Sabtu, 13 Mac 2010

BETUL USTAZ....DIAORANG INI TAK INGAT MATI DAN TAK TAKUT NERAKA....SEBAB MAKSIAT DILAKUKAN TIDAK MAHU BERTAUBAT

Selamatkan negara melalui penghayatan Islam


http://episodeperjuangan.blogspot.com/

1. Kebelakangan ini negara kita mengalami perubahan suhu panas yang agak ketara . Paras takungan air menurun dan pemanasan suhu meningkat . Ia memberi kesan kepada tahap kemarau yang membimbangkan .

2. Sebagai seorang muslim dan mukmin , kita sangat yakin bahawa fenomena ini bukanlah terjadi dengan sendiri tanpa sebarang sebab atau hikmah disebaliknya melainkan ia adalah merupakan ketentuan Allah swt sebagai

a] ibtila' [ujian untuk meningkatkan ketaqwaan dan keimanan]
b] kaffarah [ penghapusan dosa dan menyucikan jiwa ] atau
c] musiibah [ bencana untuk manusia insaf , berfikir dan bertaubat ]

3. Kerakusan dan ketamakan manusia sekali lagi boleh menjadi faktor penyumbang kepada fenomena pemanasan suhu ini . Sebagai contoh mudah ialah , penebangan bebas dan menggondolkan bukit tanpa mengambil kira kesan ke atas alam sekitar , pembakaran terbuka , mengotor dan memusnahkan sungai . Kesan dari perbuatan tangan [ dosa ] manusia inilah mencetus musiibah . Firman Allah swt :

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).Surah Ar Ruum : 41

4. Menyedari perkara [ musibah ] ini adalah datang daripada Allah swt , maka langkah yang paling bijak ialah kembali [ taqarrub dan taubah] kepada Allah swt. Bermula dari pemimpin , rakyat , ahli politik , ahli ekonomi , aktivis sosial dan semua pihak mesti kembali tunduk dan patuh kepada syariat Allah swt .

5. Langkah yang diambil oleh YAB Dato' Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz sebagai ketua kerajaan negeri Kelantan menganjurkan solat Istisqa' [ sembahyang minta hujan ] adalah satu contoh yang paling bijak . Solat Istisqa' bukan sahaja berupa munajat [ memohon ] hujan tetapi turut mengandungi istighfar [ mohon ampun ] dan taubah serta tadharru' dan tawakkal [ merendah dan menyerah diri ] kepada Allah swt Tuhan yang menjadikan kemarau panjang ini .

6. Kaedah dan pendekatan seperti ini tidak berlaku di dalam sistem pentadbiran sekular yang memisahkan politik mereka dari agama . Akhirnya mereka akan terus sengsara dan derita bersama keangkuhan dan keegoan mereka yang enggan kembali kepada Allah swt . Tidak mustahil , kesombongan dan keangkuhan itu kelak akan membawa musibah yang lebih besar dan menjanjikan azab yang lebih pedih terutamanya diakhirat kelak .

7. Memerintah , mentadbir dan mengurus manusia serta negara , tidak hanya terhenti di atas kemahiran dan kepakaran tetapi mestilah juga berpaksi di atas kepatuhan dan ketundukan kepada syariat Allah swt .

Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk [ rakyat dan pemimpin ] negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) Yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka Dengan azab seksa disebabkan apa Yang mereka telah usahakan .Surah Al A'raaf : 96


8. Perjuangan yang memisahkan politik dari agama [ sekular ] adalah perjuangan yang bathil malah membawa mala petaka kepada negara . Negara yang ditadbir dan diperintah tanpa agama akan melahirkan manusia yang tidak kenal dosa dan pahala bahkan wujud pelbagai budaya maksiat dan mungkar yang mengundang jenayah serta salah laku atau penyelewengan moral [ akhlak ] .

9. Logik dan rasionalnya sesuatu sistem ciptaan manusia tentunya tidak boleh mengatasi peraturan [ syariat ] ciptaan Allah swt . dan tentu sahaja Allah swt lebih tahu bagaimana mengurus manusia sebagai makhluk ciptaanNya atau siapa yang boleh menafikan bahawa manusia adalah hasil ciptaan Allah swt ?

10. Selamatkan negara kita dengan menyeru seluruh rakyat kembali kepada Islam . Sementara non muslim diseru agar menerima dan memberi kepercayaan kepada Islam untuk mentadbir dan memimpin negara [ sementara mereka tidak dipaksa menganut agama Islam . Kerana:

a] Islam agama yang adil untuk semua .
b] Islam melarang segala bentuk jenayah dan menghukum penjenayahnya
c] Islam memberi hak membela diri bagi mereka yang dituduh
d] Islam menuntut bukti kukuh bagi mereka yang mendakwa.
e] Islam mengharamkan kezaliman dan penindasan
f] Islam anti rasuah dan sistem riba yang menindas
g] Islam menganjurkan perpaduan dan silaturrahim
h] Islam mengutamakan ilmu pengetahuan dan budaya yang sihat
i] Islam memelihara hak dan memulangkan hak kepada yang berhak
j] Islam menghormati pandangan dan agama yang berbeza
k] Islam bukan agama perkauman
l] Islam tidak eksterim sebaliknya sangat toleransi]
m] Islam benci maksiat dan mungkar
n] Islam menganjurkan keamanan , kesejahteraan dan keharmonian.
o] Islam menjaga keselamatan dan memberi perlindungan
p] Islam menaja kebersihan dan kesucian
q] Islam memastikan kesihatan dan keafiatan
r] Islam mengurus tamaddun dan peradaban yang sihat dan hebat
s] Islam adalah agama rahmat [ kasih sayang ] dan berkat [ bertambah kebaikan ]
t] Islam menjanjikan ketenangan dan kedamaian
u] Islam menawarkan keampunan
v] Islam menjanjikan ganjaran pahala dan syurga atas ketaatan
w] Islam menjanjikan dosa dan neraka atas penderhakaan
x] Islam menganjurkan kebajikan dan kebaikan
y] Islam membunuh segala sifat mazmumah [ jahat dan negatif ]
z] Islam membina segala sifat mahmudah [ baik dan terpuji ]

Jika Islam tidak benar dan betul atau ada yang tidak kena dengan Islam , sila beritahu saya , dimana tidak kenanya Islam ?

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.



berkaitan


SOFI WAHAB: Tukar kerajaan cegah anak luar nikah

Sofi Wahab

Gejala buang bayi memang sudah lama berlaku. Sudah ratusan malah mungkin ribuan bayi yang tidak berdosa dibuang di merata tempat oleh manusia berhati iblis. Darjat manusia ini lebih teruk dari binatang kerana binatang pun tahu sayang kepada anaknya.

Hari ini (22 Mac) media sekali lagi melaporkan kejadian buang bayi yang berlaku dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu. Bayi ini masih hidup walaupun basah kuyup ditimpa hujan.

Semalam (21 Mac), media juga melaporkan bahawa terdapat 17,303 orang anak luar nikah didaftarkan pada tahun 2009.
Apa maknanya kedua-dua fakta di atas? Maknanya ialah gejala maksiat zina sudah menjadi perkara biasa di Malaysia. Kalau dikira purata anak luar nikah yang dilahirkan di Malaysia ialah 47 orang sehari, kira-kira dua orang setiap jam.

Saya lebih suka membicarakan punca kepada perkara sebelum kita berfikir tentang cara penyelesaiannya. Mengikut kaedah problem solving, sebelum kita membuat correctieve action atau langkah pembetulan kita mesti mencari punca-punca masalah ini.

Di bawah ini adalah punca-punca kepada gejala zina, buang bayi dan anak luar nikah:-

1) Tiadanya kesedaran agama di kalangan penzina kerana mereka sudah tidak takut kepada Allah sehingga sanggup melakukan dosa besar iaitu perzinaan. Mereka ini mungkin tidak mempunyai asas agama yang kuat.

2) Pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita disebabkan ibu bapa tidak melarang mereka, keluar rumah dan bergaul bebas, kawan-kawan dan masyarakat tidak memberi nasihat dan membiarkan maksiat terus berlaku.

3) Persekitaran yang sudah rosak dengan program-program maksiat/pergaulan bebas seperti konsert, kelab malam, dangdut, disko dan sebagainya. Selain itu gejala berdua-duaan ke sana ke mari sudah menjadi tidak salah di sisi masyarakat dan ibu bapa serta undang-undang.

4) Gejala meminum arak dan dadah di kalangan muda-mudi juga sudah menjadi perkara biasa dan bila kepala sudah khayal maka mudah maksiat berlaku.

5) Tiadanya undang-undang yang mampu mencegah perbuatan mungkar yang berlaku sekarang. Undang-undang yang ada sekarang adalah ciptaan manusia yang tidak mampu menggerunkan manusia. Sedangkan Allah sudahpun menurunkan undang-undang-Nya untuk mencegah perbuatan zina dan maksiat ini. Malangnya kerajaan yang ada sekarang terus berdegil tidak mahu melaksanakan hukum Allah ini.

6) Sistem pendidikan yang ada di negara kita sekarang gagal melahirkan pelajar yang beriman dan berakhlak kerana apa yang diutamakan ialah pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan kesedaran Islam dan kekuatan Iman di kalangan pelajar-pelajar. Sebab itulah generasi muda hari ini amat rapuh pegangan agamanya sehingga sanggup berzina dan bergaul bebas tanpa rasa berdosa.

7) Program mencegah kemungkaran dibuat sambil lewa sehingga membiarkan tempat-tempat hiburan, rumah pelacuran dan lain-lain dibiarkan beroperasi macam cendawan lepas hujan.

8) Banyak lagi punca-punca lain yang ada tetapi bagi saya fakta di atas adalah antara perkara asas yang menjadi penyebab kepada gejala ini.

Pagi tadi semasa saya mendengar siaran radio Ikim.FM saya mendapati 100% pendengar mahukan undang-undang Islam ditegakkan di Malaysia dan kata mereka itulah sahaja jalan penyelesaian yang mampu menyelesaikan masalah tersebut. Ini kerana menurut mereka hanya undang-undang Allah yang ada keberkatan dan pencegahan dari Allah sedangkan akal manusia tidak mampu untuk berfikir bagi menyelesaikan masalah ini. Ada juga pendengar yang secara tegas menyatakan supaya ditukar kerajaan.

Di bawah ini saya cadangkan beberapa jalan penyelesaian kepada perkara ini.

1) Tukar kerajaan yang ada hari ini kerana dengan menukar kerajaan kepada kerajaan PR, insya Allah undang-undang Islam akan ditegakkan; sistem pendidikan akan diubah dengan menekankan ilmu Islam; program amar makruf dan nahi mungkar akan ditingkatkan; tempat-tempat maksiat ditutup, program-program maksiat dan pergaulan bebas dihentikan dan sebagainya.

2) Ibubapa mestilah menghadkan pergaulan anak-anak dengan tidak membenarkan mereka keluar malam dan tidak membenarkan anak-anak gadis keluar secara bersendirian bila-bila.

3) Dan lain-lain.

BAGI SAYA, SELAGI KERAJAAN BN MEMERINTAH SELAGI ITULAH MEREKA TIDAK AKAN MENEGAKKAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAN MEREKA HANYA MEMANDANG ISU INI SEBAGAI REMEH. DARI ITU, RAKYAT MESTI MENUKARKAN KERAJAAN YANG ADA PADA HARI INI IAITU KERAJAAN BN KEPADA KERAJAAN PR.

Sofi Wahab adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka.



lagi


Bersatu membentuk masyarakat bertaqwa

Roslan SMS

Jumaat lepas saya sempat mengikuti satu program ibadah yang diaturkan oleh Pejabat EXCO Agama Selangor buat kakitangan Islam di salah sebuah PBT di Selangor.

Para pegawai PBT berkenaan berhimpun dari Maghrib untuk solat berjemaah bersama EXCO Agama Dato’ Dr Hasan Mohd Ali. Kemudiannya mereka mengikuti tazkirah ringkas oleh Dr Hasan dan disambung dengan kuliah maghrib oleh pensyarah jemputan Ustaz Othman Ibrahim.

Selepas Isyak mereka bersurai dan berhimpun semula jam 4.00 pagi keesokkan hari di sebuah masjid berhampiran untuk mengikuti program Qiyamullail yang dipimpin oleh Ustaz Othman Ibrahim. Pimpinan dan pegawai PBT berkenaan hadir dari jam 4.00 pagi itu ditemani Dr Hasan.

Saya lihat ramai yang teresak-esak sebak dan hiba mengikuti program pimpinan Ustaz Othman itu. Kemudian selepas solat Subuh Dr Hasan telah memberikan kuliah subuh dan majlis berakhir sekitar jam 7.00 pagi.

Apa yang mahu saya tonjolkan disini adalah kelainan yang dirasai oleh kakitangan PBT itu. Sebelum ini tidak pernah pun mereka terfikir akan ada pimpinan kerajaan negeri yang akan turun memimpin program ibadah bersama mereka sehari suntuk.

Salah seorang pegawai kanan PBT itu menyatakan pada saya inilah kali pertama beliau menghadiri program seumpama ini dan beliau akan berpencen tahun ini. Pada beliau program ini sungguh berkesan dan beliau gembira berpeluang mengikutinya.

Saya difahamkan program ini akan diaturkan disemua PBT secara bergilir-gilir, matlamatnya untuk melatih kakitangan PBT agar berjinak dengan amalan yang baik mudah-mudahan mereka terbentuk menjadi kakitangan kerajaan yang bertaqwa.

Inilah peranan yang perlu dimainkan oleh semua pihak khasnya pimpinan dan ahli PAS di Selangor agar program-program keagamaan dapat diserapkan kepada semua dengan harapan akan melahirkan rakyat yang bertaqwa dan bersih di Selangor ini. Tanggungjawab ini bukan terletak pada mana-mana satu EXCO tetapi pada kita semua yang sedia ditarbiyah untuk memanjangkan kerja-kerja Islam ini.

Selangor bawah Pakatan Rakyat akan kekal stabil kiranya rakyatnya berdisiplin dan bertaqwa. Kalau umat Islam di Selangor ini cemburu pada agamanya, maka Islam akan terpelihara. Jika Islam terpelihara seluruh negeri termasuklah rakyat bukan Islam akan turut merasa selamat. Yang payahnya jika umat Islam hanyut dan lalai, ketika itu semua orang, Islam dan bukan Islam akan terdedah kepada ketidak-stabilan, kacau-bilau dan porak-peranda.

Ayuh jalankan tugas kita, kurangkan bercakap lebihkan bekerja.


* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.


lagi



M FAQIH: Beza antara Umno, PKR dan PAS

M Faqih
POLITIC is the art of possible kata ahli politik Jerman, Otto Von Bismarck.

Mungkinkah kerana berpegang kepada falsafah itu tiga anggota parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak keluar parti.

Terakhir anggota Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri, 65 mencuba falsafah itu. Sebelumnya Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

Manakala anggota parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin pula dipecat sebagai ahli parti. Sekarang jumlah anggota parlimen PKR tinggal 27 orang.

Rakan-rakan sekutu lain dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP kekal 28 kerusi dan PAS juga bertahan 23 kerusi. Pada awalnya jumlah anggota parlimen yang menang atas tiket PAS ada 24 kerusi, namun Datuk Ibrahim Ali enggan mengakui hakikat itu.

Jadi PAS terus kekal dengan 23 kerusi biar pun ada pertambahan dengan satu kerusi di Kuala Terengganu pada Januari 2009.

Politik ikut cuaca juga melanda wakil rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun). Mereka lebih ramai yang sudah beralih angin.

Segala cerita bermula di Perak pada awal tahun lepas. Dua Adun PKR iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering) dilaporkan hilang, tiba-tiba mereka muncul bersama Datuk Seri Najib Razak.

Turut hilang Adun DAP, Hee Yit Fong (Jelapang). Amalan politik mereka menepati ramalan Otto Von Bismarck, segala kemungkinan boleh berlaku. Benarlah dikatakan ia seumpama cuaca.

Jamaluddin, 53, sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan.

Manakala Osman, 58, ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak.

Mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar. Perbicaraan kes mereka didengar di Mahkamah Sesyen bermula 10 Februari 2009.

Ekoran agenda turn about itu kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang.

Maka kedudukan PAS, DAP dan PKR di Dun Perak merosot kepada 27 kerusi iaitu sama dengan jumlah dimenangi Barisan Nasional. Masing-masing ada 27 kerusi.

BN cuma bernasib baik apabila Jamaluddin, Osman dan Hee menyatakan secara lisan kepada Sultan Perak untuk menyokong BN dan tidak lagi Pakatan.

Isu tersebut terheret sehingga ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Akhirnya hakim memutuskan Sultan berhak melantik Menteri Besar baru biar pun di luar prosedur persidangan Dun.

Keputusan itu biar pun dipertikaikan banyak pihak, namun mengesahkan Pakatan Rakyat hilang segala kuasa di Perak.

Kemudian sindrom menari ikut cuaca menjangkiti Selangor apabila seorang lagi Adun PKR hilang. Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah dikatakan hilang selama lima hari.

Kemudian muncul dengan menyatakan pendirian keluar dari parti yang memenangkannya untuk bergelar wakil rakyat.

Adun Pelabuhan Klang itu membuat pengumuman di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Sejak menang pada Mac 2008 beliau dikatakan menimbulkan masalah kepada parti. Dia didakwa tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Sindrom serupa menjangkiti pula Kedah apabila Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh juga membuat keputusan nekad keluar PKR.

Semua wakil rakyat yang keluar parti hanya menyatakan menjadi wakil bebas dan bukan menyertai Umno.

Berlainan dengan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin apabila mengumumkan menyertai Umno.

Tindakannya tidak mampu membantu Umno kerana dia datang sebatang kara dan tiada title YB bagi membolehkan harga dirinya melonjak tinggi.

Fairus meninggalkan kerusi Penanti kepada Dr Mansor Osman. Akhirnya Fairus pergi dengan harga yang tidak mahal. Sekadar selendang silat yang mampu diberi kepada Najib.

Mungkin apa yang menyebabkan Fairus berundur kerana desakan pimpinan PKR termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebelum itu sudah bertiup kencang bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang terbabit dikatakan sukar ditemui rakyat.

Berita sedemikian seperti sukar dinafikan. Tanyalah sesiapa pun di Pulau Pinang, mereka mengeluh apabila disebut nama Fairus.

Beberapa penduduk di Nibung Tebal mengakui sukar untuk menemui Fairus ketika menduduki jawatan nombor dua di negeri berpulau itu.

“Janji banyak tidak ditepati. Janji hendak datang, akhirnya batang hidung tak nampak,” kata seorang penduduk ketika ditemui di sebuah masjid di Nibung Tebal dua tahun lalu.

Politik yang dianggap seni serba kemungkinan tersebut juga menghempap mantan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Ketika dia datang ke Kota Bharu akhir tahun lepas, tidak ramai yang kenal.

Jauh berbanding tokoh politik PKR yang lain.

Beliau nampak sunggul biar pun berada di atas pentas pada konvensyen PKR Kelantan ketika itu. Wajahnya tidak nampak ceria.

Mungkin kecamuk jiwanya untuk meninggalkan parti sudah berombak ketika itu. Cuma mungkin Anwar dan pimpinan lain PKR belum dapat meneka.

Dan hari ini dengan wajah kusam dia hadir pada sidang media Zahrain dan Tan ketika mengumumkan keluar daripada PKR.

Bukan sekadar itu beliau pula mendakwa lebih 10 wakil rakyat akan keluar parti.

Ekoran episod tersebut 12 wakil rakyat PKR mengadakan sidang media menyatakan mereka akan terus kekal bersama parti.

Salehuddin membiarkan dirinya menjadi mangsa cemuhan apabila sanggup tampil pada sidang media dua bekas anggota parlimen PKR terbabit.

Situasi itu mengundangkan pelbagai andaian yang tidak mampu ditolak Salehuddin. Maka ada orang mendakwa dia menjadi segala dalang dalam episod politic is the art of possible.

Telahan berkenaan biar pun mampu dijawab dengan 1001 alasan, namun persepsi untuk menggambarkan siapa sebenar Salehuddin sudah terjawab.

Ketika art of possible sedang menggoncang teratak PKR, PAS nampaknya lebih kukuh kerana bertunjang akar agama.

Pengalaman kerajaan PAS di Kelantan yang dipisahkan dengan satu kerusi, namun mampu bertahan sepenggal tiada tolak bandingnya. Cuba bayangkan PAS - 23 dan BN – 22, PAS hanya seperti telor di hujung tanduk sebelum Mac 2008.

Namun telor PAS tidak retak dan apa lagi bergolek jatuh. Bukan tiada umpan berjuta ringgit seperti berlaku sekarang, sebaliknya berguni wang tunai cuba disogok kepada Adun PAS ketika itu.

Dalam situasi politik baru sekarang, nampaknya politik ikut cuaca seperti disebut Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berlaku kepada parti berteras agama.

Menari ikut cuaca boleh berlaku kepada parti berteras nasionalis dan ideologi. Ideologi dan nasionalisme ciptaan manusia, bukan agama yang diturunkan dari langit.

Inilah sebenarnya yang membezakan di antara PAS, Umno, PKR dan DAP. Jelaslah agama tidak merubah seseorang menjadi seperti cuaca.



Tiada ulasan: