Jumaat, 12 Mac 2010

Doktor Jantung (Bersama Dr.Haizal Haron Kamar) Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana

Gangguan aliran darah


TAHUKAH anda bahawa 50 peratus daripada 10,000 kes amputasi (pemotongan) kaki yang dilakukan ke atas pesakit kencing manis setiap tahun boleh dielak?

Penyakit vaskular pinggiran adalah penyakit yang membabitkan gangguan aliran darah di kaki. Seperti penyakit kardiovaskular yang lain, ia disebabkan proses arteriosklerosis, iaitu kejadian plak ateroma yang terdiri daripada kolesterol dan sel-sel radang di dinding salur darah. Lama kelamaan plak berkenaan membesar dan menyebabkan penyempitan salur darah.

Penyempitan ini boleh berlaku di salur darah koronari. Jika ia bertambah teruk, otot jantung tidak akan mendapat darah dan oksigen yang cukup. Ini boleh mengakibatkan berlakunya angina (sakit di dada) atau serangan jantung. Jika penyumbatan salur darah berlaku di otak, strok atau angin ahmar akan terjadi.

Apa gejala dan tanda penyakit vaskular pinggiran?

Apabila pengaliran darah ke kaki berkurangan, otot kaki tidak akan mendapat oksigen dan nutrien secukupnya. Keadaan sedemikian dipanggil iskemia dan boleh menyebabkan rasa sakit di bahagian kaki.

Iskemia selalunya dialami semasa berjalan dan hilang selepas berehat beberapa minit. Gejala begini dikenali klaudikasi. Jika proses iskemia ini menjadi teruk, jarak seseorang itu berjalan sebelum sakit di kaki bermula akan menjadi lebih pendek.

Malah, jika penyakit vaskular pinggiran itu menjadi lebih parah, pesakit akan mengalami gejala seperti kebas, sejuk atau sakit berpanjangan ketika berehat. Jika ada luka atau ulser pada kaki, ia tidak sembuh atau mengambil masa yang lama untuk sembuh.

Ketandusan darah ini menyebabkan tisu ibu jari kaki dan keseluruhan kaki rosak; dan keadaan ini dipanggil ganggren. Jika dibiarkan berterusan pesakit berisiko tinggi mendapat jangkitan kuman yang serius sehingga boleh membawa maut.

Pada tahap ini, doktor tidak mempunyai pilihan lain kecuali menyarankan supaya kaki pesakit terbabit dipotong.

Bolehkah keadaan ini boleh dielak? Apakah rawatan yang ada?

Faktor risiko untuk mendapat penyakit arteri pinggiran ialah menghidap kencing manis, mempunyai masalah tekanan darah tinggi, kolesterol berlebihan dan merokok. Kewujudan faktor ini perlu dikenal pasti melalui pemeriksaan kesihatan berkala dan sekiranya ada, langkah-langkah wajar harus diambil untuk menanganinya.

Paras glukosa darah perlu dikawal dengan rapi untuk mengelak komplikasi diabetes. Jika merokok haruslah berhenti segera, amalkan pemakanan sihat dan seimbang serta kerap bersenam untuk mengawal hipertensi, kolesterol berlebihan dan diabetes.

Rawatan khusus

Rawatan yang khusus kepada penyakit vaskular pinggiran terbahagi kepada tiga iaitu:

  • Ubat


  • Pembedahan graf pintasan arteri

  • Angioplasti

    Ubat-ubatan

    Ia bertindak untuk:

  • Mencairkan darah (contohnya aspirin dan clopidogrel)

  • Mengawal paras kolesterol

  • Ubat khusus untuk penyakit yang berkaitan (contohnya kencing manis dan tekanan darah tinggi)

  • Ubat tahan sakit, jika ada

    Pembedahan graf pintasan arteri

    Pembedahan membabitkan penyambungan antara dua tempat pada arteri yang bermasalah dengan memintas bahagian yang tersumbat menggunakan graf sintetik atau graf semula jadi seperti vena (salur darah) kaki.

    Ini kaedah terbaik untuk arteri yang tersumbat sepenuhnya (100 peratus), terutama jika bahagian yang bermasalah itu panjang. Jika banyak bahagian pada arteri itu tersumbat atau arteri femoral (iaitu arteri di bahagian peha) yang terbabit, maka pembedahan adalah kaedah yang terbaik.

    Angioplasti

    Seperti angioplasti koronari, penyempitan salur darah di kaki boleh dirawati dengan menggunakan kaedah angioplasti belon. Ruang dalam pembuluh darah yang sempit itu boleh dibuka luas dengan meletakkan belon dan meniupkannya selama beberapa saat.

    Jika perlu, satu gegelung besi yang dipanggil stent boleh dimasukkan ke dalam pembuluh darah berkenaan untuk memberi hasil angioplasti yang lebih baik.

    Angioplasti didapati setanding atau lebih baik berbanding dengan pembedahan jika penyumbatan itu terjadi di arteri iliak, iaitu pembuluh darah yang menyambungkan aorta dan arteri femoral di peha.

    Ia juga adalah kaedah yang berkesan sekiranya pesakit itu mempunyai masalah perubatan yang lain seperti penyakit jantung koronari atau strok yang meletakkan pesakit dalam kategori berisiko tinggi untuk menjalani pembedahan.

    Ini juga kaedah yang berkesan untuk membantu menyelamatkan kaki daripada dipotong bagi kes iskemia anggota kritikal.

    Apakah langkah seterusnya?

    Amalkan gaya hidup sihat dengan sering bersenam, menjaga berat badan, tidak merokok dan mengamal pemakanan sihat dan seimbang,

  • Jika terdapat gejala atau tanda penyakit vaskular pinggiran seperti di atas, segera berjumpa doktor.

  • Jika anda menghidap kencing manis, ambil langkah sesuai untuk menjaga kaki anda dengan baik. Pastikan kaki dan jari kaki anda sentiasa bersih dan kering. Jika ada luka, walaupun kecil, segera dapatkan nasihat doktor.

  • Walaupun diri berasa sihat, masih wajar untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Ini kerana penyakit yang dikesan pada peringkat awal selalunya mempunyai peluang untuk baik dengan sepenuhnya atau sekurang-kurangnya boleh dikawal dengan baik.

    Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit ini pembaca boleh menyertai Minggu Kesedaran Pembuluh Darah yang diadakan pada 20 hingga 26 Julai di Hospital Assunta, Petaling Jaya. Untuk keterangan lanjut sila hubungi 03-76807000.
  • Tiada ulasan: