangannya di Galas. Ia bukan membawa erti sangat signifikan kepada imej dan reputasi politik BN, sebaliknya membawa bersama implikasi tidak menyenangkan, khususnya buat Umno Kelantan.

Akuilah bahawa kemenangan BN di Galas tidak ada kena-mengena dengan kekuatan atau kejayaan BN atau pun Umno.

Ia bukan kerana rakyat semakin menolak PAS dan Pakatan Rakyat atau pengundi menerima baik konsep 1Malaysia, atau yakin dengan transformasi ekonomi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Atau rakyat kembali meletakkan harapan pemerintahan negeri kepada BN, atau kerana kerja kuat Umno Kelantan sendiri.

Ia bukan sepertimana digembar-gemburkan para pemimpin BN dan media-media tali barut parti itu. Galas adalah kejayaan peribadi Pengarah Pilihan Rayanya, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Adat kata, jika tidak kerana peranan dan pengaruh besar tokoh yang nyaris-nyaris menjadi Presiden Umno itu, keputusan itu tidak akan jadi sebegitu. Ia bukan kemenangan Najib, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu pun Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan.

Ia juga bukan kerana ada saham kemenangan The Red Warriors bersama kelibat Piala Malaysia yang dijulang dan diarak ke kawasan itu minggu lalu. Episod itu tidak lebih sekadar gimik politik murahan Umno untuk mengaitkan kejayaan pasukan didokongi seluruh rakyat Kelantan itu hanya untuk kepentingan politiknya.

Biar pun tokoh veteran Umno itu sekadar bertahan pada jawatan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, beliau benar-benar membuktikan cengkaman pengaruh dan genggaman poltiknya di kawasan berkenaan.

“Ambo Pilih Parti Ku Li”, begitulah baca banyak kain pemidang di serata Galas. Ada yang disertakan gambar anak raja itu, bahkan tidak lengkap sekeping poster kempen BN jika tidak disertakan gambar Ku Li, walau pun ia sudah ada gambar Najib Razak.

Segala gerak kerja dan penampilan BN tidak lengkap tanpa dikaitkan dengan Ku Li. Pengaruhnya mengatasi Najib, manakala peranan Mustapa ibarat hujung kuku Ku Li saja.

Sebab itu BN, khususnya Umno, tidak sayugia terlalu berbangga dengan kemenangan di Galas. Sebaliknya, mereka ada sebab agak munasabah untuk lebih gusar!

Tiada ulasan: