Isnin, 5 Mac 2012

MENANGIS BUKAN MASALAH PARTI...MENANGIS GEMBIRA PERJUANGAN ISLAM TERUS BERJALAN LANCAR......

Pemuda PAS mahu lahirkan ahli berintegriti

Harakahdaily, 05 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 5 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bercadang mengadakan program kerjasama dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi melahirkan ahli PAS yang berintegriti dalam masyarakat.

Hasrat itu dinyatakan Ketua DPPM, Nasrudin Hassan dalam kunjungan hormat DPPM ke IIM di Jalan Duta, hari ini.

Beliau berkata, hasrat mewujudkan politik baru yang lebih berintegriti ada dibangkitkan dalam muktamar DPPM tahun lalu.

"Kerjasama dengan IIM akan memudahkan hasrat DPPM ini," kata beliau.

Kunjungan hormat tersebut diadakan bertujuan menjalin hubungan erat dan kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) di samping mendapatkan pandangan mengenai pelbagai isu berkaitan integriti di negara ini.

Rombongan DPPM disambut Timbalan Presiden IIM Dr Abu Bakar Sarpon serta beberapa kakitanga IIM.

Di samping memberikan penerangan mengenai struktur organisasi, peranan dan fungsi  IIM, Dr Abu Bakar turut menjelaskan, IIM dalam jangka panjang berhasrat membudayakan integriti di kalangan rakyat Malaysia dan menjadi badan rujukan semua pihak apabila berlakunya sesuatu isu yang melibatkan integriti dalam negara ini.

Beliau berkata, integriti adalah sangat penting dalam usaha mewujudkan keharmonian, keamanan serta nilai dan akhlak masyarakat yang tinggi.

Ujarnya, meskipun IIM hanya mampu memberikan pendidikan dan kesedaran terhadap masyarakat dan tidak menjadi badan penguatkuasa dalam memerangi gejala rasuah serta penyelewengan kuasa, namun dengan kuasa yang diberikan kerajaan, IIM bergerak ke lapangan masyarakat.

Beliau turut akur dan mengakui bahawa integriti dalam sistem di negara ini amat lemah serta memerlukan masa yang panjang untuk diperbaiki.

Turut serta dalam rombongan tersebut ialah Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Penolong Setiausaha Yusapiza Yaakob, Pengarah Jabatan Penerangan dan Media Baru DPPM Nurul Islam Mohamed Yusuf, Pengarah Jabatan IT DPPM Wan Asrul Affendi Mohamad, Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Suhaimi Abdul Aziz dan Exco DPPN Selangor Zahriezan Jamaludin.

Salahuddin teresak-esak, air mata saya mengalir

Mazlan Aliman, 05 Mac 2012
YB Salahuddin Ayub menghubungi saya sekitar jam 6 petang ini. Kebetulan, ada di rumah saya di Felda Bukit Ramun, Kulai, Johor. Saya tegur dia; demam ke? Kerana suaranya di hujung talian berbeza daripada biasa. Beliau memaklumkan YB Datuk Phahrolrazi dan YB Datuk Dr Ismail Salleh telah menerima keputusan PAS Pusat dengan nada tersekat-sekat, menangis teresak-esak. Alhamdulillah... tidak semena-mena mengalir deras air mata saya. Kegembiraan yang tidak terhingga. Saya sujud syukur dan membaca Al-Qur'an sambil menangis.
Apa yang saya alami mungkin tidak sama seperti orang lain. Semenjak YAB Perdana Menteri mengumumkan cadangan penyenaraian Felda Global Venture dalam Bajet pada 7 Oktober 2011 lalu; jiwa saya sangat tersentuh. Marah, sedih dan sering terganggu emosi saya. Berbulan-bulan saya bersama rakan-rakan NGO yang saya ketuai,  ANAK membuat pelbagai usaha. Ceramah, dialog, taklimat, laporan polis, serahan memorandum, laporan SPRM, bertemu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), serah memorandum kepada ANGKASA dan puluhan sidang media di merata negeri.

Saya teringat nasib peneroka Felda Cahaya Baru, Sg Buaya, Sendayan dan Labu Johnson. Hanya menang sorak tapi kampung tergadai. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Saya tidak mahu penderitaan mereka dirasai oleh warga Felda yang lain. Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang beri semangat yang kuat untuk saya dan ANAK menentang habis-habisan. Bukan sahaja dalam mesyuarat PAS Pusat tapi juga melalui perbincangan dan kadang kala beliau menelefon saya melalui Setiausaha Akhbarnya, Sdr Nasaie Ismail.

Saya jumpa YBM Tengku Razaleigh Hamzah, pemimpin politik, rakan-rakan NGO, group pemikir, bekas-bekas pegawai kanan Felda dan ramai lagi. Mereka memberikan pandangan dan tindakan yang mesti dibuat. Dr Rosli Yaakob, Lawyer Hj Haris Abdullah, Datuk Ramli Buyong, Hj Razman Zakaria, Ust Aris Faezol, Nasaie, Faizal, Yohanis (sekadar beberapa nama) antara yang cukup rapat dan banyak membantu. Kami sepakat menentang penyenaraian Felda Global Venture. Alhamdulillah, kami berjaya sekat cadangan EGM KPF pada 5 Januari 2012. Datang ujian berikutnya. Notis EGM KPF 22 Februari 2012. Lawyer Haris menyerahkan permohonan Injunksi Interim di Mahkamah Tinggi Kuantan pada sekitar jam 11 pagi 17 Februari 2012. Permohonan menghalang EGM KPF daripada melupuskan ekuiti KPF dan 10 anak syarikat dalam Felda Holding kepada Felda Global Venture Holding.

Hari Jumaat 17 Februari 2012 jam 3.25 petang tidak akan saya lupa sepanjang hayat. Lawyer Haris keluar dari bilik mahkamah mengangkat tangan dengan senyuman sambil menjerit, kita menang! Saya dan teman-teman yang menanti penuh sabar petang itu menyambutnya dengan laungan Allahuakbar berulangkali. Saya tidak terkata apa. Walau saya lelaki yang jarang menangis... air mata berderai. Syukur Alhamdulillah. Terimakasih Yang Arif Hakim Datuk Mariana Yahya kerana membenarkan permohonan lapan orang plaintif yang mewakili pemegang saham KPF bagi menghalang usul-usul seperti terkandung dalam notis yang dihantar kepada perwakilan EGM KPF.

Tanggal 19 Februari 2012, saya mengiringi Lawyer Haris menyerahkan perintah mahkamah kepada pihak KPF di Ibupejabat KPF di Jln Semarak KL. 21 Februari, Lembaga Pengarah KPF mengumumkan bahawa EGM KPF bertarikh 22 Februari 2012 dibatalkan. Syukur Alhamdulillah. Sekali lagi saya menangis gembira. 'Ya Allah, sesungguhnya hamba-Mu yang lemah ini sangat bersyukur; nikmat yang tidak terhingga yang Kau anugerahkan kepadaku'.

Saya menerima ratusan ucapan tahniah daripada berbagai pihak sama ada melalui panggilan telefon, sms, email dan facebook. Terima kasih atas sokongan anda semua!

Di tengah kekalutan dan kesibukan isu Felda, rakan-rakan Kedah memaklumkan cerita yang kurang enak didengar. Saya berulang alik ke Kedah memenuhi undangan ceramah dan program parti lebih 15 tahun. Saya mengenali rapat pimpinan PAS Kedah yang kini bergelar Exco Kerajaan Negeri. YB Nasir Mustapha, Adnan Saad, Aris Awang, Sanusi (Setpol YAB MB) adalah bekas pimpinan Pemuda PAS Kedah yang saya cukup rapat. Dari cerita mereka, sangat membimbangkan saya. Saya maklumkan kepada pemimpin kanan parti. Saya desak Hj Mohd Sabu, YB Salahudin dan Hj Mustapha Ali berbuat sesuatu dengan segera. Bayangkan, isu Felda dan Kedah betul-betul meletakkan saya selaku pemimpin PAS dalam tekanan yang tinggi. Harapan jutaan rakyat terpikul di bahu kami.

Mesyuarat Khas PAS Pusat pada 1 Mac 2012 di Pejabat Agung PAS, KL diadakan. Saya turut memberikan pandangan. Selesai membuat laporan polis di IPD Temerloh jam 12 tengah hari 3 Mac, saya bergegas ke Alor Setar. Sampai sekitar jam 9 malam. Selesai pertemuan serta sessi penghujahan Datuk Seri Azizan Abd Razak dan Datuk Phahrolrazi, saya menyertai Mesyuarat Khas PAS Pusat. Sekali lagi saya memberikan pandangan. Tamat hampir jam 3 pagi. Saya ajak Sanusi, Setpol YAB Menteri Besar makan kerana perut terasa begitu lapar. Beberapa bulan kebelakangan ini selera makan saya merosot teruk. Saya percaya ada kaitan dengan rentetan polemik dan kemelut dua isu di atas.

Pagi Ahad, 4 Mac saya dan rakan-rakan dalam perjalanan balik ke KL singgah terlebih dahulu menziarahi AJK Lajnah Pembangunan Tanah PAS Pusat, Sdr Saifulizan di rumah keluarganya di Taman Bee Bee Park, Alor Setar. Beliau dan isteri terlibat dengan kemalangan jalan raya. Berbeza ketika beliau masih dirawat di hospital swasta, Pulau Pinang; keadaannya makin bertambah baik walaupun perlu beberapa bulan lagi untuk pulih sepenuhnya. Hampir 10 tahun beliau membantu saya terutamanya menangani isu-isu Pulau Pinang. Seorang sahabat yang sangat komited dengan kerjanya.

Saya singgah di Butterworth jam 12.30 tengah hari. Bertemu YB Nasir Mustapha dan Aris Awang. Sebagai sahabat, saya mengingatkan mereka agar patuh dengan keputusan PAS Pusat. Saya berusaha menjadi pendengar yang baik. Pandangan mereka saya sampaikan kepada Salahudin. Saya rujuk kepada beliau kerana Salahudin adalah Pengerusi Jawatankuasa Khas Isu Kedah yang dilantik PAS Pusat. Saya sampai di rumah sekitar jam 11.30 malam.

Petang ini bila Salahudin memaklumkan berita ini; saya menulis untuk berkongsi kegembiraan ini. Berkongsi apa yang saya tanggung berbulan-bulan lamanya. Suka duka dalam mengharungi perjuangan sebenarnya suatu nikmat. Hari ini saya menerima NIKMAT BERGANDA. Meskipun saya memahami, ujian akan terus datang. Lawyer Haris hubungi saya tengah hari tadi. 8 Mac ini tempoh injunksi akan berakhir. Ada banyak lagi kerja yang mesti dibereskan. Sebentar tadi (9 malam) Sdr Taufeq salah seorang jawatankuasa Bertindak Isu Tanah Sg Kapal, Pengerang menelefon saya. Anak buahnya ditahan polis kerana pertahankan tanahnya daripada di ambil pemaju projek. Sudah pun di bawa ke IPD Kota Tinggi. Siang tadi YDP PAS Kota Tinggi, Hj Kamaldin juga menghubungi saya kerana beberapa orang anak Peneroka Felda Pasak mahu berjumpa kerana tidak berpuashati dengan pengagihan rumah Gen 2 yang tidak adil.

Sebagai anak Johor, saya dan Salahudin telah lebih 20 tahun bersama. Kami akan terus berjuang. Kemanisan dalam perjuangan yang tidak sama kalau nak dizahirkan dengan ungkapan kata-kata. Kepenatan dan keletihan tidak terperi rasanya. Tapi kami puas. Berbakti untuk rakyat, bersama denyut nadi rakyat. Sukar macam mana sekalipun, kami akan harungi, Insya Allah. Moga kami terus istiqamah berjihad di jalan Allah. Amin.

Mazlan Aliman
AJK PAS Pusat
Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak)
5 Mac 2012, selesai catatan 9.25 malam.

Kedah: Tolak mereka yang menangguk di air keruh

Harakahdaily, 05 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 5 Mac: Teras Pengupayaaan Melayu (Teras) mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang berjaya keluar dari kemelut kepimpinan yang telah berakhir dengan permuafakatan  positif dan baik melalui keputusan kolektif di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Presidennnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, khilaf kepimpinan adalah suatu yang lazim dalam mana-mana organisasi.

"Hanya kematangan dan hati yang ikhlas untuk bertanggungjawab langsung kepada Allah ketika menerajui organisasi dan kerajaan negeri, akan menelurkan kejernihan yang  cemerlang," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, episod kekhilafan antara pemimpin yang berakhir itu seharusnya menambahkan tekad dan iltizam untuk kembali memperkukuhkan saf dengan lebih ampuh dan utuh.

Katanya, sesungguhnya rakyat akan terus memerhati gelagat kepimpinan kerajaan mana-mana gabungan parti politik.

Justeru, katanya tidak seharusnya diperkecilkan atau meremehkan arus rakyat yang akan sentiasa siap membuat perubahan apabila keyakinan dan kepercayaan rakyat terhakis.

Lebih berat lagi, ujarnya kepimpinan seharusnya lebih rasa takut dan gerun dengan persoalan yang bakal dilontarkan bila mana berhadapan dengan Allah SWT nanti ketika mana amanah dikhianati.

"Inilah rumusan yang sepatutnya dijadi ‘ibrah yang penting untuk semua yang terlibat dengan kepimpinan agar sentiasa mawas  dan sedar diri," katanya lagi.

Tambahnya, Teras sangat mengharapkan di saat rakyat meletakkan keyakinan bahawa sudah tiba masanya mandat memerintah diserahkan kepada mereka yang berjiwa Islam, kerja keras untuk menunjukkan hasil bahawa memang tawaran Islam jauh lebih ulung berbanding kerajaan yang berteraskan dasar asobiyyah dan sekularisme, hendaklah dizahirkan.

Kini, ujarnya lagi seluruh tenaga harus kembali kepada menentukan mandat rakyat disempurnakan dan amanah Allah ditunaikan.

"Tolak mereka yang cuba meraih kesempatan untuk menangguk di air yang keruh, semua aktivis Islam seharusnya kembali bermuhasabah dan siap mentarbiyyah diri dengan lebih intensif dengan kesedaran tinggi bahawa mehnah dan fitnah dalam perjuangan tidak mengenal sama ada seseorang itu menjadi aktor senior mahpun aktivis muda," katanya.

Sehubungan itu, tambahnya Teras menyeru semua yang terlibat dalam episod kekhilafahan di kalangan kepimpinan negeri Kedah bersedia meletak ketepi segala persengketaan dan kembali mengukuh khittah perjuangan dengan istiqamah.

"Cukup rakyat telah meneliti kepincangan pemerintah yang sudah terlajak tua memerintah negara ini.

"Jika rakyat dikecewakan lagi dengan retorika perjuangan atas nama Islam tetapi gagal mencari jalan persepakatan, tidak ada yang seharus dipersalahkan selain diri sendiri," ujarnya.
Kemelut Kedah selesai, dua exco terima lantikan
Pergolakan kepemimpinan di negeri Kedah berakhir hari ini dengan pengumuman dua exco kerajaan negeri - Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh - menerima pelantikan semula jawatan mereka selepas berpuas hati dengan penubuhan jawatankuasa bagi mengawal selia pentadbiran negeri berkenaan.

NONE"Matlamat saya sudah tercapai, saya akan sertai semula exco," kata Phahrolrazi.

Katanya, dengan penubuhan jawatankuasa itu, sekurang-kurangnya kuasa Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak tidak dominan sehingga tidak boleh dipersoal.
"Dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu, ini bermakna  akan ada pihak yang memantau pentadbiran negeri," kata beliau lagi.
Pada sidang media di Alor Setar hari ini, mereka juga berharap, Azizan akan mematuhi hala tuju yang ditetapkan daripada PAS di peringkat Pusat.

Jawatankuasa berkaitan juga sudah berjalan di Kelantan bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ditanya sama ada keputusan itu dianggap tamparan kepada Azizan, Phahrolrazi berkata perkara itu terpulang kepada interpretasi pemberita.
Sementara itu, Ismail yang dihubungi Harakahdaily berkata, beliau juga menerima baik keputusan PAS Pusat dan akan menyertai semula exco sebagaimana yang diarahkan.

NONE"Kami buat baru-baru ini macam kamikaze untuk meminta pimpinan memberikan perhatian kepada apa yang berlaku di Kedah ini.

“Sekarang semua dah beri perhatian dan mekanisma pentadbiran juga dibentuk melalui Jawatankuasa Pemandu, kami akan sertai semula exco selepas diarahkan," katanya.

Portal rasmi PAS itu juga melaporkan beliau memberi jaminan akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memperkuatkan PAS bagi menjatuhkan Umno di negara ini.

"Kami tidak ada niat lain melainkan untuk kepentingan jamaah.

“Kami bukan nak jadi Hasan Ali. Tok Guru Haji Hadi  tok guru kami, ustaz kami. Kami hormati mereka," katanya.
[Baca berita penuh]

Sebelum ini, ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Ismail berkata, beliau tidak akan menerima lantikan semula jawatannya selagi tiada penambahbaikkan dalam 'pentadbiran' negeri pimpinan Datuk Seri Azizan Razak.

Katanya, perubahan perlu dilakukan memandangkan pelbagai masalah-masalah dalaman yang telah timbul.

"Jika perubahan tidak ada, saya tidak akan terima (jawatan exco). Perubahan mesti dilakukan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

NONE"Saya nak perubahan tertentu dalam pentadbiran negeri. Saya juga mahu (PAS) Pusat ambil perhatian terhadap masalah yang kami hadapi.

"Dah lama benda ini kami sebut tapi tidak buat apa-apa. Jadi kami ini seolah-olah 'kamikaze' untuk perkara ke arah kebaikan."
Walaupun enggan mengulas sama ada beliau merujuk supaya menteri besar diganti, Ismail berkata, isu berhubung "orang yang mentadbir" perkara kedua.

Ditanya lagi sama ada Azizan perlu meletakkan jawatan, Ismail berkata, terpulang kepada kepimpinan Pusat PAS untuk membuat keputusan.

"Kami sudah beritahu apa yang kami tidak puas hati. Bergantung pada Pusat untuk menilai. Kalau perlu (letak jawatan), buat. Pusat lebih layak buat keputusan," katanya.
Marah sebab tak faham
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pagi ini berkata, Ismail dan seorang lagi exco Datuk Phahrolrazi Zawawi perlu menerima semula jawatan mereka kerana sudah diputuskan dalam mesyuarat khas di Alor Setar pada Sabtu lalu.
Selain itu, Ismail menjelaskan, apa yang dilakukannya ini bukanlah sebagai tanda kecewa terhadap parti tetapi demi kebaikan.

NONE"Saya harap orang faham apa yang saya buat. Ada orang yang marah dengan tindakan saya ini. Saya anggap mereka tak faham. Bila tak faham, mereka marah.

"Saya bukan kecewa dan saya bukan kejar jawatan. Apa yang saya nak ialah perubahan ke arah lebih baik. Untuk perubahan yang baik itu payah dan yang susah itu kami pilih.

"Saya cuma mahu pertahanankan Kedah pada pilihan raya akan datang dan seterusnya ke Putrajaya " ujarnya.
Skim Rumah Pertamaku hanya ibarat 'angan-angan'
Pelan pemilikan rumah - Skim Rumah Pertamaku -  yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak pada Mac lalu, kini di ambang kegagalan kerana belum ada satupun permohonan untuk mendapatkan pinjaman 100 peratus diluluskan oleh mana-mana bank.

Intipati utama skim itu, adalah kerajaan akan membantu menyediakan 100 peratus pinjaman bagi pembeli rumah muda yang mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM3,000, bagi  membeli rumah yang bernilai sehingga RM400,000.

Laporan akhbar harian Cina Sin Chew Daily pada muka hadapanya memetik beberapa bank sebagai berkata adalah mustahil membekalkan kemudahan pinjaman itu manakala mereka yang sepatutnya menikmati  manfaat daripada skim itu pula menyifatkannya sebagai "angan-angan".

Seorang perancang kewangan menjelaskan kepada akhbar itu bahawa pinjaman RM400,000 akan diterjemahkan kepada ansuran bulanan sebanyak RM1,780 bagi tempoh pembayaran 30 tahun. Ini juga akan menelan lebih separuh daripada pendapatan mereka yang hanya RM3,000 sebulan.

"Walaupun bank hanya meluluskan 80 peratus daripada pinjaman, pembeli masih perlu membayar wang pendahuluan RM80,000, yang jelas tidak mampu oleh kebanyakan mereka.”

Untuk memburukkan lagi keadaan, Bank Negara pula memperketatkan syarat pinjaman dengan  mengarahkan bank-bank untuk meluluskan jumlah pinjaman berasaskan pendapatan bersih peminjam, iaitu pendapatan mereka selepas ditolak caruman kepada KWSP, cukai pendapatan, hutang kad kredit dan liabiliti lain.

Oktober lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim berkata bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengkaji semula syarat kelayakan dengan membenarkan mereka yang berpendapatan sehingga sekitar RM6,000 hingga RM7,000 juga layak memohon.

Walau bagaimanapun ini telah menimbulkan persoalan sama ada ia hanya akan membantutkan objektif skim berkenaan iaitu untuk memudahkan pembeli yang berpendapatan rendah memiliki rumah pertama mereka.
Hina hudud: Pemuda PAS mahu dialog dengan Mahathir
Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan berkata dewan itu akan mengadakan dialog dengan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan bekas perdana menteri itu dalam isu hudud.

pas umno pemuda talks parliment 010709 nasrudin hassanNasruddin berkata mereka itu ingin mendengar sendiri penjelasan daripada Mahathir yang sebelum ini dilaporkan telah menafikan bahawa hukum hudud wujud dalam al-Quran.

"Kita mahu selesaikan secara berdepan dengan Tun Mahathir," katanya yang ingin memastikan sekiranya Mahathir benar-benar telah bermaksud demikian.

Dalam ulasannya sebelum ini, Nasruddin (kiri) berkata beliau telah menyatakan bahawa pandangan seperti itu tidak betul.

"Tetapi kemudiannya ada pula yang cuba tafsir bahawa mungkin Tun maksudkan terma (hudud) itu yang tidak ada dalam al-Quran," katanya.

Debat mengenai isu itu pula telah berlarutan di Internet, kata Nasruddin lagi dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Atas dasar itulah maka pergerakan itu berniat untuk bertemu Mahathir.

Selain dialog dengan mahathir, pergerakan itu juga merancang untuk berdialog dengan ketua pengarang akhbar The Star ekoran isu yang timbul dari liputan akhbar berkenaan.

Katanya, isu yang akan ditimbulkan itu kebanyakannya berhubung pemberitaan The Star dan juga sikap Pemuda PAS dalam perkara melibatkan hiburan dan juga berkaitan sensitiviti agama.

NONEAntaranya melibatkan foto kontroversi artis Erykah Badu yang disiarkan The Star -- tindakan yang menimbulkan bantahan daripada kumpulan seperti Pemuda PAS dan juga PERKASA.

Tindakan berkenaan menyebabkan The Star dipanggil untuk memberi penjelasan di Kementerian Dalam Negeri dan turut menggantung dua orang kakitangannya berhubung penyiaran foto tersebut.

Ketika ditanya, Nasruddin berkata Pemuda PAS tidak harus berasa begitu gembira dengan tindakan yang dikenakan ke atas kakitangan berkenaan kerana ia mungkin "terlalu zalim."

Oleh sebab itulah juga Pemuda PAS ingin bertemu dengan The Star untuk menjelaskan pendirian mereka dalam isu-isu berkenaan.
VIDEO | 11.30 min
Pas yakin tidak tergugat dengan serangan Hasan Ali
NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
5 Mac 2012
Datuk Mahfuz Omar
SHAH ALAM - Datuk Mahfuz Omar menempelak kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, yang mendakwa pemecatannya akan menjadi sebahagian daripada faktor kekalahan parti Islam itu pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden itu berkata, jentera Pas tidak pernah tergugat dengan ketiadaan Hasan, malah pemecatan itu telah merungkaikan permasalahan yang selama ini berlegar-legar dalam parti itu.

“Siapa dia (Hasan) nak bagi tahu yang Pas akan tumbang? Pas tidak pernah tergugat. Malahan kami bersyukur diambil tindakan memecat dia dulu, ringan sikit beban masalah.

“Biarlah dia rasa dia hebat sekarang sampai boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian, tapi Pas tidak akan tumbang disebabkan dia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Hasan juga merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Ketika ditanya pemberita, adakah Pas tergugat dengan kenyataan Hasan yang secara tidak langsung mendakwa dirinya mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh apabila program jelajahnya mendapat sambutan baik dengan ribuan yang hadir, Mahfuz berkata, itu adalah retorik politik semata-mata dan Pas tidak pernah menganggap itu satu ancaman.

“Dia sedang diperkudakan Umno, Hasan sekarang sedang pikul tanggungjawab sebagai mata dan kapak Umnolah.

“Program dia tak bawak permasalahan buat Pas, biarlah dia nak buat apa pun... Pas tetap akan teguh dengan perjuangan kami,” katanya.

Kelmarin, Hasan mengeluarkan kenyataan faktor pemecatannya masih relevan dan akan menyebabkan "kekalahan teruk" Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Tiada ulasan: