Selasa, 9 Mac 2010

DAH JELAS HARAM...SYIRIK....SEKARANG KAN DIDAPATNYA KESAN PELANGGARAN HUKUM ALLAH

Air sihir tok bomoh

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my
2010/03/09

SUNGAI PETANI: Seorang wanita hanya mahu mendapatkan pelaris daripada seorang bomoh untuk memajukan restorannya.

TERKENA...Hussin dan Aini menceritakan pengalaman mereka kepada wartawan.
TERKENA...Hussin dan Aini menceritakan pengalaman mereka kepada wartawan.
Dia diberikan sebotol air untuk diminum kononnya bagi mendapatkan penarik bagi membantu melariskan perniagaannya sebelum ketagih meminum air jampi berkenaan.


Suaminya yang juga seorang guru mendakwa, berikutan ketagih air jampi, isterinya seolah-olah dipukau sehingga merelakan dirinya dicabul bomoh berusia lewat 50-an terbabit.


Kemuncaknya, si isteri yang terkena ilmu hitam sanggup meminta cerai.


Guru berusia 40-an yang hanya mahu dikenali sebagai Hussin mendakwa bomoh terbabit juga mengambil kesempatan mengurut tubuh isterinya yang dalam keadaan tidak berbaju, kononnya untuk menjalani rawatan bagi menjarakkan kelahiran.


Malah, bomoh itu juga sanggup memperkenalkan isterinya sebagai teman wanitanya kepada orang lain.

Menurutnya, detik hitam itu bermula pada Julai tahun lalu apabila dia bersama isteri, Aini, 40, diperkenalkan kepada warga emas terbabit oleh sepupu mereka.


“Ketika itu restoran yang diusahakan isteri bermasalah dan sepupu saya menawarkan bantuan dengan memperkenalkan kami kepada bomoh terbabit untuk mendapatkan pelaris,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.


Katanya, tanpa rasa gusar, mereka bersetuju berjumpa bomoh terbabit dan beberapa hari selepas itu Aini yang ditemani sepupu sekali lagi pergi ke rumah bomoh terbabit kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.


“Saya tak terfikir langsung dia ada niat jahat, apatah lagi perwatakannya seperti orang alim dan baik hati,” katanya.


Hussin yang juga bapa empat anak berkata, kerana tidak mengesyaki apa-apa, dia tidak menemani isterinya dan difahamkan ketika proses ‘rawatan’ Aini diberi sebotol air untuk diminum kononnya bagi mendapatkan daya penarik bagi membantu melariskan perniagaannya.


Katanya, pada waktu itu bomoh terbabit mencadangkan isterinya menjalani rawatan urutan bagi menjarakkan kelahiran.

Sementara itu, Aini mendakwa jika air jampi itu habis, dia dikehendaki kembali semula ke rumah bomoh terbabit untuk menambah air.


“Saya mengesyaki dia meminta saya berbuat demikian kerana mahu saya selalu ke rumahnya. Walaupun pelik dengan permintaannya itu, saya tetap kembali semula ke rumahnya kerana seperti rindukannya,” katanya.


Aini berkata, dia juga tidak menolak ketika bomoh itu mahu mengurutnya dan rela membuka baju untuk diurut.

Malah, ketika memberi rawatan, isteri dan anak bomoh itu turut berada di rumah berkenaan.

Katanya, ketika berurut, dia diminta masuk ke bilik bersama bomoh itu.


“Dia juga tidak memberi kain lain selepas meminta saya membuka baju, jadi saya terpaksa menutup bahagian tertentu dengan baju. Saya pelik kerana biasanya lelaki tidak dibenarkan mengurut wanita.

“Saya tahu bomoh itu tidak wajar berbuat begitu, tapi entah kenapa saya merelakannya. Malah, saya rasa tidak bersalah kerana beberapa pelanggan lain bomoh itu yang berada di situ meyakinkan apa yang saya lakukan itu betul,” katanya.


Aini berkata, selepas mendapatkan rawatan bomoh itu, dia mula mengabaikan tanggungjawabnya terhadap suami dan anak-anak sehingga kemuncaknya dia meminta cerai daripada Hussin selepas mereka bergaduh pada 12 September tahun lalu.

Menurut Hussin, dia yang terkejut dengan tindakan isterinya itu berjumpa bomoh terbabit bagi menceritakan masalah mereka.


“Saya terkejut kerana isteri tiba-tiba minta diceraikan walaupun pergaduhan kami hanya perkara kecil. Saya memanggil bomoh itu ke rumah bagi menceritakan masalah kami,” katanya.


Hussin berkata, dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila bomoh itu mendakwa isterinya sudah tidak menyayanginya lagi dan menasihatinya menceraikan Aini dengan talak satu.


Berikutan itu, dia bertanyakan isterinya sama ada mempunyai hubungan dengan lelaki lain sebelum terkejut apabila isterinya menunjukkan bomoh itu lelaki dimaksudkan.


“Saya sudah mengeluarkan parang dan ikutkan hati mahu membunuh bomoh terbabit, tetapi mujur saya masih waras. Saya menyuruh dia pulang dan mula mengesyaki isteri ‘dikenakan’ bomoh itu,” katanya.


Mereka kemudian menemui beberapa tokoh agama di Kulim, Sungai Lalang dan Bandar Perdana di sini dan mereka mengesahkan isterinya terkena sihir bomoh terbabit.


“Saya tak pernah percayakan bomoh, tapi apabila melihat sendiri kesannya saya terpaksa percaya. Saya hanya menganggap bomoh itu sebagai rakan dan abang kerana kami rapat, tak sangka pula dia mengambil kesempatan.


“Saya lega kerana selepas rawatan itu, isteri semakin pulih walaupun bomoh terbabit masih cuba ‘menganggu’ kami,” katanya.


Berikutan itu, Hussin dan Aini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda mendakwa dicabul bomoh terbabit.


LAGI


Polis tahan pasangan ahli sihir



2010/03/09

JEDDAH: Polis menahan seorang wanita warga Maghribi dan seorang lelaki rakyat Palestin kerana didakwa mengamalkan ilmu sihir di kawasan kediaman Al-Safa, utara Jeddah, semalam.

Jurucakap polis berkata, sejumlah besar minuman arak dirampas di rumah kedua-dua suspek yang kini ditahan di balai polis Al-Safa untuk disoal siasat.


Jurucakap polis turut memberi amaran kepada masyarakat dan rakyat asing supaya tidak terpedaya dengan tipu daya ahli sihir dan memaklumkan segera kepada pihak berkuasa jika mengetahui aktiviti haram itu. - Agensi



Kasino rimba digempur

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my
2010/03/29

KUALA LUMPUR: Pusat perjudian ala ‘kasino rimba’ tumpas selepas digempur pihak berkuasa, semalam dan dipercayai beroperasi sejak dua minggu lalu, malah penganjur didakwa mampu mengaut kira-kira RM20,000 bagi satu-satu pertaruhan dan dipercayai terbesar seumpamanya bagi tahun ini.

Dengan menjadikan aktiviti laga ayam dan bola golek sebagai pertaruhan utama, lokasi pusat perjudian terbabit didapati agak tersorok daripada pandangan masyarakat selain berselindung di sebalik rumah kongsi projek pembinaan kondominium berhampiran sebuah sekolah di Taman Melati, di sini.


Malah, sebelum serbuan dilakukan kira-kira jam 4 petang, rata-rata pengunjung dipercayai kaki judi sudah memenuhi kasino rimba berkenaan dan leka memerhati ayam sabung beraksi tanpa menyedari lokasi perjudian itu sudah dikepung pihak berkuasa.


Dalam serbuan Bahagian Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPPKL) serta cawangan sama dari ibu pejabat polis daerah (IPD) dalam kontinjen itu, ‘tauke’ atau penganjur taruhan turut ditahan selepas cuba menaiki kenderaan diletakkan di bahagian luar rumah kongsi terbabit sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.


Pegawai Turus D7 IPKKL, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, memberitahu serbuan dilakukan berdasar maklumat diterima daripada orang awam selain risikan pihaknya selama tiga hari.


“Dengan kekuatan sembilan pegawai dan 46 anggota, kami (polis) melakukan risikan di lokasi didakwa menjalankan kegiatan perjudian itu selama tiga hari sebelum mengenal pasti penganjur pertaruhan terbabit turut menggunakan khidmat penjaga dilengkapi alat walkie-talkie.

“Dipercayai khidmat mereka digunakan bertujuan mengelakkan kaki judi daripada diberkas pihak berkuasa dan meloloskan diri sekiranya lokasi itu diserbu,” katanya. Namun, tindakan pantas pihak berkuasa berjaya memerangkap individu berkenaan selain merampas set alat perhubungan termasuk telefon bimbit milik ‘pengawal’ berkenaan sebelum menyerbu lokasi kasino rimba terbabit.


Razali berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada di antara kaki judi terbabit cuba meloloskan diri dengan berlari menuju hutan berhampiran namun mereka berjaya diberkas.


Hasilnya, polis berjaya menahan 53 individu dipercayai kaki judi termasuk 43 warga Indonesia, seorang rakyat Bangladesh, manakala sembilan lagi warga tempatan termasuk empat daripadanya dipercayai penganjur pertaruhan.


“Ada antara mereka cuba meloloskan diri menerusi laluan tikus disediakan penganjur namun hasil risikan awal, kami berjaya mematahkan cubaan mereka,” katanya.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati sindiket terbabit mampu meraih pendapatan lebih RM20,000 bagi setiap taruhan dan kegiatan terbabit dipercayai ‘meriah’ pada hari cuti umum. Selain merampas wang tunai berjumlah RM21,825 daripada penganjur pertaruhan, polis turut menyita papan perjudian judi bola golek dan 18 ayam sabung yang digunakan dalam kegiatan terbabit.

“Semua ditahan berusia lingkungan 30-an malah pihak berkuasa turut menemui beberapa bangkai ayam sabung dipercayai mati dalam pertaruhan,” katanya.


Bagi kesalahan sabung ayam, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(g) Ordinan Binatang (No 17 Tahun 1953) manakala judi bola golek disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Penganjur perjudian itu pula bakal berdepan tindakan denda tidak melebihi RM50,000 dan penjara tiga tahun, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen Akta Rumah Judi Terbuka 1953.


Tiada ulasan: