Jumaat, 12 Mac 2010

Doktor Sakit Tuan Dr. Ismail Thamby jawab ......PENDAPATNYA

Handal tidak keruan



SAYA ada menerima soalan mengenai lelaki yang mahu dalam keadaan sentiasa ‘gagah’ kerana perlu melayan isterinya yang lebih daripada seorang.

Bagi saya, sebilangan lelaki sebenarnya suka menunjukkan kehandalan mereka dengan berkahwin lebih daripada satu. Yang merana bukan isteri, sebaliknya mereka juga.


Apa tidaknya, setiap isteri memberi tekanan, hendakkan masa bersama dengannya dan mahu menjadi isteri yang istimewa.


Akibat persaingan antara isteri, badan suami merana. Seks tidak seronok lagi untuknya kerana terpaksa melayani kerenah isteri yang makin lama makin mencabar.


Pada waktu itu baru terasa bermadu tidak lagi manis, mungkin masam dan pahit tambahan pula jika mula mengalami masalah kesihatan.


Dalam keadaan tertekan, simptom penyakit menjadi lebih ketara. Mood dan minat melakukan seks kurang apabila keupayaan syahwat mula tergugat.


Jika dulu mudah mencapai ereksi walaupun hanya melihat bayangan isteri, kini tidak lagi. Ketika itu baru sedar langit tinggi rendah.


Perkahwinan itu satu tanggungjawab, bukan setakat hendak menjamu selera. Jika sudah buat pilihan, sepatutnya anda membuat persediaan seperti mengetahui bukan saja kemampuan harta benda dan wang ringgit, tetapi juga kesihatan.


Bukan saja kesihatan ketika mula berkahwin, malah kesihatan masa depan dengan mengambil kira penyakit keturunan. Jangan lupa penyakit akibat tekanan.


Ini besar pengaruhnya kepada tahap kesihatan anda secara menyeluruh dan bayangkan ancamannya kepada hubungan dengan semua pasangan anda.


Sepanjang pengalaman saya, lelaki yang mengamalkan poligami sering ada risiko kesihatan. Tiada lelaki yang ada lebih satu isteri duduk senang lenang. Ada saja masalah.

Jika lelaki berkahwin tanpa memberitahu isteri, kahwin ‘curi’ atau ‘sembunyi’, bayangkan tekanan yang mereka alami, jantung berdebar-debar, takut jika pecah tembelang, nahas nanti.


Jangan pula fikir masalah selesai apabila isteri tahu. Perang dingin berterusan. Jadi tidak hairan jika mereka kerap jumpa doktor untuk atasi masalah kesihatan. Didapati mereka lebih kerap menjalani rawatan pelbagai penyakit seperti masalah kolesterol tinggi dan sakit koronari.


Bagi sebilangan lagi yang berkahwin dengan izin dan pengetahuan isteri atau berkahwin lagi atas sebab tertentu, mungkin keadaan mereka berbeza.


Mereka tidak rasa tertekan dan isteri tidak perlu berebut-rebut masa bersama. Jadi, mereka dapat menunaikan kewajipan syahwat tanpa tekanan dan mengikut kemampuan.


Bagi lelaki bermadu dan memerlukan tips penjagaan kesihatan, senaman untuk stamina, kekuatan fizikal dan ditambah dengan senaman kegel (senaman kemut) untuk lelaki. Anda boleh mengawal tahap dan kekuatan ereksi ketika bersama isteri.


Anggota seksual anda sentiasa mantap jika senaman itu dijadikan amalan. Maklumat senaman ini ada dalam laman web www.kegelexcercise.com.


Secara ringkas, ketika hendak lakukan kemut, pastikan kedua-dua paha rapat, cengkam lubang najis dan sekali gus tahan kencing dan kekalkan cengkaman itu antara lima hingga 10 saat.


Lakukan dalam 10 cengkaman setiap sesi senaman itu dan lakukan lima kali sehari atau pada bila-bila masa. Lakukan sentuhan dan belaian lembut kepada anggota kelamin dua kali sehari selepas mandi dan guna krim pelembut kulit atau krim perapi anggota kelamin lelaki seperti krim untuk lelaki. Mengikut saranan Imam al-Nawawi, anggota sulit perlu dibelai untuk menjaga dan menyegarkan.


Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala memandangkan cabaran luar biasa anda yang berkahwin lebih daripada satu sedikit sebanyak boleh memberi kesan kesihatan. Jangan teragak-agak berjumpa doktor apabila mengalami masalah seksual. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa.


Jangan terlalu ghairah berkahwin lebih daripada satu kerana lambang kelelakian bukan pada bilangan wanita yang ditiduri atau jumlah isteri. Berpasangan dengan wanita idamannya dan sama-sama mengecapi kebahagiaan serta keharmonian rumah tangga secara aman, tenang dan ceria.


Ini hanya dapat dilakukan dalam perkahwinan suami dan seorang isteri. Bagaimanapun, ini hanya pendapat saya.

Tiada ulasan: