Rabu, 3 Mac 2010

AGAK2LAH CIKGU....BUKAN SEMUA BUDAK PERANGAI SERUPA...NAMA PUN BUDAK...BAGAIMANA KALAU ANAK KITA DIBUAT BEGITU.....

Muka dicakar guru

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my
2010/03/03

KANGAR: “Anak bongsu saya pernah demam selepas didenda ketuk ketampi guru berkenaan tetapi saya berdiam diri. Kali ini, saya betul-betul kecewa apabila melihat pipinya berdarah dipercayai dicakar guru yang sama.

“Malangnya guru berkenaan sanggup bertegang urat dengan saya dengan menafikan melakukan perbuatan itu dan mendakwa luka di pipi disebabkan terkena kotak pensel,” kata Zakaria Kasa, 39, bapa kepada Zaidi Putra, murid Tahun Satu sebuah sekolah rendah di Sanglang, semalam.


Beliau berkata, dalam kejadian jam 8.40 pagi Selasa minggu lalu, Zaidi, 7, luka di pipi kanan selepas terkena kuku guru wanita berusia awal 50-an didakwa bertindak mencakar muka anaknya. Katanya, guru yang mengajar subjek Bahasa Inggeris itu dikatakan bertindak demikian selepas berang apabila Zaidi gagal menyiapkan kerja sekolah, namun guru berkenaan menafikan melakukan perbuatannya itu dan guru besar menghubunginya semalam meminta maaf.


“Zaidi menangis ketakutan dan enggan menyatakan punca luka di bawah matanya ketika dia ke sekolah selepas kejadian.


“Pada jam 2 petang hari sama, saya ke sekolah sekali lagi menghantar makanan dan Zaidi masih menangis memaklumkan luka di atas pipi disebabkan terkena kuku guru berkenaan.


“Guru itu sebaliknya menyalahkan anak saya yang dikatakan nakal dan mendakwa luka terbabit akibat terkena kotak pensel jenis kain milik Zaidi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Belati, Simpang Empat.

Zakaria membawa keluar Zaidi walaupun belum selesai sesi sekolah tambahan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan bertindak membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat, jam 4 petang pada hari kejadian.


Dia turut memaklumkan perbuatan guru berkenaan kepada Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat, tetapi jabatan berkenaan enggan mengulas lanjut kerana kes itu menjadi kes polis.


Tinjauan Harian Metro semalam mendapati kesan luka di pipi Zaidi jelas kelihatan walaupun sudah seminggu. Zakaria seorang petani dan baru menduduki rumah percuma ‘Mesra Rakyat’ pemberian kerajaan.


Beliau mempunyai seorang lagi anak, Nuralia Natasha, 10, yang belajar di sekolah sama dan tidak hadir ke sekolah sejak seminggu lalu.


Malah, pihak pentadbiran sekolah tidak pernah menghubungi keluarga itu bagi menanyakan sesuatu mengenai kes terbabit serta perkembangan kedua-dua pelajarnya yang tidak bersekolah.


Zakaria berkata, selepas kecewa dengan sikap guru dan kurang perhatian pihak sekolah, beliau mengambil keputusan menukarkan kedua-dua anaknya ke sekolah lain dan mengambil surat berhenti sekolah semalam.


“Guru besar sekolah menghubungi saya semalam untuk memohon maaf ke atas kejadian menimpa Zaidi dan saya tidak berpuas hati kerana permohonan maaf bukannya daripada mulut guru terbabit,” katanya.


Beliau berkata, dia berdiam diri apabila Zaidi demam selepas dikenakan denda ketuk ketampi oleh guru sama baru-baru ini dan paling menyedihkan guru berkenaan pernah menulis `anak kamu malas’ dalam buku kerja sekolah anaknya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, mengesahkan polis menerima aduan daripada Zakaria dan siasatan dilakukan.



JANGAN DIBIARKAN...BAGAIMANA JIKA ANAK KITA KENA...


Gurauan rakan melampau

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
2010/03/29

KUALA LUMPUR: Gara-gara gurauan nakal mahu memberikan RM2 jika rakan sekelas berani menumbuk dinding sebanyak 35 kali, seorang murid perempuan tahun lima di bandar raya ini dicabul termasuk diraba payudaranya oleh temannya itu selepas dia gagal menunaikannya.

Malah, kanak-kanak perempuan yang hanya mahu dikenali sebagai Wati, berkata tiga lagi rakan lelaki yang lain turut ‘tumpang sekaki’ dengan mengejek sesuatu mengenai payudaranya.


Dalam kejadian Oktober tahun lalu itu katanya, dia berseloroh dengan rakan lelaki di kelasnya yang ‘tunjuk kuat’ supaya menumbuk dinding kelas itu sebanyak 35 kali jika benar-benar gagah. “Ketika itu guru tiada di kelas. Saya katakan akan beri RM2 jika mereka berani menumbuk dinding itu. Bagaimanapun, tiada seorang daripada mereka berani menyahut cabaran saya itu. “Saya kemudian pergi ke tandas sebelum kembali ke kelas. Seorang daripada rakan kelas lelaki itu datang kepada saya sambil menunjukkan penumbuknya yang merah kerana mendakwa menumbuk dinding. Oleh itu, dia menuntut RM2 seperti dijanjikan.


“Tetapi saya katakan padanya bahawa dia tidak melakukan aksi tumbuk depan saya dan menipu. Namun, dia marah sebelum meminta juga RM2 itu. “Saya kemudian beri dia tidak sampai RM2 dan dia marah sebelum bertindak meraba payudara saya,” katanya yang trauma dengan kejadian sehinggakan terpaksa meminta ayahnya menukarkan dia ke sekolah lain. Katanya, dia merayu supaya tidak diperlakukan sebegitu namun tidak diendahkan malah tiga lagi rakan lelaki yang lain membuat riuh-rendah sambil mengatakan sesuatu mengenai payudaranya. “Sejak kejadian itu dan hari berikutnya saya bimbang untuk ke sekolah. Takut kejadian itu berulang. Apatah lagi, budak lelaki di kelas masih mengganggu saya dengan perkataan lucah,” katanya. Sementara itu, bapa mangsa, berkata dia kecewa dengan pihak sekolah kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya terhadap empat murid lelaki yang melakukan gangguan seksual terhadap anak sulungnya itu. Malah, katanya, dia terpaksa menukarkan anaknya itu dan seorang lagi anak perempuannya awal tahun ini ke sekolah khas untuk perempuan kerana mangsa takut jika berjumpa lelaki. “Apa yang menghampakan, guru besar dan guru hal ehwal murid sekolah itu mengatakan ia hanya gurauan antara kanak-kanak,” katanya.





Saman jika sekolah berdiam diri



2010/03/30

KUALA LUMPUR: “Saya tidak akan teragak-agak menyaman pihak sekolah kerana terus berdiam diri dan gagal mengambil tindakan terhadap kejadian cabul anak perempuan saya,” kata ibu mangsa cabul rakan sekelas di sebuah sekolah rendah di Bangsar.

Ibu mangsa, Salbiah Mohamed Yusof, 33, berkata tindakan mahkamah itu akan diambil kerana mendakwa pihak sekolah berkenaan enggan bertanggungjawab terhadap kejadian cabul membabitkan beberapa murid lelaki sekolah itu selain enggan membuat permohonan maaf secara terbuka.


“Perkara ini membabitkan maruah anak saya. Akibat perbuatan rakan sekelasnya itu, pelajarannya terjejas teruk kerana setiap hari perlu berdepan ejekan dan tohmahan murid lain di sekolahnya.


“Lebih mengecewakan, pihak sekolah seolah-olah menutup mata terhadap kejadian ini dan tergamak mengatakan anak saya sengaja mahu memperbesarkan perkara ini kerana mendedahkannya di Harian Metro baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Katanya, dia amat kesal dengan pendekatan yang diambil sekolah terbabit yang seolah-olah tidak memandang serius perkara berkenaan sedangkan kejadian sedemikian mungkin akan berlaku terhadap pelajar lain jika pihak sekolah tidak mengambil tindakan tegas. Salbiah berkata, dia sudah memberi peluang kepada pihak sekolah membuat penjelasan ketika kes ini berlaku. Hingga kini juga ibu bapa murid yang melakukan perbuatan tidak senonoh itu langsung tidak bersemuka dan memohon maaf.


“Saya juga kesal tindakan wakil Kementerian Pelajaran yang mengarahkan saya menarik balik laporan polis yang dibuat selain turut diarah untuk menulis surat pengakuan bahawa saya akan menarik balik laporan berkenaan,” katanya.


Dalam kejadian Oktober lalu, mangsa yang berusia 11 tahun dicabul termasuk diraba payudaranya oleh temannya gara-gara gurauan nakal mahu memberikan RM2 jika rakan sekelas berani menumbuk dinding sebanyak 35 kali namun perbuatan tidak bermoral itu berlaku selepas dia gagal menunaikannya.


Akibat trauma kejadian itu, mangsa terpaksa ditukarkan ke sekolah khas untuk perempuan kerana tidak tahan menanggung malu selain mangsa takut jika berjumpa lelaki. Sementara itu, Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir berkata, sekolah terbabit perlu mengambil serius sebarang masalah yang berlaku di kalangan murid sama ada ia serius atau tidak.




22 budak jahat

Oleh Irma Ernany Mohd
am@hmetro.com.my
2010/03/30

YAN: Ibu bapa kepada 22 pelajar sebuah sekolah menengah, di sini, kesal dengan tindakan pengetua sekolah itu yang dianggap keterlaluan dan menganiaya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu apabila memberi ulasan kurang memuaskan serta tidak berdisiplin dalam sijil berhenti sekolah mereka.

Ayah pelajar, Rasli Mohd Zain, 55, berkata dia kesal dengan pengetua berkenaan kerana membantutkan hasrat anaknya untuk memasuki institusi pengajian tinggi disebabkan ulasan tidak munasabah. “Pengetua wanita itu memberi ulasan kelakuan pelajar kurang memuaskan dan masalah disiplin. Ia memberi kesan jangka panjang kepada pelajar selain berisiko tidak dapat tempat di institut pengajian tinggi awam atau swasta. “Anak saya, Ahmad Ikram, 18, memberitahu dia nakal di sekolah, namun tidak sampai ke tahap masalah disiplin yang teruk sehingga pengetua berkenaan tergamak berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Rasli berkata, anaknya pernah mewakili Kedah dalam bola tampar selain mengharumkan nama sekolah sepanjang lima tahun belajar di sekolah berkenaan.


Sementara itu, Ahmad Ikram berkata, dia mahu meneruskan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi di Politeknik, namun bimbang tidak diterima berikutan masalah itu.


“Saya bukan budak jahat, tetapi saya akui saya tak sempurna. Jika saya ada masalah sebelum ini saya patut dikenakan tindakan bukannya cara seperti ini yang boleh menjejaskan masa depan saya,” katanya. “Apabila saya dapat sijil ini, saya rasa bagaikan gelap masa depan, kerana tidak menyangka mendapat ulasan seperti itu,” katanya. Hamidah Abu Bakar, 40, ibu kepada Mohd Khairul Zarif Zulkhurnai, 18, turut melahirkan kekesalan dengan tindakan pengetua sekolah itu yang seolah-olah menjadikan pelajar sebagai mangsa atas sebab yang tidak diketahui. “Jika anak nakal itu biasa, mereka dalam proses pembesaran. Nakal pun tidaklah sampai menimbulkan kekacauan kepada orang luar dan pelajar lain, hanya bising dan ponteng saja.


“Saya sendiri pernah dipanggil pengetua dan guru disiplin untuk menyelesaikan masalah ini. Saya tidak sangka pengetua menyimpan dendam terhadap anak saya sehingga tergamak memberikan ulasan pelajar bermasalah disiplin,” katanya. Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Ahmad Fisal Mat Tahir, tidak pernah terjadi dalam sejarah pengetua sanggup menganiaya pelajar sebegitu. Sepatutnya sijil berhenti sekolah ditulis dan diberi ulasan guru kelas bukannya pengetua,” katanya. Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abdul Rahman, berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai masalah itu minggu lalu dan sudah mengarahkan tindakan segera diambil.





Tiada ulasan: