Isnin, 5 Mac 2012

LAKSANALAH HUKUM ALLAH...JIKA NAK SELAMAT DIDUNIA DAN DIAKHIRAT...JANGAN JADI ULAMAK PENAKUT SERTA PENGAMPU 24 JAM..PANGKAT..HARTA DLL AKAN TINGGAL SETELAH MATI...JAWABLAH DIHADAPAN ALLAH..PUSINGLAH KALAU BOLEH PUSING...BELITLAH KALAU BOLEH BELIT...KAN KITA PANDAI2 BELAKA....

Exco: Phahrolrazi, Ismail akur keputusan PAS Pusat

Harakahdaily, 05 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 5 Mac: Isu pergolakan kerajaan negeri Kedah selesai apabila Timbalan Pesuruhajaya PAS Kedah, Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh  akan menyertai semula barisan Exco kerajaan negeri.

"Matlamat saya sudah tercapai, saya akan sertai semula Exco," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya, apa matlamat itu, Phahrolrazi berkata, beliau mahu pentadbiran negeri Kedah dijalankan secara berjamaah.

"Dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu, ini bermakna  akan ada pihak yang memantau pentadbiran negeri," kata beliau lagi.

Dr Ismail Salleh pula ketika dihubungi berkata, beliau juga menerima baik keputusan PAS Pusat dan akan menyertai semula exco sebagaimana yang diarahkan.

"Kami buat baru-baru ini macam kamikaze untuk meminta pimpinan memberikan perhatian kepada apa yang berlaku di Kedah ini. Sekarang semua dah beri perhatian dan mekanisma pentadbiran juga dibentuk melalui Jawatankuasa Pemandu, kami akan sertai semula exco selepas diarahkan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau memberi jaminan akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memperkuatkan PAS dan menjatuhkan Umno di negara ini.

"Kami tidak ada niat lain melainkan untuk kepentingan jamaah. Kami bukan nak jadi Hasan Ali. Tok Guru Haji Hadi  tok guru kami, ustaz kami. Kami hormati mereka," kata Dr Ismail yang bersama Phahrolrazi tidak mengangkat sumpah exco baru-baru ini.

Kedua-dua mereka mengulas keputusan PAS Pusat yang menubuhkan Jawatankuasa Pemandu untuk memantau semua kerajaan negeri yang ditadbir dan disertai PAS.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Alor Setar awal pagi semalam.

Meyuarat itu diadakan selepas pertemuan muhibbah PAS Pusat dan PAS Kedah yang diadakan sebelum itu iaitu mulai jam 10 malam Sabtu hingga jam 3.00 pagi semalam.

Pagi ini, di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengumumkan keputusan mesyuarat JK Pusat di Alor Setar semalam.

"Dalam mesyuarat tersebut kita telah memutuskan bahawa Datuk Seri Diraja Azizan Razak akan meneruskan tugasnya seperti biasa sebagai Menteri Besar.

"Selain itu juga kedua-dua exco perlu kembali dalam Exco Pentadbiran Negeri Kedah.

"PAS akan menubuhkan satu JK Pemandu untuk membantu negeri-negeri yang PAS tadbir dan negeri yang PAS sertai," jelasnya ketika bercakap pada satu sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini.

Penyelesaian isu Kedah selari mandat rakyat

Muhammad Faizal, 05 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 5 Mac: PKR menyifatkan kemelut yang melanda Kerajaan Negeri Kedah diselesaikan mengikut mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) percaya pimpinan tertinggi PAS Pusat dan negeri menyelesaikan permasalahan yang timbul membabitkan dua exco itu adalah berdasarkan kepercayaan rakyat Kedah.

"PKR meletakkan kepercayaan penyelesaian ini berdasarkan kepada kewajipan menepati kehendak Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.

"Ia juga selari dengan mandat dan kepercayaan yang telah rakyat berikan pada pilihan raya umum 2008 yang lalu," jelasnya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, Saifuddin menyatakan PKR meletakkan kepercayaan yang tinggi setiap apa jua masalah yang timbul tidak kira di Kedah atau mana-mana negeri yang mana jalan terbaik diselesaikan di meja perundingan.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu Jawatankuasa PAS Pusat telah menemui jalan penyelesaian dan membuat keputusan bahawa Datuk Seri Diraja Azizan Razak akan meneruskan tugasnya seperti biasa sebagai Menteri Besar.

Manakala, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh perlu kembali dalam Exco Pentadbiran Negeri Kedah yang mana mereka telag akur dengan keputusan PAS Pusat itu.

Henti politikkan isu pasir di Selangor

Merujuk kepada laporan Berita Harian seperti yang terkepil dalam surat ini, saya sebagai rakyat Selangor merasa jijik dan benci di atas usaha pihak-pihak tertentu yang cuba untuk mempolitikkan isu pasir.

Sehingga hari ini, tiada satu bukti yang telah dibawa keluar berkaitan wujudnya penyelewengan di dalam pentadbiran hasil pasir di Selangor.

Malahan, pihak Menteri Besar Selangor telah secara terbuka melantik dua orang wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk duduk sebagai Ahli Lembaga Pengarah KKSB (yakni syarikat yang diberikan tugas mentadbir hasil pasir di Selangor).

Mengapa pihak media dan pihak pembangkang terus menerus mempolitikkan isu ini sedangkan kerajaan negeri berhempas pulas untuk memastikan perjalanan pentadbiran hasil pasir telus dan bebas korupsi.

Saya minta mereka yang mempunyai bukti supaya keluar dengan bukti tersebut dan berhenti membuat tuduhan kosong.

Ini bukan masa berpolitik tetapi masanya bertindak dengan bijak dan efektif.

Bagi pihak Umno pula, berhentilah menuduh Pakatan Rakyat korup kerana Umno sendiri dipenuhi korupsi dan rasuah

Rakyat Selangor prihatin

Kedah: Salahudin menangis kegembiraan

Harakahdaily, 05 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 5 Mac: Naib Presiden PAS,. Salahudin Ayub adalah orang yang paling gembira sekali mendengar penerimaan dua timbalan pesuruhjaya PAS Kedah terhadap keputusan PAS pusat.


(Salahudin...orang paling gembira di sebalik penyelesaian isu Kedah)

Beliau yang mewakili PAS Pusat ke sana ke mari bagi menyelesaikan isu ini teresak-esak menangis kegembiraan ketika menelefon Harakahdaily.

"Benar ke berita Harakahdaily tu?" tanya Salahudin kepada Harakahdaily merujuk kepada berita bertajuk 'Exco: Phahrolrazi, Ismail akur keputusan PAS Pusat'.

Beliau terus menelefon Harakahdaily sebaik saja membaca berita yang sangat mengembirakan beliau itu.

Harakahdaily telah mengubungi kedua-dua timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu bertanya reaksi mereka terhadap keputusan PAS Pusat yang mengarahkan mereka kembali semula ke dalam barisan exco Kedah.

PAS Pusat mengarahkan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh kembali semula sebagai anggota exco negeri.

Arahan itu dibuat serentak dengan keputusan Datuk Seri Azizan Razak akan kekal sebagai MB manakala PAS Pusat membentuk Jawatankuasa Pemandu untuk membantu pentadbiran kerajaan negeri Kedah.

Phalrolrazi dan Dr Ismail memaklumkan, mereka berdua menerima keputusan PAS Pusat itu.

Sebaik sahaja mereka membuat sidang media di rumah Datuk Ir Phalrolrazi Zawawi jam 5 petang, Harakahdaily menyiarkan keputusan yang terlebih dahulu dimaklumkan kepada Harakahdaily itu.

"Saya mengeluarkan air mata gembira membaca berita ini," kata Salahudin teresak-esak ketika menghubungi Harakahdaily.

Beliau mengucap ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat menyelesaikan kemelut ini terutama sekali pimpinan PAS Kedah dan Pusat.

"Saya berbangga dengan anda semua terutama semangat sayangkan jamaah," kata Salahudin yang turut melakukan sujud syukur bagi menyatakan terima kasih kepada Allah SWT berikutan selesainya kemelut ini.

Mapin gesa tubuh S'jaya Diraja laksana syariah

Harakahdaily, 05 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 5 Mac: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melalui kempen Gerakan Sokong Syariah (Gesa) menuntut agar pihak kerajaan segera mewujudkan sebuah Suruhanjaya Diraja Mengenai Pelaksanaan Syariat Islam di Malaysia (SPSM).
"Badan ini disaran agar menjalankan suatu penyelidikan menyeluruh mengenai status perlaksanaan syariat Islam di Malaysia, penguatkuasaan, faktor-faktor yang menghalang perkembangannya serta rekomendasi menambahbaik dan memperkukuhkan status perlaksanaannya dalam sistem perundangan dan dasar pembangunan negara," kata Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, rasional saranan itu adalah kerana setelah lebih setengah dekad, 54 tahun negara ini merdeka, perkembangan syariat Islam dalam konteks perundangan dan dasar negara masih sangat jauh dari memuaskan.

Berdasarkan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, sepatutnya perkembangan undang-undang Islam dalam pelbagai aspek kehidupan umat Islam dan pentadbiran negara semakin menyeluruh dan merangkumi pelbagai bidang.

Malangnya, katanya perundangan Islam yang tertakluk kepada kuasa negeri masih berada di tahap yang hampir tidak berkembang semenjak negara mencapai kemerdekaan.

Tambahnya, selain dari adanya pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988 mengenai bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam  Perkara 12,  undang-undang syariah masih tidak berkembang dan taraf undang-undang syariah masa jauh berada di bawah undang-undang sivil berdasarkan British “Common Law” .

Ini, ujarnya nyata dapat dilihat bila penghukuman jenayah syariah dalam undang-undang Syariah di Mahkamah Syariah hanya terikat kepada 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan.

Mapim berpendirian tuntutan ini sangat tepat waktunya kerana syariat Islam sebagai sebuah sistem berlandaskan Al-Quran dan Sunnah adalah satu-satunya sistem yang boleh mengatasi segala kemelut serta krisis yang sedang melanda umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

"Kami berpendapat bahawa mengembangkan syariat Islam dalam pelbagai bidang kehidupan adalah wajar dan sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan," ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Pengerusi Sekretariat Gesa berkata, memperluaskan undang-undang syariah adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan malah sangat tepat dan harmonis dengan undang-undang induk di Malaysia.

Mapim, ujarnya menegaskan syariat Islam adalah sebahagian dari sejarah negara ketika pra penjajahan lagi, mengembangkan syariat di negara ini dalam pelbagai kehidupan sivil di kalangan umat Islam adalah suatu proses kesinambungan dari sejarah negara.

Menurutnya, setelah negara merdeka sepatutnya proses formalisasi syariat Islam disambung semula, akan tetapi ternyata pemerintah memilih untuk menggunapakai undang-undang sivil British sepenuhnya sebagai undang-undang perdana.

Katanya, syariat Islam yang telah disudutkan hanya kepada persoalan undang-undang kekeluargaan,  perlu disambung semula untuk melengkapkan proses Islamisasi seluruh bidang kehidupan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, akibat dari kedangkalan serta kejahilan masyarakat awam terhadap syariat, formalisasi syariat terbantut kerana hujah yang menimbulkan prasangka terhadap syariat di suarakan oleh sesetengah pihak seperti  terhadap isu undang-undang hudud.

Lebih merumitkan lagi, katanya hujah mereka didukung oleh beberapa pemimpin-pemimpin kerajaan dan oleh media yang mengambil pendirian negatif terhadap syariah.

"Sayangnya pihak berkuasa mengambil sikap membisu untuk menepis tohmahan dan persoalan penuh prasangka dan dangkal itu sehingga syariah terus dipinggir dan dijadikan sistem undang-undang kelas kedua," ujarnya lagi.

Mapim juga, tambahnya berpendapat sudah sampai masanya pendidikan terhadap syariat diterapkan kepada seluruh umat Islam agar menjadi suatu sistem yang dihayati dalam seluruh aspek kehidupan; ekonomi, sosial, pendidikan, pengurusan alam sekitar, seni dan budaya, gaya hidup harian mahupun politik.

"Suruhanjaya Diraja ini sepatutnya mengambil tanggungjawab membentangkan penemuan-penemuan dari kajian yang dijalankan untuk mencari kaedah bagaimana hendak mengutarakan langkah-langkah pengembangan  dan penambahbaikan perlaksanaan syariat di Malaysia untuk dipanjangkan kepada Majlis Raja-raja Melayu serta kerajaan sehingga menjadi syariah sebagai sistem undang-undang arus perdana di negara ini," ujarnya

Tiada ulasan: