Jangan taksub, guna pendekatan khilaf
2009/12/30
RAMBUT sama hitam, tetapi hati berlainan. Itulah bidalan peninggalan orang lama. Memang kita tidak dapat mengelak berbeza pendapat.
RAMBUT sama hitam, tetapi hati berlainan. Itulah bidalan peninggalan orang lama. Memang kita tidak dapat mengelak berbeza pendapat.Orang pandai berbeza pendapat jika isu yang dibangkitkan bersifat zhonni atau menerima perbezaan takwilan serta pandangan dalam keadaan yang baik. Mereka tidak pernah menjadikan perbezaan itu asas permusuhan.
Allah SWT berkuasa menjadikan manusia bersepakat di atas satu agama dan sependapat, tetapi Allah sengaja tidak berbuat demikian.
Memang menjadi fitrah manusia untuk saling berbeza pendapat, tetapi mereka perlu berlapang dada.
Ada berpendapat perbezaan dalam kalangan ulama tidak sepatutnya berlaku kerana nas al-Quran dan Sunnah sudah ada. Justeru, mengapa masih bertelingkah?
Pemikiran sebegini timbul kerana mereka kurang faham mengenai sebab khilaf di kalangan ulama.
Sifat ta'ssub (fanatik) dan berkelompok dengan satu pandangan perlu dihindari.
Ia boleh dielakkan jika ditangani dengan adab berkhilaf, antaranya:
1- Tidak memaksa orang lain mengikut pendapatnya semata-mata selagi perselisihan itu di tahap 'al-mukhtalaffih'.
Tiada imam yang mengaku pendapatnya ialah wahyu. Malah, tiada sesiapa mendakwa orang yang tidak berpegang dengan pendapatnya melakukan maksiat.
Sesungguhnya mereka hanya berijtihad mencari kebenaran dan ijtihad mereka terbina di atas dalil yang bersifat zhonni. Adapun yang qot'ie (jelas), tiada khilaf sesama mereka.
Disebut dalam Tarjamah Imam Malik rahimahullah, bahawa Abu Jaafar Al-Mansur pernah bercadang menjadikan kitab Muwatto' karangan Imam Malik rahimahullah sebagai rujukan lalu mengabaikan ijtihad dan pendapat lain.
Maka, Imam Malik menolak cadangan itu.
2- Tidak mengingkari pihak yang berlainan pendapat dengannya: Tidak melemparkan tuduhan bidaah atau sesat kepada orang yang tidak sependapat dengannya.
Imam Al-Ghazali menyamakan masalah khilaf di kalangan ulama dengan masalah dua orang musafir yang berijtihad dalam masalah arah kiblat dan ijtihad mereka berbeza.
Maka, kedua-duanya berhak solat ke arah kiblat yang disangka berdasarkan zhon mereka dan hendaklah menyekat diri daripada mengingkari temannya.
Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie pernah solat di belakang imam mazhab Maliki di Madinah padahal golongan itu tidak membaca bismillah (dalam al-Fatihah) secara perlahan atau kuat.
Namun, hari ini kita sentiasa mendengar kalimah seperti bidaah, sesat, Wahabi dan yang sewaktu dengannya.
3- Tidak sombong untuk kembali kepada kebenaran apabila yakin dirinya tersilap.
Imam Ahmad pernah menarik balik tuduhan bidaahnya kepada perbuatan seorang lelaki buta yang membaca al-Quran di sisi kubur selepas Muhammad bin Qudamah menyebut ada hadis menyokong perbuatan lelaki itu membaca awal dan akhir surah al-Baqarah.
Apabila dikebumikan jenazah, Muhammad bin Qudamah menyebut, "Aku mendengar Ibnu Umar mewasiatkan dengan perkara itu." Ulama menyebut, "Sesungguhnya untuk menjadi ekor dalam kebenaran lebih aku sukai daripada menjadi kepala dalam kebatilan."
Imam Syafie berkata, "Aku tidak pernah berdebat dengan seseorang melainkan aku lebih suka dia diberi taufik, diluruskan, dibantu dan dikurniakan pemeliharaan serta penjagaan daripada Allah SWT. Aku tidak pernah berdebat melainkan aku tidak peduli sama ada Allah menzahirkan kebenaran itu melalui lidahku mahupun lidahnya."
4- Menjauhi masalah yang menyebabkan fitnah, pergaduhan dan huru-hara. Pada hari ini kita lihat ramai yang gemar membicarakan perkara yang mencetuskan kontroversi dalam masyarakat setempat.
Sangkaan mereka masyarakat sekitar termasuk tok guru tersilap. Kononnya mereka yang mengetahui hadis dan al-Quran. Kesan daripada adab ini dapat kita lihat melalui kehidupan imam mazhab empat seperti:
1) Saling memuji antara satu sama lain. Imam Syafie memuji Imam Abu Hanifah, "Manusia fakir (berhajat) kepada Abu Hanifah dalam fiqh." Imam Syafie memuji gurunya, Imam Malik, "Apabila disebut ulama, Malik ialah bintang yang bergemerlapan." Imam Ahmad bin Hanbal pernah ditanya adakah Imam Syafie seorang pakar hadis lalu beliau menjawab, "Demi Allah, beliau seorang pakar hadis." Diulang-ulangnya sebanyak tiga kali.
Imam Syafie berkata, "Aku keluar dari Baghdad dan aku tidak meninggalkan di sana seorang yang lebih warak, lebih bertakwa, lebih faqih dan lebih alim daripada Ahmad bin Hanbal."
2) Saling menghormati antara satu sama lain. Penghormatan yang diberikan sesama mereka adalah dalil lain yang menunjukkan kasih sayang dan kekaguman yang terbuku di dalam hati sanubari mereka.
Imam Syafie membelek helaian kertas dengan lembut di hadapan Imam Malik kerana kagum dengan kehebatan beliau. Tujuannya supaya Imam Malik tidak mendengarnya. Imam Syafie tidak baca qunut ketika solat Subuh berdekatan kubur Imam Abu Hanifah kerana beradab dengannya.
Ini dalil yang menunjukkan mereka tidak hanya menghormati orang yang masih hidup malah apabila meninggal dunia.
3) Saling mendoakan antara satu sama lain dalam keadaan tidak diketahui tuannya. Imam Ahmad berkata, "Aku tidak pernah solat sejak 40 tahun yang lalu melainkan aku akan mendoakan untuk Imam Syafie rahimahullah."
Kita hendaknya selalu memohon kepada Allah untuk diberi petunjuk kepada kebenaran serta perkara yang menjadi perselisihan.
Kita lemah dalam segala hal kerana hawa nafsu sering mendahului yang menyebabkan jalan kebenaran tertutup.
Kita perlu menghormati pendahulu yang mendahului kita dalam iman dan amal selain tidak melupakan untuk mendoakan kebaikan serta kesejahteraan untuk mereka.
Kuasa politik dan kuasa agama | |||
|
Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.
Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.
Begini...
Sepanjang sejarah kita lihat bukan sedikit pemimpin yang cuba mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan, atau dia merupakan Tuhan. Jika tidak pun, ramai pemimpin tanpa mengira jenis agama, bangsa dan negara cuba menguasai upacara agama, atau menguasai orang agama. Mengapakah hal ini berlaku?
Sebenarnya, politik adalah penguasaan terhadap rakyat. Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila 'iman rakyat' dikuasai olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin dengan 'Tuhan' atau 'pegangan agama' adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin.
Sebab itu, ramai pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan diri sebagai 'tuhan' atau 'jelmaan Tuhan' adalah termasuk dalam usaha menguasai jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai 'iman rakyat'.
Begitulah juga penonjolan ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadangkala atas tujuan sedemikian. Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau 'Tuhan', tetapi boleh jadi juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.
Orang Agama
Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia mempunyai sebahagian 'penguasaan politik' atau kuasa yang menyebabkan orang lain hormat, patuh dan menurut arahannya.
Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing. Jangan hairan jika ada imam yang 'senior' tidak mahu memberi laluan kepada 'imam junior' di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampung. Walaupun kadangkala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun 'pengaruh politik agama' amat besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas orang lain. Itu jika di hulu kampung, bagaimana pulak jika membabitkan tempat, atau wilayah yang lebih besar?
Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik. Bukan kerana perbezaan idea, tetapi kerana 'kemaruk kuasa' seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis penguasaan mereka. Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H): "Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya" (al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala, 7/262).
Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat, tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka terhadap masyarakat dan rakyat.
Perkongsian dan pertarungan kuasa
Sepertimana politik boleh menjadi saluran mendapat kemegahan, sanjungan, kekuasaaan dan harta, demikianlah agama. Maka sepanjang sejarah, bukan sedikit kita melihat dua kelompok ini berpakat untuk menguatkan antara satu sama lain. Tujuannya; sama ada demi mematuhi perintah agama, ataupun demi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas orang lain.
Begitulah juga kita melihat kedua kuasa ini; kuasa politik dan kuasa agama kadangkala bersaing dan bertarung antara satu sama lain. Boleh jadi pertarungan itu disebabkan kuasa politik merasakan kuasa agama bersaing pengaruh terhadap rakyat, ataupun kuasa agama merasakan kuasa politik telah berperanan merentasi sempadan yang sepatutnya dikawal oleh pengaruh agama.
Maka kerja sama atau pertarungan antara dua kuasa ini boleh jadi atas asas menegakkan kebenaran dan keadilan di mana kuasa agama cuba mencegah kezaliman kuasa politik seperti para nabi menentang pemerintah yang zalim di zaman mereka.
Ataupun, kuasa politik cuba mencegah kezaliman atas nama agama seperti kebangkitan Eropah menentang kuasa gereja atau Pemerintah Inggeris yang menghapuskan beberapa amalan agama yang zalim di India seperti sati yang membakar hidup-hidup isteri bersama suami yang mati.
Islam Dan Pemerintah
Islam juga menyatakan pemerintah adalah khalifah yang bertanggungjawab terhadap menegakkan agama dan bersiasah dengan panduan agama. Namun, Islam menjadikan keadilan dan kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas.
Pemerintah tiada kuasa mutlak atau dianggap maksum (infaillible). Pemerintah sentiasa terdedah kepada kritikan dan pembetulan. Ini terbukti dalam teksal-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafa al-Rasyidin yang menegaskan prinsip ini.
Membetulkan pemerintah apabila salah adalah satu tanggungjawab. Islam tidak menyatakan semua perbuatan pemerintah itu divine atau diredhai Allah. Islam tidak menyatakan taatlah apa sahaja yang disuruh oleh pemerintah. Sebaliknya, Allah menyebut: (maksudnya) "Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya" (Surah al-Nisa' 59).
Ertinya, jika berlaku perselisahan, asasnya bukan pendapat pemerintah tetapi kembali kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ayat ini, Allah menegaskan tanggungjawab rakyat melantik pemerintah yang berkualiti dan layak, dan tanggungjawab pemerintah yang dilantik melaksanakan keadilan: (maksudnya) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat". (Surah al-Nisa: 58).
Terlalu banyak nas-nas yang melarang mentaati pemimpin secara 'membabi buta' (blind imitation). Antaranya, sabda Nabi s.a.w: "Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu Muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Islam dan ulama
Islam tidak pernah memaksumkan ulama. Seperti mana orang lain, ulama terdedah kepada salah dan silap. Sebab itu adanya istilah ulama al-suk atau ulama jahat yang menggunakan ilmu untuk kepentingan diri sehingga menggadaikan kebenaran. Bahkan al-Quran mensifatkan ulama jahat seperti anjing dalam Surah al-'Araf ayat 75-76.
Ulama dilarang mengampu pemerintah atas kesalahan atau bersekongkol dengan mereka atas kezaliman. Sehingga Nabi s.a.w memberi amaran: "Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)". Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi, ia dinilai sahih oleh al-Albani).
Pemerintah dan ulama
Pemerintah dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kepentingan diri ataupun puak tertentu semata sehingga meminggirkan prinsip kepentingan umum. Pemerintah di suruh bersama ulama jujur demi memastikan mereka sentiasa berada atas landasan yang redhai Allah bukan untuk menguatkan cengkaman kuasa kedua kelompok itu. Sabda Nabi s.a.w: "Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang diselamatkan Allah". (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).
Inilah Perbezaannya...
Jika gabungan pemerintah dan golongan agama itu jujur, maka natijahnya akan ditegakkan kebenaran, keadilan dan kerahmatan kepada rakyat. Pemerintah akan tunduk kepada agama dan ulama akan bebas daripada kepentingan lantas rakyat menikmati keadilan. Sebaliknya, jika tujuannya untuk cengkaman kuasa, kita akan mendapati kedudukan kedua golongan bertambah selesa sedangkan rakyat bertambah resah.
Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!
Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan 'tidak boleh mengkritik mufti' atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan 'tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!
Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan 'panel kurang selesa' atau 'panel agama merasa keliru' maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!
Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama 'adat menyembah raja sehingga merangkak' direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan 'sambungan jawatan'! Demikianlah seterusnya..
Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama 'pintar dan putar' antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku...
Nota pengarang: Dr Mohd Asri - bekas mufti Perlis - adalah lulusan sarjana mudanya Universiti Jordan dalam bidang bahasa Arab dan syariah, sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengajian Islam. Beliau seterusnya mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafahnya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan tesisnya berhubung sebab wurud (terbitnya) hadis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan