• Nor Azamir Alias Nor Azamir Alias
1 / 1
SEREMBAN - Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Nor Azamir Alias memuji usaha Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang cuba mendapatkan maklumat daripada individu terlibat bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, selain penganjur, gadis-gadis terbabit juga perlu dipanggil untuk memberikan penjelasan supaya gambaran lebih jelas tentang insiden berkenaan dapat diperoleh.

“Tindakan Jawi ternyata mengikut sunnah. Memang menjadi manhaj Rasulullah SAW untuk menyiasat terlebih dahulu sebarang perbuatan yang bercanggah dengan Islam, sebelum menjatuhkan hukuman.

“Contoh terbaik boleh dilihat dalam kisah sahabat baginda iaitu Ammar Bin Yasir yang dikatakan murtad kerana teruk diseksa kaum musyrikin. Bagaimanapun, Rasulullah SAW tidak pula menghukumnya selepas mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Lagipun, kata Nor Azamir, berdasarkan pengamatannya terhadap rakaman video berkenaan, tampaknya gadis-gadis terbabit seperti dalam keadaan serba salah dan bukan 100 peratus rela diperlakukan sedemikian.

“Perbuatan mereka (gadis) memang mengecewakan. Tetapi, kita jangan pula terlalu cepat menghukum dalam hal ini. Kena siasat dahulu. Apa yang kita nampak, seolah-olah artis K-Pop terbabit yang cuba mengambil kesempatan dalam situasi berkenaan

“Namun, itu tidak menghairankan kerana disebutkan dalam surah al-Baqarah, ayat 120: Sekali-kali tidak akan redha orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan hidup mereka,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam supaya menjaga batasan dalam pergaulan sepertimana diperjelaskan dalam surah al-Israa’, ayat ke-32: Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk.

“Paling penting, acara-acara yang mengundang kemungkaran seeloknya ditiadakan di negara ini. Pihak-pihak berkaitan, termasuk ibu bapa juga perlu membantu untuk menangani masalah sebegini dan bukannya berharap pada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja,” katanya.