Jumaat, 5 Mac 2010

Kapal dipukul ombak gergasi misteri

DUNIA

Kapal dipukul ombak gergasi misteri


KAPAL Louis Majesty berlabuh di sebuah pelabuhan di Barcelona semalam.


BARCELONA - Dua orang maut, banyak kabin dibanjiri air, tingkap-tingkap sebuah restoran pula pecah manakala ramai penumpang diselubungi ketakutan selepas sebuah kapal persiaran di Laut Mediterranean dipukul tiga ombak gergasi misteri, kata seorang penumpang, Calude Cremex semalam.

Cremex, 73, dari Marseille, Perancis berkata, dia sedang berehat di kabinnya kerana laut bergelora apabila ombak-ombak gergasi itu menghentam kapal persiaran Louis Majesty yang membawa 1,350 penumpang dan 580 krew di kawasan pesisir timur laut Sepanyol ketika ia dalam perjalanan dari Barcelona menuju ke Genoa, Itali kelmarin.

Pemilik kapal itu, syarikat Louis Cruise Lines memberitahu, kapal berkenaan dihentam tiga ombak gergasi lebih 10 meter tinggi yang memecahkan banyak tingkap kaca bahagian hadapan.

Menurut kenyataan syarikat itu, seorang penumpang warga Jerman dan Itali maut akibat terkena serpihan kaca dan dihempap perabut manakala 14 yang lain pula cedera ringan.

Cremex berkata, dia tidak melihat ombak tersebut tetapi menyaksikan sendiri kemusnahan yang berlaku selepas itu.

"Kesan ombak itu dahsyat," katanya semasa kapal berkenaan berlabuh di sebuah pelabuhan di Barcelona sehari selepas kejadian.

"Air melimpah masuk. Banyak kabin dibanjiri," kata Cremex yang melancong bersama isterinya.

Jurucakap Louis Cruise Lines, Michael Maratheftis berkata, semua 1,350 penumpang itu akan dihantar pulang dengan pesawat manakala kapal itu akan meneruskan pelayaran seperti biasa setelah kerja pembaikan selesai hujung bulan ini.

"Ombak kedua dan ketiga menyebabkan kemusnahan besar. Insiden itu berlaku tanpa dijangka kerana cuaca ketika itu, tidak begitu buruk," jelasnya.

Bagaimanapun, seorang jurucakap agensi pegawal pantai Marseilles berkata, tiga ombak misteri itu mungkin sebahagian ombak besar tsunami yang terpencil. - Agensi


LAGI YANG ANEH


DUNIA

Pantai California dipenuhi buih


GAMBAR yang disiarkan oleh sebuah akhbar di Britain semalam menunjukkan buih yang terbentuk di Pantai Hollywood, California.


LOS ANGELES - Pantai-pantai di California, Amerika Syarikat (AS), termasuk pantai Hollywood dipenuhi dengan buih yang berikutan gempa bumi pada 8.8 skala Richter yang melanda Chile pada Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Gabungan cuaca dan kondisi laut yang luar biasa ditambah dengan ombak-ombak besar dilihat menjadi punca kepada fenomena tersebut.

Menurut satu kaji selidik saintifik, buih laut itu terdiri daripada protein dan molekul lemak yang terhasil akibat kemusnahan hidupan mikroskopik laut.

Hidupan laut yang dikenali sebagai phaeocystis itu membentuk koloni besar di dalam air.

Buih itu terbentuk apabila angin membawa saki-baki koloni tersebut yang mereput dan menghanyutkannya ke pantai.

Pencemaran itu memberi kesan ke atas buih laut berikutan terlalu banyak nutrien di dalam air menyebabkan pembentukan koloni phaeocystis yang lebih besar.

Gempa bumi di Chile mengakibatkan tsunami yang memusnahkan bandar-bandar di pesisiran pantai.

Tsunami yang berlaku akibat gempa bumi mungkin menyebabkan kebanyakan buih laut berkumpul di Lautan Pasifik sebelum angin kuat meniupnya ke pantai-pantai di California. - Agensi


Tiada ulasan: