Khamis, 31 Oktober 2013

SAMPAH PUN SAMPAHLAH

Sg Limau: Adakah ‘Kekal’ atau ‘Berani Hijrah’?

Syed Ahmad Fadhli, 31 Okt 2013
Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri N.20 Sungai Limau kini sudah pun memasuki ke fasa terakhir kempen yang masih berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum hari pengundian pada Isnin, 4 November 2013.

Pengundi DUN Sungai Limau ini berjumlah seramai 27,222 orang dengan komposisi mengikut kaum iaitu 93 peratus ialah pengundi Melayu, 6.7 peratus pengundi Cina, 0.6 peratus pengundi India dan selebihnya kaum-kaum lain. DUN Sungai Limau ini terletak di bawah Parlimen Jerai yang telah berjaya ditawan oleh Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 yang lalu melalui calonnya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom manakala dua lagi DUN iaitu Guar Chempedak dan Gurun juga dikuasai BN.

Kerusi DUN Sungai Limau ini boleh dikategorikan sebagai kubu kuat PAS kerana penyandangnya sebelum ini, Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak telah berjaya mempertahankan kerusi tersebut semenjak tahun 1995 yang pada ketika itu dikenali dengan nama DUN Sala. Melihatkan majoriti yang dimenangi setiap kali pilihanraya tersebut, ia ada turun naiknya bermula pada PRU 1995 dengan majoriti hanya 196 undi, PRU 1999 dengan majoriti meningkat kepada 2621 undi, PRU 2004 dengan majoriti menurun kepada 1080 undi, PRU 2008 dengan majoriti 3212 undi dan yang terkini PRU 2013 dengan majoriti 2774 undi.

Menyorot kembali keputusan PRU 13 yang lalu, daripada keseluruhan 57 saluran mengundi, PAS berjaya memenangi 39 saluran manakala BN menang di 18 saluran mengundi biasa dan undi pos. PAS berjaya menguasai 14 Pusat Daerah Mengundi manakala BN berjaya berkubu di 5 Pusat Daerah Mengundi iaitu Selengkoh, Sungai Daun, Sungai Kering, Dulang Kecil dan Dulang Besar. Hal ini dapat dilihat dengan pencapaian BN memenangi kesemua saluran di kelima-lima pusat daerah mengundi tersebut. BN turut memenangi dua saluran pengundi muda di Pusat Daerah Mengundi Simpang Tiga, dan empat saluran pengundi tua iaitu di Pusat Daerah Mengundi Sungai Limau, Kabu Sepuloh, Sedaka dan Padang Lumat.
Nama dan jasa Almarhum Ustaz Azizan begitu dekat dengan jiwa sanubari pengundi di DUN ini sehinggakan aura Almarhum Ustaz diulang sebut dan mendominasi tema dalam kempen PRK ini. Calon PAS, Ustaz Azam Abd Samat telah berjanji untuk meneruskan legasi Almarhum Ustaz Azizan, cuma yang agak pelik dalam PRK ini parti BN juga turut tumpang sekaki menggunakan imej Almarhum Ustaz dalam kempen mereka. BN begitu bermurah hati mencetak banner membuat seruan pengundi menyedekahkan bacaan Al-Fatihah buat Almarhum Ustaz.

DUN ini berlatarbelakangkan majoriti pengundinya adalah petani dan nelayan yang begitu mementingkan aspek keagamaan. Hal ini dapat dilihat, apabila di pihak PAS menurunkan calon yang berpendidikan agama manakala calon BN, Dr Sohaimi Lazim menetapkan agenda utama beliau ialah membangunkan modal insan dan pendidikan.

Sungguhpun calon BN tersebut mempunyai kelebihan daripada sudut taraf pendidikan kerana berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Sejarah Politik namun, ia bukanlah indikator utama pengundi dalam membuat pilihan. Pengundi di kawasan luar bandar biasanya lebih cenderung untuk memilih calon yang mesra, prihatin, mudah didekati dan rajin turun ke lapangan bersama rakyat.

Secara amnya, suasana kempen dalam PRK ini agak tenang dan tidak banyak berlaku insiden yang tegang. Hal ini mungkin atas faktor suasana dan budaya setempat yang mementingkan ‘politik damai’ berbanding ‘politik serang’. Bahkan, menurut laporan BERNAMA perang poster juga suram dalam PRK tersebut , berbeza dengan kebiasaan semasa pilihanraya umum dan pilihanraya kecil di tempat lain.

Hanya satu sahaja yang sama iaitu BN terus menggunakan senjata tradisinya setiap kali pilihanraya iaitu taburan wang, bantuan dan janji pembangunan kepada pengundi.Sebagai buktinya, disenaraikan di sini bantuan yang BN telah umumkan iaitu peruntukan kepada Madrasah Mazahirul Ulum (RM400,000), peruntukan kepada Sekolah Menengah Agama Nahdzah (RM3 Juta), peruntukan kepada 12 sekolah lain (RM 1.2 Juta), Insentif Program Bantuan Azam Tani Mara (RM802,700), bantuan zakat Agrobank (RM19,700), pinjaman TEKUN (RM30,000), peruntukan Masjid Simpang Empat (RM 300,000), sumbangan kepada badan persatuan guru-guru KAFA dan 33 masjid lain (RM 118,000), bantuan baiki rumah (RM1 Juta), pemberian cermin mata (RM 1.18 Juta), peruntukan kepada jeti perikanan (RM 500,000), peruntukan untuk tukun tiruan (RM 2.5 Juta) dan peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (RM 2 Juta). BN juga turut memberikan sumbangan dalam bentuk anak pokok, baja, anak ayam, buku agama, surah Yassin, set pembesar suara, minyak masak Saji dan sabun mandi keluaran Felda. Apabila dikira kesemua ini ia berjumlah RM 13.07 Juta. Bayangkan betapa besarnya kos perbelanjaan peruntukan kerajaan yang digunakan oleh BN. Ini belum lagi dicampur dengan kos lain seperti terbitan bahan kempen, sewaan tempat dan penganjuran program. Harus diingat wang yang digunakan ini bukanlah wang parti tetapi ia adalah wang rakyat yang diuruskan oleh kerajaan.

BN juga terus tanpa segan silu memperalatkan kementerian dan agensi kerajaan termasuklah Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Felda, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan lain-lain.

Antara isu kontroversi pada PRK kali ini  ialah kenyataan TPM, Tan Sri Muhyidin Yassin yang cuba menjustifikasikan kenaikan harga gula dengan penyakit kencing manis yang dihadapi oleh Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan. Tindakan sebegini sememangnya menjadi modal terbaik untuk PAS menyerang kembali BN kerana sanggup menghina insan yang sudah tiada di alam ini demi mendapatkan undi. Adakah TPM terlupa bahawa pengundi DUN ini begitu menyayangi Almarhum.? Gara-gara tersilap tekan ‘button’ ini, semalam TPM cuba membuat ‘control damage’ dengan memohon maaf kepada keluarga Almarhum.

Namun, di peringkat PAS juga ada isu yang hangat yang boleh mencalar imej parti dan calon iaitu wujudnya ‘gambar palsu’ calon bersama Almarhum Ustaz dalam risalah profil calon. Setelah isu tersebut didedahkan pada muka depan akhbar Sinar Harian,lantas pihak tertinggi jentera pilihanraya mengakui bahawa kesilapan itu kerana terlepas pandang, tidaklah disengajakan serta siasatan akan dibuat terhadap pereka grafik yang memuatkan gambar tersebut.

Isu lain yang menjadi ‘peluru’ bagi kempen PAS ialah tindakan kerajaan BN yang menaikkan harga gula dan cadangan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Bajet 2014 yang baru dibentangkan juga tidak banyak mempunyai faktor ‘wow’ untuk menarik pengundi maka PAS berkelebihan untuk menerangkan isu tersebut agar pengundi tidak terpedaya dengan janji manis BN setiap kali berlakunya pilihanraya.

Di samping itu,  keberkesanan strategi menganjurkan ceramah adalah penting untuk dinilai kembali oleh PAS. Hal ini kerana kita perlu mengakui bahawa strategi pergi bertemu secara terus dan ‘personal touch’ oleh calon  kepada pengundi adalah lebih baik dan berkesan berbanding kita mengharapkan pengundi untuk datang mendengar celoteh barisan penceramah. Lebih malang lagi, jika kita membuat jangkaan sokongan dengan berpandukan bilangan mereka yang hadir ke ceramah tersebut. Bukan kesemua yang mendengar itu adalah pengundi DUN tersebut dan mungkin yang menjadi peramai majlis itu ialah petugas parti kita sendiri dan orang luar yang ingin bersua muka dengan tokoh-tokoh pemimpin Pakatan Rakyat.

Di pihak jentera perlu terus giat menyusun strategi yang bersifat lebih mesra dan terus kepada pengundi di samping memperingatkan para tukang kempen agar menjadi ‘a good listener’ untuk mendengar isi luahan hati pengundi. Pendekatan sebegini pasti lebih menyentuh hati sanubari pengundi untuk tertarik kepada calon kita berbanding pendekatan yang bersifat menyerang dan mengutuk pihak lawan. Perbanyakkanlah menerang daripada menyerang kerana adat Melayu begitu mementingkan budaya saling menghormati dan sopan-santun. Begitu juga perihalnya dengan pengundi muda dan wanita. Mereka ini adalah sasaran utama yang perlu diberikan perhatian khusus kerana majoriti pengundi adalah dalam kelompok ini.

Akhir sekali, PAS Kedah wajar mengambil peluang PRK Dun Sungai Limau ini sebagai medan untuk merapatkan kembali saf perjuangan serta menutup kisah duka lama konflik dalaman yang wajar dijadikan iktibar apabila kita diberikan amanah berkuasa. Pepatah Melayu ada menyebut, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” mengingatkan peri-pentingnya kesepaduan dalam organisasi untuk bukan sahaja menang tetapi mengisi dan mempertahankan kemenangan yang jauh lebih mencabar.

Buat para pengundi DUN Sungai Limau, kita yakin akan kebijaksanaan mereka untuk terus ‘Kekal’ dengan memilih calon PAS. Mereka tidak mudah terpedaya dengan slogan ‘Berani Hijrah’ yang digunakan BN kerana hijrah itu ke arah yang lebih baik dan bukan berubah ke arah yang lebih buruk. Bak kata Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang  bahawa pengundi DUN Sungai Limau akan buktikan bahawa mereka akan menjadi “ikan yang cerdik dengan hanya mengambil umpan dan tidak memakan joran sekali”.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan PAS.

Calon BN pun berkopiah putih

Harakahdaily, 31 Okt 2013




JERAI: Latar belakang dan budaya masyarakat Islam di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau yang taat beragama mungkin mendorong calon BN dan para pemimpin Umno merubah corak pemakaian dan bahan kempen apabila mengenakan kopiah putih yang agak sinonim dengan PAS.

Sepanduk dan papan iklan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang dipasang di sekitar kawasan PRK Dun Sungai Limau sebahagiannya memaparkan foto beliau dengan kopiah atau ketayap putih.

Imej Dr Ahmad dengan kopiah putih ini menghiasi sepanduk dan papan iklan bertemakan "Berani Hijrah" bagi menyaingi tema "Kekal" calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abd Samat.

Pengerusi Perhubungan Umno Kedah yangjuga Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir turut kelihatan berjemaah di beberapa masjid di sekitar Dun Sungai Limau dengan berkopiah putih.

Mungkin juga kempen harmoni yang dilancarkan PAS dan BN di Sungai Limau membuahkan hasil apabila pemimpin kedua-dua parti cuba mengetepikan perbezaan melalui perlambangan.

Budaya baru Umno ini amat berbeza dengan pendirian bekas Menteri Penerangan, Datuk Zainudin Maidin yang mahukan songkok hitam menjadi pemakaian orang Melayu berbanding kopiah putih.

Begitu juga dengan Ketua Bahagian Umno Baling yang juga Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mahukan para jemaah haji Malaysia memakai songkok dan berbaju Melayu ketika menunaikan solat di Masjidil Haram, Makkah.

Zahid kata manifesto PR sampah, kenapa BN ciplak?

http://greenboc.blogspot.com, 31 Okt 2013

Jika Zahid Kata Manifesto PR Sampah, Kenapa BN Menciplaknya?



Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas manifesto Pakatan Rakyat, meskipun Barisan Nasional sendiri menciplak idea yang terkandung dalam manifesto berkenaan, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menyifatkan manifesto PR sebagai “sampah” dan “tidak berpijak di bumi yang nyata” dengan mendakwa hanya 15 peratus janji ditunaikan pada 2008.

“Ini sikap yang cukup memalukan apatah lagi ungkapan tersebut dibuat dalam dewan yang mulia dan ditonton secara ‘live’ oleh rakyat melalui internet dan televisyen di rumah.

“Peliknya, jika beliau menganggap manifesto itu sebagai sampah, kenapa Umno BN tetap menciplak beberapa isi kandungannya seperti janji menurunkan harga kereta?” soal Pengerusi KEADILAN Perak itu ketika dihubungi.

Pakatan Rakyat semasa kempen Pilihan Raya Umum lalu menunjukkan bukti sekurang-kurangnya sembilan perkara diciplak oleh BN daripada manifesto Pakatan Rakyat.

Antaranya memberikan royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak dan menurunkan harga kereta secara berperingkat.

Malah baru-baru ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan membentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat lebih awal kerana bimbang ia diciplak BN.

Mengulas lanjut, Muhammad Nur berkata, sebagai pemimpin kanan negara, Zahid sewajarnya menjadikan dirinya contoh kepada rakyat dan bukan menunjukkan sikap emosional.

“Tetapi apa yang berlaku ialah Zahid lebih gemar melepaskan kemarahan dengan memberikan label-label negatif terhadap pihak lawan dan ini sekaligus menjatuhkan maruahnya sendiri di hadapan rakyat,” ujarnya. -KD

ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan akan menyaksikan kepada kita, oleh kerana isi kandungan manifesto PR yang banyak diciplak oleh BN, maka PRlah layak memerintah negara. Malah keputusan PRU13 telah membuktikan majoriti rakyat memihak kepada PR melalui undi popular. Kerajaan UMNO BN yang memerintah hari ini tidak mendapat sokongan majoriti rakyat, mereka hanya memenangi lebih banyak kerusi dengan bantuan penipuan SPR.

Namun satu hari, kerajaan UMNO BN telah jatuh dan musnah dan ketika itu Zahidlah yang menjadi sampah akhirnya!

300 pemohon akan miliki ‘Rumah Selangorku'

Saidah Hairan , 31 Okt 2013
SHAH ALAM: Seramai 300 orang rakyat Selangor yang memohon dan layak mengikuti kriteria kerajaan negeri yang ditetapkan dalam tawaran rumah mampu milik akan memiliki 'Rumah Selangorku'.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar negeri, Iskandar Abd Samad, PKNS sedang membina 104 unit pangsapuri manakala Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sedang membina 236 unit pangsapuri.

Katanya,  rumah mampu milik yang ditawarakan dibina Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen U12, Shah Alam dan Permodanan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Sutera Damansara, Petaling Jaya.

Dalam satu kenyataan media katanya, rumah tersebut dijangka boleh diduduki pada akhir tahun 2016.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan membeli sebahagian daripada unit-unit kediaman tersebut untuk dijadikan rumah sewa kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk membeli rumah mereka sendiri.

Katanya, pemohon yang berjaya adalah di antara 2,244 pemohon yang mengisi borang khas yang dikeluarkan oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk membeli rumah mampu milik.

"Pemilihan dibuat menggunakan sistem merit. Setiap pemohon akan diberikan markah untuk kriteria-kriteria diri mereka," katanya yang juga Adun Chempaka.

Tambah beliau, contohnya untuk bilangan anak atau tanggungan lebih ramai anak atau tanggungan maka lebih tinggi markah yang akan diberi.

Antara kriteria-kriteria lain yang dinilai seperti pendapatan isi rumah, lama tinggal di Negeri Selangor dan jarak tempat tinggal sekarang dari lokasi projek, ujarnya.

Pemohon-pemohon yang mendapat markah tertinggi, katanya akan ditawarkan untuk membeli rumah-rumah tersebut.

Beliau menegaskan pemilihan adalah semata-mata berdasarkan merit dan tidak langsung mengambil kira surat sokongan dari mana-mana pihak.

"Pemohon-pemohon yang berjaya akan diberitahu melalui surat pada bulan Disember ini. Nama-nama mereka itu juga akan dipamerkan di laman web LPHS untuk dua minggu," katanya.

Kedua-dua projek ini adalah di antara 35,000 rumah mampu milik yang akan bina di Selangor menjelang 2018.

Mereka yang berminat untuk membeli rumah-rumah tersebut boleh memuat turun borang permohonan daripada laman web LPHS mulai bulan Disember ini.

Projek Rumah Mampu Milik pertama PKNS adalah di Bandar Baru Bangi dengan 124 unit kediaman dan akan mula diduduki tahun hadapan.

Tiada ulasan: