Perkahwinan budak 11 tahun perlu kelulusan
Oleh Hussain Said
Bapa kanak-kanak perempuan perlu kena tindakan
KUALA LUMPUR: Perkahwinan budak berusia 11 tahun yang berlaku di Kelantan cukup menyedihkan dan memalukan, sekali gus memberi kesan dalam membela serta memperjuangkan isu kanak-kanak, terutama memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna dan perlindungan secukupnya.
Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Fadhlina Siddiq, berkata walaupun perkahwinan itu sah mengikut syarak, budak berkenaan perlu diselamatkan kerana dia masih kecil dan mempunyai masa depan.
"Tindakan bapanya amat dikesali dan dia patut dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar undang-undang negara," katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas mengenai tindakan seorang bapa dari Jelawang, Kuala Krai mengahwinkan anak perempuannya berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun yang juga ketua jemaah yang disertainya.
Kes itu adalah kejadian kedua membabitkan pernikahan budak perempuan di negeri itu, selepas seorang budak berusia 10 tahun dikahwinkan keluarganya dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas, baru-baru ini.
Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar, berkata dalam undang-undang negara dan syarak, budak berkenaan sekiranya sudah baligh dan tidak reda dengan perkahwinan itu boleh meminta fasakh (cerai) di Mahkamah Syariah.
"Dalam Islam memang dibenarkan pernikahan dengan perempuan bawah umur kerana Siti Aisyah sendiri berkahwin dengan Nabi Muhammad ketika berusia sembilan tahun.
"Mengikut konsep Islam juga tidak semestinya pasangan yang berkahwin di bawah umur melakukan persetubuhan, sebaliknya menunggu sehingga kanak-kanak itu mencapai baligh bagi mengelakkan kesakitan kepada alat kelaminnya," katanya.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir, berkata perkahwinan itu sah sekiranya memenuhi rukun nikah, tetapi kesalahan bapa terbabit ialah tidak mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah untuk mengahwinkan anaknya yang di bawah umur 16 tahun.
Katanya, mengikut kaedah Islam tidak timbul soal umur dalam perkahwinan kerana bayi perempuan yang baru dilahirkan sekali pun boleh dikahwinkan.
"walaupun undang-undang negara menetapkan syarat tambahan untuk perkahwinan yang membabitkan perempuan bawah umur tetapi ia dibenarkan syarak kerana tujuannya baik untuk melindungi kanak-kanak dan mengelakkan sebarang masalah timbul.
"Bagaimanapun, bapa terbabit boleh dikenakan tindakan kerana melanggar undang-undang negara. Bagaimanapun, kita anggap perkahwinan itu adalah kes terpencil dan bukannya satu fenomena," katanya.
LAGI
JHEAIK ambil keterangan ibu bapa kanak-kanak
KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) akan mengambil keterangan daripada sepasang suami isteri dari Jelawang, Kuala Krai, berhubung tindakan mengahwinkan anak perempuan mereka berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun yang juga ketua jemaah yang disertai bapa kanak-kanak terbabit.
Jurucakapnya berkata, kes terbaru itu adalah kejadian kedua membabitkan pernikahan budak perempuan di negeri ini, selepas seorang budak berusia 10 tahun dikahwinkan keluarganya dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas, baru-baru ini.
“Kita belum dapat menentukan status pernikahan terbabit (antara budak perempuan dengan pemimpin jemaah itu) yang didakwa diadakan di sebuah madrasah berhampiran Masjid Besar Machang kerana mangsa dikatakan tidak hadir ketika pernikahan itu dilangsungkan.
“Walaupun secara zahir, sekiranya akad nikah diwalikan bapa kandung adalah sah, tetapi itu masih terlalu awal untuk diputuskan kerana biasanya kes membabitkan kanak-kanak memerlukan kebenaran bertulis mahkamah.
“Justeru itu, kami akan mendapatkan keterangan ibu bapa kanak-kanak terbabit sebelum menentukan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, dalam kes yang membabitkan pernikahan budak perempuan berusia 10 tahun sebelum ini, siasatan masih dijalankan tetapi kanak-kanak itu sudah dikenakan perintah mufarakah daripada lelaki yang mengahwininya oleh Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, minggu lalu.
“Kanak-kanak terbabit yang tercicir persekolahan itu, kini diletakkan bawah jagaan bapa saudara sebelah ibunya untuk keselamatan. Perintah tegahan turut dikeluarkan oleh mahkamah terhadap lelaki terbabit sehingga kes itu selesai,” katanya.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Muhamad, berkata semua perkahwinan yang dilangsungkan di negeri ini perlu mematuhi syarat ditetapkan mengikut Enakmen Keluarga Islam Kelantan bagi memastikan pernikahan yang dilangsungkan itu tidak meragukan dari segi syarak dan undang-undang.
Beliau berkata, antara lain enakmen itu menetapkan syarat umur bagi pengantin lelaki ialah minimum 18 tahun, manakala perempuan pula mesti 16 tahun ke atas.
“Jika perempuan masih di bawah usia 16 tahun, kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah mesti diperoleh terlebih dulu,” katanya.
LAGI
Buruh dakwa turut nikah anak gadis 10 tahun
GUA MUSANG: Bapa kepada budak perempuan berusia 11 tahun yang dinikahkan dengan pemimpin jemaah pada 19 Februari lalu, mendakwa lelaki terbabit turut bertindak menikahkan anak perempuannya yang baru berusia 10 tahun dengan seorang ahli jemaah mereka pada hari sama.
Buruh kampung, Hussin Mat Salleh, 42, mendakwa diperdaya dan dalam keadaan keliru ketika menikahkan anak keduanya daripada enam beradik itu dengan lelaki berkenaan sebagai isteri keempat.
“Pada 19 Februari lalu, ketika dalam perjalanan berkereta ke markas di Kota Bharu, dia menikahkan anak perempuannya yang berusia 10 tahun dengan rakan kami dengan alasan mengikut sunnah.
“Sebelah malam itu, ketika berada di madrasah belakang Masjid Besar Machang, entah macam mana, saya dipengaruhi hingga menjadi wali bagi pernikahan anak saya yang masih bersekolah ketika ini dengan lelaki terbabit.
“Pada pagi keesokannya (20 Februari) saya pulang ke rumah bersama lelaki terbabit dan dua lagi rakan yang juga ahli tabligh untuk menjemput anak saya itu kononnya hendak dihantar ke sekolah tahfiz di Wakaf Bharu seperti diarahkan lelaki terbabit.
“Saya bagaikan hilang ingatan apabila hanya mengikut saja segala kehendaknya yang turut memberi amaran supaya tidak memberitahu isteri mengenai perkara yang berlaku itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Jelawang di sini, petang semalam.
jika begini...ini jadinya
Akad sambil pandu kereta
am@hmetro.com.my
2010/03/11
PASIR MAS: “Baba jahat!...Baba jahat!” tangis seorang budak perempuan berusia 10 tahun kepada ibunya selepas dinikahkan secara paksa oleh bapa kandung dengan rakan jemaahnya berusia 30-an di sini.
BUKTI…Na menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pasir Mas mengenai perkahwinan anak perempuannya.
Pernikahan diragui itu diceritakan sendiri ibu kanak-kanak terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Na, 33, kepada Harian Metro selepas dimaklumkan anak perempuannya itu.
Katanya, dia terkejut kerana tidak menyangka suaminya tergamak menikahkan anak perempuan mereka yang masih budak dengan rakan jemaahnya tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga pada 22 Februari lalu.
“Mulanya saya terkejut apabila anak perempuan pulang ke rumah pada pagi 23 Februari lalu dengan menangis teresak-esak sambil memarahi bapanya dengan perkataan ‘baba jahat!’.
“Dia mengulangi perkataan itu berulang kali sambil menambah ‘baba kahwinkan saya dengan kawannya’ menyebabkan saya tertanya-tanya maksud di sebalik ayat terbabit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Beta, Pohon Buluh di sini, semalam.
Harian Metro difahamkan, proses pernikahan ringkas itu berlaku jam 5 petang apabila si bapa menikahkan sendiri anak perempuannya tanpa mengikut prosedur pernikahan biasa dan berlaku dalam suasana serba ringkas dalam kereta.
Bagaimanapun, ‘pengantin perempuan’ tidak hadir ketika upacara akad nikah itu berlangsung, sebaliknya dia hanya dibawa ke hotel selepas disahkan suami isteri.
Difahamkan, lelaki terbabit menikahkan anak perempuannya itu selepas dijanjikan ganjaran pahala oleh rakan jemaahnya selain ditaburkan janji manis kononnya ia mengikut sunnah Nabi dan pahalanya berlipat ganda.
Dia yang terpengaruh dengan ‘janji syurga’ kononnya mendapat ganjaran berlipat kali ganda kemudian bersetuju mewali dan menikahkan anaknya walaupun baru berusia 10 tahun.
Meskipun pernikahan terbabit mungkin sah mengikut syarak, namun tindakan menikahkan budak berusia 10 tahun menjadi kesalahan mengikut undang-undang syariah kerana masih di bawah umur.
Na berkata, dia segera mendapatkan penjelasan daripada anak perempuannya itu untuk mengetahui perkara sebenar, sebelum anak kedua daripada empat beradik itu menceritakan dia sudah dinikahkan.
“Tergamam saya ketika itu apabila dia beritahu dikahwinkan dengan rakan suami saya tanpa kerelaannya. Perasaan marah terhadap suami meluap-luap. Persoalannya mengapa dia sanggup mengahwinkan anak yang masih mentah.
“Ini menyebabkan saya segera bertemu rakan suami di sebuah masjid kira-kira 200 meter dari rumah untuk mendapatkan penjelasan mengenai pernikahan itu dan dia mengesahkannya,” katanya.
Katanya, berdasarkan pengetahuannya, proses pernikahan itu berlangsung di dalam sebuah kereta yang sedang bergerak dan suaminya mewalikan pasangan anaknya sambil memandu.
“Saya dapat tahu anak saya diperdaya suami kononnya mahu membawa dia membeli-belah di sebuah pasar raya di Kota Bharu bersama saya yang sedang menunggu di situ.
“Bagaimanapun, semua barang yang dibeli dibayar rakannya sebelum dia dibawa ke sebuah hotel dekat Kota Bharu. Mereka menyewa dua bilik hotel. Sebuah untuk anak dan ‘suaminya’, manakala sebuah lagi untuk suami,” katanya.
Na berkata, selepas mengetahui dia sudah dinikahkan, anaknya menggunakan helah untuk tidur dengan tukang sapu wanita hotel terbabit sebelum dibawa pulang keesokannya.
Berikutan itu, Na ke Balai Polis Pasir Mas pada 25 Februari lalu untuk melaporkan mengenai perkahwinan anaknya dengan lelaki terbabit.
Pada masa sama, ibu kanak-kanak terbabit turut membuat laporan di Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) selepas mendapat nasihat daripada ahli keluarga.
Berikutan itu, katanya, anaknya dikenakan perintah mufarakah (dipisahkan) dengan lelaki yang mengahwininya oleh Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu, minggu lalu.
Difahamkan, kejadian itu berlaku sebelum akhbar mendedahkan mengenai seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, namun lokasinya berbeza iaitu di sebuah madrasah berhampiran masjid besar di Machang.
lagi
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak bersetuju dengan perkahwinan di bawah umur walaupun ia adalah sah dari segi agama.
Beliau berkata, Islam menggalakkan sesuatu perkahwinan untuk mendapatkan zuriat dan bukan semata-mata dilihat dari sudut untuk memuaskan nafsu dan amalan sunnah Nabi Muhammad, semata-mata.
“Seperti juga kita makan buah durian adalah untuk mendapatkan rasa nikmat isinya dan membuang segala benda yang tidak mendatangkan faedah seperti kulit dan bijinya.
“Begitu juga dengan berkahwin kita digalakkan bagi mendapatkan zuriat yang baik hasil percantuman jenis. Jadi saya tidak setuju jika kahwin terlalu muda, bawah umur seperti itu.
“Banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk mengikut amalan sunnah Nabi, bukan melalui kaedah perkahwinan cara itu,” katanya. - Bernama
lagi
TERKINI
Kahwin bawah umur perlu kebenaran
KOTA BHARU — Masyarakat Islam di Kelantan yang ingin mengahwinkan pasangan bawah umur boleh meminta kebenaran atau pengecualian daripada kadi dengan memberi alasan yang munasabah, kata Ketua Hakim Syariah Negeri Kelantan Datuk Daud Mohamad.
Beliau berkata, tanpa kebenaran itu, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali oleh Mahkamah Syariah berdasarkan peraturan Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan (EKINK) 2002.
Menurutnya, peraturan mengenakan syarat umur pasangan itu dibuat bagi mengelak berlaku perceraian kerana pasangan yang berkahwin di bawah umur dianggap tidak matang.
Beliau diminta mengulas kontroversi seorang budak perempuan berusia 11 tahun dikahwinkan dengan lelaki berusia 40 tahun kerana didakwa mengamalkan ajaran mencurigakan di Kampung Jelawang, Kuala Krai, baru-baru ini.
Daud berkata, Seksyen 8 EKINK 2002 tidak menyekat pasangan bawah umur untuk berkahwin tetapi dengan syarat mereka mendapat kebenaran bertulis daripada pejabat kadi atas alasan yang termasuk pasangan terbabit mempunyai tahap kesuburan dan kematangan yang cukup.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Wan Omar pula berkata, kerajaan negeri akan menyiasat perkahwinan pasangan di Kampung Jelawang itu. — Bernama
lagi
Saya dipukau
am@hmetro.com.my
2010/03/12
KOTA BHARU: “Saya macam dipukau dan hanya menurut perintahnya,” dakwa Hussin Mat Salleh, 54, yang menikahkan anak perempuannya, Siti Nur Zubaidah, 11, untuk dijadikan isteri keempat seorang rakan jemaahnya di sebuah madrasah berhampiran Masjid Besar Machang pada 19 Februari lalu.
RINDU...Hussin dan isteri, Siti Sarnan Mat Ali menunjukkan gambar Siti Nur Zubaidah.
“Dia kata ini ikut sunnah Nabi, jadi saya setuju saja tanpa sempat berfikir panjang,” katanya.
Sehari selepas majlis pernikahan itu yang tidak dihadiri Siti Nur Zubaidah, katanya, dia bersama ‘menantunya’ itu pulang ke rumahnya di Kampung Jelawang, Dabong, Kuala Krai untuk membawa anaknya ke rumah isteri kedua lelaki itu.
Hussin berkata, pada mulanya Siti Nur Zubaidah enggan menurut perintah dan menangis tidak mahu mengikut 'suaminya'.
“Bagaimanapun, selepas dipujuk dan berjanji akan pulang pada hari yang sama, dia menurut perintah dan keluar dari rumah pada 20 Februari lalu.
“Bagaimanapun, sehingga kini dia belum pulang selepas dibawa ‘suaminya’ dan kami tidak tahu di mana Siti Zubaidah. Saya memohon agar dia dikembalikan kerana Siti Nur Zubaidah terlalu muda dan masih belajar,” katanya.
Hussin berkata dia akan berusaha menjejaki anak kedua daripada enam beradik itu dan cuba mendapat bantuan pelbagai pihak untuk membawanya kembali ke pangkuan keluarga.
“Sekiranya ada sesiapa yang menjumpai atau ternampak Siti Nur Zubaidah bolehlah menghubung saya di talian 013-2272755,” katanya.
Berikutan itu, Hussin membuat permohonan mufarakah (dipisahkan) di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada kira-kira jam 4 petang semalam bagi membolehkan pasangan terbabit dipisahkan sementara.
Katanya, tuntutan mufarakah itu difailkan berikutan pernikahan Siti Nur Zubaidah dengan lelaki itu belum diketahui status sama ada sah atau sebaliknya.
Sementara itu, Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Abu Bakar Abdullah Kutty mengesahkan ibu bapa Siti Nur Zubaidah membuat tuntutan mufarakah di mahkamah bagi mengasingkan anak perempuan mereka dengan ‘suaminya’.
Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan dan jika disabit kesalahan, seseorang sama ada bapa atau ‘suami’ Siti Zubaidah boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002 Mahkamah Tinggi Syariah.
Peruntukan mengikut enakmen terbabit membolehkan individu didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara.
“Perkahwinan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun sepatutnya didaftarkan di mahkamah terlebih dulu dengan mengemukakan alasan kukuh.
“Sekiranya siasatan mendapati perkahwinan kanak-kanak itu ada unsur paksaan atau kepentingan, kita akan mengambil tindakan,” katanya.
lagi
NEGARA
Budak 11 tahunkahwin lelaki tabligh ditemui di Batu Caves
KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh berusia 41 tahun dan didakwa dilarikan lelaki terbabit telah ditemui di sebuah masjid berhampiran Batu Caves, Selangor semalam.
Siti Sarnan Mat Ail, 42, (gambar) ibu kanak-kanak itu berkata, dia dihubungi oleh seorang lelaki tidak dikenali memaklumkan mengenai penemuan anaknya itu.
"Kira-kira pukul 6.30 petang semalam, saya terima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memberitahu anak saya berada di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera dekat Batu Caves.
"Mulanya saya ragu-ragu kerana tidak mungkin anak saya dibawa hingga ke Selangor tetapi apabila dibenarkan bercakap dengan anak saya barulah saya percaya," ceritanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh (HSB) semalam.
lagi
KUALA LUMPUR - Kanak-kanak 11 tahun, yang dikahwinkan ayahnya dengan lelaki 41 tahun, yang digelar Din Ajaib, ditemui dalam keadaan lemah di surau dekat Batu Caves, Selangor, kelmarin.
Ibu kanak-kanak itu, yang dikenali sebagai Siti Sarnan Mat Ail, 42, berkata dia dihubungi lelaki yang tidak dikenali, memaklumkan mengenai penemuan anaknya itu.
“Seorang lelaki hubungi saya petang kelmarin dan memberitahu anak saya ada di surau di Taman Samudera.
“Mulanya saya ragu-ragu kerana tidak mungkin anak saya dibawa hingga ke Selangor, tetapi apabila dibenarkan bercakap dengan anak saya, barulah saya percaya,” katanya semalam.
Katanya, dia menghubungi saudaranya yang tinggal dekat Batu Caves supaya berjumpa anaknya itu.
Anaknya kemudian dibawa ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan penemuan, sebelum dibawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kanak-kanak berkenaan ditemui bapa saudaranya dalam keadaan separuh sedar di Surau Al-Ikhwan, di taman berkenaan.
“Bapa saudaranya menerima panggilan daripada bapa kanak-kanak itu kira-kira jam 5.15 petang sebelum pergi ke surau itu.
“Dia membawa kanak-kanak itu pulang dan membuat laporan polis di Balai Polis Kepong sebelum membawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan kira-kira jam 10 malam tadi (semalam),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Difahamkan ketika ditemui, Din Ajaib tiada di surau itu dan kanak-kanak itu dikatakan berkeliaran.
Abdul Rahim berkata, keterangan yang diambil daripada kanak-kanak itu menunjukkan dia dibawa dua lelaki dan seorang wanita dari Kota Bharu ke ibu negara.
Katanya, tiada sebarang kecederaan ditemui di badan mangsa.
Bagaimanapun polis masih menunggu laporan pihak hospital itu.
Ibu kanak-kanak itu berkata, anaknya berada di hospital dalam keadaan stabil, tetapi tidak mahu bercakap banyak kerana masih dalam keadaan trauma.
“Sudah tiga minggu anak saya hilang. Saya tidak sabar hendak berjumpa dia," katanya.
Siti Sarnan berkata, dia dan suaminya bertolak dari kampungnya di Kuala Krai dengan kereta pagi semalam ke sini untuk menemui anak mereka.
Kanak-kanak itu dikahwinkan bapanya yang berumur 54 tahun kepada lelaki itu selepas diperdaya oleh individu bahawa perbuatan itu mengikut Sunnah Nabi Muhammad. Enakmen Keluarga Islam Kelantan menetapkan syarat umur berkahwin bagi perempuan adalah minimum 16 tahun ke atas.
Siti Sarnan membuat laporan polis pada 25 Februari lalu.
Sementara itu, isteri pertama Din Ajaib, yang hanya dikenali sebagai Ana, 33, berkata, sejak pertengahan bulan lalu suaminya tidak mengirim sebarang berita atau menghubunginya.
“Saya tidak tahu ke mana suami saya menghilang dan turut berusaha mengesannya sebelum ini, Syukurlah kanak-kanak itu ditemui,” katanya.
Dia bersyukur kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan selamat.
lagi
Budak dilarikan suami ditemui di surau
2010/03/14
Siti Sarnan Mat Ail, 42, ibu kanak-kanak itu, berkata beliau dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan mengenai penemuan anaknya itu.
Kira-kira jam 6.30 petang semalam saya terima panggilan daripada seorang lelaki yang memberitahu anak saya berada di sebuah surau Al-Ikhwan di Taman Samudera di Batu Caves. “Mulanya saya ragu-ragu kerana tidak mungkin anak saya dibawa hingga ke Selangor, tetapi apabila dibenarkan bercakap dengan anak saya barulah saya percaya,” katanya di sini, semalam.
Katanya, sebaik mengetahui anaknya ditinggalkan di surau terbabit, beliau segera menghubungi seorang saudaranya yang menetap berhampiran Batu Caves supaya pergi menemui Siti Nur Zubaidah.
“Saudara kakak kemudian menemui Siti Nur Zubaidah dalam keadaan
lemah tidak bermaya dan membawanya ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan polis sebelum membawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan separuh sedar di surau Al-Ikhwan, Taman Samudera oleh bapa saudara kanak-kanak itu pada jam 7.15 malam.
Siti Sarnan berkata, sehingga kini anaknya itu masih dirawat di hospital terbabit dan beliau dimaklumkan oleh saudaranya, Siti Nur Zubaidah dalam keadaan stabil, tetapi enggan bercakap kerana masih trauma.
“Mungkin dia lemah kerana tidak makan dan trauma apabila dilarikan lelaki itu sehingga ke Selangor. Saya tidak sabar untuk berjumpa anak saya itu selepas 20 hari dia hilang,” katanya.
Siti Sarnan berkata, beliau dan suaminya meneruskan perjalanan ke ibu kota semalam untuk menemui Siti Nur Zubaidah.
Sebelum ini, Siti Nur Zubaidah, dikahwinkan bapanya Hussin Mat Salleh, 54, kepada Shamsuddin Che Derahman, lelaki tabligh berusia 41 tahun selepas diperdaya bahawa perbuatan itu mengikut Sunnah Nabi Muhammad. Enakmen Keluarga Islam Kelantan menetapkan syarat usia berkahwin bagi perempuan minimum 16 tahun ke atas.
Siti Sarnan kemudian membuat laporan polis pada 25 Februari lalu.
Sementara itu, isteri pertama lelaki terbabit, Rohana, 33, berkata, sehingga kini suaminya yang dikenali sebagai ‘Sudin Ajaib’ itu tidak menghantar sebarang berita atau menghubunginya.
“Saya tidak tahu ke mana suami menghilang dan turut berusaha mengesannya sebelum ini, syukurlah Siti Nur Zubaidah ditemui,” katanya.
Siti Sarnan bersyukur anaknya ditemui dalam keadaan selamat dan mengharapkan lelaki itu ditahan polis bagi mengelakkan kanak-kanak lain menjadi mangsa. – Bernama
lagi
Nikah bawah umur cabul hak anak majukan diri
Oleh Harlina Halizah Siraj
2010/03/14
Wali tidak laksana amanah untuk mendidik, ketepikan peluang remaja jadi insan cemerlangAPABILA diminta menulis isu perkahwinan remaja bawah umur yang hangat diperkatakan minggu ini, penulis bertanya kepada diri – dari sudut pandang mana harus dikupas isu ini agar dapat ia diperhalusi dan membuahkan satu kesimpulan yang rasional dan mantap?
Secara spontan, emosi keibuan penulis merintih kesedihan membaca laporan akhbar mengenai perkahwinan remaja berusia 11 tahun yang dikahwinkan bapanya dengan lelaki berumur 41 tahun. Apakah sebenarnya motif dan alasan yang mendorong seorang bapa bersetuju mengahwinkan anak yang masih kecil itu kepada lelaki asing yang dikatakan baru saja dikenalinya?
Bagaimanakah pula perasaan si ibu melepaskan anak gadisnya mengikut ‘suami’ yang 30 tahun lebih tua dan sudah beristeri pula? Tindakan ibu bapa remaja itu membuat laporan polis dan permohonan mufarakah untuk membatalkan perkahwinan itu memberikan gambaran kekesalan yang menghantui mereka. Namun, bagaimanakah kesudahan nasib si anak malang itu?
Minda waras tidak dapat tidak, pasti bertanya – “apa sudah jadi dengan masyarakat kita hari ini?” Kurang adil untuk masyarakat membuat spekulasi dan tanggapan negatif terhadap keluarga terbabit.
Biarlah saluran perundangan yang sudah mempunyai ketetapan khusus mengenai aspek ini digunakan sepenuhnya demi mendapatkan keadilan bagi remaja yang menjadi amanah ibu bapa mereka. Banyak ulasan dan kupasan mengenai aspek perundangan berkaitan isu ini dibincangkan dan saya tidak berhajat menghurai dari sudut pandang yang sama.
Isu pokok dalam perkara ini adalah kesejahteraan dan kebajikan remaja perempuan di bawah usia 16 tahun. Secara umumnya, ibu bapa serta penjaga bertanggungjawab memastikan remaja ini diberikan sepenuh peluang untuk mencapai potensi diri semaksimum mungkin dan dididik agar mampu menjadi insan yang cemerlang.
Namun hakikatnya, remaja perempuan pada peringkat usia ini begitu terdedah kepada eksploitasi dan penganiayaan. Dalam konteks global, banyak isu yang menyelubungi kehidupan remaja perempuan atau girl child terutama di negara yang masih membangun. Penganiayaan dan pencerobohan terhadap hak asasi mereka berlaku melalui perkahwinan paksa, pemerdagangan dan pelacuran, keciciran sekolah, buta huruf, buruh kanak-kanak, keganasan seksual dan sumbang mahram, kehamilan, kematian ibu ketika mengandung, pengguguran dan mutilasi alat sulit wanita menjadi isu utama yang mendapat perhatian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Perkahwinan paksa bagi remaja bawah umur dikenal pasti penyebab utama keciciran golongan ini daripada peluang pendidikan, di samping terdedah kepada komplikasi kesihatan jika mereka hamil dan melahirkan anak pada waktu usia muda.
Keputusan mengahwinkan remaja di bawah umur dibuat wali atau penjaga yang diharapkan melindungi gadis daripada penganiayaan. Malang sekali jika wali menggunakan alasan berunsurkan ekonomi atau disandarkan kepada ajaran agama yang dikatakan menggalakkan tradisi itu.
Lebih malang jika perkara ini dijadikan amalan khusus untuk membuktikan kesetiaan si bapa kepada ‘tuan guru’ atau ketua pemimpin kelompok yang diikutinya. Ibu dan remaja bawah umur itu pula tidak berani membantah keputusan si bapa yang merupakan wali mujbir, lantaran bimbang dianggap tidak taat dan patuh.
Tidak hairanlah jika kedengaran suara lantang di kalangan aktivis hak asasi wanita yang menuntut institusi wali atau penjaga dimansuhkan. Golongan ini melihat dengan peruntukan mendapatkan keizinan wali dalam perkahwinan wanita, maka mereka tidak mem-punyai kebebasan memilih pasangan hidup. Selama itu jugalah, wanita menghadapi kemungkinan dipaksa walinya untuk berkahwin dengan lelaki yang tidak disukainya atau dihalang dari mengahwini lelaki dicintainya!
Apa yang penting, sejauh manakah wali menyedari peranan dan tanggungjawab mereka dalam melindungi dan membela masa depan wanita yang berada dalam tanggungan mereka? Penyataan mengenai konsep qawwama seperti ditulis dalam Surah An-Nisa ayat ke-34 mesti diperhalusi dan diperjelaskan.
Mafhumnya: “Lelaki ialah qawwama (pelindung, penjaga, pembela dan pemelihara) bagi wanita kerana Allah SWT melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka memberikan nafkah dan hartanya”.
Kelebihan yang dimaksudkan, bukan keistimewaan dan kekuasaan terhadap wanita, membolehkan lelaki melakukan apa saja yang dikehendaki terhadap mereka. Jelas qawwama bukan ‘sulthah’ atau kekuasaan, namun lebih kepada kewajipan menjaga kebajikan wanita yang akan dipersoalkan Allah di akhirat kelak.
Adakah itu pula menandakan wanita sentiasa lemah, tiada berupaya membuat keputusan terbaik untuk dirinya dan sentiasa perlu dipimpin dan dibimbing? Tentu sekali tidak! Ketentuan Allah menjamin keseimbangan dan keharmonian hidup bersama, saling lengkap-melengkapi.
Lelaki tidak perlu tercari-cari contoh teladan melihat bagaimana qawwama dipraktikkan. Rasulullah ialah contoh terbaik seperti dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan isteri Baginda Aisyah r.a: “Yang terbaik antara kamu ialah yang terbaik terhadap ahlinya (isteri dan keluarga) dan aku ialah yang terbaik terhadap ahliku.”
Dalam konteks perkahwinan remaja di bawah umur, Rasulullah mengahwini Aisyah pada usianya yang amat muda, sesetengah riwayat mengatakan usia Aisyah sekitar enam hingga tujuh tahun ketika dikahwinkan ayahnya Saidina Abu Bakar kepada Rasulullah.
Aisyah dibawa tinggal bersama Rasul selepas berusia sembilan tahun dan menjadi balu pada berusia 18 tahun. Namun sehingga kini, nama Saidatina Aisyah harum sebagai cendekiawan Islam yang cerdas pintar dan hebat, hasil didikan dan bimbingan suaminya, Muhammad.
Alangkah bahagianya hidup setiap remaja perempuan dan wanita di dunia ini jika semua lelaki benar-benar menghayati teladan yang ditonjolkan Rasulullah dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.
Penulis adalah Naib Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Profesor Madya dan Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
lagi
Ulul Albab: Hukum khusus bagi Nabi tak boleh dikongsi.
Oleh Abdurrahman Haqqi
2010/03/14
Pernikahan Rasulullah dengan Aisyah yang di bawah umur dijelas dalam Surah al-AhzabIMAM al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya, al-Jami’ li Ahkam al-Quran yang berjumlah 20 jilid besar itu menyatakan: “Perkara ke 16, Allah SWT mengkhususkan untuk Rasul-Nya hukum hakam syarak yang tidak dikongsi oleh umatnya sama ada yang berkaitan dengan hukum wajib, haram mahupun halal sebagai kelebihan Baginda di atas umatnya. Ada hukum yang diwajibkan ke atas Baginda tetapi umatnya tidak diwajibkan; begitu pula ada yang diharamkan ke atas Baginda sedangkan ia tidak diharamkan ke atas umatnya; dan ada juga perkara yang dibenarkan untuk Baginda, manakala umatnya tidak dibenarkan melakukannya.
Bagaimanapun, hukum-hakam ini ada yang disepakati oleh ulama mengenainya dan ada juga perbezaan di kalangan mereka.” (Jld 14 m.s 211). Kemudian al-Qurtubi dalam dua muka surat berikutnya menyenaraikan kewajipan, larangan dan kebenaran yang khusus untuk Junjungan berkenaan yang disebutkan perkara yang wajib ada sembilan, perkara yang haram ada 10 dan perkara yang dibenarkan ada 16. Perbincangan hukum-hakam syarak yang khusus untuk Nabi ini dibincangkan oleh al-Qurtubi ketika dia membahaskan tafsir ayat 50 Surah al-Ahzab yang bermaksud: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isterimu yang engkau berikan mas kahwinnya, dan hamba perempuan yang engkau miliki daripada apa yang dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupumu iaitu): anak perempuan bapa saudaramu (daripada sebelah bapa) serta anak perempuan emak saudaramu (daripada sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (daripada sebelah ibu) serta anak perempuan emak saudaramu (daripada sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar mas kahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang yang beriman umumnya; Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang mukmin mengenai isteri mereka dan hamba perempuan yang mereka miliki supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Dalam ayat di atas yang menerangkan hukum penghalalan perkahwinan bagi Nabi yang disenaraikan ada disebut dengan jelas ‘perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang yang beriman umumnya’. Bunyi asal ayatnya ’khalishatan lak’ (khas bagimu semata-mata). Ketika mentafsir kata-kata ini, al-Qurtubi dan ahli tafsir yang lain menyatakan bahawa ia khas untuk kahwin hibah iaitu perempuan datang kepada Nabi menyerahkan dirinya untuk dinikahi Baginda tanpa wali, dua orang saksi dan mahar.
Jika Baginda berkenan maka sahlah perkahwinan itu. Konteks ayat tidak melarang kita untuk memahami bahawa ‘khas bagimu semata-mata’ boleh dikeluarkan hukum yang menetapkan ada perkara yang khas untuk Nabi saja dan umat Islam tidak berkongsi di dalamnya.
Walaupun tidak disenaraikan Imam al-Qurtubi dalam 16 perkara yang dihalalkan bagi Nabi tetapi penetapan kesaksian seorang sahabat Baginda bernama Huzaimah sama dengan kesaksian dua orang saksi juga menjadi hukum khas bagi Nabi, orang lain tidak berkongsi dengannya. Perkara ini tidak ada yang mempertikaikan, semua ulama bersepakat mengenainya. Jadi tidak timbul sebarang permasalahan.
Ada satu pertanyaan yang boleh ditimbulkan di sini iaitu mengapa ulama tidak menyatakan bahawa perkahwinan dengan anak di bawah umur adalah dilarang oleh agama dengan pengertian bahawa perkahwinan berkenaan haram hukumnya dan tidak sah serta orang yang melakukan demikian akan berdepan dengan undang-undang negara dan agama?
Sedangkan hujah yang diguna pakai dalam membenarkan perkahwinan berkenaan dengan merujuk kepada kisah perkahwinan Nabi dengan Aisyah ra boleh kita tafsirkan semula dengan melihat kepada falsafah hukum syarak dan konsep ajaran Islam yang umum serta prinsip asasnya yang adil, fleksibel dan sesuai sepanjang masa.
Antaranya kita boleh berhujah bahawa perkahwinan Nabi dengan Aisyah adalah khas untuk Nabi yang tidak boleh dikongsi oleh umatnya seperti yang kita sebutkan di atas asal permasalahannya.
Penghujahan ini diselarikan dengan penerimaan bahawa hadis mengenai umur Aisyah ketika berkahwin dengan Nabi adalah sahih. Tetapi kalau mahu dikaji semula, maka sememangnya ada yang meragui Saidatina Aisyah dikahwinkan di bawah umur.
Jika yang terakhir ini kita pilih, permasalahan akan mudah diselesaikan iaitu dengan cara menggunakan perundangan negara yang menetapkan batas umur dibenarkan perempuan berkahwin. Ketetapan ini wajib ditaati oleh umat Islam sebagai pelaksanaan atas ajaran Islam yang mewajibkan kita taat kepada ulil amri, manakala jika yang pertama dipilih maka permasalahan sememangnya tidak pernah wujud kerana agama pada dasarnya melarang perkahwinan dengan perempuan di bawah umur.
Di samping dalil syarak yang menetapkan demikian dengan jelas, begitu pula dalil akal menguatkan apa yang ditetapkan syarak dengan jernih seperti pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi kalau dalil nafsu yang dikedepankan, maka yang baik akan menjadi buruk dan yang buruk akan menjadi baik seperti pegangan ahli hawa nafsu. Wallahualam.
lagi
Isteri tak sangka Shamsudin tergamak kahwin budak
PASIR MAS 13 Mac - Isteri pertama Shamsudin Ajaib yang dikenali dengan nama 'Na' berkata, suaminya itu pernah membayangkan ingin beristerikan kanak-kanak sejak beberapa tahun lalu.
Suri rumah berusia 33 tahun itu menceritakan, suaminya menyuarakan keinginan merasa nikmat berkahwin dengan budak berbanding orang dewasa.
''Tetapi saya hanya anggap sebagai gurauan kerana dia sering bercakap benda-benda yang kadang-kadang tidak masuk akal," katanya.
Dia mengambil contoh pandangan suaminya yang tidak pernah mengizinkan isteri-isterinya bekerja walaupun kehidupan begitu mendesak kerana menyifatkan orang bekerja itu sebagai 'bodoh'.
''Begitu juga, dia sering berkata, ini kerana selagi menjadi hamba Tuhan, Tuhan akan menjaga termasuk makan dan minum mereka.
''Saya tidak sangka dia benar-benar berkahwin dengan kanak-kanak berusia 10 tahun itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam mendedahkan 'Shamsudin Ajaib' dikatakan berkahwin dengan seorang kanak-kanak berumur 11 tahun yang berasal dari Dabong, Kuala Krai pada 20 Februari lalu.
Lelaki itu juga mengahwinkan anaknya yang berusia 10 tahun kepada seorang lelaki bulan lalu tetapi berjaya pulang ke rumahnya di Pasir Mas.
Dia yang menghilangkan diri bersama 'isteri' baru selepas media melaporkan kejadian itu dikatakan mempengaruhi bapa kanak-kanak tersebut untuk menyerahkan anak perempuan di bawah umur untuk dikahwininya.
Berikutan itu juga, selain laporan polis, ibu dan bapa kanak-kanak itu, Hussin Mat Salleh, 54, dan Siti Sarnan Mat Ail, 42, memfailkan permohonan mufaraqah (berpisah sementara) di atas perkahwinan anaknya, Siti Nur Zubaidah 10, dengan Shamsudin.
Menurut Na, dia berkahwin dengan Shamsudin pada tahun 1996 dan sekarang mempunyai empat orang anak manakala perkahwinan dengan isteri kedua, ketiga dan keempat pula berlaku pada 2007.
''Shamsudin mempunyai dua lagi isteri, isteri kedua berusia 30 tahun dan kini mempunyai dua orang anak, lelaki berusia dua tahun dan perempuan lapan bulan.
''Isteri ketiga berusia 23 tahun tetapi telah diceraikan apabila keluarga wanita itu mengetahui cara perkahwinan yang meragukan manakala isteri keempat berusia 22 tahun dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan bulan," ujarnya.
Dia mendakwa Shamsudin melarang keras semua isterinya bekerja walaupun tidak mempunyai pekerjaan dan memberi tumpuan kepada gerakan tabligh.
''Saya secara sembunyi menjual barang-barang seperti bedak kepada jiran-jiran, kadangkala bolehlah RM10 sehari dan wang itu dibelanjakan untuk perbelanjaan seharian,'' ujarnya.
Kata Na, dia mengenali semua madunya tetapi ekoran kejadian itu, rumah mereka berkunci dan telefon juga tidak dijawab.
''Saya percaya mereka juga bersembunyi ekoran pelbagai cerita yang berlaku sekarang," katanya.
Dia mengharapkan supaya Shamsuddin kembali ke dalam masyarakat dan menyelesaikan masalah yang berlaku.
Katanya, dia tidak peduli sekiranya Shamsudin berkahwin empat tetapi perlu mematuhi syarat sebagaimana yang dituntut oleh agama dan tidak hanya menurut nafsu.
LAGI
Kena rotan kerana bangun lewat
KUALA LUMPUR - Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, memberitahu, dia masih letih dan sakit di punggung akibat dirotan oleh 'Shamsudin Ajaib' yang melarikannya selama 20 hari.
Zubaidah mendakwa, dia dirotan oleh lelaki yang tidak dikenalinya hanya kerana dia bangun lewat untuk sembahyang.
Berikut petikan perbualan Zubaidah dengan wartawan melalui telefon bimbit semalam.
lagi
Kahwin budak perbuatan tidak normal
Jangan bandingkan dengan zaman Malaysia masih dikenali Malaya dulu, kata majoriti orang ramai apabila tercetusnya berita budak perempuan berusia 10 dan 11 tahun dipaksa berkahwin dengan lelaki lebih berusia di negara ini.
Dua kes pernikahan yang berlaku di Kelantan itu melibatkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di Jelawang dan satu lagi kes melibatkan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang berkahwin dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas baru-baru ini.
Biarpun perkahwinan bawah umur sah dari segi agama, namun ramai yang mempersoalkan tujuan kedua-dua pernikahan itu diadakan.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri dilaporkan tidak bersetuju terhadap perkahwinan bawah umur kerana menurutnya Islam menggalakkan sesuatu perkahwinan untuk mendapatkan zuriat bukan semata-mata dilihat daripada sudut untuk memuaskan nafsu dan amalan sunnah Nabi Muhammad SAW semata-mata.
Biarpun ada yang mengatakan kanak-kanak perempuan kini cepat matang, namun adakah kanak-kanak pada usia semuda itu pada masa kini sudah bersedia secara psikologi dan mental terhadap ikatan sebuah perkahwinan?
Pakar psikologi perkembangan Dr Mariani Mansor berkata, perkahwinan sedemikian pastinya akan menggugat perkembangan kanak-kanak terbabit daripada segi fizikal, pemikiran, sosial dan emosi.
“Seorang lelaki yang sudah berumur pastinya mahu seorang isteri yang boleh berfungsi sepenuhnya daripada semua segi sedangkan kanak-kanak terbabit masih di peringkat kanak-kanak,” katanya kepada Bernama di sini.
Pensyarah kanan di Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, kanak-kanak itu kemungkinan boleh mengalami trauma akibat masa depannya yang telah diragut.
Ini kerana kanak-kanak pada usia itu masih lagi diletakkan dalam kategori kanak-kanak pertengahan dan bakal tidak melalui fasa remaja.
“Zaman remaja kanak-kanak itu akan dirampas dan tidak akan merasai alam remaja dan terus masuk ke alam dewasa disebabkan tanggungjawab sebagai isteri,” katanya.
Beliau berkata, pada peringkat umur 10 dan 11 tahun, kanak-kanak hanya boleh berfikir secara logik iaitu tahap operasi konkrit di mana perkembangan pemikiran mereka belum matang.
“Kanak-kanak di umur itu tidak faham tanggungjawab sebenar yang akan dipikul dan juga tidak faham rasional menjadi seorang isteri,” katanya.
Katanya, lelaki yang sanggup mengahwini kanak-kanak itu juga merupakan seorang yang bukan normal.
“Seorang yang dewasa dan sukakan kanak-kanak tidak boleh dilabel dengan kehendak seksualiti sahaja. Keinginan lelaki dewasa untuk mengahwini kanak-kanak itu bukanlah perkara kelazimannya,” katanya.- Bernama
lagi
Siasat kumpulan tabligh Sudin Ajaib
2010/03/15
KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa diminta menyiasat kumpulan jemaah tabligh yang diketuai Sudin Ajaib, yang menjanjikan balasan syurga kepada ibu bapa jika kanak-kanak perempuan mereka dikahwinkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata: “Satu siasatan yang terperinci perlu dilakukan pihak berkaitan kerana janji mereka itu akan menarik hati ibu bapa yang tidak berfikir panjang seterusnya memperjudikan masa depan kanak-kanak tersebut.” “Selain itu, ‘suami’ kanak-kanak itu yang disifatkannya sebagai melampau yang menjadi punca kepada dua kes perkahwinan paksa kanak-kanak perempuan di Kelantan itu perlu dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas melawat Siti Zubaidah Hussin, 11, yang dipaksa berkahwin dengan lelaki tabligh berusia 41 tahun itu di Hospital Sungai Buloh semalam.
Siti Zubaidah yang tidak dapat dijejaki sejak keluar dari rumah bersama bapanya dan Shamsudin pada 20 Februari lalu ditemui di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera dekat Batu Caves Jumaat lepas oleh lelaki yang tidak dikenali.
“Saya gesa agar tindakan undang-undang diambil ke atasnya jika penyiasatan menunjukkan berlaku pelanggaran undang-undang sama ada mengikut Kanun Keseksaan atau di bawah Akta Syariah kerana berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur tanpa kebenaran,” kata Shahrizat.
“Dia tidak bertanggungjawab... sudahlah melarikan kanak-kanak itu selama dua minggu dari keluarganya, kemudian ditinggalkan berseorangan tanpa sebarang rasa kasihan dan tanggungjawab. Mujurlah mangsa dapat diselamatkan,” katanya.
Shahrizat berkata beliau turut menghantar surat kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan agar kes tersebut disiasat segera dalam memastikan tiada kejadian serupa berulang.
“Kita tidak boleh berdiam kerana kanak-kanak ini masih kecil dan perlu dilindungi. Kita juga minta Jabatan Kebajikan Masyarat memberikan rawatan dari segi perubatan dan kaunseling,” katanya.
Dalam pada itu, sumber berkata kanak-kanak malang itu mengaku tidur sebilik dengan suaminya di sebuah hotel di ibu negara selama dua atau tiga hari selepas dinikahkan.
Bagaimanapun, mengikut sumber, kanak-kanak itu mendakwa mereka bagaimanapun tidak melakukan sebarang hubungan seksual dan suspek cuma menyentuh di bahu. “Itu diceritakan mangsa kepada seorang doktor yang memeriksanya di sini. Banyak yang dia tidak ingat, malah dia sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh berada di surau,” katanya.- Bernama
Pihak berkuasa digesa siasat Shamsudin Ajaib | ||
|
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata: "Satu siasatan yang terperinci perlu dilakukan oleh pihak berkaitan kerana janji mereka itu akan menarik hati ibu bapa yang tidak berfikir panjang seterusnya memperjudikan masa depan kanak-kanak tersebut."
Selain itu, "suami" kanak-kanak itu yang disifatkannya sebagai melampau yang menjadi punca kepada dua kes perkahwinan paksa kanak-kanak perempuan di Kelantan itu perlu dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang, katanya kepada pemberita selepas melawat Siti Zubaidah Hussin, 11, yang dipaksa berkahwin dengan lelaki tabligh berusia 41 tahun itu di Hospital Sungai Buloh hari ini.
Siti Zubaidah yang tidak dapat dijejaki sejak keluar dari rumah bersama bapanya dan Shamsudin pada 20 Februarilepas, ditemui di Masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera dekat Batu Caves Jumaat lepas oleh lelaki yang tidak dikenali.
"Saya gesa agar tindakan undang-undang diambil ke atasnya jika penyiasatan menunjukkan berlaku pelanggaran undang-undang sama ada mengikut Kanun Keseksaan atau di bawah Akta Syariah kerana berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur tanpa kebenaran," kata Shahrizat.
"Dia tidak bertanggungjawab... sudahlah melarikan kanak-kanak itu selama dua minggu dari keluarganya, kemudian ditinggalkan berseorangan tanpa sebarang rasa kasihan dan tanggungjawab. Mujurlah mangsa dapat diselamatkan," katanya.
Shahrizat berkata beliau turut menghantar surat kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan agar kes tersebut dapat disiasat segera dalam memastikan tiada kejadian serupa berulang.
"Kita tidak boleh berdiam kerana kanak-kanak ini masih kecil dan perlu dilindungi. Kita juga sudah minta Jabatan Kebajikan Masyarat memberikan rawatan dari segi perubatan dan kaunseling," katanya.
Dalam pada itu, sumber berkata kanak-kanak malang itu mengaku telah 'tidur' sebilik dengan suaminya di sebuah hotel di ibu negara selama dua atau tiga hari selepas dinikahkan.
Bagaimanapun, mengikut sumber, kanak-kanak itu mendakwa mereka bagaimanapun tidak melakukan sebarang hubungan seksual dan suspek cuma menyentuhnya di bahu.
"Itu yang diceritakan mangsa kepada seorang doktor yang memeriksanya di sini. Banyak yang dia tidak ingat, malah dia sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh berada di surau," katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Siti Sarnan Mat Ail, 42, berkata anaknya itu meminta untuk menetap bersama bapa saudaranya di Tanah Merah, Kelantan sebaik keluar dari hospital nanti.
"Dia juga akan ditukarkan sekolah berdekatan rumah bapa saudaranya selepas hampir tiga minggu tidak ke sekolah," katanya.
Siti Sarnan berkata anaknya kini beransur pulih dan berada dalam keadaan stabil tetapi tidak mampu bercakap banyak kerana masih dalam keadaan trauma.
Menceritakan mengenai kejadian itu, beliau berkata, Shamsudin cuba mempengaruhi dirinya agar Siti Zubaidah mengikuti lelaki itu dengan alasan untuk mendaftarkannya di sebuah sekolah tahfiz di Wakaf Baru, Kelantan.
Siti Sarnan berkata Shamsudin mendakwa anaknya itu akan dapat menghafaz al-Quran dalam tempoh singkat jika mengikuti kelas di pusat tersebut sepertimana anak Shamsudin yang dakwa turut dihantar ke pusat tersebut.
"Dia cuba pengaruh saya dengan mengatakan jika anak tamat tahfiz, dia boleh tolong ibu bapa di akhirat namun saya tidak bersetuju kerana berasa tidak sedap hati, lagipun Zubaidah masih bersekolah.
"Meskipun saya berat hati untuk membiarkan anak saya mengikut Shamsudin,
namun saya akur selepas mereka (Shamsudin dan suami) berkeras untuk membawa Zubaidah dan saya fikirkan tidak akan berlaku apa-apa memandangkan suami, Hussin Mat Salleh, 54, turut serta," katanya.
Siti Sarnan berkata ketika Siti Zubaidah dibawa suaminya dan Shamsudin pada pagi 20 Februari lepas, anaknya telah menangis teresak-esak.
Katanya beliau tidak tahu-menahu bahawa anaknya itu akan dikahwinkan malam tersebut.
"Saya mula runsing apabila mereka tidak pulang malam itu, malah suami saya gagal dihubungi selama tiga hari. Saya kemudinnya mendapatkan nombor telefon Shamsudin dari kawannya sebelum memaksa mereka pulang.
"Bila pulang, saya lihat suami seperti kebingungan dan bercakap seperti orang hilang akal seakan-akan seperti dipukau apabila menurut sahaja kata-kata lelaki tersebut. Manakala anak saya hilang," katanya.
- Bernama
lagi kisahnya
Sudin Ajaib belum puas
sfhassan@hmetro.com.my
2010/03/16
KOTA BHARU: Tidak cukup menikahi budak berusia 11 tahun, Siti Nur Zubaidah Hussin, lelaki dikenali sebagai ‘Sudin Ajaib’ dikatakan turut merancang untuk mengahwini seorang lagi kanak-kanak.
Difahamkan, Sudin Ajaib yang turut menikahkan anaknya berusia 10 tahun dengan ahli jemaah, pernah memberitahu seorang rakannya dia mahu mengahwini seorang lagi kanak-kanak dari Ketereh, dekat sini.
Menurut isteri pertama Sudin Ajaib yang mahu dikenali sebagai Na, dia diberitahu secara ringkas oleh seorang rakan suaminya mengenai perkara itu.
Katanya, dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana dia sudah tidak dapat berhubung suaminya yang kali terakhir berada di rumah mereka kira-kira jam 12 tengah hari pada 22 Februari lalu.
“Saya hanya diberitahu suami mahu berkahwin seorang lagi kanak-kanak perempuan selepas ini.
“Rakannya beritahu kanak-kanak perempuan itu berasal dari Ketereh. Hanya itu yang saya tahu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam kejadian baru-baru ini, Siti Nur Zubaidah dikahwinkan dengan Sudin Ajaib, 41, oleh bapa kandungnya yang juga rakan jemaah itu sebelum hilang selepas mengambil kanak-kanak berkenaan di rumahnya di Kampung Jelawang, dekat Dabong, pada 20 Februari lalu.
Sebelum itu, Sudin Ajaib sempat menikahkan anaknya sendiri, Nur Hadhirah yang baru berusia 10 tahun dengan seorang rakan jemaah lain dikenali sebagai ‘Azhar’ dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke markas mereka di Kota Bharu. Pernikahan itu berlaku ketika bapa Siti Nur Zubaidah turut berada dalam kereta berkenaan.
Selepas 23 hari dilarikan, Siti Nur Zubaidah ditemui kira-kira jam 6.30 petang di Madrasah Al-Ikhwan, Taman Samudera Jaya, Batu Caves, Selangor, Sabtu lalu.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) berkata, pihaknya masih memburu Sudin Ajaib yang didakwa ketua jemaah terbabit bagi membantu siasatan.
Katanya, sebaik mendapat laporan kes berkenaan, pegawai JAHEIK pernah ke rumah lelaki terbabit untuk menjalankan siasatan, namun dia sudah melarikan diri.
“Kami ada buat siasatan mengenai Sudin, namun sebaik tiba di rumahnya dia sudah melarikan diri.
“Bagaimanapun, jika dia berada di luar negeri, ini bukan bidang kuasa kami untuk melakukan siasatan, sebaliknya diserahkan kepada polis,” katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, menurut Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad, hanya Mahkamah Syariah boleh menentukan sama ada sah atau sebaliknya status perkahwinan kanak-kanak perempuan itu yang dikatakan berlaku secara paksa.
Beliau berkata, mereka yang terbabit kes itu, seperti bapa kanak-kanak berkenaan dan lelaki terbabit perlu didakwa di mahkamah terlebih dulu sebelum status perkahwinan itu ditentukan.
“Andaian yang dibuat orang ramai mengenai kes ini tidak boleh dijadikan asas kukuh dalam menentukan status perkahwinan pasangan terbabit sebelum kes itu diputuskan mahkamah.
“Ini perlu bagi mengelak kekeliruan masyarakat Islam berhubung soal perkahwinan kerana ia menyentuh hukum Islam,” katanya.
lagi
Bapa Zubaidah menghilangkan diri
KUALA KRAI - Hussin Mat Salleh, 54, bapa kanak-kanak malang Siti Nur Zubaidah, 11, yang 'dinikahkan' dengan seorang lelaki tabligh 'Shamsudin Ajaib' dipercayai menghilangkan diri dari rumahnya di Jelawang, Dabong dekat sini tiga hari lalu.
Usaha wartawan Kosmo! untuk menemubualnya gagal apabila rumah kayu tersebut kosong tanpa penghuni dan berkunci.
Jiran Hussin, Mohd. Noor Ibrahim, 56, berkata, dia tidak nampak kelibat Hussin serta anak-anaknya yang lain sejak tiga hari lalu dan tidak tahu ke mana mereka pergi.
lagi
Kumpulan tabligh dipantau
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2010/03/16
KUALA LUMPUR: Bukit Aman sedang memantau beberapa kumpulan tabligh di negara ini yang didapati memperdayakan pengikut mereka, termasuk mengamalkan perkahwinan di bawah umur atas alasan dijanjikan balasan syurga.Ia susulan kejadian membabitkan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Siti Nur Zubaidah Hussin dari Dabong, Kelantan yang dipaksa berkahwin dengan pemimpin sebuah kumpulan tabligh di negeri itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata beliau sudah mengarahkan pegawainya menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan sebelum tindakan selanjutnya diambil. “Ini memerlukan siasatan rapi kerana membabitkan mangsa di bawah umur. Jika kes didapati mempunyai unsur jenayah, termasuk penipuan dan paksaan (berkahwin), polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap ‘suami’ kanak-kanak itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata beliau sudah mengarahkan pegawainya menjalankan siasatan terperinci berhubung kes berkenaan sebelum tindakan selanjutnya diambil. “Ini memerlukan siasatan rapi kerana membabitkan mangsa di bawah umur. Jika kes didapati mempunyai unsur jenayah, termasuk penipuan dan paksaan (berkahwin), polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap ‘suami’ kanak-kanak itu.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membelakangkan undang-undang. Saya memberi jaminan kes akan disiasat setiap sudut menggunakan semua saluran yang ada,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Beliau mengulas permintaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kelmarin supaya lelaki tabligh terbabit dikenakan hukuman atas kesalahan mencabul kehormatan kerana mengahwini kanak-kanak di bawah umur.
Ismail berkata, polis akan mengambil keterangan kanak-kanak terbabit secepat mungkin, termasuk ibu bapanya bagi membantu siasatan kes berkenaan yang kini mendapat liputan meluas media.
“Jika wujud unsur jenayah, tindakan tegas akan diambil termasuk melancarkan gerakan memburu pemimpin tabligh terbabit yang menghilangkan diri sebaik kes ini didedahkan pihak media, ” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai tidak terlalu taksub atau mudah terpedaya dengan sebarang kegiatan keagamaan yang menyalahi undang-undang.
lagi
Kes kahwin budak jejas imej tabligh
2010/03/16
KUALA LUMPUR: Isu yang berlaku membabitkan jemaah tabligh hingga memberikan impak negatif terhadap kumpulan berkenaan perlu ditangani secara bijaksana oleh pemimpin tertinggi kumpulan itu kerana apa yang berlaku sedikit sebanyak mencemarkan imej Islam yang dibawa.Justeru pimpinan tertinggi jemaah tabligh perlu berusaha membersihkan semula imej bagi memastikan imej bersih pergerakan itu tidak disalahgunakan dan dicemari oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata, tidak mustahil terdapat individu yang mendakwa dirinya tergolong dalam jemaah tertentu dan membawa beberapa pendekatan yang sebenarnya tidak berkaitan langsung dengan jemaah yang didakwa diikutinya. “Mungkin ada individu yang mendakwa sebagai golongan jemaah tertentu tetapi sebenarnya bukan dari kalangan mereka dan golongan inilah yang sebenarnya merosakkan imej baik dan memberikan impak negatif atas perbuatan yang mereka lakukannya.
“Selain itu pendekatan didikan yang berbeza oleh sesetengah jemaah tetapi mungkin ada sedikit ciri persamaan terhadap jemaah tertentu juga menyuburkan lagi ketaksuban pengikut terhadap kumpulan” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan