Rabu, 10 Mac 2010

TAK HERAN..WANG PALSU ADA....SIJIL PALSU TENTU ADA...KESIAN PENGGUNA

Tauke jus pucat lesi

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/03/10

PETALING JAYA: Wajah yakin seorang pemilik syarikat pengedar jus buahan-buahan yang segera menyerahkan sijil halal miliknya kepada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagaimanapun bertukar pucat sebaik ‘sijil halal Jakim’ berkenaan sebenarnya dokumen palsu dan diubah suai menyerupai sijil asli.

Kewujudan sijil palsu Jakim terbabit terbongkar sejurus sepasukan pegawai jabatan itu dibantu pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya melakukan pemeriksaan mengejut di syarikat pengeluar jus buah-buahan berkenaan semalam, selepas mendapat aduan berhubung penggunaan logo halal mencurigakan yang dipamerkan pada botol produk.


Jurucakap KPDNKK berkata, operasi terbabit yang diketuai Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah, kira-kira jam 1 tengah hari menyasarkan syarikat terbabit dalam usaha membanteras penyalahgunaan sijil halal Jakim palsu serta sijil halal swasta.


Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan, dua lelaki dan seorang wanita berusia 40-an muncul dan mendakwa sebagai pemilik syarikat pengeluar jus buah-buahan berkenaan yang terletak di Damansara di sini.


“Ketiga-tiga mereka mendakwa sebelum ini membayar sejumlah wang kepada syarikat perunding khas untuk mendaftarkan perniagaan dan memperolehi sijil halal Jakim bagi produk jus buah-buahan yang dipasarkan kepada orang ramai di seluruh negara.


“Berikutan itu, mereka menunjukkan salinan fotokopi sijil halal Jakim yang didakwa diberikan syarikat perunding terbabit kononnya bagi menunjukkan semua produk jus diedarkan itu sudah mendapat pentauliahan halal Jakim,” katanya.

Selepas salinan sijil itu disemak dan diteliti, pegawai Jakim ragu dengan maklumat tertera membabitkan individu yang menurunkan tandatangan pengesahan serta tempoh sijil terbabit diperakui hanya untuk satu tahun saja.


Difahamkan, Jakim tidak pernah mengeluarkan sijil halal hanya untuk tempoh satu tahun saja berikutan sijil halal yang dikeluarkan sah untuk digunakan pakai bagi tempoh dua tahun.


“Apa yang pasti, sijil halal Jakim terbabit sudah diubah suai maklumat tanpa kebenaran dan ia jelas satu penipuan terancang yang sukar dikenal pasti oleh agensi penguat kuasa lain jika dilihat sekali imbas,” katanya.



Kilang minyak ciplak diserbu

Oleh Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/04/07

KAJANG: Berselindung di sebalik jenama minyak pelincir antarabangsa, sebuah kilang dipercayai menghasilkan minyak tanpa mengikut piawaian ditetapkan hingga mengakibatkan pemilik kenderaan yang menggunakan bahan itu terpaksa menanggung kerugian kerana mengalami kerosakan enjin.

Bagaimanapun, kelicikan operasi kilang di Kawasan Perindustrian Tamin Jaya di sini tumpas apabila sepasukan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyerbu kilang berkenaan, pagi semalam.


Siasatan mendapati kilang berkenaan beroperasi secara haram sejak lebih empat tahun lalu dan menghasilkan pelbagai minyak pelincir untuk kenderaan seperti motosikal, kereta serta jentera berat menggunakan jenama antarabangsa dan tempatan.


Pegawai Perhubungan Awam MPKj, Shariman Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan berdasarkan aduan pemilik kenderaan yang mengadu kereta mereka mengalami kerosakan enjin selepas menggunakan minyak pelincir syarikat terbabit.


Ekoran itu pihaknya membuat siasatan dan pemantauan ke atas kilang berkenaan selama seminggu sebelum melakukan serbuan, pagi semalam.


“Hasil serbuan mendapati kilang terbabit beroperasi secara haram dan produk dihasilkan juga diragui cara pembuatannya dan mengikut aduan diterima dipercayai minyak pelincir berkenaan mungkin mempunyai campuran minyak diesel.

“Bagaimanapun kita belum dapat memastikan kesahihan dakwaan terbabit dan ujian akan dilakukan melalui sampel diambil sama ada ia mengikut piawaian ditetapkan,” katanya di sini, semalam.


Sementara itu, menurut Penolong Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Shazril Reza Nor Azmi, pihaknya mengenakan tindakan mengikut Seksyen 14(B), Akta Timbang dan Sukat, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM4,000, tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.




Letih tepis 'ulat'

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my
2010/04/07

KUALA LUMPUR: Dari dalam, Hentian Puduraya suram dari jerit pekik ‘ulat tiket’, namun di jalan sekitar, keadaannya seperti di pasar malam.

Orang ramai yang yang lalu lalang di situ letih menepis pertanyaan serta pelawaan kumpulan ulat terbabit yang rata-ratanya bertanya destinasi yang diinginkan.


Tinjauan Harian Metro mendapati keadaan di dalamnya bangunan Hentian Puduraya sangat tenang, namun situasi di luar nyata berbeza, terutamanya di kawasan orang ramai melintas dan perhentian bas.Penuntut institusi pengajian tinggi Awam (IPTA), Mashuriatty Khair, 24, dari Perak berkata, golongan ulat terbabit membuatkan orang ramai takut untuk menolak pelawaan mereka.


“Mereka seolah-olah mengugut kita untuk membeli tiket dan jika enggan, mereka akan mengekori. Saya lebih selesa membeli tiket dari kaunter kerana ia mudah dan tidak banyak kerenah.


“Kawasan dalam hentian tidak seperti di luar, ia lebih tenang, tiada yang cuba mendekati dan menjual tiket. Jika dibandingkan pada tahun-tahun lalu keadaannya amat berbeza,” katanya.


Seorang anggota tentera, Maslan Ngadiman, 30-an, pula mendakwa dia sering didatangi golongan berkenaan ketika mahu pulang ke kampungnya di Johor.

“Jika di dalam hentian, kehadiran pihak berkuasa dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membataskan pergerakan mereka, tetapi di luar, mereka seolah-olah bebas melakukan apa saja,” katanya.


“Kawasan sekitar juga perlu dipantau pihak berkuasa bagi mengelak mereka mengganggu orang ramai,” katanya, Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JPJ Kuala Lumpur, Shamsuddin Sukiman, ketika dihubungi berkata, pendekatan penyamaran sentiasa dilakukan bagi menangkap golongan ulat terbabit.


Katanya, mereka tidak akan terlepas jika didapati melakukan aktiviti ulat kerana pihaknya ada di mana-mana.


“Kami sentiasa melakukan intipan dan penyamaran, hasilnya, 34 orang berjaya ditangkap sepanjang Januari hingga Mac tahun ini dipercayai ulat tiket.


“Mereka ini degil untuk berubah dan saya nasihatkan orang ramai membuat aduan jika wujud lagi perkara ini, malah mereka boleh membeli tiket di kaunter bagi melumpuhkan aktiviti ulat,” katanya.

Difahamkan, di Hentian Puduraya, pihaknya menempatkan hampir 10 anggota bagi memantau kawasan dalam dan luar Puduraya termasuklah memeriksa bas yang keluar masuk.


Menurut Shamsuddin, mereka yang ditangkap boleh didakwa mengikut Seksyen 110A Akta Pengangkutan Jalan 1987 membawa kepada hukuman denda RM50,000 atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan.


Tiada ulasan: