Selasa, 9 April 2013

NON MUSLIM PUN NAK HUDUD

Siapa di belakang Blok B4

Harakahdaily, 08 Apr 2013


KUALA LUMPUR: Setelah mendedahkan di manakah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri Malaysia, sebuah blog mendedahkan pula siapakah di belakang badan yang membuat kerja jahat untuk mempertahankan pemimpin Umno ini.

Dua keping gambar disiarkan oleh blog ini bagi mendedahkan siapakah orang yang mengendalikan bahagian ini.

Dalam bahagian pertama, blog ini mendedahkan kerja-kerja memfitnah, membuat provokasi di himpunan Bersih dan sebagainya dibuat oleh pekerja bahagian ini.

Klik untuk membaca laporan penuh blog ini.

Anak muda Terengganu perlu buat perubahan

Harakahdaily, 08 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Ternyata bekas MB Terengganu pasca pembubaran parlimen dan Dun keseluruhannya masih menggunakan taktik politik lapuk iaitu politik ugut.
“Apa yang mengecewakan kami adalah sikap angkuh dan berdolak dalik Ahmad Said yang masih menggunakan kuasanya menyekat hak mahasiswa untuk mendapatkan pembiayaan pendidikan sama ada dalam bentuk pinjaman mahupun biasiswa,” kata Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Safwan Anang dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Mewakili mahasiswa dan anak negeri Terengganu saya tampil kali ini bagi membidas sikap angkuh dan sombong Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said. Terbaru seminggu yang lalu beliau telah menerima anugerah Bapa Tranformasi Terengganu Anjung Ilmu dalam sebuah majlis iaitu Majlis Apresiasi dan Resepsi Kecemerlangan Pendidikan Terengganu negeri Anjung Ilmu yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak.

Memetik apa yang diucapkan beliau semasa majlis berkenaan adalah berbunyi: "Komitmen dan kesungguhan kepimpinan kerajaan negeri telah mengangkat martabat pendidikan negeri dan berada di tangga teratas khususnya dalam keputusan peperiksaan awam di negara ini.

"Dan beberapa langkah kerajaan negeri menjadi ikutan pihak Pusat termasuk mengagihkan e-Book secara percuma kepada pelajar Tahun Empat, Lima dan Enam, menubuhkan Kelas Maya, mengadakan pertukaran Guru Bahasa Inggeris, menaja pelajar perubatan keluar negara dan menaja pelajar cemerlang ke-10 buah universiti terkemuka dunia.

Saya harap anak Terengganu terus melangkah ke depan mengejar impian menjadikan sebuah Negeri Anjung Ilmu demi membina bangsa yang berjaya dan membentuk keluarga bahagia".

Persoalan yang saya cuba timbulkan adalah apabila seperti mana yang kita sedia maklum nasib 9 rakan mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian di Mesir masih belum terbela sehingga ke hari ini apabila pembiayaan pinjaman daripada Yayasan Terengganu masih disekat sehingga ke hari ini. Alasan pinjaman mereka disekat adalah hanya kerana menyatakan sokongan terhadap Himpunan Menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil 3.0 yang lalu.

Dan salah seorang daripada 9 mahasiswa tersebut terpaksa akur dan terdesak bagi meneruskankan semula pembiayaan yang berjumlah lebih RM300,000 akhirnya membuat rayuan sehingga menafikan penglibatannya dalam perhimpunan tersebut yang secara sah dan tidak melanggar apa-apa peruntukan dalam perlembagaan. Bahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2012 mengisytiharkan bahawa badan gabungan Bersih adalah sah dan tidak boleh diisytihar haram seperti kata Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Apa yang mengecewakan kami adalah sikap angkuh dan berdolak dalik Ahmad Said yang masih menggunakan kuasanya menyekat hak mahasiswa untuk mendapatkan pembiayaan pendidikan sama ada dalam bentuk pinjaman mahupun biasiswa. Ternyata bekas MB Terengganu pasca pembubaran parlimen dan Dun keseluruhannya ini masih menggunakan taktik politik lapuk iaitu politik ugut.

Bahkan perkembangan kes 8 mahasiswa Terengganu yang masih belum selesai ini pernah mendapat perhatian Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah yang menyatakan kesediaan beliau untuk berbincang lanjut dan menyelesaikannya secepat mungkin. Namun perkara ini langsung tidak pernah terlintas dalam kepala bekas MB ini apabila beliau sendiri menolak permintaan kesemua mahasiswa serta ahli keluarga yang mahu bertemu dan berbincang secara 'gentlemen'.

Sikap dan pendirian bekas MB ini jelas menunjukkan beliau sama sekali tidak layak menerima apa jua anugerah terutama dalam hal meningkatkan mutu pendidikan anak negeri Terengganu. Bahkan saya merasakan slogan tranformasi yang dilaungkan hanyalah retorik dan tinggal slogan semata-mata. Hak mahasiswa dan anak negeri Terengganu adalah mendapatkan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti seperti sedia maklum bahawa negeri Terengganu kaya dengan sumber petroleum yang akan dijadikan sumber pendapatan kerajaan negeri dari hasil royalti. Namun perkara tersebut tidak akan terlaksana di bawah pemerintahan Barisan Nasional.

Akhirnya, saya menyeru kepada semua mahasiswa dan anak muda mesti pulang menunaikan tanggungjawab mengundi nanti serta membuat perubahan besar dalam arus politik di Terengganu yang ternyata gagal di bawah pentadbiran bekas MB Ahmad Said.

Maklum balas dan analisa manifesto BN

Rafizi Ramli, 08 Apr 2013
Apabila politik nasional lebih banyak berkisar kepada persoalan dan perdebatan dasar (bukannya politik perkauman, kebencian dan cacian peribadi), rakyat berpeluang untuk menilai sendiri perbandingan program ekonomi dan kerajaan yang ditawarkan oleh parti-parti politik.

Justeru, saya menyambut baik peluncuran Manifesto Barisan Nasional dan ingin mengambil kesempatan ini untuk membentangkan analisa perbandingan di antara Manifesto Rakyat dan Manifesto Barisan Nasional.

Tema

• Manifesto Barisan Nasional yang bertemakan “Menepati Janji, Membawa Harapan” secara jelas dan tanpa segan silu menciplak tema “Pakatan Harapan Rakyat” yang telah lama diluncurkan oleh Pakatan Rakyat.

• Saya mengambil pendekatan positif dan berpendapat bahawa pemikir Barisan Nasional pun menerima hakikat bahawa agenda ekonomi rakyat yang bersabit dengan penurunan harga barang, kempen #Turunkanhargakereta, pendidikan percuma, hapuskan tol dan lain-lain yang dibawa oleh Pakatan Rakyat akhirnya diterimapakai oleh Barisan Nasional.

• Ini kerana mereka juga sedar bahawa agenda ekonomi rakyat ini telah menjadi harapan rakyat yang bakal digalaskan kepada kerajaan baru yang dipilih.

• Oleh itu, PRU13 adalah persoalan parti manakah yang lebih wibawa dalam mengotakan harapan rakyat ini – sebab itu Barisan Nasional tidak ada pilihan kecualilah menggunakan perkataan “harapan” seperti mana Pakatan Rakyat, untuk memberi isyarat mereka juga faham dengan harapan yang telah disuarakan rakyat.

Pendekatan Dasar

• Barisan Nasional kontang idea dan tidak berjaya membawa program baru. Manifesto Barisan Nasional ditulis secara umum, tanpa sasaran khusus yang boleh meyakinkan rakyat berbeza dengan Manifesto Rakyat yang jelas mekanisme, tempoh masa dan sasarannya.

• Contohnya, apabila Barisan Nasional berjanji untuk menarik pelaburan bernilai RM1.3 trilion dan mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan baru – mekanisme dan pelan khusus untuk mencapai sasaran ini tidak dinyatakan, berbeza dengan Manifesto Rakyat yang secara jelas menumpukan usaha menambah kemahiran pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk mengambil alih 1 juta pekerjaan yang kini diusahakan oleh pekerja asing. Strategi mewujudkan peluang pekerjaan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat adalah lebih jelas, berbanding janji kabur yang dibawa Barisan Nasional.

• Semakan ke atas keseluruhan Manifesto Barisan Nasional menunjukkan bahawa tidak ada sebarang perubahan dasar ekonomi, politik dan sosial yang akan dilaksanakan untuk mengotakan janji-janji Barisan Nasional.

• Ini bermakna Barisan Nasional masih menggunakan kaedah dan pendekatan yang sama tetapi berharapkan keadaan menjadi lebih baik.

• Tanpa perubahan dasar yang merubah struktur ekonomi, politik, pendidikan dan sosial negara, Malaysia akan terus bergelumang dengan rasuah, ketirisan, ketidakcekapan ekonomi, penguasaan monopoli kroni, harga barang yang ditentukan oleh pihak tertentu dan mutu pendidikan yang semakin merosot.

• Manifesto Barisan Nasional akhirnya hanyalah senarai janji-janji tanpa membentangkan kaedah dasar dan pelaksanaan untuk merealisasikan janji-janji itu.

Perbandingan Progam: Kontang Idea Baru, Ciplak Idea Pakatan Rakyat

• Analisa terhadap janji-janji Barisan Nasional menunjukkan bahawa sebahagian besar dari janji-janji yang dimasukkan bukanlah idea baru, tetapi diciplak dari Pakatan Rakyat atau adalah idea yang sama yang kini digunakan di oleh Barisan Nasional.

• Janji-janji berikut diciplak dari Pakatan Rakyat (walaupun pelaksanaannya tidak akan memenuhi harapan rakyat kerana tidak dilaksanakan sepenuhnya):

1.     Menurunkan harga kereta dengan penurunan 20% – 30% secara berperingkat
2. Menyeragamkan harga barang keperluan asas di antara Semenanjung dan Sabah Sarawak
3. Menggunakan dana kerajaan melalui penglibatan terus kerajaan untuk menambah rumah mampu milik sebagai usaha mengawal harga rumah
4. Memperbaiki perumahan estet dan memastikan perumahan selesa bagi bekas pekerja estet
5. Memperkenalkan skim sewa dan milik untuk perumahan rakyat
6. Menambahbaik perkhidmatan bas untuk digunakan secara bersepadu untuk mengurangkan penggunaan kenderaan awam
7. Memberikan permit teksi individu
8. Melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi (high speed rail)
9. Membina Lebuhraya Pan Borneo
10. Mengurangkan bayaran tol secara berperingkat-peringkat
11. Reformasi percukaian untuk mengurangkan beban cukai pendapatan kepada golongan bawahan
12. Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana mengikut peratusan perolehan minyak
13. Peruntukan khas kepada semua jenis sekolah
14. Menawarkan status sekolah bantuan penuh kerajaan bagi sekolah-sekolah Tamil
15. Penekanan kepada pendidikan kemahiran dengan menaiktaraf sekolah vokasional menjadi kolej
16. Menyediakan bantuan kewangan dan peluang pendidikan untuk golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum
17. Mewujudkan mahkamah khas untuk menangani isu-isu tanah pribumi
18. Mewartakan semua tanah adat
19. Menjana pendapatan dari pembangunan tanah wakaf
20. Mempromosikan kebajikan imam, pegawai masjid dan guru KAFA dengan menyediakan pakej penggajian yang lebih baik
21. Menaikkan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Pondok
22. Memastikan keseimbangan kaum yang lebih adil di dalam perkhidmatan awam

• Tindakan Barisan Nasional menciplak idea-idea asal yang sudah pun sinonim dengan Pakatan Rakyat seperti menurunkan harga kereta, menghapuskan tol dan lain-lain mengesahkan bahawa negara mempunyai kewangan yang kukuh selama ini untuk melaksanakan program-program ini.

• Alasan yang diberikan selama ini hanyalah dolak-dalih politik, tetapi oleh kerana tekanan yang kuat dari rakyat akhirnya Barisan Nasional tidak ada pilihan lain kecuali menciplak idea-idea ini.

Perbandingan Keberkesanan Progam: Pendekatan Barisan Nasional Tidak Akan Merubah Kedudukan Rakyat

• Keseluruhan kempen Barisan Nasional kini disandarkan kepada pemberian BR1M yang selepas ini akan dibuat setiap tahun pada kadar yang lebih tinggi, iaitu RM1,200 untuk keluarga dan RM600 untuk individu bujang.

• Jumlah ini bersamaan dengan RM100 setiap bulan untuk keluarga dan RM50 sebulan untuk individu bujang, pada ketika Barisan Nasional tidak mengemukakan apa-apa cadangan untuk menurunkan harga barang.

• Akhirnya, inflasi dan kenaikan harga barang akan melunturkan kesan pemberian wang terus ini kepada rakyat yang dijangka akan menelas belanja RM7.2 bilion dalam tahun pertama. Mengambil kira pertumbuhan penduduk sebanyak 2% secara purata dan inflasi pada kadar purata 2% untuk tempoh sedekad dari sekarang, menjelang tahun 2023 jumlah pembayaran BR1M akan mencecah RM11 bilion.

• Pendekatan ini kurang bijaksana kerana ia menelan belanja yang besar tanpa mengubah struktur ekonomi, sedangkan peruntukan RM7 bilion hingga RM11 bilion setahun itu lebih berkesan jika digunakan untuk menurunkan harga barang, menghapuskan tol, menurunkan harga kereta dan lain-lain.

Perbandingan Janji-Janji Utama Pakatan Rakyat Dan Barisan Nasional

• Membantu meredakan tekanan sara hidup – Pakatan Rakyat mencadangkan reformasi menyeluruh untuk merubah struktur ekonomi dengan menghapuskan monopoli yang akan menurunkan harga barang keperluan, berbanding Barisan Nasional yang menawarkan RM100 sebulan

• Menurunkan harga kereta – Pakatan Rakyat berjanji menghapuskan terus cukai eksais secara berperingkat supaya harga kereta adalah separuh dari harga sekarang dalam tempoh 5 tahun, berbanding Barisan Nasional yang hanya akan memotong cukai sebanyak 20% – 30% sahaja secara berperingkat tanpa disebut jangka masanya

• Menghapuskan tol – Pakatan Rakyat berjanji menghapuskan tol bermula dengan lebuhraya yang sudah mendapat pulangan modal, berbanding dengan Barisan Nasional yang hanya akan menurunkan tol secara berperingkat tanpa disebut jumlah dan tempoh masanya

• Menghapuskan PTPTN dan menawarkan pendidikan percuma – Pakatan Rakyat akan menghapuskan PTPTN dan menawarkan pendidikan percuma, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas

• Caruman Wanita Malaysia untuk surirumah tidak bekerja – Pakatan Rakyat akan mewujudkan skim caruman seperti KWSP untuk surirumah tidak bekerja dengan caruman minima RM720 setahun, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas

• Menurunkan harga minyak – Pakatan Rakyat komited untuk menurunkan harga minyak, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas

• Memberikan royalti 20% kepada negeri pengeluar minyak – Pakatan Rakyat berjanji mengembalikan royalti 20% kepada negeri pengeluar minyak, berbanding Barisan Nasional yang meneruskan pendekatan membelanjakan wang minyak sebagai peruntukan pusat

Saya akan terus mengemukakan analisa khusus terhadap isu perumahan, ekonomi dan lain-lain sepanjang minggu ini melalui penulisan dan video agar rakyat dapat membandingkan kedua-dua manifesto.

Penulis Pengarah Strategi PKR, Ahli Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat.

Seksyen 9A markaz pengundi hantu SPR

Mohamed Hanipa Maidin, 08 Apr 2013
SUDAH dua permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh dua pimpinan Pakatan Rakyat di Mahkamah bagi membatalkan nama pengundi yang meragukan di dalam daftar pemilih ditolak oleh mahkamah. Permohonan pertama dibuat oleh mantan Ahli Parlimen DAP,  Charles Santiago manakala permohonan kedua dibuat oleh Nurul Izzah dari PKR.

Kedua dua mahkamah yang menolak permohonan semakan kehakiman tersebut menerima hujah SPR bahawa seksyen 9A Akta Pilihanraya 1958 melarang mahkamah untuk campurtangan ke atas mana-mana daftar pemilih yang disediakan oleh SPR dan diwartakan.

Dengan lain perkataan daftar pemilih yang siap diwartakan adalah kebal dari semakan mahkamah meskipun daftar pemilih tersebut mengandungi nama atau status pengundi yang meragukan atau dengan bahasa mudah pengundi hantu.

Sedikit tentang sejarah seksyen 9A tersebut. Ia digubal atas respon marah dan negatif Kerajaaan BN atas keputusan Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang yang membatalkan pilihanraya Dun Likas di Sabah.

Pilihanraya tersebut dibatalkan kerana wujudnya para pengundi hantu dalam daftar pemilih. Keputusan berani dan bersejarah Hakim tersebut malangnya menyenakkan perut pemimpin BN. Hasilnya dengan menggunakan kuasa pertiga mereka di Parlimen, BN pinda Akta Pilihanraya tersebut dengan memasukkan seksyen 9A tersebut. Bagi pengamal undang undang seksyen 9A adalah seksyen hantu!!

Seksyen hantu tersebut yang dikenali dalam undang-undang sebagai 'ouster clause' melarang mahkamah menyemak jauh sekali membatalkan daftar pemilih sebaik sahaja ianya disahkan oleh SPR dan diwartakan. Bagi saya seksyen 9A ini adalah markaz atau kubu atau sarang pengundi hantu SPR.

Keputusan mahkamah dengan mudah menolak permohonan Charles Santiago dan Nurul Izzah atas alasan tangan mahkamah terikat dengan seksyen 9A, dengan hormat, adalah satu keputusan yang tidak munasabah.

Hakikatnya bukan suatu yang baru undang undang di negara ini mempunyai peruntukan seperti seksyen 9A tersebut. Banyak Akta lain juga mempunyai peruntukan seperti seksyen 9A itu. Contohnya Akta Perhubungan Perusahaan 1967 juga melarang sebarang keputusan Mahkamah Perusahaan dicabar di mahkamah namun sehingga kini mahkamah di Malaysia konsisten membenarkan keputusan Mahkamah Perusahaan dicabar melalui semakan kehakiman.

Semasa saya mencabar keputusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang enggan membatalkan keahlian Isa Samad sebagai ahli Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) meskipun beliau tidak layak jadi ahli KPF, peguam SKM juga membangkitkan wujudnya peruntukan dalam Akta Koperasi yang melarang mahkamah mencabar keputusan SKM. Namun Mahkamah menerima hujah saya sekaligus menolak hujah peguam SKM dan memutuskan mahkamah ada kuasa untuk membatalkan keputusan SKM.

Alasan mahkamah SKM tidak boleh buat keputusan yang salah dan jika mahkamah tidak boleh campurtangan bagi menyemak keputusan yang salah maka akan wujudnya ketidakadilan. Mahkamah diwujudkan untuk tegak keadilan.

Oleh itu saya merasa pelik jika mahkamah boleh menerima hujah SPR bahawa seksyen 9A tidak benarkan mahkamah campurtangan bagi menyemak daftar pemilih yang meragukan. Jika mahkamah sebagai badan semak dan imbang kuasa eksekutif tidak boleh campurtangan siapa yang boleh? Adakah wujud hujah yang pelik selain hujah yang kata mahkamah tidak boleh semak ketidakadilan?

Bagi saya seksyen 9A adalah "unconstitutional" (bercanggah dengan Perlembagaan). Seksyen 9A tersebut, menurut hemat saya, bercanggah dengan Artikel 113 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada SPR sebagai ejen tunggal pengawal sistem pilihanraya di negara ini untuk menyediakan dan menyemak daftar pemilih. Tidak syak lagi daftar pemilih yang disediakan SPR mestilah sifar keraguan. Ia bukan sahaja perlu bersih tapi juga mesti dilihat bersih.

Persoalannya adakah SPR telah menjalankan tanggungjawab Perlembagaan bagi menyediakan dan menyemak daftar pemilih jika dapat dibuktikan daftar pemilih yang dikatakan disediakan dan disemak SPR itu mengandungi keraguan seperti mengandungi pengundi yang tidak layak mengundi.

Seksyen 9A membuat anggapan bahawa SPR, yang punyai rekod buruk,  tidak akan lakukan apa-apa kesilapan atau kealpaan atau penipuan. Maka sebab itu daftar pemilih yang ia sediakan tidak boleh dicabar oleh sesiapa pun hatta mahkamah sekalipun. Tidakkah Seksyen 9A ini dilihat cuba menutup kelemahan SPR yang gagal melaksanakan tanggungjwab perlembagaan itu?

Saya juga berpendapat seksyen 9A itu juga bercanggah dengan Artikel 114 (2) Perlembagaan kerana Artikel tersebut memperuntukkan dalam melantik anggota anggota SPR adalah penting bagi Yang Di-Pertuan Agong memastikan SPR mendapat kepercayaan atau keyakinan orang awam.

Dengan wujudnya daftar pemilih yang disediakan oleh SPR yang diragukan kesahihannya adakah daftar pemilih sebegitu mendapat kepercayaan pihak awam.Tanpa kepercayaan awam adakah SPR telah jalankan tanggungjawabnya?

Bolehkah orang awam percaya kepada Pengerusi SPR apabila SPR sendiri mengakui terima surat bantahan Nurul Izzah, beliau pula dengan tanpa malu dan bermaruah menuduh Nurul tidak pernah hantar surat bantahan kerana dia tidak pernah terima.


Pengerusi SPR dan timbalannya bagi kita hanya dapat kepercayaan Umno bukan orang awam!!

Pejuang anti Lynas jadi calon PAS di Beserah

Harakahdaily, 08 Apr 2013

(Andansura menyerahkan memo kepada pejabat MB Pahang mengenai Lynas sebelum ini)

KUANTAN: PAS meletakkan aktivis masyarakat yang menentang kilang Lynas di Gebeng, Andansura Rabu sebagai calonnya di kerusi N 12 Beserah.

Pengumuman tentangnya itu dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam program Himpunan Rakyat di Indera Sempurna malam tadi.

Andansura (gambar) adalah Pengerusi Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) juga Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan Indera mahkota.

Beliau akan menggantikan calon PAS yang menang dalam pilihan raya 2008 lalu, Syed Mohamad.

"Saya menerima pemilihan ini sebagai satu amanah dan kita sudah bersedia untuk bertempur," kata Andansura kepada Harakahdaily.

Beliau menjanji akan menjadikan isu Lynas yang ditentang penduduk tempatan Beserah ini sebagai isu utama.

"Kita telah berusaha ke peringkat tertinggi untuk menyekat kilang ini iaitu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

"Kini kita akan menggunakan medan politik pula," kata Adansura.

Kain rentang PAS mahu laksana hudud dalam bahasa Cina

Harakahdaily, 08 Apr 2013


(Kain rentang hudud tetapi dalam bahasa Cina dipercayai untuk kelirukan pengundi Cina)

KUALA LUMPUR: Bahagian perang saraf BN dipercayai sedang berusaha melahirkan keraguan di kalangan orang Cina  terhadap PAS dan Pakatan Rakyat dengan menaikkan kain rentang untuk menakutkan orang Cina.

Kain rentang yang dibuat dalam bahasa Cina itu bermakna "Hudud satu-satunya cara melawan jenayah" dengan meletakkan gambar Presiden dan Mursyidul Am PAS di kain rentang itu.


(Kain rentang dalam bahasa Cina dan digantung di kawasan Cina untuk takutkan pengundi Cina terhadap PAS)

kebanyakan kain rentang itu diletakkan di kawasan orang Cina dan ditulis dalam bahasa Cina.

"Kenapa tulis hudud baik untuk melawan jenayah dalam bahasa Cina, kenapa bukan dalam bahasa Melayu," soal penduduk tempatan yang menghantar gambar itu kepada Harakahdaily.

Hudud dan isu negara Islam menjadi senjata MCA dan BN untuk memecahkan PAS dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Sementara itu, sebuah blog melaporkan, sebuah jabatan ditubuhkan oleh BN di Jabatan Perdana Menteri bagi membuat kerja-kerja kotor ini.
Ia bertujuan untuk menakutkan pengundi terhadap Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: