Jumaat, 2 Mac 2012

BIARLAH ORANG NAK LAKUKAN....ORANG YANG DAH TAK LAKU...BILA PENAT...BERHENTILAH...MANA2 CERITA ITU JUGA...SIBUK DENGAN KEMPEN HINGGA LUPA MENADAH KITAB...

‘Idea benar bukan Islam teraju Pas tak betul’
MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
2 Mac 2012
Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU - Pas tidak perlu meminda perlembagaan untuk membolehkan individu bukan Islam memimpin parti itu, kata Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, Pas sebagai parti yang berteraskan Islam tidak terikat dengan bangsa, malah bersedia menerima individu dari semua kaum untuk memimpin parti itu dengan syarat mereka mempunyai iman.

“Asalkan mereka beriman, boleh memimpin Pas, tidak kira bangsa apa pun, Islam untuk semua,” katanya ketika ditemui selepas menyampai kuliah khas sempena Tahun Melawat Kelantan di Dataran Ilmu di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Zulkefly Ahmad bahawa Pas bersedia menerima bukan Islam sebagai timbalan presiden parti sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan Ikwanul Muslimin dari Mesir.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan cadangan untuk membenarkan bukan Islam memimpin parti itu tidak betul kerana Pas sendiri dilahirkan untuk perjuangkan Islam.

“Bangsa ini sama sahaja, Melayu, Cina Arab, tetapi kalau bukan Islam macam nak pimpin Islam, Begitu juga adakah boleh orang komunis nak pimpin demokrasi, apalagi Islam yang jauh lagi besar, campur dunia dan akhirat,”katanya.

Dalam pada itu ditanya kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan Pas melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai pemimpinnya, Nik Aziz berkata “Itu bukan orang politik, tidak sepatutnya bercakap macam itu.”
Ekoran protes, Najib jamin sisa Lynas 'dibuang jauh'

2 Mac 2012
najib-kelantan-2mac
KOTA BHARU - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa sisa buangan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan akan dipindahkan ke lokasi lain yang jauh dari penempatan penduduk.
Perdana Menteri berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira soal kelegaan masyarakat tempatan daripada segi psikologi dan emosi.
"Walaupun saintis sudah mempunyai bukti termasuk akuan dari badan-badan antarabangsa sisa buangan itu selamat tetapi kerana masih ada orang yang tidak puas hati yang membabitkan soal emosi dan psikologi, jadi kita putuskan kena pindahkan sisa buangan itu ke tempat yang lebih jauh," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Ramah Mesra bersama Profesional Kelantan di sini hari ini.
Najib berkata, kerajaan masih menimbang lokasi bagi sisa buangan yang akan dipindahkan itu dan akan diumumkan kelak.
Perdana Menteri menolak tanggapan bahawa keputusan itu dibuat hasil daripada desakan pembangkang yang cuba mengeksploitasi isu berkenaan.
"Kita nak rakyat rasa selamat," katanya.
Isu Lynas telah dimanipulasi oleh pembangkang dengan mengajak rakyat berdemonstrasi di beberapa tempat pada Ahad lalu. - Bernama
Tunjuk bukti KBS taja Hasan Ali, Razali cabar Mahfuz

2 Mac 2012
Razali Ibrahim
JOHOR BAHRU - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar diminta mengemukan bukti berhubung dakwaannya Kementerian Belia dan Sukan menyalurkan dana RM30 juta untuk membiayai siri ceramah bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim yang terkejut dengan dakwaan itu meminta Mahfuz supaya membuat laporan polis dan bukan dengan membuat kenyataan terbuka kepada media.
"RM30 juta untuk ceramah Hasan Ali? Saya tidak pernah tahu dan kita tidak pernah bincang mengenai Hasan Ali apatah lagi untuk bincang berapa banyak kita hendak salur dana.
"Yang kedua,(dakwaan) jumlah perbelanjaan itu lebih tinggi daripada peruntukan untuk sambutan Hari Belia, adalah tidak logik dakwaan ini," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Mahfuz dalam sebuah portal menyatakan bahawa KBS telah menyalur dana sebanyak RM30 juta bagi membiayai siri ceramah Hasan di seluruh negara.
Razali yang sebelum itu merasmikan Program Interaksi Belia Siswa Johor Institusi Pengajian Tinggi Malaysia kali ke-2 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai berkata, masalah Hasan bukan masalah Umno dan tidak ada sebab untuk KBS membantu menyalurkan dana.
Katanya, tindakan Mahfuz membangkitkan isu itu menerusi media juga adalah tidak wajar kerana beliau seharusnya melaporkan terus kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.
"Cara perkara ini dibangkitkan tidak betul, dakwaan salah laku itu serius dan kita ada lunas undang-undang untuk tindakan.
"Kalau dia nak, dia buat laporan polis dan bukan dengan buat kenyataan terbuka kerana cara itu tidak betul. Tidak ada tindakan boleh diambil tanpa bukti. Kalau betul kemuka bukti supaya kita boleh buat siasatan," katanya. - Bernama

Abdul Rahman hilang jawatan Umno, kekal MP Sabak Bernam

2 Mac 2012
Abdul Rahman Bakri
KOTA BAHRU - Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri yang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam atas tuduhan rasuah empat tahun lepas akan hilang jawatan yang disandangnya dalam Umno.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Abdul Rahman bagaimanapun masih belum hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerana kes itu masih dalam proses rayuan.
"Seperti mana kita tahu ada kes yang mana Mahkamah Rayuan telah membebaskan (tertuduh)...jadi kita tak boleh andaikan apa yang akan berlaku nanti.
"Jadi setakat ini (Abdul Rahman) masih kekal sebagai Ahli Parlimen sampai pilihan raya, selepas itu kita lihatlah bagaimana," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Najib ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Ramah Mesra bersama profesional Kelantan sempena lawatan seharinya ke Kelantan hari ini.
Abdul Rahman merupakan Ketua Bahagian Umno Sabak Bernam.
Semalam, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000 setelah memutuskan Abdul Rahman didapati bersalah atas lapan tuduhan membuat tuntutan palsu melibatkan RM80,000 ketika menjadi Anggota Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, empat tahun lepas.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM50,000 atau penjara setahun jika Abdul Rahman gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997
dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.
Hakim bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu ditangguhkan sehingga rayuan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. - Bernama
Amiruddin balas surat, tegas isu jawatan Pas selesai

2 Mac 2012
Amiruddin Hamzah
ALOR SETAR - Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Bekalan Air Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, beliau telah membalas surat Pas Kuala Kedah berikutan tindakannya menerima pelantikan semula jawatan Exco kerajaan negeri walaupun telah diarahkan tidak menerima tawaran dilantik.
Sehubungan itu, beliau menganggap kes yang membabitkan dirinya dalam isu Pas kawasan Kuala Kedah itu selesai setelah menjawab surat yang dihantar oleh Setiausaha Pas kawasan itu semalam.

"Saya tak jangka akan ada masalah mengenai jawatan saya dalam Pas. Saya anggap perkara itu sudah selesai dan saya juga telah membalas surat itu kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Kedah Ketiga di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan Pas Kuala Kedah yang memberikan kata dua kepadanya kerana melanggar keputusan mesyuarat jawatankuasa kawasan pada 24 Februari lalu yang menyokong Yang Dipertua Pas kawasan itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang tidak mahu dilantik semula sebagai Exco dan menetapkan semua Adun dalam kawasan Kuala Kedah menolak pelantikan Exco.

Amiruddin, yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Pas Kuala Kedah, adalah antara lapan Exco yang menerima pelantikan semula bagi tempoh 2012/2013 manakala dua lagi Exco termasuk Phahrolrazi telah menulis surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyatakan keengganan dilantik semula.

Amiruddin berkata, antara kandungan yang terdapat dalam surat itu ialah meminta supaya beliau mengatakan pandangan dan pendiriannya terhadap isu berkenaan.
"Saya telah membalas surat itu dan saya tidak bercadang untuk mengumumkannya di sini apa kandungan yang saya tulis. Ini hal adik beradik dan saya rasa ia tidak akan terjejas kedudukan saya dalam PAS dan mereka boleh menerimanya," katanya.
Amiruddin berkata kandungan surat yang diterimanya tidak sama seperti apa yang digambarkan dan dihebahkan sebelum ini (memberi kata dua), sebaliknya ia ditulis secara berhemah.

"Jadi saya rasa eloklah saya jawab dengan cara yang elok kerana surat itupun ditulis dengan cara baik," katanya.

Apabila ditanya tentang penerimaan masyarakat (penyokong Pas) terhadap dirinya selepas berlakunya perkara itu, beliau menjawab: "Respons dari bawah itu (masyarakat) macam-macam, tapi saya ingat bila isu ini reda ia akan balik seperti asal".- Bernama
Ucapan tahniah bukti pendirian Tun M 'pro-Israel'
ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
2 Mac 2012
KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan ucapan tahniah yang ditujukan atas pelantikan Ehud Barak sebagai Perdana Menteri Israel bukti pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad selama ini.

Beliau menyifatkan ucapan tahniah itu sama seperti memberi pengiktirafan kepada Israel.

“Terima kasihlah kepada Tun Mahathir yang memberitahu satu Malaysia yang beliau mengiktiraf Israel.

“Mengiktiraf kemenangan pemimpin itu bermakna beliau mengiktiraf pembentukan negara Israel,” katanya kepada pada sidang media di Ibu Pejabat Pas,

Menurut Mahfuz beliau percaya dasar dan polisi  dengan Israel  yang dibawa pada zaman Dr Mahathir itu masih diteruskan hingga ke hari ini.

Rabu lalu kerajaan telah mendedahkan tiga surat Dr Mahathir kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.

Bagaimanapun, kandungan surat yang tertulis ucapan tahniah di atas kemenangan pemimpin Israel itu  dalam perenggan pertama itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tiga surat itu adalah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasar mengenai Palestin.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, beliau berkata, ia adalah surat Dr Mahathir kepada Yitzhak Rabin bertarikh 21 Disember 1993, kepada Benyamin Netanyahu bertarikh 14 Mac 1997 dan Barak bertarikh 8 Jun 1999.
Lantik Chua 'Presiden Umno', DAP cabar Dr M
Mohammad Fairuz Jumain
1 Mac 2012
Lim Kit Siang
SHAH ALAM – Penasihat DAP, Lim Kit Siang (gambar) mahu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang disifatkannya sebagai "lidah bercabang" agar menamakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai Presiden Umno.

"Ada dicadangkan agar respons kepada cadangan Tun Dr Mahathir bahawa saya sepatutnya dijadikan Presiden Pas, adalah sama ada Mahathir akan mengesyorkan agar Datuk Seri Chua Soi Lek  menjadi Presiden Umno," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir ekoran Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang bersetuju jawatan Timbalan Presiden Pas dipegang oleh bukan Islam jika ada tuntutan dan keperluan.

“Apapun, kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan semua ‘Tun serta anak dan cucu’ mereka perlu disiasat ekoran dakwaan negara kehilangan RM100 bilion sepanjang 22 tahun pemerintahannya lebih menarik perhatian saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen veteran ini berkata, semua Tun dari zaman Dr Mahathir seharusnya bersuara sama ada mereka bersedia menyokong penyiasatan penuh kehilangan wang ini sepanjang pemerintahan Perdana Menteri ke empat.

“Biarlah (bekas Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa Hitam, Tun Daim Zainuddin, Tun Ling Liong Sik dan Tun Lim Keng Yaik bersuara sama ada menyokong atau tidak (penyiasatan ini),” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur turut mempersoalkan kenyataan Dr Mahathir sama ada ia melibatkan semua bekas Perdana Menteri termasuk anak mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan sekarang.

“Biarlah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap dan menjelaskan perkara ini, mereka berdua anak Perdana Menteri kedua dan ketiga,” katanya.
Jelas Kit Siang lagi, dengan kenyataan Dr Mahathir itu, adakah beliau benar-benar sudah bersedia disiasat bersama-sama dengan semua berpangkat Tun serta anak dan cucu mereka.

“Tun serta anak dan cucu yang lain tidak akan sesekali bersetuju dengan sebarang penyiasatan penuh yang dicadangkan ini. Jadi adakah Dr Mahathir terlalu yakin bahawa beliau akan memperoleh kekebalan dan sewenang-wenangnya bebas dari dakwaan kehilangan RM100 bilion ini?” katanya.
Pemuda Pas mahu Dr Dzulkefly minta maaf
Wartawan Sinar Harian
1 Mac 2012
Dr Dzulkefly Ahmad
SHAH ALAM – Dewan Pemuda Pas menggesa Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad agar menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf berikutan responsnya bahawa parti itu bersedia menerima seorang Timbalan Presiden Pas daripada kalangan bukan Islam.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Titiwangsa, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, perkara-perkara yang besar dan melibatkan dasar parti perlu diputuskan oleh jawatankuasa tertinggi parti sama ada muktamar tahunannya atau Majlis Syura Ulama selain memerlukan pindaan Perlembagaan Pas.

Katanya, langkah-langkah itu memerlukan proses yang panjang dan persetujuan kepemimpinan tertinggi parti dan semua ahli.

“Bukan semudah itu untuk melontarkan sesuatu pandangan yang besar apabila melibatkan dasar dan perlembagaan parti.

“Beliau sepatutnya merujuk Perlembagaan Pas serta kepemimpinan tertinggi terlebih dahulu sebelum melontarkan pandangan kerana boleh menimbulkan satu polemik yang meresahkan ahli di peringkat bawahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Shahir, natijah dari kenyataan Dzulkefly semalam, pengundi Melayu juga sudah mula mempertikaikan kenyataan beliau dengan menganggap Pas telah menggadaikan prinsip perjuangannya.

Kelmarin, Dzulkefly membuat kenyataan itu ketika menjadi panel dalam Wacana Sinar Siri Ke-11 bertajuk ‘Mengapa Undi Melayu Pecah?’ sekiranya ia satu keperluan dan ada tuntutan seperti yang dilakukan parti Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Menurut beliau dalam Islam, terdapat dua perkara iaitu perkara tetap dan perkara yang boleh berubah, contoh yang boleh berubah adalah perkara politik.

Katanya, Pas tidak terlalu taksub dengan berkeras mengatakan orang bukan Islam tidak boleh memegang jawatan tertinggi parti.

Ujar, Mohd Shahir, perlembagaan parti dengan jelas menggariskan syarat bahawa ahli mestilah beragama Islam.

Katanya, sebagai sebuah parti Islam yang meletakkan dasar dan matlamat perjuangannya Islam, sudah tentu mereka yang mendukungnya juga mesti terdiri daripada orang-orang Islam.

Sementara itu, Mohd Shahir berkata, amat sukar bagi sebuah parti yang memperjuangkan Islam menerima kepemimpinan tertingginya daripada kalangan bukan Islam.

“Sepatutnya sebagai pimpinan Pas di peringkat pusat, beliau perlu berfikir dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan dan berbincang dengan kepemimpinan Pas Pusat supaya kenyataan beliau selari dengan dasar parti,” katanya.

“Kami berharap Dr Dzulkefly Ahmad lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu kenyataan yang berkaitan dengan dasar dan hala tuju Pas,” katanya.
Jawatan No 2: Dr Dzul bidas reaksinya diputar
Wartawan Sinar Harian
2 Mac 2012
Dr Dzulkefly Ahmad
SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad membidas sesetengah pihak khususnya pesaing politik kerana memanipulasi pandangan beliau menyentuh sama ada parti Islam itu sanggup membolehkan bukan Muslim memegang jawatan timbalan presiden.
Ahli Parlimen Kuala Selangor ini berkata, beliau kecewa apabila segelintir ahli partinya dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri salah faham dan  memporakperandakan minda rakyat demi kepentingan politik.
"Dalam hampir tiga jam perbahasan bersekali dengan sidang akhbarnya yang menghuraikan pelbagai isu di sekitar tajuk wacana, amat malang sekali, ada pihak yang memanipulasi laporan wacana ini dengan sengaja mengenengah dan kini memporakperandakan minda rakyat yang tampaknya bermotifkan politik.
"Paling mutakhir mantan Perdana Menteri juga ‘tumpang semangkuk’ sekali gus dengan lebih jelas membuktikan bagaimana pihak media yang andainya tidak cermat atau juga punyai agenda tertentu, akan terpalit untuk memenangkan sesuatu tumpuan umum dalam memobilisasi pandangan awam.
"Lebih malang lagi apabila saya kesan ada segelintir kecil pihak Pas sendiri yang terpengaruh meminta saya tarik balik kenyataan saya," kata beliau dalam penjelasan terperinci yang disiarkan menerusi blog beliau.
[Sila ikuti kandungan penuh di ruangan entri blog www.sinarharian.com.my]

Katanya, diskusi Wacana ‘Mengapa Undi Melayu Pecah’, yang menurutnya sihat dan informatif, kini telah diheret pihak tertentu secara sengaja atau tidak bagi menonjolkan isu ‘Pas bersedia dipimpin bukan Islam’.
Wakil rakyat penggal pertama ini berhadapan dengan kritikan ekoran reaksinya kepada soalan daripada moderator adalah ‘apakah Pas bersedia untuk melantik timbalan presiden daripada kalangan bukan Islam seperti Ikhwan Muslimin baru-baru ini’.
Dzulkefly berkata beliau menjawab bahawa perkara seperti itu bukan perkara-perkara prinsip yang tetap.
"Dalam (syariat) Islam ada dua perkara kategori (hukum). Satu, perkara ‘Tetap’ yang tidak boleh ubah dikatakan ‘Al-Thawabit’ (tetapi) ini perkara-perkara dalam ruang lingkup ijtihad dan yang dikatakan sebagai ‘Al-Mutaghiyyaraat’.
"Dua perkara ini kita mesti bezakan atas apa susun atur politik itu, semua perkara-perkara yang boleh berubah.
"Pada perkara yang boleh berubah, kita ubah pada waktu dan tuntutannya. Ini perkara... Pas berani berubah! Ada perkara yang tetap tapi ada perkara yang tertakluk kepada perubahan. Jadi, kita boleh bersedia untuk menerima perubahan dan pindaan seperti itu," katanya lagi.
Mengenai persoalan berkaitan jangka masa, Dzulkefly menjawab: "Ha! Jangka waktu itu segalanya tertakluk kepada needs atau keperluan. Ya! Terima kasih."
Dalam penjelasannya, Dzulkefly juga berkata, ketika itu beliau diasak oleh soalan tambahan iaitu "kKeadaan sekarang, needs tu dah...?”
"Jawab saya: Mungkin belum ada needsnya (keperluannya) tapi kalau dah diutarakan, kita akan bincang dan di muktamar, kita putuskan bersama. Pada soalan: “Belum dibawa?”
Jawapan saya: “Belum lagi,” kata beliau lagi.
Dalam kenyataannya kelmarin, Dr Mahathir menyifatkan kesediaan Pas untuk melantik Timbalan Presiden daripada kalangan bukan Islam sebagai 'langkah terbaik'.
Sehubungan itu beliau menyindir, Penasihat DAP, Lim Kit Siang sepatutnya dilantik menjadi Presiden Pas.
“Dulu Pas kata kita kafir, sekarang mereka nak terima orang bukan Islam sebagai pemimpinnya.
“Dulu Pas kata kita kerjasama dengan kafir. Setakat mana pemimpin bukan Islam dalam Pas? Sepatutnya, Lim Kit Siang menjadi Presiden Pas kerana beliau rakyat Malaysia yang mengutamakan Islam,” katanya.
Semalam, Dewan Pemuda Pas Titiwangsa menggesa Dzulkefly menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.
Pas dakwa KBS taja 2,000 ceramah Hasan Ali
ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD
2 Mac 2012
Hasan Ali
KUALA LUMPUR - Pas mendakwa sebuah unit belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan akan menaja lebih 2,000 siri ceramah Datuk Dr Hasan Ali, yang dipecat parti itu Januari lalu, dalam masa terdekat ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, unit itu yang dinamakan 'cawangan strategi urat saraf' tidak mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam.
"Saya difahamkan, kos bagi 2,000 siri jelajah itu berjumlah RM30 juta. Hasan Ali diberi tugas untuk mendekati golongan belia dalam siri ceramahnya di seluruh daerah.
"Saya mahu Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan sumber peruntukan itu, kerana cawangan strategi urat saraf itu tidak diiktiraf JBA," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat Pas hari ini.
Mahfuz turut tidak menolak Barisan Nasional menggunakan Hasan bagi mendekati kumpulan belia sebagai persediaan pilihan raya akan datang.
"Kajian telah menunjukkan, sejak PRU 2008, 65 peratus hingga 75 peratus pengundi muda mula beralih arah kepada pembangkang.
"BN sedar hakikat ini, maka mereka menggunakan Hasan Ali untuk mengubah persepsi golongan muda ini," katanya.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena enggan mendedahkan sumber atau bukti yang diperolehinya kerana beliau terlebih dahulu mahu penjelasan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan.
"Saya nak tengok mereka jawap apa... Apakah programnya, siapa, saya akan dedahkan pada sesi parlimen akan datang.
"Saya juga percaya selepas saya mendedahkan perkara ini, kemungkin siri jelajah itu akan dihenti atau dilakukan secara senyap-senyap," katanya.
Menurut Mahfuz, banyak peruntukan di bawah KBS untuk kepentingan belia tapi hakikatnya cawangan itu digunakan untuk tujuan politik, bagi tujuan pilihan raya dengan mewujudkan unit-unit tertentu dalam kementerian.
"Saya angap ini satu penyelewengan apabila mengambil peruntukan dari bahagian lain.
"Semasa pilihan raya Sarawak, cawangan ini bermukim di Sarawak selama tiga bulan dan mengadakan pelbagai program gerak saraf belia yang memakan belanja sehingga RM40 juta. Saya minta Menteri Belia dan Sukan jelaskan perkara ini," katanya.
Beliau turut meminta mempersoalkan, pembatalan Karnival Belia Kreatif 2012 yang dijadualkan pada 10 hingga 12 Febuari lalu.
"Karnival ini telah di iklan secara meluas di media massa tapi akhirnya dibatalkan. Kenapa program ini dibatalkan dan berapa pula kos yang terpaksa ditanggung kerajaan setelah pelbagai promosi telah dilakukan?" soalnya.
Selain itu, beliau turut meminta penjelasan menteri berkenaan tentang  kehilangan RM8juta peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk belia pada Himpunan Sejuta Belia 2011.
“Saya mendapat maklumat  hanya RM2 juta diterima oleh Majlis Belia. KBS memperuntukkan RM2 juta bagi membayar artis K-Pop Super Junior, peruntukkan itu terlalu besar.

"Saya setuju kalau peruntukan untuk pembangunan belia, tapi bukan dalam  bentuk program himpunan sehari yang tidak memberi apa-apa kesan, hanya seperti Karnival Jom Heboh dan sebagainya," katanya.

Tiada ulasan: