Isnin, 15 Mac 2010

AIR OH AIR....FIKIR AJE LAH APA SEBABNYA.....dan yang hidup daif...

Derita 28 tahun air terputus


MAHZAN menadah air sebagai persediaan menghadapi bekalan air yang sentiasa terputus di Felda Palong 8, Negeri Sembilan semalam.


JEMPOL - Ketika kebanyakan rakyat di negara ini menikmati kemudahan asas yang sempurna, lain pula ceritanya bagi 1,200 penduduk di Felda Palong 7 dan Palong 8 di sini yang terpaksa berhadapan dengan masalah bekalan air terputus hampir setiap hari.

Masalah tersebut dipercayai berpunca daripada tekanan air yang rendah sekali gus menyebabkan air gagal disalurkan secara berterusan kepada kira-kira 500 buah rumah di kawasan terlibat.



LAGI



Hidup daif, tanpa bekalan air

KAMPUNG SETAJAM – “Kalau ada hujan, barulah ada air yang boleh diminum atau untuk memasak, kalau sudah terdesak kami tiada pilihan selain menggunakan air telaga yang sudah tercemar dengan kelodak lumpur,” demikian kata, Ridzuan Nyan, 45.

Ridzuan yang menetap di Kampung Setajam, di sini, sejak lebih 30 tahun lalu terpaksa melalui kehidupan sukar bersama isteri dan tiga anaknya yang lain berikutan tidak mempunyai bekalan asas tersebut.

Ridzuan berkata, terdapat kira-kira enam hingga tujuh buah keluarga di kampung itu masih tidak mendapat bekalan air bersih dari dulu hingga kini meskipun perkara itu sering dijanjikan pihak kerajaan.

“Saya sungguh kecewa kerana hingga kini kami terpaksa melalui kehidupan sukar kerana tidak mempunyai bekalan air bersih yang sememangnya diperlukan oleh setiap penduduk di negara ini.

Ridzuan yang hanya bekerja menangkap hasil ikan belut berkata, kehidupan di perkampungan itu tidak ubah seperti berada di negara asing walaupun mereka juga berhak untuk mendapat kemudahan sama dengan penduduk setempat.

“Saya tiada rasa berada di negara sendiri kerana segala kemudahan tidak dapat dinikmati sepenuhnya dan sudah tentu saya kecewa kerana masalah kami tidak mampu diatasi sejak saya datang ke sini sekitar tahun 70-an dulu,” katanya.



Umpama hidup dalam hutan



Sementara itu, isterinya, Siti Salmiah pula berkata, kehidupan yang dilalui mereka sekeluarga dan jiran terdekat umpama hidup dalam hutan, kerana terpaksa menadah air hujan semata-mata untuk mendapatkan bekalan air bersih untuk minum, memasak dan membasuh pakaian.

“Macam mana mahu guna air telaga jika airnya terlalu keruh dan terlalu kotor, saya juga manusia biasa tahu menilai mana yang bersih dan mana yang kotor.

“Saya sudah tidak sanggup melihat anak-anak terpaksa meminum air telaga ini jika terdesak, tambahan pada waktu musim kemarau sejak dua minggu lalu,” katanya.

Siti Salmiah berkata, air telaga itu terpaksa digunakan untuk membasuh pinggan mangkuk di rumahnya, namun jika keadaan mendesak mereka terpaksa juga menggunakan air terbabit untuk keperluan makan dan minum.

“Kami tidak mampu untuk membeli air daripada Jabatan Bekalan Air (JBA) setiap hari kerana tidak berkemampuan memandangkan pendapatan suami tidak menentu,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga pula terpaksa menggunakan saliran air berhampiran rumah untuk mandi dan membasuh pakaian setiap hari.

Katanya, keadaan itu sudah tentu menyusahkan mereka sekeluarga kerana terpaksa berjaga seawal subuh untuk mandi terutama ketika anak-anak mahu ke sekolah.

“Kami terpaksa mandi di tempat terbuka seperti ini, itu sebab kami sekeluarga akan mandi pada waktu subuh dan maghrib kerana malu dengan masyarakat setempat yang lalu lalang di hadapan rumah,” katanya.:

Katanya, anak-anak mereka sering merungut dengan keadaan itu menyebabkan dia dan suami berasa sedih memandangkan usia anak mereka semakin meningkat dewasa.

“Jika dulu mungkin mereka tidak faham akan hal ini, tapi bila semakin dewasa, mereka mula sedar kehidupan yang dilalui mereka tidak seperti orang lain.

“Kadang-kadang anak saya bertanya sampai bilakah mereka akan berterusan mengalami nasib malang ini,” katanya.

Siti Salmiah berkata, akibat kerap menggunakan air saliran itu untuk tujuan mandi mereka sekeluarga pernah mengalami masalah kegatalan di bahagian kulit.

Namun katanya, mereka sekeluarga terpaksa juga menggunakan air tersebut memandangkan mereka tidak mempunyai jalan lain untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Tidak kira lah badan gatal ke, tangan dan kaki gatal ke, kami dah terpaksa guna air ini, kalau tak mandi badan pula rasa tak selesa dan melekit,” katanya.:



Permohonan PPRT belum ada jawapan



Akibat desakan kehidupan itu, Siti Salmiah berkata, mereka terpaksa memohon bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk membina sebuah rumah baru.

Siti Salmiah berkata, rumah yang diduduki mereka sekeluarga itu sudah lama dan berusia puluhan tahun selepas rumah itu diberikan kepada suami oleh penduduk sebelum ini.

Menurutnya, rumah yang diduduki mereka sekeluarga amat daif dan sebahagian atap bumbung rumah itu bocor selain struktur kayu yang semakin reput dimakan anai-anai.

“Saya sudah memohon PPRT, tapi hingga kini permohonan belum menunjukkan sebarang tanda akan diluluskan dalam masa terdekat,” katanya.

Siti Salmiah mendakwa, proses permohonan pemilikan rumah itu juga rumit kerana terpaksa mengisi borang itu sebanyak dua kali memandangkan borang lama tidak lagi digunakan.

“Saya membuat permohonan dua kali, tapi apa yang mendukacitakan saya terpaksa memohon dua kali selepas borang pertama saya tidak diterima,” katanya.

Katanya, rumah PPRT itu perlu kerana kediaman mereka sekarang tidak mempunyai tandas dan terpaksa menggunakan tandas yang masih belum siap.

Dalam nada kekecewaan, Siti Salmiah masih berharap agar pihak kerajaan lebih prihatin dengan penderitaan yang ditanggung mereka selama ini kerana mereka sememangnya setia dengan kerajaan sedia ada.

“Tapi saya rasa sedih, apabila kami dihimpit masalah ini, tiada siapa pun yang hiraukan, malah kami terpaksa menanggung bebanan ini sendiri,” katanya.



Jiran akui hidup susah



Menyusuri laluan berbatu-batu dan berdebu sejauh kira-kira 300 meter dari jalan besar untuk masuk ke kampung itu sudah cukup menceritakan betapa penduduknya tersisih dari arus kemajuan.

Seorang lagi penduduk, Masiah Desa, 60, berkata, kehidupan daif itu bukan hanya dilalui Ridzuan sekeluarga, malah hampir kesemua penduduk di situ masih hidup susah dan dahagakan kemajuan.

Masiah yang sudah 40 tahun menetap di kampung itu berkata, kehidupan yang dilalui mereka tidak mendapat perhatian langsung daripada mana-mana pihak.

Katanya, masalah air yang melanda di kawasan itu sepatutnya diatasi segera kerana kemudahan itu memang diperlukan terutamanya jika mereka mahu melangsungkan perkahwinan dan sebagainya.

“Jika anak mahu kahwin perkara ini memang jadi masalah, saya sudah merasainya, jika ada orang meninggal dunia pun akan timbulnya masalah ini,” katanya.

Ujarnya, bayangkan kehidupan mereka dari dulu hingga kini tidak berubah termasuklah jalan di kawasan itu yang masih belum berturap menyukarkan penduduk setempat.

“Jalan di sini berbatu-batu, susah saudara mara datang, mereka sering merungut sampai bila jalan di sini akan diturap,” katanya.

Manakala bagi, Som Ismail, 70, berkata, kehidupan di kampung itu memang tersisih jauh daripada arus pembangunan disebabkan tiada pihak yang ambil peduli.

Katanya, perkara itu bukan tidak diajukan kepada pemimpin di peringkat kampung, malah ia juga sudah disuarakan ke peringkat kepimpinan tertinggi, namun belum ada jalan penyelesaian.

“Tiada apa yang mahu kami minta selain daripada keperluan asas tersebut dan berharap masalah ini dapat diatasi segera kerana bimbang generasi kedua dan ketiga juga akan turut mengalami nasib sama seperti kami,” katanya.


lagi


NEGARA

Setiausaha JKKKP tumpang dewan kampung


MOHD. FAZZELI (kiri) bersama keluarganya di Dewan Orang Ramai Kampung Memali, Baling semalam.


BALING - Akibat tidak mampu lagi menyewa rumah untuk menempatkan keluarganya, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Memali di sini, terpaksa menjadikan dewan orang ramai di kampung itu sebagai kediamannya sejak setahun lalu.

Mohd. Fazzeli Ahmad, 38, berkata, walaupun tahu tindakannya itu tidak disenangi orang ramai, namun dia terpaksa mengetepikan pandangan serong penduduk akibat kesusahan hidup yang menghimpit keluarganya.




lagi


Pelajar miskin dan mangsa bencana layak terima wang ihsan

BACHOK - Mesyuarat pertama jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan memutuskan bahawa kumpulan pelajar miskin dan mereka yang ditimpa bencana akan turut dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada dana wang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata di bawah kategori pelajar miskin, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang menghadapi masalah melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disebabkan faktor kemiskinan.

"Turut mendapat faedah ialah pelajar yang benar-benar miskin di sekolah-sekolah rendah dan menengah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan akhbar Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) kepeada penerima di sini, hari ini.

Pada majlis itu KIST memperuntukan RM20,000 untuk mengagihkan empat naskah akhbar Berita Harian dan The New Strait Times setiap hari kepada sekolah-sekolah menengah yang terpilih di Kelantan selama setahun.

Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Kelantan untuk mendapatkan senarai pelajar yang benar-benar layak tanpa mengira fahaman politik dan agama.-Bernama


Tiada ulasan: