Jumaat, 2 Mac 2012

APA HUKUM MENAHAN HAK ORANG@RAKYAT...APA HUKUM MENAHAN REZEKI ORANG@RAKYAT...DILAIN MASA ALLAH TAHAN REZEKI DAN HAQ KITA...INGATLAH KUASA ALLAH TIADA BATAS KEMAMPUANNYA...

Ulamak PAS Kedah pertahan kerajaan negeri

Harakahdaily, 02 Mac 2012
Kenyataan Bersama Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah
1. Dewan Ulamak PAS Kedah dengan ini menyokong penuh dialog antara Menteri Besar Kedah, YAB Datuk Seri Diraja Ustaz Azizan Razak dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah, Wakil-Wakil Rakyat PAS Kedah dan Ahli Badan Perhubungan PAS Kedah untuk mendapatkan penjelasan bagi apa sahaja isu yang dibangkitkan akhir-akhir ini. Hal ini berlandaskan arahan Allah Taala bermaksud: "Dan segala urusan mereka berlaku dengan perbincangan sesama mereka." (Surah al-Syura ayat 38)
2. Dewan Ulamak PAS Kedah menegaskan sama sekali tidak menyokong sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan PAS Negeri Kedah.
3. Dewan Ulamak PAS Kedah sentiasa istiqamah untuk mempertahankan Kerajaan PAS Negeri Kedah bersama-sama dengan ahli dan kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia.
4. Dewan Ulamak PAS Kedah menyokong penuh sebarang usaha menggantikan mana-mana pemimpin yang sabit penyelewengannya.
YB Datuk Tuan Guru Harun Taib,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Tuan Guru Syeikh Mohamad Abdullah,
Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah.

Pimpinan PAS bukan Islam satu tanda terbuka

Subky Latif, 02 Mac 2012
APA kata kalau Timbalan Presiden PAS terdiri dari seorang bukan Islam seperti yang dikatakan dilontarkan oleh Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dalam satu wacara di Sinar Harian baru-baru ini?

Betulkah dia berkata begitu atau ia sekadar tanggapan tidak tepat pemberita?
Tentulah ia suatu yang mengejutkan dan suatu yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa.
Kemungkinan seperti yang diberitakan itu suatu yang tidak akan berlaku sekurang-kurangnya dalam masa 20 tahun atau tiga puluh tahun akan datang.
Dr. Dzul sendiri pun tidak memikirkan ia  akan berlaku mungkin dalam usianya sendiri. Mungkin dia mati dulu sebelum ia menjadi kenyataan.
Sama ada ia betul begit atau suatu yang diada-adakan, ia tidak lebih dari satu lontaran kepada PAS dan masyarakat Malaysia setelah perkembangan yang terjadi di Mesir apabila parti Islam yang ditaja oleh Ikhwan Muslimin menerima seorang Kristian Kibti menjadi Timbalan Presidennya sekarang.
Dia bukan Timbalan Presiden Ikhwan Muslimin. Ia Timbalan Presiden parti yang  ditaja Ikhwan Muslimin bagi mendepati politik memerintah Mesir sekarang. Ikhwan dikira ibu kebanyakan parti Islam di dunia sekarang, mempunyai sikap dan disiplin Islam yang jelas. Apa yang berlaku di Mesir itu adalah memperlihatkan keterbukaan politik Ikhwan dalam iklim politik sekarang.
Apa yang terjadi di Mesir itu satu kejutaan dan ia suatu yang  diterima.
Dr Dzulkefly adalah  antara orang yang boleh menerima perkembangan jika keperluannya ada. Saya sendiri belum nampak ia boleh berlaku dalam PAS dalam waktu yang terdekat, tetapi dalam pemikiran baru pejuang  Islam sekarang sudah ada orang berfikiran terbuka seperti itu.
Maka kita mesti menerima bahawa dalam PAS mungkin sudah ada orang berfikiran terbuka seperti itu. Ia adalah menggambarkan bahawa rata-rata pemimpin PAS  dan penyokongnya adalah orang yang berfikiran terbuka cuma kebanyakannya belum tiba ke tahap kemajuan seperti yang dilontar itu.
Pandangan  itu telah mendahului zaman yang belum dicapai oleh rakan-rakan yang lain tetapi ia adalah perkembangan tentang kemajuan PAS yang amat terbuka dalam pemikiran politik tetapi tetap tidak sampai bertolak ansur dengan Islam liberal.
Ada beberapa masalah yang menghalang beberapa jawatan penting  dalam PAS bagi disandang oleh orang bukan  Islam. Jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan satu dua lagi memerlukan kelayakan ilmu dan kemahiran berpolitik. Ketinggian ilmu Islam tanpa kemahiran politik adalah bermasalah. Kemahiran berpolitik dengan ilmu yang terhad juga ada masalah.
Pemimpin penting parti Islam mesti memilik kelayakan yang secukupnya. Kelayakan itu hanya ada pada orang  Islam  saja. Politik Islam itu melibatkan perkara hukum, ibadat dan lain-lain. Ia tidak dapat dipenuhi oleh orang.
Polemik yang berterusan  dalam PAS sekarang ialah tentang dua jawatan penting dalam parti – Presiden dan Timbalan – wajar atau tidak terdiri dari ulama? Amalan selama 30 tahun lalu dua jawatan itu mesti ulama kerana mereka perlu duduk dalam Majlis Syura Ulama yang keanggotaannya semua ulama.
Jika kedua penjawat jawatan itu bukan ulama sukar bagi mereka menjadi anggota Majlis itu. Wakil jawatankuasa pusat dalam majlis syura adalah wajib. Jika mereka tidak ulama, mereka tidak boleh jadi ahli Majlis Syura dan Majlis Syura  akan diwakili oleh jawatankuasa pusat yang kurang kanan.
Dari segi teori Timbalan Presiden akan memangku Presiden jika Presiden berhalangan. Jika Timbalan Presiden seorang bukan  Islam, PAS akan dipimpin oleh bukan Islam kiranya berlaku sesuatu pada Presiden. Suasana itu akan menjadi satu perkara baru menyebabkan parti boleh bergelombang.
Malah keadaan sekarang apabila Timbalan Presiden yang dipegang oleh Mohamad Sabu yang bukan ulama, nescaya ada gelombang kiranya Presiden berdepan sesuatu masalah. Maka yang terbaik kedua-duanya mesti ulama. Gelombang akan lebih kiranya Timbalan Presiden itu pula bukan Islam.
Demi keselesaan jamaah yang terbaik ialah calon Timbalan Presiden itu memeluk  Islam dulu dan membuktikan dia lebih layak dari muslim yang lain dalam parti itu.
Apapun pandangan yang dikatakan dari Dr. Dzulkefly adalah satu percambahan fikiran yang sihat dan baik. Pemikiran demikian dapat membantu parti dilihat sebagai berfikiran maju dan berlapang dada.
Jumaat, 2 Mac 2012 bersamaan 8 Rabi'ulAkhir 1433H, 5.30 petang
Madrasah Makarimul Akhlak, Pondok Hj Abdullah Kecil, Langgar, Alor Star, Kedah Darul Aman.

Kedah bakal raih RM10 juta hasil bijih besi

Mohd Shubihi Muhamad Zain, 02 Mac 2012
GURUN, 2 Mac: Kedah dijangka meraih pulangan berjumlah RM10 juta setahun hasil daripada pengeluaran bijih besi di tapak berdekatan Gunung Jerai yang telah memulakan operasinya.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, operasi perlombongan di tapak seluas 26.091 hektar itu dijalankan secara usaha-sama di antara anak syarikat kerajaan negeri, Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Nacstone Mining Worlwide (M) Sdn. Bhd.

"Sumber baru ini akan memberikan pulangan royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan negeri dan tidak termasuk keuntungan yang diperolehi PKB melalui kerjasama itu," jelasnya pada sidang media selepas lawatan kerja dan majlis pelancaran operasi pengeluaran bijih besi, semalam.

Menurutnya lagi, dianggarkan lebih satu juta metrik tan bijih besi di tapak yang pertama beroperasi, manakala di tapak berdekatan masih lagi menunggu kelulusan untuk dilombong.

"Sepanjang tiga bulan beroperasi, sudah tiga kali bijih besi di eksport ke China melibatkan jumlah sebanyak 100,000 tan dan nilainya bergantung pada pasaran harga semasa.

"Saya yakin kapasiti pengeluaran kita mencukupi bagi menampung permintaan berikutan operasi melombong yang dijalankan sepanjang masa," katanya.

Azizan berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti berbagai lagi hasil bumi lain yang bakal memberikan pulangan kepada Kedah.

"Beberapa tapak lain juga dikenal pasti mengandungi bahan galian bernilai seperti kuart di Bukit Kachi di Sintok yang hanya menunggu kelulusan lesen pajakan melombong.

"Sudah ada pengusaha yang berminat untuk mengeluarkan galian di atas tapak berkeluasan 405 hektar itu, dan saya gembira Kedah kini memperoleh rezeki yang melimpah dari dalam tanah untuk manfaat penduduk di sini," ujarnya.

Turut hadir dalam lawatan kerja dan majlis pelancaran tersebut ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Dato' Dr Abdul Isa Ismail dan pimpinan-pimpinan Kerajaan Negeri Kedah.

PAS cadang badan bebas siasat Peguam Negara

Hazayani Zakaria, 02 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 2 Mac: PAS mencadangkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail disiasat melalui satu badan bebas.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian ekoran dakwaan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuf semalam bahawa Gani Patail telah memperguna Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga menyebabkan beliau dan pegawainya didakwa di mahkamah.

Sambil menyifatkan dakwaan itu suatu yang berat, Mahfuz berkata kerajaan perlu menjelaskan sama ada boleh atau tidak tribunal diadakan untuk menyiasat peguam negara.

"Pendedahan yang sangat berat yang menyentuh tentang institusi yang sepatutnya berlaku adil dalam memastikan bahawa satu-satu kes tidak berlaku konspirasi.

"Kalau dalam kes yang membabitkan hakim, satu tribunal boleh dibuat untuk menyiasat salah laku pihak hakim tetapi dalam kes yang membabitkan peguam negara boleh atau tidak tribunal diwujudkan, itu perlu mendapat penjelasan pihak kerajaan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, badan bebas itu sangat perlu bagi membersihkan imej Jabatan Peguam Negara.

"Kerajaan perlu bersihkan nama baik Jabatan Peguam Negara. Kalau tidak bermakna bahawa Jabatan Peguam Negara telah melakukan penganiayaan dalam banyak kes pendakwaan terhadap orang tertentu.

"Kalau sebelum ini kita telah didedahkan bagaimana ketua hakim begitu akur terhadap kehendak orang-orang politik, kemungkinan terdapat kes yang dikendalikan oleh hakim tidak dikendalikan secara adil," katanya lagi.

Ramli seperti dilaporkan Malaysiakini berkata, kesemua dakwaan yang dihadapinya itu bermula apabila pasukannya ditugaskan untuk mengambil tindakan ke atas seorang anggota sindiket yang dihantar ke Jeli, Kelantan untuk menjalani perintah tahanan terhad.

Lelaki didakwa terlibat dalam jenayah terancang, termasuk dalam kegiatan 'Along', loteri haram, pelacuran dan juga pengedaran dadah, kata Ramli.

"Maklumat ini telah diberikan oleh timbalan menteri dalam negeri pada waktu itu (Datuk Johari Baharom) dan perkara itu dianggap "rahsia tertinggi" dan kes yang amat sulit.

"Kemudian, saya diberitahu untuk melaporkan kepada beliau secara terus selepas fail tersebut (siasatan) dilengkapkan.

"Saya mengarahkan pegawai saya untuk (membuka) kes ke atas anggota sindiket itu, yang kemudiannya diserahkan kepada timbalan menteri berkenaan untuk tindakan di bawah perintah RR (tahanan terhad)," katanya sewaktu berucap di majlis sambutan hari lahirnya kelmarin.

"Bagaimanapun selepas nasihat Peguam Negara, anggota sindiket berkenaan kemudiannya dibebaskan, tanpa syarat," kata Ramli.

"Sebaliknya, pegawai saya didakwa kerana mengambil kenyataan palsu dan rekaan yang melibatkan ketua polis negara pada waktu itu (Tan Sri Musa Hassan).

"Pada masa itulah AG Gani Patail memanggil fail kes asal itu, yang diklasifikasikan sebagai sangat sulit, dan menyerahkan kepada SPRM untuk mengganggu saksi," kata Ramli lagi.

Sultan harap gas didarat di Kelantan

Salmah Mat Husain, 02 Mac 2012
KOTA BHARU, 2 Mac: Sultan Muhammad V berharap projek-projek yang telah dirancang dilaksanakan di negeri ini melalui Rancangan Malaysia Ke-10 dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Titah baginda bagi RMK-10 yang bermula 2011 hingga 2015 menggunakan pendekatan format pelan pusingan (rolling plan) yang dilaksanakan sejak tahun lepas memfokus pembangunan tempoh dua tahun.

“Pembangunan kepada tempoh dua tahun berdasar keupayaan kewangan semasa kerajaan Persekutuan.

“Beta berharap projek-projek yang telah dirancang untuk Kelantan melalui RMK-10 dapat dilaksanakan sepenuhnya,” titah baginda pada perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dun Kelantan ke-12 semalam.

Menurut baginda juga pada tahun lepas Kelantan menerima pelaburan hampir RM1.4 bilion meliputi bidang hartanah, pertanian, pembuatan dan tenaga diperbaharui.

Oleh itu baginda berharap kemasukan pelaburan tahun ini akan meningkat dengan adanya kemudahan pangkalan bekalan di Tok Bali yang dijangka siap pembinaan tahun ini.

Selain itu pembangunan Bandar Baru Tunjung semakin rancak, di samping rakyat akan menerima kesan berganda daripada projek-projek yang dilulus tahun lepas.

Sultan Kelantan juga bertitah gas asli yang terdapat di Telaga Bumi Selatan dan Telaga Surya Selatan (blok PM301) sudah mulai dikeluarkan.

“Beta berharap gas ini dapat didaratkan di negeri ini kerana Kelantan telah menyediakan zon indutri petroleum di Bachok seluas 4,000 ekar sejak tahun 1990-an lagi,” titah baginda.

Rakyat Kelantan sambut 'meriah' kedatangan Najib

Harakahdaily, 02 Mac 2012




(Antara banner yang dinaikkan untuk menyambut kedatangan Najib)

KOTA BHARU, 2 Mac: Kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Kelantan disambut meriah oleh rakyat negeri itu termasuk mengantung banner.

Di Jeli, tempat Najib dibawa oleh Datuk Mustapha Mohamad bertemu rakyat, kain-kain pemidang dinaikkan oleh rakyat kawasan itu.

Najib dalam rangka lawatannya ke Kelantan hari ini dijangka akan bertemu rakyat di Jeli, kawasan Parlimen pengerusi perhubungan Umno Kelantan.

Lawatan terakhir Najib ke Kelantan adalah Julai tahun lalu di mana beliau telah melawat daerah Pasir Puteh, Machang dan Kota Bharu.

Di Pasir Puteh, beliau telah melawat stesen teksi Pasir Puteh dan berjanji akan membina stesen teksi baru di situ.

Untuk lawatan kali ini, Perdana Menteri akan memulakan lawatan kerjanya dengan menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Tentera dan keluarga Rejimen Sempadan 2 di Batu Melintang, Jeli.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Perdana Menteri kemudiannya akan menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Jeli.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, akan mengiringi lawatan Perdana Menteri itu.

Tiada ulasan: