Semua manusia yang dicipta Tuhan mempunyai kelemahan dalam mengawal nafsu. Sehebat-hebat didikan agama dalam jiwa seseorang manusia, dia tetap akan terlanjur melakukan sesuatu yang salah akibat teikut naluri nafsu dari masa ke semasa. Ada yang tersilap kecil, namun tidak kurang juga yang tersilap besar sehingga dikategorikan sebagai melanggar undang-undang manusia sampailah si dia dihukum di mahkamah manusia. Kebelakangan ini, budaya katak politik yang semakin menjadi-jadi telah mencemarkan lagi sistem demokrasi negara kita. Sudah tentu kita tidak lupa bahawa betapa hebatnya kuasa demokrasi yang dimiliki katak-katak politik sehingga ia boleh menjatuhkan kerajaan Perak tanpa mengikut saluran demokrasi yang betul. Katak-katak politik ini jugalah yang menyebabkan buat pertama kalinya dalam sejarah negara kita, Menteri Besar tidak ditentukan oleh undi rakyat sendiri tetapi mahkamah persekutuan. Apakah sampai sekarang, saudara masih tidak akur dengan kehebatan katak-katak politik ini? Berbalik semula kepada episod katak-katak politik yang berlaku dalam parti PKR kebelakangan ini; ramai antara kita mengutuk perbuatan katak ini sebagai sesuatu perbuatan khianat yang tidak boleh dimaafkan sampai bila-bila. Bagi saya, kerja mengutuk ini hanyalah untuk melepaskan emosi yang meruap-ruap ketika katak ini melompat, tapi persoalan yang lebih penting untuk kita fokuskan ialah - berapakah orang yang betul-betul faham apakah sebenarnya yang menyebabkan kita marah terhadap katak politik ini? Marilah kita sama-sama merenungkan 2 soalan di bawah; (a) Adakah kita marah sebab kita tidak dapat menerima budaya katak politik kerana ia mengkhianati amanah yang diberikan oleh para pengundi? Atau…. (b) Adakah kita melenting kerana si katak memilih untuk melompat dari tempat yang dianggap suci ke tempat yang dianggap kotor pada pandangan kita? Jika saudara memilih soalan (a) sebagai jawapan saudara – maka renungkan soalan (c) di bawah… (c) Jika Tengku Razaleigh melompat ke mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat atas dasar hilang kepercayaan pada UMNO, adakah saudara akan berasa marah terhadap Tengku Razaleigh kerana saudara tidak dapat menerima budaya katak politik dan merasakan bahawa beliau telah mengkhianati amanah yang diberikan oleh penduduk kawasan Gua Musang? Jika saudara memilih soalan (b) sebagai jawapan saudara – maka renungkan soalan (d) di bawah… (d) Boleh tak saya simpulkan bahawa saudara menyokong budaya katak politik asalkan pada pandangan saudara katak itu melompat ke pihak yang disokong saudara – seperti Tengku Razaleigh melompat ke PAS atau PKR? Jawapan kepada 2 soalan di atas akan dapat membuktikan bahawa rakyat sendiri mempunyai unsur hipokrit dalam menentang budaya katak politik yang sedang melanda negara kita. Sifat hipokrit ini terjadi kerana segala urusan manusia masa kini sering dipertimbangkan dan dikawal dari perspektif soal untung-rugi seolah-olah seperti satu urusniaga perniagaan. Kebanyakan yang dikomen, ditulis, dibantah dan disokong bukan kerana prinsip, tapi berdasarkan perspektif untung-rugi bagi seseorang. Segala yang membawa keuntungan dibolehkan walaupun ia melanggar prinsip hidup sendiri seperti kata pepatah “matlamat menghalalkan cara”. Sikap hipokrit rakyat ini sudah terbukti membawa padah kepadanya sendiri, kerana sudah tentu kerajaan yang terhasil daripada undi-undinya akan mempunyai ciri-ciri hiprokrit yang sama – lihatlah sahaja kerajaan BN yang kita ada sekarang… Sifat hipokrit sebegini harus dihentikan, dan ia harus bermula daripada rakyat. Rakyat harus konsisten dalam menuntut prinsip-prinsip politik yang baik daripada semua parti politik dan rakyat tidak boleh mempergadaikan sedikit pun prinsip-prinsip ini demi keuntungan jangka waktu pendek kepada pihak yang disokongnya. Jika tidak, percayalah bahawa kita tetap akan mendapat kerajaan yang hipokrit sikapnya tidak kira siapa yang memerintah – Rakyat borek, kerajaan rintik. ------------------------------------------------------------------- Li Fook Gao tidak berkeyakinan bahawa keadaaan ekonomi negara kita sudah bertambah baik apabila mendapati bahawa harga set makanan tengahari McD lebih murah berbanding sepinggan nasi campur biasa bersama secawan kopi di restoran-restoran biasa.
LAGI
Utusan tolak tulisan bekas mufti Perlis
| | Jimadie Shah Othman Mac 7, 10 2:53pm |
| | Ahkbar Mingguan Malaysia hari ini menolak tulisan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung kaedah menangani pandangan ulama, untuk kolum mingguannya.Penolakan terhadap tulisan berjudul 'Ulama dimuliakan atau disucikan?' itu dibantah bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dalam laman sosial Facebook kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Mengulas perkara itu, Shahidan yang juga anak murid Dr Asri mendakwa, penolakan tersebut dibuat kerana akhbar itu takut kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Shahidan juga mempersoalkan tindakan Jakim yang didakwanya mahu 'gam' Dr Asri.
Sementara itu, Dr Mohd Asri ketika dihubungi mengesahkan penolakan terhadap tulisannya itu. Bagaimanapun, beliau enggan berspekulasi lagi berhubung sebab-sebabnya.
“Pada saya itu biasa sahaja, saya hendak tengok dulu apa seterusnya (berlaku pada tulisan yang akan datang),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Diminta menjelaskan intipati tulisan itu, Dr Mohd Asri menjelaskan, beliau menyatakan pendapatnya bahawa pandangan ulama bukanlah sesuatu yang suci, justeru ia boleh sentiasa dinilai.
Bagaimanapun, penyarah agama yang terkenal dengan kelantangannya itu, menegaskan bahawa pandangan ulama, walaupun bukan suci, ia masih perlu dihormati.
LAGI
MP PKR yang lompat parti ibarat ikan ternak
| Razali Alias Mac 4, 10 9:37am
|
| | Hangat orang memperkatakan tentang upacara melompat parti oleh ahli parlimen PKR sama ada sebagai MP bebas atau terus menyertai Umno. Tiba-tiba penulis teringat kepada projek 'contract farming' ternakan ikan yang sedang penulis usahakan sekarang! Penulis merasakan bahawa projek melompat parti ini adalah hasil kerja pimpinan Uumno yang didalangi oleh bekas pemimpin PKR sendiri, yang sentiasa berhubung dengan pemimpin Umno dulu, kini dan selamanya. Penulis yakin bahawa sekarang ini adalah masanya bagi pemimpin Umno atau bekas pemimpin PKR menuai hasil ternakan mereka. Maksudnya, bekas-bekas MP PKR (yang melompat keluar parti) ini telah diternak lama oleh tauke mereka dan selama ini diberi makan percuma sehingga sampai ke tahap 'matang'. Adalah menjadi satu syarat wajib 'contract farming' bahawa hasil ternakan yang dibiayai sepenuhnya oleh tauke apabila sudah matang, akan 'dibeli balik' atau hasil ternakan itu 'mesti dijual' kepada pembiaya! Oleh itu, tidak hairanlah apabila diberitakan yang mereka kembali kepada Umno atau melompat parti sebagai MP bebas! Adalah diharapkan agar MP Pakatan Rakyat supaya elakkan diri daripada diternak, dibiayai dan dibeli balik (dijual) dengan harga yang murah! Harga diri MP Pakatan Rakyat bukanlah sebegitu rendah bagaikan harga binatang ternakan. Penulis adalah Setiausaha Perhubungan PKR Pahang.
LAGI
Islam tidak ajar solat minta bencana kepada sesama umat 07/03/2010 5:05pm
ALOR SETAR 7 Mac – Islam tidak mengajar umatnya bersembahyang hajat memohon kepada Allah supaya menurunkan bencana kepada golongan seagama dan hukumnya adalah berdosa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom. “Saya tidak mahu menggelar mereka golongan apa, tetapi mereka ini termasuk dalam orang-orang yang menyalahgunakan agama demi kepentingan politik. "Perkara ini (sembahyang hajat memohon bencana) tidak diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Awang yang dilaporkan memberi tempoh tujuh hari kepada Mohsin Fadzli Samsuri untuk mengosongkan kerusinya ataupun menghadapi tindakan dikenakan solat hajat supaya dihukum oleh Allah kerana dikatakan mengkhianati perjuangan parti. Ahli Parlimen Bagan Serai itu keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) minggu lalu dan menjadi wakil rakyat Bebas setelah dikatakan tidak bersetuju dengan pendirian PKR berhubung isu kalimah Allah. – Bernama
LAGI
Nazri Abdullah | KUALA LUMPUR, 7 Mac: Polis menyerbu ceramah sempena dua tahun kemenangan Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan walaupun di adakan di tanah dan bangunan milik kerajaan negeri Selangor iaitu di padang Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru. Akibat sebuan itu, tiga petugas Pakatan cedera, seorang cedera di tangan manakala dua lagi lebam pada muka, leher dan kepala. Mereka kemudiannya membuat laporan polis.
Anggota polis dan FRU bertindak menyerbu perhimpunan itu selepas Naib Presiden PKR, Azmin Ali memulakan ucapannya tidak sampai lima minit selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khalid Ibrahim berucap sebelumnya.
"Bangunan ini, tanah ini bukan milik Umno, bukan milik Rosmah (isteri Perdana Menteri), tetapi milik kerajaan negeri Selangor atas nama menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim..." tegas Azmin disambut tepukan orang ramai.
Sebaik sahaja selepas berkata demikian, kira-kira 50 FRU yang sudah bersedia seawal Khalid sedang berucap sebelum itu lagi, menyerbu ke pentas dan menghentikan Azmin dari berucap.
Menurut maklumat, ada beberapa petugas dan orang ramai yang dipukul oleh FRU kerana cuba menghalang serbuan itu. (Gambar: Tiga petugas Pakatan Rakyat yang cedera )
Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah belum sampai.
Di atas pentas adalah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Dr Lo' Lo' Ghazali, anggota Parlimen kawasan Titiwangsa, Tan Sri Khalid dan beberapa kepimpinan Pakatan Rakyat wilayah yang lain.
Akibat serbuan itu keadaan menjadi kecoh dan pemimpin pakatan terpaksa masuk ke dalam dewan sebelum berunding dengan pihak keselamatan.
Hampir seribu penyokong yang hadir bagaimanapun tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing sambil melaungkan 'reformasi'.
Selaian itu, mereka juga membaca doa beramai-ramai memohon program tersebut dapat diteruskan.
Setelah hampir 20 minit berbincang, polis kemudian membenarkan ceramah diteruskan tetapi hanya boleh dibuat di dalam dewan sahaja.
Ekoran itu, semua para hadirin yang berada di padang diminta masuk ke dewan.
Anwar dan isterinya tiba kira-kira jam 10.25 malam dengan disambut teriakan reformasi dan takbir dari orang ramai.
Dalam ucapannya selepas itu, Mahfuz mengucapkan terima kasih kepada polis kerana dengan serbuan itu orang ramai katanya semakin benci kepada Umno.
Azmin memberitahu, tindakan polis menyerbu majlis pada malam ini setelah mendapat tahu satu VCD akan dilancarkan oleh Anwar berkaitan dengan fatwa terbaru ulamah tersohor Dr Yusof Qardawi berkaitan dengan Liwat II. VCD tersebut bertajuk 'Fatwa mutakhir Yusuf Al-Qaradawi berhubung Konspirasi ll terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar sewaktu melancarkan VCD itu berkata, Qardawi tiga minggu lalu telah mengeluarkan fatwa bahawa mereka yang terlibat dengan perancangan fitnah liwat terhadapnya adalah dihukum munafik, manakala mereka yang membantu menyebarkan fitnah itu dihukum fasik.
LAGI
http://idhamlim.blogspot.com | Berikutan dengan kenyataan Mufti Perak , Tan Sri Harussani Zakaria dalam program dialog Zaaba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam, yang mendakwa PAS Perak dengan angkuh menolak cadangan tersebut walaupun pada dasarnya mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan dipersetujui kepimpinan parti itu.
Namun perkara itu telah disanggah oleh Ahli Majlis Syura Ulama PAS yang juga pesuruhjaya PAS Perak pada masa itu , Ahmad Awang mendakwa Tan Sri Harussani Zakaria telah menokok tambah perbualan mereka ketika mufti Perak itu menghubunginya bagi memujuk PAS. Dalam bahasa lain Harussani telah berbohong.
Selayaknya dan dalam bahasa yang paling mudah Hasussani sekarang ini bukan lagi berperanan sebagai Mufti Perak yang sebenarnya, namun dia adalah Penasit Agama kepada UMNO, malah semacam jurucakap pula dalam permasalah tersebut.
Satu lontaran persoalan awal, kenapa perkara ini dilontarkan kepada orang yang berada diluar Perak dan dihadapan kalangan ilmuan dan mereka yang saya kira tidak selayaknya mengetahui dengan jelas perkara itu.
Atau adakah Harussani sudah tidak berani untuyk menghalalkan Kerajaan Perak yang ada sekarang di Perak , tetapi cuma berani untuk menghalalkannya diluar. kalau berani datanglah ke Parit Buntar untuk mengulangi ucapan tersebut.
Selain itu dalam pendedahan yang berlaku itu saya anggap satu rahmat kepada PAS dan Pakatan Rakyat Perak kerana ia menjadikan satu medan bagi menjelaskan betapa PAS ikhlas dan sangat konsisten dalam menegakkan prinsipnya untuk bersama dengan DAP dan PKR dalam menubuhkan kerajaan di Perak satu masa dulu.
Seperti yang didedahkan oleh Ust. Ahmad Awang bahawa Harussani berkata kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu berteraskan Melayu dan Islam, sedangkan mufti Perak itu mendakwa pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham anti-Islam. Lalu disanggah olehnya dengan berkata bahawa beliau mengenali pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Kor Ham sejak tujuh atau lapan tahun lalu, dan mengetahui beliau beragama kristian.
"(Tetapi) Ngeh tidak pernah bersikap anti-Islam," tegas Ust. Ahmad Awang.
Perkara ini mendedahkan bahawa kita bersama dengan DAP atas dasar mengenali lebih dekat dengan mereka dan tahu hati budi pimpinannya, sebaliknya Harussani walau seorang yang dipanggil mufti namun sengaja menegakkan hujah dan benang basahnya tanpa ada alasan yang kuat.
Perkara ini menyerlahkan sikap kita yang sebenarnya dan saya yakin akan mendapat perhatian penghormatan yang tinggi dari DAP.
Kerana itu beberapa hari lepas dalam Mesyuarat bulanan Pakatan Rakyat Perak, DAP bertegas dan telah dipersetujui sebulat suara bahawa jawatan Ketua Pembangkang di DUN Perak diserahkan kepada DS. Nizar. Walaupun diperingkat awal kita beralah dan menjelaskan kerusi PAS jauh lebih sedikit dari mereka tetapi DAP tetap bertegas menyerahkannya kepada PAS.
Saya masih hairan dengan Harussani yang sangat dekat dengan perjuangan Melayu bersama UMNO sedangkan jelas perjungan Assobiyah yang dicanangkan oleh UMNO itu jelas bercanggah dengan Islam. Sepatutunya persoalan assobiyah yang menghantui perjuangan UMNO sudah cukup untuk Harusssani berdiam diri dan jangan terlalu memihak.
Sayangnya apa yang ditunjukkan oleh Harussani menyebabkan raputasi masyarakat Islam terhadapnya sudah sangat merosot. Ianya sangat dikesali oleh para "kulaan" . rungutan dari kawan-kawan sepengajian di Kolej Islam Kelang sering saya dengar.
Apa boleh buat, Harussani mahu dia tidak dihormati itulah yang dia dapat sekarang.
Drs Khalil Idham Lim, Adun Titi Serong.
* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.
jadikan renungan
Nik Aziz: MP lompat ibarat 'buaya di balik batu'
| | Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, tindakan beberapa wakil rakyat PKR yang keluar parti dan menjadi wakil bebas disifatkan sebagai "buaya di sebalik batu"."Sedihnya, ribut tidak (ada), hujan pun tidak, tiba-tiba bah melanda! Syak saya teramat kuat akan adanya kepentingan politik (mereka) tersendiri. Ini bukannya udang di sebalik batu, bahkan buaya," katanya.
Nik Aziz (kiri, berserban) yang juga mursyidul am PAS mengulas 'fenomena' keluar parti yang menghantui PKR setelah tiga anggota parlimennya berpaling tadah dalam tempoh yang amat dekat.
Mereka ialah Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Lepas), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).
Dalam satu kenyatan hari ini, Nik Aziz berkata, jika terdapat perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan sedia ada, perkara itu boleh disuarakan dengan dengan pelbagai cara, tetapi bukan dengan melompat parti.
"Usulkan sahaja sidang tergempar, ambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang bersalah. Paling tidak, adakan perbincangan dari hati ke hati.
"Bukankah ini menjadi amalan biasa turun temurun di dalam menyelesaikan urusan rumahtangga parti?" soalnya yang kini sedang mendapatkan rawatan kerana sakit dada di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu sejak kelmarin.
Sehubungan itu, Nik Aziz menambah, pemimpin yang meninggalkan parti perlu juga meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen sebagai tanda menghormati mandat yang diberikan rakyat kepadanya.
"Bertanding atas tiket parti lain, tiba-tiba menukar haluan. Bukankah ini satu penipuan? Umpama meminang anak dara orang dengan perwatakan lebai, alih-alih bertukar rupa menjadi pencuri," sindirnya.
Beliau juga menasihatkan PKR - yang disifatkanya sebagai parti yang masih muda - tidak berputus asa kerana perkara yang sama pernah berlaku pada PAS sendiri, termasuk melibatkan pemimpin tertingginya.
"Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat sebagaimana dahulu.
"Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dan dua undi! Alhamdulillah, tidak ada yang melompat," katanya.
lagi
Wakil Kuala Kurau nafi tinggalkan PKR
| | Kuek Ser Kuang Keng Mac 4, 10 12:51pm |
| | Ahli dewan undangan Perak bagi kerusi Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari dengan keras menafikan khabar angin yang mendakwa beliau bakal meninggalkan PKR.
Sehubungan itu, beliau membidas Umno yang didakwanya punca segala tohmahan dan berita palsu berkenaan.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya saya akan keluar parti. Saya ingin beritahu Umno yang kami akan bekerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi menjahanamkan mereka,” katanya ketika dihubungi.
Yunus (kiri) berkata khabar angin itu sengaja ditaburkan oleh Umno sebaagi taktik serangan psikologi yang menggoncang Pakatan Rakyat, khusus PKR.
Beliau juga mendakwa sejak memenangi kerusi Kuala Kurau sejak dilantik Mac 2008, 'agen-agen Umno' sering kali cuba 'melamarnya' menyertai parti Melayu itu.
Sejak minggu lalu, blog-blog pro Barisan Nasional dan juga akhbar Cina menyiarkan spekulasi kononnya Yunus akan berpaling tadah.
Spekulasi semakin panas apabila MP Bagan Serai Mohsin Samsari mengumumkan tindakannya keluar dari PKR semalam.
Bagi membuktikan khabar angin itu tanpa asas, Yunus pagi ini juga terbabit dalam demonstrasi di pusat khidmat Mohsin yang ditutup hari ini.
Bantahan itu bagi membidas tindakan MP bagan Serai itu yang kini menjadi ahli bebas.
“Jika dia benar-benar berjuang untuk rakyat, dia (Mohsin) sepatutnya membuka pusat khidmatnya esok dan dia sendiri perlu mengendalikannya.”
Lebih 200 pengundi di Bagan Serai termasuk MP Parit Buntar Mujahid Yusuf Rawa (PAS) dan beberapa ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat dari Perak menyertai bantahan ini.Bantahan bermula sejak 10 pagi dari Pejabat Keadilan Cabang Bagan Serai yang terletak hampir 1 km dari pejabat beliau dan berakhir jam 12 tengah hari.
Ia diketuai oleh Ketua Cabang Bagan Serai Mohd Nasib Rahin dan juga dihadiri oleh Adun Selinsing, Adun Kuala Kurau, Adun Titi Serong & Ahli Parlimen Parit Buntar.
Protes dimulakan dengan laungan menuntut Mohsin letak jawatan, 'Hidup Pakatan Rakyat' dan 'Hancur Mohsin, Najib serta Umno' sambil membawa puluhan poster dan kain rentang.
Beberapa pengundi yang sempat ditemui menyatakan kekesalan atas pengkhianatan yang dilakukan oleh Mohsin.
Sebaik sahaja perhimpunan selesai semua yang hadir membaca doa menurunkan bala kepada Mohsin dan berikrar akan terus berjuang serta bekerja keras menumbangkan Umno.
nilailah sendiri
MP Nibong Tebal keluar PKR, jadi bebas | Mac 1, 10 12:29pm | | | Ahli parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng hari ini mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, beliau mendakwa kini tiada lagi saluran khusus dalam PKR untuk mengemukakan masalah. "Bukan sahaja mereka gagal menyelesaikan masalah, mereka mengenakan tindakan disiplin terhadap saya tanpa menyiasat aduan yang saya kemukakan," katanya. Malahan, kata Tan, beliau diberi amaran untuk tidak mengkritik kepimpinan parti dan rakan sekutu secara terbuka. Tan merupakan antara beberapa pemimpin dalam PKR yang membuat kritikan dan teguran terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan parti PKR. "Ini adalah sangat tidak adil kerana saya selalu menyangka kepimpinan Pakatan Rakyat boleh menerima kritikan terbuka dengan tujuan untuk mengatasi sebarang kelemahan dan meraikan perbezaan pendapat. "Apa yang terjadi membuktikan kepada saya bahawa kepimpinan parti tidak boleh disentuh langsung," katanya ketika membaca kenyataan lima muka surat. Sehubungan itu, katanya, beliau bercadang untuk mengambil tindakan undang-unadng terhadap Guan Eng, ahli parlimen Jelutong Jeff Ooi dan timbalan ketua menteri, P Ramasamy berhubung dakwaan beliau mencampuri urusan proses tender terbuka. "Saya telah mengambil inisiatif hadir ke pejabat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk membuat laporan mengenai tohmahan itu. "Saya percaya itu sudah cukup untuk membuktikan kepada rakyat akan ketelusan saya," katanya. Sebaliknya, Tan mendakwa sikap Ooi dan Ramasamy yang menurutnya enggan hadir ke pejabat SPRM "membuktikan tembelang sebenar mereka". Tan juga mendakwa bahawa tohmahan itu bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu sebenar mengenai masalah kepimpinan Guan Eng. Menurutnya, beliau telah mengambil pendekatan mengkritik dan menegur dasar kepimpinan yang salah, dan bukannya membuat serangan peribadi. Sebaliknya, dakwa Tan, beliau telah diserang "secara kotor dan menjijikkan" dengan tujuan untuk menjatuhkan kewibawaannya. Beliau juga menyuarakan kekesalannya terhadap apa yang didakwanya sikap kepimpinan PKR yang "sanggup mengorbankan maruah dan prinsip parti, hanya kerana mahu memastikan impian ke Putrajaya tercapai". Malah, dakwanya lagi, mereka sanggup mengambil sikap menutup mata terhadap masalah yang dihadapi PKR Pulau Pinang, yang menurutnya kerana sikap angkuh Guan Eng. Tan bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail "atas rasa kasih sayang yang mereka tunjukkan kepada saya selama ini." Bagaimanapun, beliau mendakwa, adalah sangat malang kerana tiada sebarang tindakan jelas yang telah diambil oleh Anwar untuk menyelesaikan masalah dalaman parti dan Pakatan Rakyat yang begitu ketara. Tan juga mengucapkan terima kasih kepada ahli biasa DAP Pulau Pinang atas sokongan mereka sebelum dan selepas 8 Mac 2008. "Saya juga mengambil kesempatan memohon kepada kerajaan persekutuan supaya memberi layanan yang adil dan saksama, dengan menyalurkan peruntukan pembangunan persekutuan kepada kawasan parlimen Nibong Tebal. "Agar saya dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya sebagai ahli parlimen dengan berkesan untuk membantu rakyat dan warga yang memerlukannya. "Rakyat tidak sepatutnya menjadi korban perbezaan politik. Bagi saya, tindakan lebih bermakna daripada cakap-cakap, cakap mesti serupa bikin," tambahnya. Oleh itu, kata Tan, beliau berharap akan dapat membuktikan kepada rakyat Nibong Tebal "bahawa tindakan saya ini akan membawa faedah dan manfaat kepada mereka". "Saya tidak rela melihat rakyat Nibong Tebal dinafikan nikmat pembangunan dan membiarkan harapan mereka disia-siakan dengan pelbagai slogan dan retorik kosong," tambahnya.
nilailah sendiri
MP Bagan Serai pula umum keluar PKR
| | Ahli parliman Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri hari ini mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas.Mohsin (foto), 65, yang dilantik mewakili PKR di kerusi utara Perak adalah ahli parlimen ketiga parti itu yang bertindak keluar parti.Dua yang lain itu ialah MP Bayan Baru, Zahrain Hashim dan MP Nibong Tebal, Tan Tee Beng. Pada sidang media, pagi ini di Ampang, Moshin diiringi oleh bekas setiausaha agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim. Salehuddin sebelum ini juga muncul pada dua sidang media di mana dua ahli parlimen PKR berkenaan mengumumkan tindakan keluar parti mereka. Turut keluar PKR ialah bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin.Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Mohsin yang pertama kali bertanding mengalahkan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin dari Umno dengan majoriti 3,413 undi.Parlimen Bagan Serai mempunyai 47,111 pengundi berdaftar.Berikutan ini, jumlah ahli parlimen PKR kini tinggal 27 orang. Jumlah itu adalah kurang daripada kerusi yang dimiliki oleh sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP. DAP mempunyai 28 kerusi, manakala PKR sekarang ini memiliki 27 dan PAS 23. Bagaimanpun pemimpin DAP dan juga PAS semalam memaklumkan mereka akan terus memberi sokongan kepada ketua umum PKR untuk menjadi Ketua Pembangkang di parlimen. Isnin lalu, Salehuddin meramalkan, lebih 10 lagi wakil rakyat PKR akan keluar parti itu. Bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Mohsin (kiri, berketayap) berkata beliau bertindak keluar parti kerana tidak bersetuju dengan pendirian PKR berhubung isu Allah.Menurutnya, beliau telah membangkitkan perkara itu melalui saluran parti tetapi mendakwa ia tidak dihiraukan. Salehudin (kiri) pula berkata, PKR tidak seharusnya membuat sebarang pendirian ketika ahli-ahlinya masih bercelaru mengenai isu tersebut. Beliau mendakwa, keputusan dibuat oleh satu dua orang tanpa dibahaskan. Keadaan itu, tambahnya, telah menimbulkan kegelisahan di kalangan pemimpin di peringkat akar umbi.
|
|
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan