Rabu, 3 Mac 2010

TAKDIR MENDAHULUINYA....KENA REDA...UJIAN ALLAH...TERMASUK RUKUN IMAN.... BERSABARLAH

Kempunan lauk ayam



2010/03/03

MARANG: “Hari ini (semalam) saya beria-ia memasak lauk ayam kegemaran anak, tetapi malangnya semua masakan yang sudah siap dihidang itu tidak sempat dijamah,’’ kata Umi Kalsom Muhammad, 39, ibu kepada Mohd Azmer Iqbal, 7, yang cedera parah dan koma selepas dirempuh sebuah lori tengah hari semalam.

Kejadian jam 1 tengah hari itu berlaku ketika murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Pulau Kerengga itu menyeberangi jalan untuk membeli makanan di kedai berhampiran sekolahnya.


Ibu kepada enam anak itu ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkata, Mohd Azmer kini dalam keadaan kritikal kerana kepalanya cedera parah dan terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).


Menurutnya, dia sukar menerima kenyataan apabila doktor yang merawat anaknya memberitahu otaknya membengkak hingga menyebabkan darah tidak berhenti mengalir di kedua-dua telinga.


“Selepas menyedari keadaan anak yang koma itu, kami anak beranak tidak putus-putus berdoa kepada Tuhan supaya anak dapat diselamatkan.


“Dialah yang banyak memberi keceriaan kepada keluarga kami dan kejadian yang menimpa terhadapnya membuatkan kami semua resah,’’ katanya yang tinggal di Kampung Pulau Kerengga, di sini. Suri rumah itu berkata, ketika kejadian dia sedang menyiapkan masakan tengah hari dan bercadang menjemput anak bongsunya itu seperti kebiasaannya.

Menurutnya, sebelum dia sempat bersiap untuk menjemput anak, dia dimaklumkan penduduk mengenai kemalangan terbabit dan bergegas ke tempat kejadian.


“Sepanjang perjalanan ke tempat kejadian, fikiran saya berkecamuk memikirkan keadaan Mohd Azmer yang dikatakan bermandi darah dilanggar lori, namun saya cuba menenangkan diri.


“Sebaik sampai di lokasi kejadian, anak sudah dibawa ke sebuah klinik sebelum dirujuk ke HSNZ ekoran kecederaan di kepalanya amat membimbangkan,’’ kata isteri kepada nelayan terbabit.


Abang mangsa, Mohd Azram Azizi Mohd Noor, 12, yang juga murid sekolah itu berkata dia tidak sempat memberi bantuan kepada adiknya kerana ketika kemalangan berlaku dia menghadiri kelas tambahan.


Menurutnya, melihatkan kesan tayar pada lokasi kejadian, dia percaya lori yang dipandu dari Pengkalan Berangan menuju simpang empat jalan Pulau Kerengga itu membrek secara mengejut sebelum merempuh adiknya.


Katanya, dia difahamkan lori enam tayar terbabit dinaiki dua lelaki dan mereka tidak perasan adiknya yang melintas ketika itu.



BERITA LANJUT



Kain kafan berdarah

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my
2010/03/03


SETIU: “Sayu hati mak cik apabila melihat sebahagian kain kafan yang membaluti jenazah anak menjadi merah kerana darah dari telinga arwah tak henti-henti mengalir sehingga dia dikebumikan kira-kira jam 11 malam, semalam (kelmarin).

“Sebagai ibu, mak cik reda dengan apa yang berlaku dan menerima suratan takdir Allah selain berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat-Nya,” kata Semek Ismail, 58, ibu kepada Kamaruzaman Mat Rahim, 28, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 59, Jalan Kuala Terengganu-Permaisuri berhampiran Kampung Rhu Sepuluh di sini, petang kelmarin.


Semek berkata, dia percaya arwah anaknya mengalami kecederaan dalaman yang teruk menyebabkan darah tidak berhenti mengalir dari telinga sehingga membasahi kain kafan yang membaluti kepalanya hingga ke liang lahad.


“Siapa yang tidak sedih melihat jenazah dikebumikan dengan sebahagian kain kafan yang pada mulanya putih bertukar merah. Bukan saja mak cik dan keluarga, malah boleh katakan semua yang mengiringi jenazah ke tanah perkuburan itu menitiskan air mata,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di rumahnya di Kampung Bukit Chalok di sini, semalam. Katanya, pemergian anak keempat daripada sembilan beradik itu secara mengejut membuatkan dia dan keluarga bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku, namun menyedari ia qada dan qadar Tuhan.


“Pemergiannya amat dirasai, apatah lagi dia pergi dalam keadaan sihat,” katanya.


Menurut Semek, kejadian malang menimpa arwah anaknya berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke kedai untuk membeli paku dipesan sepupunya, Ahmad Khodim Ahmad, 40, yang tinggal kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian, kira-kira jam 4.25 petang.

Katanya, sebelum kejadian, arwah bersama sepupunya sedang membina bangsal untuk menjual sate berhampiran kedai makan sepupu arwah di Kampung Bukit Chalok di sini, sebelum ke kedai untuk membeli paku. Dia berkata, disebabkan tidak memiliki kenderaan sendiri, arwah yang tiada pilihan lain untuk ke kedai yang terletak kira-kira satu kilometer dari kedai makan sepupunya terpaksa menggunakan kereta milik sepupunya, Yamin, 26.


Bagaimanapun, dia tidak menyangka hasrat arwah membantu sepupunya membeli paku tidak kesampaian apabila kenderaan dipandunya terbabit kemalangan selepas 500 meter beredar dari kedai makan sepupunya.


“Kemalangan itu menyebabkan kereta dipandunya remuk dan arwah yang parah di kepala dikejarkan ke Hospital Setiu (HS) sebelum menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan sejam kemudian,” katanya.


Semek berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah dan terkejut apabila mendapat tahu arwah terbabit dalam kemalangan.


“Saya tidak sangka kemalangan sekelip mata itu meragut nyawanya. Malah, ketika dikejarkan ke hospital, suami, Mat Rahim Mamat, 61, bagaikan sudah merasai arwah akan meninggalkan kami kerana dia menasihatkan keluarga dan saudara-mara pergi menjenguk kerana keadaannya parah,” katanya.


Menurut Semek, arwah anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sama ada ketika di rumah atau bersama rakan.


Katanya, arwah memang ramai kawan dan sebelum kejadian, ada antara rakannya mendakwa kurang selera makan selain merasakan sesuatu malapetaka akan menimpa mangsa.


“Saya tidak sangka dakwaan rakannya itu benar apabila Kamaruzaman pergi meninggalkan kami buat selamanya,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaikh Othman Abd Hamid, berkata kemalangan itu membabitkan dua kereta dinaiki mangsa dan dipandu Muhamad Aimi Alias, 23, yang masing-masing dari arah sama iaitu Permaisuri ke Kuala Terengganu.


Katanya, akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa yang cedera dikejarkan ke HS. Bagaimanapun, Kamaruzaman yang dipercayai mengalami kecederaan dalaman menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.25 petang, manakala Muhamad Aimi dari Jalan Semambu, Kuantan masih dirawat di hospital sama.


“Kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Tiada ulasan: