Rabu, 10 Mac 2010

APA KATA ULAMAK...ADA PERKARA INI DIBENARKAN OLEH SYARAK....

2 beradik masuk senarai

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
2010/03/10

KUALA LUMPUR: Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kali menerima masuk pasangan adik-beradik sebagai pelajar program realiti nombor satu itu.

TERPILIH...12 pelajar Akademi Fantasia musim kelapan.
TERPILIH...12 pelajar Akademi Fantasia musim kelapan.
Pasangan bertuah itu adalah Erma Suhaimi, 21, (Ema) dan Siti Adira Suhaimi, 19, (Adira) dari Ranau, Sabah.


Sebelum ini pasangan kembar seiras Zuzafrini Zulkifli (Rini) dan Zuzafrina Zulkifli, 25, (Rina) mencuba nasib, namun rezeki lebih berpihak kepada Rini yang menempatkan diri dalam kelompok pelajar AF musim ke-7.


Norman Abdul Halim selaku Pengetua AF8, berkata, kedua-dua beradik itu memiliki bakat serta keunikan tersendiri sehingga sukar pihak juri mengenepikan seorang daripada mereka.


“Ema dan Adira punya keistimewaan masing-masing. Walaupun adik-beradik, cara serta vokal mereka berbeza. “Sewaktu peringkat uji bakat Ema sanggup berkorban jika juri perlu memilih salah seorang daripada mereka. Namun, kemampuan pasangan adik-beradik ini memang hebat menyebabkan kami tidak mampu membuat pilihan selain bersetuju menyerapkan mereka sebagai pelajar,” katanya.


Sebagaimana tahun sebelumnya, musim terbaru AF ini sekali lagi menyaksikan dominasi peserta dari Sabah dan Sarawak apabila lima pelajar perempuan terpilih. Selain Erma dan Adira, Nadiawaty Ainul Basir atau Ain, 23, dan Dayang Nor Anum Arjuna Aharun atau Anum, 19, juga dari Sabah.

Seorang lagi peserta, Zafarina Jamhari atau Farina, 28, mewakili Sarawak. Perjuangan kelima-lima gadis ini diperlengkapkan lagi dengan kehadiran Nadia Emilia Roselan, 22, dari Klang, Selangor.


Sementara itu, enam peserta lelaki yang berjaya adalah Muhd Shahril Firdaus El atau Daus, 22, dari Sarawak, Emirza Awan Zulazrin Chew/ Iwan, 20, (Negeri Sembilan), Muhd Firdaus Maulana Mohamed atau Mulana, 22, (Johor), Muhammad Alif Kadim/Alif, 18, (Kuala Lumpur) dan Ahmad Shahir Zawawi/Shahir, 21, (Perak).


Gelagat serta aksi 12 peserta ini akan dipertontonkan kepada umum bermula Sabtu ini (13 Mac) menerusi Tirai AF dikendalikan Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley, jam 9 malam di Astro Ria.


Cabaran kehidupan seharian mereka pula boleh ditatap dalam diari mulai 15 Mac, jam 7.30 malam bersama Jimmy Shanley. Jika tujuh musim sebelum ini syarikat telekomunikasi bertindak sebagai penaja utama, penajaan AF8 berganti tangan kepada jenama produk kesihatan, Brand's selain Modenas serta Maybelline.



lagi


Kontroversi AF8




MENJADI sedikit tanda-tanya apabila Diari Akademi Fantasia edisi kelapan (AF8) dipercepatkan siaran pada 7.30 malam. Berbanding sebelum ini, ia bersiaran pada waktu perdana menerusi Astro Ria (saluran 104) iaitu pukul 9 malam.

Biarpun Konsert AF berhasil memukau jutaan audiens, hakikatnya Diari AF tidak ketinggalan menghimpun peminat sendiri. Ia memapar perkembangan dan pembelajaran para pelajar dengan rutin kehidupan seharian mereka sepanjang berada di akademi.

Ekoran perubahan Diari AF8, timbul pertikaian Astro seperti tidak sensitif pada waktu Maghrib apatah lagi rata-rata penonton program itu beragama Islam. Terbiasa mempraktik amalan bunyi televisyen diperlahan atau terus dipadamkan, ironinya ramai akan ketinggalan Diari AF8.

Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi bagaimanapun punya alasan tersendiri tentang relevan Diari AF8 bersiaran waktu baru bermula hari ini hingga Jumaat.

"Kami sudah buat kajian pukul 7.30 malam merupakan masa terbaik ahli keluarga berkumpul dan menikmati makan malam. Tiada sebarang kelemahan dengan waktu sebelum ini. Kami sebaliknya hanya mahu tonjolkan kelainan," jelasnya ringkas ketika ditemui pada majlis memperkenalkan 12 peserta AF8 di Ministry Of Sound, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Faham tentang isu yang ditimbulkan media, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah turut memberikan persepsinya.

Katanya: "Sebelum ini Diari AF diselitkan pada 9 hingga 9.30 malam, tetapi kami ada saluran drama tertentu di Astro Ria dalam tempoh sama. Ia menjadikan audiens mulai terbiasa dan serasi mengikuti drama ditayangkan sebelum ini.

"Waktu Diari AF8 pukul 7.30 malam tidak mengganggu orang ramai. Lagipun kami menyelitkan siaran ulangan pada 11.30 malam pada hari sama. Jika ada peminat terlepas, mereka masih boleh tonton program ini.

"Terus-terang, Astro sentiasa menawarkan pilihan kepada masyarakat di luar sana. Malah, sudah menjadi tanggungjawab kami memikirkan kemudahan dan keselesaan khalayak."

Selain itu, Zainir turut menepis kenyataan AF8 disasar kepada penonton Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung. Masakan tidak, azan Maghrib di Malaysia Timur berkumandang sekitar 6.30 petang sekali gus membuatkan peminat di sana berkesempatan menyaksikan AF8.

"Isu AF hendak tarik perhatian orang-orang di Sabah dan Sarawak bukan baru. Bahkan, sudah lama dihebohkan. Ia tidak boleh diguna sebagai alasan menyasarkan kepada orang luar Semenanjung bagi meraih lebih undian atau beri istimewaan kepada mereka.




"Saya harap hal ini tidak diperbesarkan. Selain itu, saya lihat ada juga program popular pukul 7.30 malam di stesen televisyen lain meraih bilangan penonton tinggi. Kami tidak lihat perubahan masa sebagai masalah atau harus dipertikaikan.

"Macam saya cakap tadi, kami pastikan setiap pilihan ada pilihan lain. Kami juga prihatin dan mengambil kira cara hidup masyarakat berbeza di negara ini," jawabnya yang memendekkan Diari AF8 daripada sejam kepada setengah jam demi mempamerkan sebuah program ringkas dan padat, tetapi masih ada tarikan tersendiri.

Malaysia Timur

Seperti diketahui umum, peserta wanita AF versi terbaru itu didominasi bakat-bakat dari Malaysia Timur. Ia menampilkan empat orang dari Sabah iaitu Siti Adira Suhaimi atau Adira, 19; Nadiawaty Ainul Basir (Ain), 24; Dayang Nor Anum Arjuna Aharun (Anum), 19; Erma Suhaimi (Ema), 21; dan pelajar Sarawak, Zafarina Jamhari (Farina), 28.

Peserta tunggal Semenanjung yang berjaya meloloskan diri dalam AF8 ialah Nadia Emilia Roselan (Nad), 22.

Azlin Reza mengaku tiada sebarang kriteria ditetapkan terhadap pemilihan pelajar terutama wanita menyertai AF8 setelah mereka menjalankan uji bakat di empat buah bandar iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu sejak Januari lepas.




"Pihak Astro tidak melihat tempat asal peserta atau kuota semasa proses pemilihan dijalankan kerana kami hanya menilai bakat dan personaliti mereka daripada merit. Cuma kebetulan peserta Sabah dan Sarawak lebih menyerlah kali ini," jelasnya yang enggan ditafsir berat sebelah memilih peserta AF8.

Selain itu, buat kali pertama AF8 menampilkan dua beradik, Ema dan Adira berasal dari Ranau, Sabah yang menghadiri uji bakat di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur beberapa bulan lalu.

Senarai pelajar lelaki pula ialah Muhammad Alif Kadim (Alif), 19; Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), 20; Muhd. Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), 22; Muhammed Shahril Mohs Saleh Hussein (Shah), 26; Ahmad Shahir Zawawi (Shahir), 26; dan peserta Sarawak, Muhd. Shahril Firdaus Eli (Daus), 22.

Semua 12 pelajar dengan variasi bakat dan latar belakang itu telah menjayakan Tirai AF8 (konsert pengenalan) yang disiarkan pada 13 Mac lalu pada pukul 9 malam di Astro Ria.

"Mereka dikurniakan suara dan kebolehan berbeza sekali gus membuatkan para peserta AF8 memiliki keunikan berbanding peserta-peserta sebelum ini. Untuk pihak produksi, kami cuba mengenengahkan bakat pelajar agar mencapai kecemerlangan dalam dunia seni selepas ini," tutur Azlin yang jelas berpuas hati dengan 12 nama pemain realiti AF8.

Konsert AF8 kendalian Jimmy Shanley dan Sarimah Ibrahim ditayangkan secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bermula 20 Mac ini pukul 9 malam. Debaran AF8 pula disiar keesokan harinya pada waktu sama selama setengah jam oleh Sarimah Ibrahim.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang AF8, peminat boleh melayari laman web www.akademifantasia.com.my.






LAGI




Gayah Gebu: Bila kepala semakin besar, keras



2010/03/14

WAH!!! Sejak kebelakangan ini muncul segelintir artis yang nampaknya ada ciri-ciri ‘besar kepala’ dan berlagak. Seorang demi seorang mula menunjuk handalnya mereka di persada industri hiburan tanah air.

Apa nak jadilah. Seingat Gayah, artis yang popular dari dulu sampai sekarang tak ada pula perangai seperti itu. Sekarang, nama baru naik sikit dah tunjuk handal.


Hello... masuk dunia hiburan kenalah kuat mental. Janganlah kena tegur sikit dah kepanasan. Selepas itu mulalah bercakap yang bukan-bukan.


Sekadar memberi contoh, kalau melakukan perkara tidak elok dan ada isu berbangkit yang perlu diberi penjelasan, mestilah ia jadi bahan berita. Takkan nak biarkan saja! Sebagai artis, kenalah bersedia dan bijak menangani kontroversi. Ini tidak... apabila beri kenyataan, tak nak beri mukalah, tak nak ambil pedulilah, berpegang kepada prinsiplah, tak mahu mengiyakan mahupun menafikanlah.... Fuh!!! Memang menyampahlah bila baca kenyataan seperti itu.


Walhal, artis yang berkata begitu bukan popular sangat pun. Bukan menyumbang sangat dalam memajukan industri pun. Banyak cakap, tapi cakap tak pakai otak.

Gayah bukan nak kata seseorang artis itu tak boleh ada pendirian, tetapi janganlah mengambil pendirian yang memberi persepsi betapa kau saja yang betul, orang lain salah.


Cubalah bersikap profesional supaya industri hiburan jadi lebih harmoni dengan amalan sikap hormat menghormati sesama insan.


Gayah bukan apa, takut nanti jadi ikutan artis lain, lebih-lebih lagi artis baru. Al-maklumlah.... sedangkan gaya hidup ala ‘Hollywood’ boleh terpengaruh, apatah lagi budaya ‘keras kepala’.


Gayah tegur saja, nak dengar atau tidak terpulang sebab ada Gayah kisah? Jangan nanti apabila dah sedar diri baru terhegeh-hegeh nak minta maaflah...


Apapun, buat artis baru yang dua tiga hari lepas memohon maaf atas keterlanjurannya melakukan sesuatu yang masuk dalam kategori ‘besar kepala’ dan berlagak, baguslah buat begitu. Kalau dari dulu buat begitu lagi bagus.


Tengok... masih ada yang ambil peduli dengan kau. Kalau tak ada yang peduli, macam mana? Harap ingat sampai bila-bila! Sebelum berundur, Gayah nak cakap juga pasal Akademi Fantasia 8 (AF8). Minta sangatlah ya, janganlah ada adegan yang tidak sepatutnya seperti pelajar lelaki berpelukan dengan pelajar wanita ke, pelajar lelaki berpelukan dengan tenaga pengajar wanita ke, pelajar wanita berpelukan dengan tenaga pengajar lelaki ke atau adegan lain menyakitkan mata.


Ingat ya, perbuatan yang selalu dikatakan tak sengaja itu dah selalu ditegur. Kalau berlaku juga, Gayah tak tahulah apa nak dikata. Kalau nak buat gimik pun, biarlah bermaruah sikit!



Tiada ulasan: