Rabu, 1 September 2010

KISAH IBLIS

Kisah Iblis Ingin Bertaubat - Allah Maha Penyayang

Kasih Sayang Allah: Kisah Iblis Ingin Bertaubat
Susunan Amiene Rev

Sebelum ini saya tertanya-tanya, adakah Iblis tidak pernah meminta taubat kepada Allah SWT? Iblis pada asalnya seorang yang sangat taat dan dekat kepada Allah, tiba-tiba menderhakai Allah gara-gara perasaan ego dan dengkinya kepada Nabi Adam AS. Saya juga tertanya-tanya, adakah Allah SWT tidak pernah memberi peluang sekali lagi kepada Iblis untuk kembali ke jalan yang benar? Lalu saya pun mencari-cari kebenaran tersebut. Sesungguhnya menerusi entri ini, dapat kita lihat betapa Allah itu sangat sayang kepada hamba-hamba-Nya. Kasih sayang Allah adalah jauh lebih tinggi, jauh mengatasi kasih sayang seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Rupa-rupanya apa yang saya fikirkan selama ini, adalah benar. Iblis ternyata pernah berasa sesal dan ingin kembali kepada Allah.

Sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengampun. Kasih sayang Allah kepada sekalian makhluk ciptaannya adalah tidak ada tolok bandingnya. Allah bersedia menerima taubat Iblis tetapi Iblis terlalu sombong dan angkuh. Sebelum ini Allah telah memperkenankan permintaan Iblis supaya Iblis dapat terus hidup hingga ke Hari Kiamat. Lihat betapa Allah menyayangi Iblis dan telah berkali-kali memberi peluang kepada Iblis untuk bertaubat.

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir. (Surah Al-Baqarah: 34)

Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa sesungguhnya Iblis telah datang berjumpa dengan Nabi Musa a.s. dengan berkata: "Wahai Musa, engkau adalah seorang yang telah diutus oleh Allah s.w.t. dan Dia telah berkata-kata denganmu secara langsung." Kemudian Nabi Musa a.s. berkata: "Memang benar apa yang kamu kata, kamu ini siapa dan apa yang kamu mahu dariku?"

Lalu berkata Iblis: "Aku adalah Iblis! Wahai Musa aku mahu kamu tolong katakan kepada Tuhanmu bahawa seorang makhluk-Nya ingin minta taubat kepadaNya." Lalu Nabi Musa a.s. berdoa kepada Allah s.w.t. dan menyampaikan apa yang diucap oleh Iblis, kemudian Allah s.w.t. pun menurunkan wahyu yang bermaksud: "Wahai Musa, katakan kepadanya bahawa sesungguhnya Aku berkenan menerima permohonannya itu dengan syarat mestilah terlebih dahulu dia (Iblis) sujud di kubur Adam, kalau dia mahu sujud maka aku sedia mengampuni segala dosanya."

Setelah Nabi Musa a.s. menerima wahyu daripada Allah s.w.t. maka Nabi Musa a.s. pun terus memberitahu Iblis tentang apa yang telah Allah perintahkan.

Sebaik sahaja selesai Nabi Musa a.s. memberitahu segala perintah Allah s.w.t. maka dengan sombong dan bongkak Iblis berkata: "Wahai Musa, aku tidak sujud kepada Adam ketika dia hidup di syurga, bagaimana aku hendak sujud kepadanya sesudah dia mati." Begitulah sifat sombong Iblis yang tetap dengan kedegilannya, walaupun dia tahu bahawa api neraka itu akan memakannya tetapi dia tetap tidak mahu beriman kepada Allah s.w.t.
Dan (ingatlah), tatkala Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu semua kepada Adam", lalu mereka sujud kecuali Iblis. Dia berkata: "Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?"

Dia (Iblis) berkata: "Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, niscaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil."

Tuhan berfirman: "Pergilah, barangsiapa di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sesungguhnya neraka Jahannam adalah balasanmu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup." (Surah Al-Israa': 61-63)
Dalam sebuah hadis ada diterangkan bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. mengeluarkan Iblis dari neraka setiap 1000 tahun sekali, dan mengeluarkan Adam a.s. dari syurga, serta memerintahkan Iblis supaya sujud kepada Adam a.s. Disebabkan sikap angkuhnya dia tetap enggan sujud, maka dikembalikan Iblis ke dalam neraka.

Semoga tulisan ini dapat menambahkan lagi rasa cinta dan sayang kita kepada Allah, Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

Tiada ulasan: