NEGARA
Cemburu punca bunuh
ALOR SETAR – Seorang wanita yang tidak dapat menahan rasa cemburunya bertindak kejam apabila menikam seorang jurujual sebuah kedai alat tulis bertubi-tubi hingga mati sebelum menikam dirinya sendiri di Taman Kristal Mergong di sini malam kelmarin.
Kejadian pukul 10 malam berhampiran sebuah bendang itu mengakibatkan, Suhana Mohd. Shariff, 26, mati selepas ditikam sebanyak tujuh kali di perut dan dada dengan menggunakan pisau pemotong sayur oleh suspek yang dikenali sebagai Oren, 33.
Sebaik melihat mangsa berlumuran darah, suspek yang merupakan seorang wanita berperwatakan lelaki kemudian cuba membunuh diri dengan menikam dada dan menggelar tangan kiri sendiri tetapi dapat diselamatkan.
Suspek berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Difahamkan, sebelum itu, kedua-dua wanita berkenaan telah berselisih faham sebelum berlaku pertengkaran besar di antara mereka di dalam sebuah kereta Perodua Viva milik mangsa.
LAGI
Tikam bertubi-tubi
mohamad@hmetro.com.my
2010/03/05
ALOR STAR: Akibat cinta terlarang, seorang jurujual wanita maut di tangan rakan sekerjanya yang juga seorang wanita selepas ditikam tujuh kali dengan sebilah pisau pemotong sayur di perut dipercayai bermotifkan cemburu dalam kejadian di belakang Lorong Kristal, Taman Kristal di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa, Suhana Mohd Shariff, 26, dari Kota Tanah di sini, ditemui terbaring di belakang Perodua Viva putih miliknya, manakala suspek berusia 33 tahun cedera parah di dada dan tangan kiri selepas menikam diri sendiri.
Difahamkan, seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Mohd Faizal yang ketika itu membuat rondaan di lorong berkenaan menemui kedua-dua wanita terbaring menahan kesakitan berhampiran kereta berkenaan.
Pengawal terbabit segera menghubungi ambulans dan polis bagi memaklumkan kejadian itu.
Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, manakala ‘teman lelakinya’ ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan kerana kecederaan serius di dada.
Difahamkan, kedua-dua wanita bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai menjual alat tulis berhampiran Terminal Bas dan Teksi Shahab Perdana di sini dan berkawan sejak dua tahun lalu.
Sebelum kejadian, mereka dipercayai bertengkar dalam kereta berkenaan sebelum suspek menikam mangsa tujuh kali di perutnya.
Sejurus melihat mangsa terbaring kesakitan, suspek terus mengelar pergelangan tangan kirinya sendiri sebelum menikam dadanya menggunakan pisau sama.
Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, berkata ketika pasukan polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua wanita sudah dihantar ke HSB untuk rawatan.
Bagaimanapun, katanya Suhana disahkan meninggal dunia pada jam 11.35 malam di HSB, manakala suspek masih tidak sedarkan diri dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa ialah teman rapat suspek berdasarkan beberapa bahan bukti termasuk gambar dan hadiah yang ditemui dalam keretanya selain mendapati nombor pendaftaran kereta Suhana iaitu 8477 juga mungkin disesuaikan dengan tahun kelahiran mereka,” katanya.
Menurutnya, suspek dipercayai tidak puas hati dengan mangsa dan terus menikamnya tujuh kali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 17.8 sentimeter.
“Selepas melihat mangsa dalam keadaan separuh sedar akibat tikaman itu, suspek terus mengelar pergelangan tangan kirinya beberapa kali dalam cubaan membunuh diri,” katanya di sini, semalam.
Bagaimanapun, katanya, suspek yang melihat dirinya tidak cedera terus menikam dadanya beberapa kali sebelum rebah di belakang kereta milik Suhana.
Abdul Ghafar berkata, menurut saksi kejadian, kedua-dua wanita berada di luar kereta berkenaan dalam keadaan parah dan polis percaya pergaduhan bermula dari dalam kereta kerana ada kesan darah di tempat duduk pemandu serta penumpang hadapan.
“Mangsa keluar dari keretanya untuk menyelamatkan diri manakala suspek mengekori dari belakang. “Bagaimanapun, kedua-duanya ditemui terbaring di belakang kereta berikutan kecederaan yang dialami.
“Kami turut menemui sebilah pisau yang digunakan suspek di kawasan sawah berhampiran tempat kejadian,” katanya sambil menyatakan polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan berhampiran bagi membantu siasatan.
Menurutnya, polis sedang menunggu keputusan bedah siasat terhadap mayat mangsa yang berasal dari Lorong Kenanga di sini, manakala suspek yang tinggal di Seberang Nyonya di sini, belum direkodkan kenyataan berikutan masih tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
LAGI
Cemburu arwah ada teman baru
2010/03/05
ALOR STAR: “Kami sekeluarga pernah menasihatkan arwah supaya menjauhkan diri daripada wanita terbabit kerana mereka kelihatan seperti pasangan kekasih,” kata Shafinaz Mohd Shariff, 40, kakak Suhana, 26, yang maut selepas ditikam tujuh kali oleh rakan sekerjanya yang juga wanita di Lorong Kristal, Taman Kristal, malam kelmarin.
Menurutnya, dia banyak kali menasihatkan adiknya itu, tetapi arwah tetap mahu berkawan dengan wanita terbabit.
“Wanita itu mungkin cemburu kerana arwah kini berkawan dengan seorang lelaki yang baru dikenalinya dan mungkin itu puncanya mereka bergaduh,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, semalam.
Katanya, dia pernah melarang adiknya berkawan terlalu rapat dengan suspek kerana bimbang ia akan menimbulkan masalah antara mereka berdua.
“Saya bimbang kerana mereka terlalu rapat sehingga nampak seperti pasangan kekasih. Mereka sudah lama berkawan iaitu sejak tujuh tahun lalu dan hubungan mereka sangat baik hingga sekarang.
“Pada mulanya kami tidak mengesyaki apa-apa kerana mereka berdua seperti adik-beradik, tetapi lama kelamaan kami nampak hubungan itu sudah lain, seperti sepasang kekasih.
“Suspek juga pernah datang ke rumah kami beberapa kali termasuk makan bersama dan sebab itu saya tidak sangka dia sanggup bertindak di luar batasan (tikam arwah),” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin, Suhana dari Kota Tanah di sini, ditemui terbaring di belakang Perodua Viva putih miliknya manakala suspek yang berusia 33 tahun cedera parah di dada dan tangan kiri selepas menikam dirinya.
Difahamkan, seorang pengawal keselamatan dikenali Mohd Faizal yang membuat rondaan di kawasan lorong berkenaan terkejut melihat kedua-duanya terbaring menahan kesakitan berhampiran kereta berkenaan.
Pengawal terbabit terus menghubungi ambulans dan polis untuk memaklumkan kejadian itu.
Sementara itu, jenazah Suhana selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Perak, di sini, selepas solat Asar semalam.
Suasana hiba menyelubungi keluarga Suhana, malah ada yang menitiskan air mata kerana tidak dapat menahan sedih berikutan kematian mangsa.
LAGI
ALOR STAR: “Beberapa hari lalu hubungan mereka nampak mulai renggang. Bila saya tanya kenapa, mereka berdua cuma kata ‘no comment’ dan tak mahu cakap,” kata pemilik Siwa Enterprise (M) Sdn Bhd, Lim Kim Soon, 70, majikan Suhana Mohd Shariff, 26, yang maut selepas ditikam rakan sekerjanya di Taman Kristal, malam kelmarin.
Menurutnya, Suhana yang bekerja sebagai kerani di syarikat pemborong alat tulis sejak Jun 2005 itu adalah pekerja bertanggungjawab dan disenangi pelanggan serta rakan sekerja.
“Dia seorang yang baik dan bertanggungjawab, semua pekerja di sini menyukainya. Saya berasa kehilangannya kerana kami mesra dengannya.
“Mereka berdua seperti adik-beradik dan memang rapat, datang kerja, rehat serta cuti pun bersama-sama,” katanya ketika ditemui di kedainya di Taman Kristal di sini, semalam.
Lim berkata, Suhana dan rakannya memang akrab sejak sebelum bekerja di syarikatnya, namun masing-masing pandai menyimpan rahsia dan tidak mahu menceritakan masalah dihadapi termasuk kepada dirinya.
“Mereka berdua memang rapat sebelum bekerja di sini. Pada mulanya, rakannya itu kerja dulu pada Mei 2004 sebagai pembantu stor, manakala Suhana mula kerja pada Jun 2005 sebagai kerani,” katanya.
Lim berkata, Suhana pernah berhenti kerja tiga bulan pada Jun 2009 kerana dia mahu bekerja sebagai guru sandaran, tetapi bekerja semula dengannya pada September lalu kerana tidak mahu ditugaskan di Sabah atau Sarawak. Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Nor Hazira Halim, 21, berkata sejak kebelakangan ini hubungan Suhana dan kawan karibnya itu renggang dan tidak mahu bercakap
LAGI
TERKINI
Suspek kes bunuh masih koma
ALOR SETAR, 5 Mac (Bernama) — Suspek kes bunuh Suhana Mohd Shariff, 26, yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat cedera parah selepas cuba membunuh diri, belum sedarkan diri dan masih berada di Unit Rawatan Rapi di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi di sini hari ini berkata, suspek masih berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke HSB dua hari lepas.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam Rabu lepas, Suhana meninggal dunia dipercayai selepas ditikam tujuh kali oleh suspek yang juga teman rapatnya, sebelum wanita berusia 33 tahun itu bertindak menikam diri serta mengelar pergelangan tangannya sendiri. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan