Rabu, 3 Mac 2010

Silaturahim makin dilupakan

Silaturahim makin dilupakan

Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

2009/12/30

SILATURAHIM adalah sunnah yang tidak lagi diminati masyarakat hari ini. Buktinya ada di mana-mana. Wujudnya kejengkelan terhadap silaturahim bermula daripada diri individu, seterusnya melanda kepada institusi kekeluargaan.

SILATURAHIM adalah sunnah yang tidak lagi diminati masyarakat hari ini. Buktinya ada di mana-mana. Wujudnya kejengkelan terhadap silaturahim bermula daripada diri individu, seterusnya melanda kepada institusi kekeluargaan.

Ada banyak kes hari ini menunjukkan silaturahim bukan suatu ikatan yang diutamakan. Antaranya, kes pembunuhan ibu atau bapa oleh anak-anak, suami membunuh isteri yang sedang menyusukan anak atau isteri membunuh suami yang curang.

Hubungan kekeluargaan adalah satu usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang berkualiti. Dalam hubungan ini, kepentingan setiap individu terjamin apabila setiap anggotanya saling sayang menyayangi, melindungi dan ingat-mengingati.


Allah s.w.t berfirman dalam surah An-Nisa' ayat 1, yang bermaksud: "Dan takutlah kepada Allah yang pinta-meminta kamu dengan nama-Nya dan (takutlah akan memutuskan) silaturahim. Sesungguhnya Allah mengawasi kamu."

Ibu bapa mempunyai kedudukan mulia di mata Allah sw.t. Ibu bapa juga orang yang paling hampir dengan kita dari aspek ikatan kekeluargaan dan pertalian darah.

Selayaknya ibu bapa menerima penghargaan yang amat besar daripada Allah s.w.t sebagai orang yang perlu dihormati kerana bersusah payah menjaga kita sejak dalam kandungan sehingga meningkat dewasa.

Iman seseorang juga tidak sempurna jika mencalarkan kebeningan hati ibu bapa. Begitu juga bila berbicara mengenai jasa dan pengorbanan ibu bapa yang tidak dapat dibalas dengan apa jua perkara.

Pada zaman nabi, ada kisah yang berlaku ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah. Seorang lelaki berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam keadaan cuaca sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya dan dia amat keletihan.


Orang itu bertanya kepada Ibnu Umar: "Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku atas apa yang ia lakukan untukku selama ini?" Ibnu Umar menjawab: "Demi Allah, tidak walaupun satu nafasnya."

Selain ibu bapa, kita juga harus menjaga silaturahim sesama jiran. Jiran tetangga adalah kerabat paling hampir dengan keluarga kita. Malah, hubungan rapat dan mesra yang terjalin kadangkala melebihi sanak-saudara.

Allah s.w.t memerintahkan manusia supaya berlaku baik terhadap jiran tetangga, sama ada jiran tetangga dekat ataupun jauh. Ini jelas sebagaimana firman-Nya dalam surah An-Nisaa', ayat 36 yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah, dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya."

Sabda baginda yang bermaksud: "Tidak akan masuk syurga seorang yang jiran tetangganya tidak aman daripada kejahatannya." (Riwayat Muslim)."

Silaturahim yang dipupuk dalam diri sendiri membawa kepada ikatan kekeluargaan, seterusnya diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat yang mempunyai banyak kebaikan di dunia dan akhirat.

Pernah diriwayatkan mengenai rumah yang tidak dimasuki syaitan. Antara rumah yang dibenci syaitan ialah rumah yang penghuninya sentiasa menjaga dan menghubungkan silaturahim, menjaga adab dan berbakti kepada orang tuanya. Selain itu, ia termasuk rumah yang penghuninya terdiri daripada pasangan yang soleh dan solehah serta saling faham memahami dan bertolak ansur selain suka memaafkan orang lain dan rumah yang sentiasa dipenuhi dengan ucapan salam dan meminta izin.

Rumah sebegini yang dipenuhi dengan amalan mulia, akan memupuk ikatan silaturahim berpanjangan.

Tiada ulasan: