Isnin, 1 Mac 2010

NIAT BAIK PERLAKSANAAN SALAH...TANYA ORANG ARIF AGAMA .....APA YANG DIBUAT AKAN DITANYA OLEH ALLAH ...

Tak wajar lakon watak nabi

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
2010/03/01

KUALA LUMPUR: Di sebalik matlamatnya memberikan kesedaran, teater muzikal kerohanian berjudul Antara... mendapat reaksi berbeza tokoh agama selain mendakwa ia tidak sepatutnya dipertontonkan kepada khalayak ramai.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac) dan pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Ilmu Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata, teater terbabit seeloknya tidak dipertontonkan.


Beliau berkata, pendapatnya itu bukan di segi hukum tetapi menyentuh aspek etika yang perlu dijaga penggiat seni bagi mengelak kekeliruan di kalangan penonton. “Lakonan yang menunjukkan wajah nabi atau rasul memang tidak boleh. Jika lakonan di sebalik tabir, ia yang paling minimum boleh lakukan. Namun, dalam pemikiran orang masih mengatakan begitukah watak nabi. “Ia dikhuatiri memperlekehkan nabi dan rasul serta bimbang gambaran yang tidak tepat melekat di pemikiran penonton,” katanya diminta mengulas mengenai pementasan teater berkenaan di Panggung Sari, Istana Budaya, berakhir semalam.


Pementasan teater karya pelakon dan pengarah, Erma Fatima itu itu sempena sambutan Maulidur Rasul, menampilkan pelakon seperti Azhan Rani, Azizah Mahzan, Fahrin Ahmad, Nasha Aziz, Haerianto dan Soosan Hoh. Antara... yang bermula dengan kisah manusia pertama diturunkan ke bumi, (Nabi) Adam dan Hawa, bercerita mengenai manusia yang hidup dalam dunia dosa dan pahala serta akibat hasil perlakuan mereka. Teater itu menggandingkan Fahrin dengan Nasha Aziz, masing-masing dipertanggungjawabkan membawa watak Adam dan Hawa.


Pementasan teater dua jam itu bermula dengan kisah Adam dan Hawa dari tindakan mereka memakan buah kuldi, kemudian dijatuhkan ke bumi dan bermulalah perkembangan fasa manusia, konsep dosa dan pahala, diikuti kematian dan kebangkitan. Dr Mahmood Zuhdi, yang juga penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2010 peringkat kebangsaan, berkata jalan cerita teater terbabit juga harus diperhatikan supaya tidak tersasar daripada ajaran Islam.


“Jika jalan ceritanya menonjolkan kesilapan Adam dan Hawa, itu sudah termasuk dalam unsur agama Kristian. “Dalam Islam kita tidak menerima tindakan mereka berdua sebagai suatu kesilapan, sebaliknya ia adalah senario yang Allah tetapkan, sudah menjadi qada dan qadar,” katanya.

Penolong Pengarah, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin, berkata pementasan teater dan sebarang bentuk lakonan watak nabi dan rasul sangat dikesali, kerana boleh merendahkan martabat mereka.


“Nabi dan rasul bukan manusia biasa dan perlu dimuliakan. Soal peristiwa Nabi Adam, kesilapan, dosa dan pahala, itu adalah hikmah kepada kejadian manusia. “Memanglah matlamatnya untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tetapi caranya tidak kena. Apa pula tanggapan orang ramai dengan watak yang dilakonkan itu,” katanya.


Wakil Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) sebelum ini difahamkan turut menerima skrip terbabit.

Tiada ulasan: