Kulit bangkai suci selepas disamak
BARU-BARU ini saya menerima satu e-mel mengenai penggunaan kulit dan bulu haiwan.
Dalam e-mel berkenaan mengatakan, kulit dan bulu haiwan (seperti kambing dan lembu) yang tidak disembelih hukumnya sama seperti bangkai dan apa saja barang yang dibuat daripadanya adalah najis. Ini termasuk pakaian (jaket), kasut dan kopiah bulu (beberapa contoh).
Oleh kerana ia dikategorikan sebagai najis, orang yang memakainya (jaket, kopiah) ketika sembahyang akan menyebabkan sembahyang tidak sah.
Adakah ia benar? Jika berpeluh, adakah najis ini akan ‘melekat’ pada badan atau pakaian kita? Jika ya, adakah ini bermakna kita perlu menukar pakaian, mandi atau mencuci bahagian yang terkena bahan daripada kulit tadi? ABDUL KUDUS
Selangor Kulit menjadi sebahagian daripada sumber ekonomi dan kegemaran bagi setengah orang. Bukan saja pakaian tapi dompet, kasut beg tali pinggang, jaket bahkan kopiah bulu dan semua barangan itu kadangkala dibawa sembahyang.
Ada satu hadis menyebut, Rasulullah menyuruh sahabat jangan membazir dan memanfaatkan kulit seekor binatang yang sudah mati, baginda menyebut walaupun ia bangkai tapi kulitnya masih bermanfaat.
Menurut Ashab Asy-Syafi’e, semua kulit bangkai termasuk kulit binatang buas adalah suci selepas disamak, melainkan kulit anjing dan babi.
Mereka berhujah dengan beberapa dalil daripada hadis, antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata yang maksudnya: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Jika kulit disamak, ia menjadi bersih’.” (Hadis riwayat Muslim) Dalam hadis lain, daripada ‘Aisyah ra yang maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW mengizinkan untuk menggunakan kulit bangkai jika sudah disamak.” (Hadis riwayat An-Nasa’i) Hadis di atas menunjukkan kulit bangkai binatang adalah suci selepas disamak. Kulit bangkai di sini adalah umum, termasuk kulit binatang buas, melainkan apa yang disepakati akan larangannya iaitu anjing dan babi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan