Khamis, 11 Mac 2010

SAYA NI JAHIL ....CUMA YANG SAYA TAHULAH JANGAN KITA CUBA MENDAHULUI TAKDIR ALLAH....KITA NI SAPA...

POLITIK

Jika pilihan raya diadakan sekarang PKR akan kalah teruk – Zulkifli Noordin

KUALA LUMPUR 10 Mac – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu muhasabah diri dan mengelak daripada menyalahkan pihak lain sebagai dalang dalam setiap krisis dalaman yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, pimpinan parti itu tidak perlu terlalu cepat melatah dengan menuduh UMNO kononnya telah menawarkan sejumlah ganjaran kepada ahli-ahli Parlimen PKR yang bertindak keluar parti.

“Adalah lebih baik PKR dan pakatan pembangkang melihat muka masing-masing di cermin, bermuhasabahlah daripada menyalahkan orang lain di atas kekurangan dan kelemahan sendiri,” katanya dalam program NST Live Chat secara maya selama kira-kira dua jam hari ini.

Zulkifli berkata, masalah kronik yang melanda PKR segalanya berpunca daripada peranan firaun kecil yang disifatkan sebagai anai-anai yang merosakkan keteguhan parti secara perlahan-lahan.

Beliau berkata, sekiranya tiada langkah drastik dilakukan dan ‘firaun kecil’ dibiarkan terus menguasai parti, PKR tidak perlu menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 untuk hancur.

“Malah jika diadakan PRU sekarang, saya pasti PKR akan kalah teruk, mereka sedang menggali kubur sendiri dengan cita-cita besar menuju ke Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti bakal beralih arah ke Penjara Sungai Buloh!” katanya.

Mengulas mengenai tindakan beliau menarik diri daripada mewakili Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam permohonan qazaf, Zulkifli berkata, ia merupakan tindakan profesional yang langsung tiada kaitan dengan kepentingan peribadi.

“Seorang peguam perlu memiliki hubungan baik penuh profesional dan kepercayaan dengan pelanggan bagi membolehkan pembelaan dilakukan secara penuh jujur,” katanya.




berkaitan



Debat Zul-Khalid Samad: Hanya budak hingusan takut debat

Angkasanuri

Kalau tak silap saya sudah dua tiga hari YB Khalid Samad ahli parlimen Shah Alam mencabar YB Zulkifli Nordin untuk berdebat isu kalimah Allah. Isu yang mencetuskan konflik mereka berdua sehingga membawa kepada pemecatan Zulkifli Nordin dari PKR.


Tetapi sehingga hari ini belum terdengar sebarang jawapan dari Zulkifli Nordin yang cukup lantang di depan media sehari dua ini.

Sebelum ini pelbagai istilah diberi kepada pemimpin Pakatan Rakyat dari anak firaun sehinggalah ke budak hingusan semua terpacul dari mulut beliau.

Beliau sebelum ini cuba menggambarkan bahawa dirinya seorang yang berprinsip dan tidak akan menggadaikan prinsipnya.

Jadi gelanggang debat adalah medan yang terbaik untuk membuktikan keberanian dan prinsip yang dipertahankan.

Sudah pasti ramai yang menunggu kehadiran dan jawapan beliau dalam sesi debat nanti. Kita tunggu adakah beliau bersedia berdebat atau sebaliknya.

Bagi saya hanya budak hingusan sahaja yang tidak berani berdepan dan berdebat di depan khalayak ramai.


* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.


LAGI


Siapa ulama PAS sokong Zulkifli Noordin

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zukifli Noordin diminta menjelaskan siapakah ulama PAS yang dikatakan menyokongnya ekoran dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Setahu saya, hanya Ustaz Taib Azamuddin (Ahli Parlimen Baling) dan saya sahaja yang rapat dan selalu membela beliau. Sejak petisyen terhadapnya ditarik balik oleh calon Umno/BN, dia tidak lagi berhubung dengan saya.

“Apabila saya hubungi Ustaz Taib, dia pun beritahu hal yang sama. Jadi siapa sebenarnya ulama PAS yang sokong beliau lagi,” kata bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang (gambar) kepada Harakahdaily.

Dalam satu kenyataan media, Zulkifli berkata, beliau mendapat sokongan penuh daripada ulama PAS.

“Saya tertanya-tanya siapakah ulama PAS itu,” ujar Ahmad lagi yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Perak.

Sebelum ini, satu media elektronik melaporkan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sedia mempertimbangkan Zulkifli menyertai parti itu.

Namun dalam kenyataan kepada Harakahdaily sebagai menjelaskan laporan itu, beliau memberitahu apa yang dinyatakan itu adalah dasar terbuka PAS.

Begitupun, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang yakin PAS tidak akan menerima Zulkifli sebagai ahli.



berkaitan


‘Pelacur politik’ tidak patut bersarang di Parlimen

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Parlimen tidak sepatutnya dijadikan sarang ‘pelacur politik’ sehingga meruntuhkan kemuliaannya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Jangan jadikan Parlimen sebagai sarang pelacuran yang dipenuhi kuman siflis dan wabak aids yang akan meruntuh kemulian dewan yang dibanggakan selama ini," tegas beliau ketika mengulas ahli-ahli Parlimen yang melompat.

Beliau meminta ahli-ahli Parlimen yang melompat itu menyedari bahawa rakyat memberi kepercayaan kepada mereka atas nama Pakatan Rakyat (PR) bukan atas nama diri mereka.

"Mereka boleh untuk tidak bersama PKR dan PR tetapi mereka perlu melepaskan jawatan ahli Parlimen untuk kembalikan mandat itu kepada rakyat.

"Inilah cara terbaik untuk mereka membuktikan dakwaan mereka PKR dan PR tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat. Bukannya menjadi pelacur politik yang membawa penyakit yang boleh merosakan masyarakat," tegas beliau lagi.

Beliau juga menyifatkan ahli-ahli Parlimen yang melompat itu sudah tidak ada kelayakan untuk menjadi ahli Parlimen.

Ahli-ahli Parlimen yang melompat parti, katanya, mencabuli amanah rakyat.

"Parlimen tak boleh mengizinkan ahli Parlimen seperti ini yang membohongi dan menggadai amanah rakyat.

"Perbuatan ini sama seperti kesalahan pecah amanah. Orang yang pecah amanah hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mengulas titah diraja ketika perasmian penggal Parlimen Isnin lalu di mana Yang di-Pertuan Agong mengingatkan ahli-ahli Parlimen supaya menjaga adab dalam perbahasan, Mahfuz berkata, apabila membicarakan soal adab dan kesopanan ia tidak terbatas kepada tingkah laku seseorang ahli Parlimen ketika berbahas.

"Tingkah laku tindakkan ahli Parlimen diluar dewan juga merupa perkara penting untuk dinilai," katanya.

Tingkah laku tersebut termasuk perbuatan mencabuli amanah rakyat yang mengundi mereka.


lagi


Umno bimbang, senjata kebangsaan totok makin terhakis

Zolkharnain Abidin

Walau pun ini bukan kali pertama, tetapi menerujakan. Malam tadi saya berceramah bersama dua penceramah Cina dan seorang penceramah India. Kedua-dua penceramah Cina itu adalah exco kerajaan negeri Kedah. Penceramah India pula siapa lagi kalau bukan Goby.

Kami berceramah di Kulim, kawasan MP yang lompat itu. Kesemua penceramah mendesak MP itu meletak jawatan. Bagi kami, MP itu adalah pengkhianat. Pengkhianat tidak layak mewakili rakyat di parlimen.

Sama ada MP itu akan meletak jawatan atau tidak, itu bukan persoalan pokok. Paling penting ialah rakyat disedarkan bahawa pemimpin seperti itu tidak diperlukan.

Rakyat perlu dididik dengan suatu kefahaman bahawa mereka bertanggungjawab memilih pemimpin yang tidak khianat. Mereka yang menaikkan pemimpin itu dan mereka juga yang berhak menurunkannya.

MP itu orang Melayu. Ramai pendengar ceramah, bahkan hampir keseluruhannya adalah orang Melayu. Kedua-dua penceramah Cina itu menghentam MP berkenaan. Begitu juga dengan Gobi.

Didapati orang Melayu tidak marah walau pun orang sebangsa mereka dihentam oleh orang bangsa lain. Mereka menyambut baik hujah Gobi dan dua penceramah Cina berkenaan.

Malah majlis ceramah itu memang dianjurkan sebagai tekanan kepada MP itu supaya meletak jawatan. Penceramah Cina dan India itu memang sengaja dijemput untuk itu.

Suatu perkembangan menarik. Hari ini orang PAS tidak memandang lagi kepada bangsa dan warna kulit. Apa yang mereka pandang?

Ya, mereka memandang kebaikan, kebertanggungjawaban. Sesiapa sahaja yang mampu membawa kebaikan kepada mereka, sesiapa sahaja yang menjulang kebertanggungjawaban, itulah yang mereka terima walau pun tidak sebangsa.

Nampaknya ajaran yang ditanam dalam kursus-kursus BTN suatu masa dahulu telah diludah keluar oleh orang Melayu daripada mulut mereka.

Inilah kebimbangan Umno. Senjata kebangsaan totok hanyir telah terhakis. Itu maknanya mereka akan tewas dalam PRU 13 akan datang.


* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.





Tiada ulasan: