Jumaat, 2 Mac 2012

DALAM SOALJAWAB MUFTI JOHOR DAHULU...MASUK JEMAAH ISLAM ITU WAJIB...MANA JEMAAH YANG NAK MASUK..BELIAU MENJAWAB YANG AWAL SEKALI DITUBUHKAN...JADILAH ULAMAK DILETAKAN ALLAH DALAM SYURGA DAN JANGAN JADI ULAMAK YANG ALLAH SWT CAMPAKKAN DALAM NERAKA....

Tokoh PPP akan sertai PAS

Harakahdaily, 02 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 2 Mac: Seorang bekas ahli majlis tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP) akan menyerahkan borang menyertai PAS secara rasmi dalam masa terdekat.

Beliau dijangka mengetuai penghijrahan beramai-ramai ahli PPP ke dalam PAS termasuk menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Difahamkan, beliau yang juga bekas ketua salah satu bahagian PPP di SElangor itu akan menyerahkan borang keahlian PAS berserta lebih 500 yang lain secara rasmi kepada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada satu majlis di Klang pada 10 Mac ini.

Kesemua mereka adalah ahli PPP daripada 15 cawangan di Klang.

Malam tadi, individu berkenaan dibawa ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut bagi diperkenalkan kepada pimpinan dan AJK PAS Pusat yang berkebetulan bermesyuarat malam tadi.

Antaranya beliau bertemu dengan Mohamad Sabu, Dr Siti Mariah Mahmud dan juga Mazlan Aliman.

Beliau telah bersama PPP lebih empat tahun. Sebelum bersama PPP, beliau bersama Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) selama 13 tahun dan pernah menjawat jawatan sebagai setiausaha agung.

Takut debat, maka sepak terajang pilihan Umno

Fairuz Azhan, 02 Mac 2012
Semakin hari semakin terserlah sikap pemimpin dan penyokong Barisan Nasional, khususnya Umno dan pecacai mereka, yang menyerang serta menimbulkan kekacauan di majlis-majlis majlis anjuran masyarakat madani dan rakyat prihatin.

Antara peristiwa yang menonjolkan sifat ganas para pecacai Umno adalah:

* Kekacauan yang ditaja oleh Perkasa dan UMNO pada hari keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Jalan Duta sehingga adanya letupan yang mencederakan orang awam;

* Kekacauan program Hindraf dan NGO Asalkan Bukan UMNO (ABU) oleh samseng-samseng pro-Umno di Dewan Orang Ramai Jalan Kebun, Klang;

* Kekacauan semasa ceramah Pakatan Rakyat yang diadakan dalam kawasan Parlimen yang diwakili oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Johor sehinggakan kereta Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalami kerosakan teruk;

* Keganasan samseng pro-UMNO di Sudut Pidato Pulau Pinang sewaktu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turun padang untuk menyatakan sokongan beliau terhadap gerakan anti-Lynas, di mana beberapa peserta perhimpunan aman cedera manakala Guan Eng diserang dan dirosakkan para pengacau;

* Percubaan untuk mencederakan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di Pahang; dan

* Perbuatan membakar rumah dan kereta Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Zulkifli Ahmad.

Kesederhanaan Najib?


Adakah semua perbuatan ganas ini yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri sebagai “kesederhanaan yang berpotensi menjamin keamanan dan keharmonian”? Apakah jaminan Datuk Seri Najib Razak tentang budaya demokrasi dan politik matang yang diwarwarkannya hanya sekadar omongan kosong?

Bukan sahaja Najib berdiam tidak mengutuk trend ganas oleh kumpulan-kumpulan penyokong dan pecacai Umno, malah gerak dan gayanya bagaikan menghalalkan segala yang berlaku.

Budaya baling batu dan sembunyi tangan sememangnya bukanlah budaya baru, lebih-lebih lagi daripada pihak yang ekstrem dalam Umno dan BN.  Kita akui masih ramai ahli UMNO-BN tidak suka kepada keganasan tetapi jika mereka berdiam diri dengan budaya keji yang sedang berlaku sekarang, ia seolah-olah mencerminkan UMNO-BN menyokong perbuatan ganas ini.

Mengapakah tidak kelihatan sebarang usaha daripada kerajaan Najib untuk mengutuk kegiatan samseng tersebut yang ditujukan, bukan sahaja kepada para pemimpin Pakatan Rakyat tetapi juga terhadap rakyat prihatin yang tidak menyertai mana-mana parti seperti ribuan orang yang menentang projek sisa toksik Lynas?

Jika keganasan berleluasa, bagaimana Najib mahu perkenalkan demokrasi matang?


Bagaimanakah Malaysia boleh mengorak langkah ke arah sebuah demokrasi yang matang jika kejadian-kejadian ini boleh terus dibiarkan oleh kerajaan?

Jika seorang pemimpin pembangkang boleh dibakar kereta dan rumahnya, bahkan kereta seorang Ketua Menteri boleh diserang dan dirosakkan, apakah jaminan keselamatan yang boleh diberikan kepada rakyat biasa?

Jelas keganasan seperti ini menunjukkan betapa rendahnya tahap kematangan dan daya intelektual parti pemerintah. Malah, para pemimpin kerajaan Umno-BN menyatakan bahawa berdebat itu budaya barat.

Kita tanya pula, samseng dan keganasan itu budaya siapa? Jelas sekali kerajaan UMNO-BN yang semakin terdesak hanya mengharapkan sokongan fanatik dan pelampau perkauman sebagai tunjang politik mereka.

Di mana perginya intelek? Di mana perginya budi pekerti? Di mana perginya rasa hormat? Entah ke mana. Hanya tinggal papan tanda usang yang tercatat kata-kata “sopan santun budaya kita”.

Kasihan sungguh mereka yang berada di penghujung usia kuasa. Mereka ketandusan idea, kekuranga pimpinan berwibawa dan merendahkan akhlak sendiri dengan perbuatan ganas yang kurang cerdik.

Jalan keluar untuk Umno-BN sebenarnya tidak sukar. Tunaikanlah segera janji-janji  transformasi politik dan kerajaan. Bersihkan negara dari rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Utamakan rakyat dengan mengurangkan beban ekonomi seperti tol, cukai dan pelbagai bayaran yang tidak perlu dibayar oleh rakyat.

Jika UMNO-BN masih degil, maka pilihannya tentulah Pakatan Rakyat. – Roketkini.com

Kementerian Belia didakwa seleweng duit untuk politik

Hazayani Zakaria, 02 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 2 Mac: PAS menuntut Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan kewujudan Cawangan Strategik dan Urat Saraf di bawah kementerian itu yang didakwa digunakan untuk tujuan pilihan raya.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, kewujudan cawangan itu sangat diragui ketelusannya lebih-lebih lagi ia tidak mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurutnya, cawangan tersebut tiada organisasi khusus, malah peruntukannya diambil daripada bahagian lain dalam kementerian.

"Banyak peruntukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan untuk kepentingan belia tapi hakikatnya cawangan ini digunakan untuk tujuan politik, bagi tujuan pilihan raya dengan mewujudkan unit-unit tertentu dalam kementerian.

"Saya angap ini satu penyelewengan apabila mengambil peruntukan dari bahagian lain.

"Semasa pilihan raya Sarawak, cawangan ini bermukim di Sarawak selama tiga bulan dan mengadakan pelbagai program gerak saraf belia yang memakan belanja sehingga RM40 juta. Saya minta Menteri Belia dan Sukan jelaskan perkara ini," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menambah, Ketua Setiausaha Kementerian juga telah mengarahkan cawangan ini untuk mengadakan program politik di semua daerah lebih iaitu 2,000 program setiap negeri dengan kos RM30 juta untuk Pakar Motivasi, Datuk Dr. Hasan Ali berceramah kepada pengundi muda.

"Nampak sangat Umno guna peruntukan untuk kepentingan politik Umno. Sekarang mereka tak perlu turun padang, hanya guna  Hasan Ali sebagai mata kapak dan hulu kapak," katanya.

Selain itu, beliau turut mempersoal  "kehilangan RM8juta peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk belia pada Himpunan Sejuta Belia 2011.

Menurut maklumat, hanya RM2 juta diterima oleh Majlis Belia.

"Saya setuju kalau peruntukan untuk pembangunan belia, tapi bukan dalam  bentuk program himpunan sehari yang tidak memberi apa-apa kesan, hanya seperti Karnival Jom Heboh dan sebagainya," katanya.

Turut dipersoal beliau, kos yang terpaksa ditanggung kerajaan akibat pembatalan belia kreatif 2012 yang sepatutnya diadakan pada 10 hingga 12 Februari lalu serta sebab pembatalannnya.

"Karnival ini telah diiklan secara meluas di media massa tapi akhirnya dibatalkan. Kenapa program ini dibatalkan dan berapa pula kos yang terpaksa ditanggung kerajaan setelah pelbagai promosi telah dilakukan?" soalnya.

Dalam pada itu, beliau meminta Kementerian terbabit menjelaskan bagaimana projek perkhidmatan kafe di 17 Instititut Kemahiran Belia Negara (IKBN) hanya diberikan kepada sebuah syarikat yang berpangkalan di Kelantan.

"Kalau betul kerajaan ingin membangunkan syarikat bumiputera, kenapa hanya beri kepada sebuah syarikat? Sepatutnya kalau ada 17 IKBN, berilah kepada 17 syarikat," katanya.

The Star janji kuliah agama untuk kakitangannya

Harakahdaily, 02 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 2 Mac: Akhbar MCA, The Star berjanji kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mempastikan kejadian menyiarkan gambar Erykah Badu tidak akan berulang lagi.

Menurut sumber, janji ini dibuat empat editor kanan The Star yang diketuai Datuk Seri Wong Chun Wai dan dua editor yang bertangungjawab menyiarkan gambar itu pagi tadi.

Janji itu dibuat dalam pertemuan mereka dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam pagi tadi.

KDN dikatakan akan memutuskan hukuman terhadap The Star tidak lama lagi.

Para editor ini bertemu KDN buat kali keduanya ekoran penyiaran gambar penyanyi Amerika yang bertatu nama Allah pada dadanya yang telanjang.

Antara janji itu adalah memberikan maklumat yang lengkap tentang agama di negara ini khasnya Islam kepada semua kakitangan.

"Kami kakitangan The Star akan menghadiri kuliah agama selepas ini termasuk dari bahagian pengiklanan, sumber manusia apatah lagi editorial," kata sumber itu kepada Harakahdaily.

Oleh itu, katanya, jika umat Islam mendengar kuliah agama untuk menyambut Ramadhan, semua kakitangan The Star juga akan diarahkan mendengar kuliah agama juga.

"Misalnya sebulan sebelum Ramadhan, semua bahagian The Star akan diminta menyertai kuliah tentang Ramadhan bagi mengelakkan kami dari tersalah tulis atau siar selepas ini," kata sumber itu.

Pegawai KDN juga akan dijemput dari masa ke semasa untuk menjelaskan isu-isu keselamatan dan isu yang sensitif.

Selain tindakan itu, The Star juga membawa bersama mereka Rozaid Abdul Rahman, Editor Bersekutu yang mereka lantik untuk mengawasi isu agama dalam The Star.

Ia bertujuan untuk menunjukkan kepada KDN akhbar ini serius dalam menangani kesilapan itu, kata sumber itu.

Ini adalah antara langkah yang telah diambil The Star untuk memastikan KDN hanya mengenakan hukuman yang ringan sahaja ekoran kesalahan itu.

Bagaimanapun, akhbar ini juga dikatakan bersiap untuk menghadapi hukuman yang berat dari KDN.

Ini kerana, laporan The Star tentang gambar itu juga telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu lalu.

Para menteri Umno dikatakan sangat marah dengan laporan ini kerana bimbang PAS akan mendakwa Umno membiarkan akhbar MCA itu berbuat demikian.

Dalam pertemuan pagi tadi, mereka turut menyerahkan jawapan bertulis rasmi terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan KDN beberapa hari lepas.

Dalam pertemuan itu, Harakahdaily difahamkan, pihak KDN meminta The Star juga melaksanakan polisi memecat kakitangan yang bersalah sebagaimana yang  diamalkan oleh dua akhbar Cina sebelum ini yang juga tersalah lapor tentang isu agama yang sensitif.

"Namun bos kami hanya mendengar sahaja tanpa memberikan sebarang komitmen," kata sumber itu.

KDN dikatakan memaklum kepada editor kanan The Star itu, jika kakitangan kerajaan yang membuat kesalahan yang serupa mereka telah dipecat dari perkhidmatan.

Sehingga kini, dua editor yang terlibat menerbitkan gambar itu telah digantung jawatan.

The Star juga menyiarkan permohonan maaf yang disifatkan Mufti Perlis sebagai 'ciput' sahaja berbanding gambar besar Erykah Badu yang disiarkannya.

Antara 'gadai akidah' Najib dan 'syirik' Zambry

Harakahdaily, 02 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 2 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyokong cadangan agar satu garis panduan untuk berkunjung ke rumah-rumah ibadat bukan Islam dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti yang dicadangkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar).

Timbalan ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata cadangan tersebut wajar dikemukakan berdasarkan kenyataan awal Harussani berikutan kekeliruan terhadap kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada perayaan Thaipusam baru-baru ini sebagai ‘menggadai akidah’.

Katanya, banyak pihak dan umat Islam keliru dengan kenyataan Harussani terhadap kehadiran Najib ketika itu, pada awalnya mengatakan ‘haram’ dan pada hari berikut pula mengatakan sebaliknya.

Beliau berkata, seperti mana juga yang pernah Pemuda PAS kemukakan aduan dahulu berikutan perbuatan ‘syirik’ Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika majlis perasmian pembinaan rumah di Manong, Kuala Kangsar dengan meletakkan ancak ketika menaikkan tiang seri rumah.

“Pada awal kenyataan Tan Sri Harussani juga sama iaitu mengatakan perbuatan tersebut sebagai ‘syirik’.

“Dan umum mengetahui pada hari berikutnya pula, Tan Sri Harussani mengatakan sebaliknya dan sekali lagi umat Islam agak keliru dengan kenyataan yang tidak konsisten tersebut,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, umum mengetahui, ramai kalangan ulama yang melihat sendiri perbuatan Zambry melalui rakaman video dan gambar tersebut yang dibekalkan ketika itu jelas mengatakan perbuatan tersebut sebagai ‘syirik’, tetapi tiba-tiba sahaja Harussani mempertahakan kenyataan awalnya dengan mengatakan sebaliknya sehingga kini.

“Sepatutnya garis panduan yang sama perlu dikemukakan oleh Jakim kerana ianya jelas satu perbuatan ‘syirik’ yang dilakukan oleh pimpinan utama negeri iaitu Datuk Seri Zambry ketika itu,” katanya.

Pemimpin baik rakyat jadi baik – Abu Hassan Din

Aslani M, 02 Mac 2012
KOTA BHARU, 2 Mac: “Macam mana mahu menjadikan rakyat yang baik sekiranya pemimpin sendiri tidak mempamerkan sikap sedemikian,” kata pendakwah tersohor, Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz (gambar).

Beliau berkata, ramai pemimpin bercakap mahu rakyat hidup dalam keadaan baik dan aman sentosa, namun tindak tanduk pemimpin tidak mencermin ke arah itu.

“Apabila kita berjaya menjana insan yang sempurna barulah keselamatan kehidupan manusia akan lebih terjamin,” katanya pada kuliah perdana di Medan Ilmu di sini, pagi tadi.

Program tersebut diadakan sempena pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2012 (TMK@12) malam ini. Di tempat sama petang ini kuliah Asar pula akan disampaikan pendakwah popular masa kini Ustaz Azhar Idrus.

Manakala perasmian TMK@12 akan disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan bertempat di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV.

Program tersebut akan diserikan konsert TMK@12 dengan menampilkan artis Ramli Sarip, OPIK dan kumpulan nasyid In-Team.

Medan Ilmu yang menjadi lokasi pembelajaran ilmu agama setiap pagi Jumaat, hari ini tambah sendat dengan program TMK@12.

Khemah besar yang dipasang memanjang di Jalan Dato’ Pati di mana setiap ruang dipenuhi orang ramai. Jalan terbabit ditutup lalu lintas sejak semalam.

Kuliah hampir sejam setengah itu mengupas tajuk Menjana Insan Kamil. Hadir sama anggota Exco, Datuk Takiyuddin Hassan dan Timbalan Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Manakala kuliah agama disambung pula Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga berakhir jam 10.35 pagi.

Suasana Medan Ilmu juga seperti pasar tani apabila ramai peniaga mengambil kesempatan berniaga. Fenomena tersebut dapat disaksikan setiap pagi Jumaat.

Ustaz Abu Hassan berkata, sebelum ini ada pemimpin negara sering bercakap mengenai modal insan bagi melahirkan rakyat yang mempunyai kekuatan dalaman.

Sementara itu program pelancaran TMK@12 hari kedua esok akan diserikan dengan perarakan kereta berhias bermula jam 8 malam.

Perarakan itu bermula dari Bandar Baru Tunjung akan melalui Jalan Kuala Krai, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Temenggong, Jalan Hilir Kota dan berakhir di Kota Sultan Ismail Petra.

Pada pagi esok juga diadakan sukan air di Dataran Lembah Sireh bermula jam 9 pagi. Pada 9 malam pula program Citrawarna Kelantan perarakan kebudayaan dan rakyat.

Tiada ulasan: