Wanita bukan punca cerai
2010/03/08
APABILA kes perceraiannya diselesaikan selepas melalui tempoh menyakitkan selama empat tahun, Mahasen Saber menjadi sasaran tanggapan negatif serta buah mulut penduduk setempat.
Sebagai janda muda, Mahasen memilih kaedah baru dalam kempennya - melancarkan Radio Motalaqat (Janda) di Internet.
"Masyarakat menganggap hampir semua perceraian disebabkan wanita.
"Wanita yang salah, yang jahat dan ibu segala punca kegagalan rumah tangga," katanya.
Menurut janda berusia 30 tahun itu, radio dikendalikannya itu memperjuangkan hak wanita dan memberi kefahaman bahawa bukan semua salah terletak di bahu mereka.
Melalui siaran Radio Motalaqat yang menggunakan bahasa Arab itu, katanya, pendengar dapat menyelami isu sebenar dan memainkan peranan secara aktif dan positif mengatasi masalah berkenaan.
"Tidak semua wanita memilih untuk bercerai," katanya.
Sejak dilancarkan beberapa bulan lalu, Radio Motalaqat menyiarkan rancangan seperti 'Anda terkeliru' dan 'Diari seorang duda'.
Tidak ketinggalan, rancangan 'Sebelum saya berkata mahu bercerai' yang mengandungi pelbagai maklumat perlu diketahui wanita sebelum memfailkan perceraian.
Sambutan diterima stesen radio itu sangat menggalakkan dan mendapat liputan meluas di media Mesir.
Mahasen berkata, dia mendapat bantuan kira-kira 20 penyumbang dan kandungan siaran itu diikuti ribuan peminat di seluruh Mesir, selain ribuan lagi di luar negara, termasuk Maghribi dan Lubnan.
Laman Facebook Radio Motalaqat juga disertai lebih 1,700 ahli.
Projek inisiatif Mahasen itu dianggap muncul tepat pada masanya.
Di Mesir, jumlah perceraian meningkat dengan ketara walaupun budaya masyarakat setempat mementingkan nilai perkahwinan.
Data kerajaan menunjukkan, secara purata satu pasangan bercerai setiap enam minit di negara dihuni lebih 80 juta orang itu.
Rakan Mahasen yang mengendalikan Radio Motalaqat, Doaa Eweda, berkata tekanan memuncak terhadap wanita menyumbang kepada masalah berkenaan.
"Jumlah perceraian di dunia Arab meningkat mendadak ketika semakin ramai wanita semakin cepat berumah tangga, sama ada kerana cinta, tekanan keluarga atau takut menjadi anak dara tua.
"Masalahnya, mereka juga semakin cepat bercerai," katanya.
Sejak 2000, wanita Mesir boleh bercerai tanpa perlu membuktikan apa-apa kecuali tidak sehaluan dengan suami masing-masing.
Namun, prosedur secara 'khulu' itu mewajibkan wanita terbabit menyara sendiri keperluan kewangannya serta memulangkan mas kahwin.
Proses itu biasanya memerlukan masa sehingga enam bulan.
Wanita juga boleh memilih prosedur biasa dengan menuntut hak nafkah daripada suami, tetapi perbicaraan di mahkamah biasanya berakhir dengan hakim memihak kepada lelaki.
Ia juga mungkin amat menjerihkan wanita, seperti digambarkan dalam filem 'I Want a Solution' terbitan 1975, mengenai perjuangan panjang seorang isteri mendapatkan perceraian.
Sebaliknya, proses perceraian mudah bagi lelaki.
Statistik rasmi membuktikan hakikat itu.
Kira-kira 80 peratus kes perceraian di Mesir dimulakan pihak suami.
Namun, dalam masyarakat konservatif Mesir, sesetengah pihak tetap percaya sistem perundangan sebenarnya banyak memihak kepada wanita.
Tanggapan itu dibuat ketika peraturan digunakan kini meletakkan pelbagai halangan sebelum seorang wanita bercerai.
"Wanita mendapat lebih banyak hak daripada sepatutnya.
"Mereka melampau," kata ketua persatuan menentang amalan 'khulu', Abdul Rahman Hamid.
Katanya, wanita mengeksploitasi peraturan sedia ada bagi kepentingan peribadi dan harganya terpaksa dibayar pihak keluarga.
Katanya, wanita Mesir kini menjadi pemberontak melalui peraturan berat sebelah itu.
Mahasen yang bekerja di bahagian pentadbiran sebuah universiti Mesir menyedari apa yang perlu dikorbankan wanita negara itu jika mahu bercerai.
"Amat sukar mencari sahabat untuk berbincang tanpa dicurigai berlaku curang terhadap suami," katanya.
Katanya, seorang kenalannya, iaitu seorang doktor wanita, terpaksa mengelak bekerja malam kerana bimbang dipandang serong.
"Bayangkan sukarnya kehidupan dilalui.
"Saya hanya berumah tangga selama dua tahun, tapi terpaksa menunggu empat tahun sebelum bercerai," katanya. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan